Author: Hassan Sulaiman

  • Berapa lama kerajaan Keluarga Malaysia mampu bertahan?

    Berapa lama kerajaan Keluarga Malaysia mampu bertahan?

    RAMAI yang tertanya-tanya apa yang akan berlaku dari segi hubungan antara kerajaan Keluarga Malaysia dan pembangkang selepas 31 Julai ini memandangkan tiada memorandum persefahaman (MoU) baharu bakal dimeterai antara kedua-dua pihak.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menyatakan tiada perjanjian bertulis yang baharu bagi menggantikan MoU Transformasi dan Kestabilan politik.

    Namun, seperti kita semua sedia maklum, sebarang perjanjian hanya mengikat kedua-dua pihak untuk mematuhi perkara-perkara yang terkandung dalamnya setelah ia didokumentasikan dan dimeterai secara rasmi.

    Lazimnya, perjanjian yang dibuat secara ‘cakap mulut’ dianggap longgar dan sukar untuk mempertanggungjawabkan mana-mana pihak yang mencabulinya kerana tiada bukti bertulis.

    Tidak kurang juga ada yang terkeliru apabila menganggap MoU Transformasi dan Kestabilan Politik tidak diteruskan walaupun Ismail Sabri dengan jelas menyatakan memorandum tersebut berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan.

    Memang sukar untuk menyalahkan mereka yang keliru itu. Lebih-lebih lagi berkaitan klausa yang menyatakan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.

    Dalam bahasa mudah, kerajaan sedia ada boleh juga membubarkan Parlimen selepas 31 Julai ini sekali gus mencetuskan spekulasi tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin diadakan lebih awal.

    Bukan rahsia lagi bahawa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menerima tekanan yang amat dahsyat daripada partinya sendiri untuk tidak meneruskan MoU dengan pembangkang.

    Malah, beliau sendiri mengakui akur dengan keputusan UMNO dan telah membincangkan perkara tersebut dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang.

    Memandangkan klausa yang selama ini menghalang kehendak kluster mahkamah UMNO yang mahu PRU-15 diadakan lebih awal tidak diperbaharui, penganalisis politik menjangka pentadbiran Ismail Sabri sukar untuk bertahan sehingga penggal Parlimen Ke-14 berakhir.

    Memang benar kerajaan Keluarga Malaysia bukan 100 peratus dikuasai Barisan Nasional (BN) kerana penglibatan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadikannya sebuah kerajaan campuran.

    Namun, sebagai seorang pemimpin UMNO, pentadbiran Ismail Sabri tetap dibayangi oleh dasar dan keputusan yang ditentukan oleh partinya yang diterajui oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Cuma dalam situasi inflasi dan krisis ekonomi yang belum pulih, adakah UMNO berani berdepan kemarahan rakyat sekali lagi jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat?

    Sekiranya UMNO masih mahu ‘terjah’ juga, tidak mustahil sejarah pahit yang menyaksikan mereka tumbang pada PRU-14 bakal berulang.

    BN dan UMNO cuma bernasib baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Nasib baik mungkin tidak memihak kepada mereka sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO masih bersikap angkuh mendesak PRU-15 diadakan segera tanpa mengira kepayahan hidup rakyat ketika ini.

  • Apakah Rafizi mahu goncang ‘takhta’ Anwar dalam PKR?

    Apakah Rafizi mahu goncang ‘takhta’ Anwar dalam PKR?

    SELEPAS diumumkan secara rasmi beliau menang bergaya dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak menunggu lama untuk menunjukkan taringnya.

    Pada 12 Julai lalu, beliau secara terang-terangan menyenaraikan 25 calon yang wajar dipilih bagi membarisi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi penggal 2022-2025.

    Yang paling penting, kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu, Ahli-ahli MPP yang dipilih hendaklah dalam kalangan mereka yang menolak gagasan khemah besar.

    Calon-calon yang disenaraikan Rafizi ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir; aktivis mahasiswa, Fahmi Zainol; Ahli Parlimen Subang Wong Chen; Ahli Parlimen Merbok Nurin Aina @ Nor Azrina Surip; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam; Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Low Hsiad Hui; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min; ADUN Hulu Kinta Muhammad Arafat Varisai Mahamad dan ADUN Semambu, Lee Chean Chung.

    Turut disenarai kumpulan pro-Rafizi bagi merebut jawatan MPP ialah pelakon, Datuk Hans Isaac, Romli Ishak, Tan Kar Hing, M Anbarasan, Halim Bachik, Abdul Halim Hussain, Zahir Hassan, Che Zam Hamzah, Zinda Khalil Sastro Hassan, Zaidi Ahmad, Gopalakrishnan Subramaniam, Mohd Amin Abdul Mem, Raiyan Abdul Rahim dan Rusnah Aluai.

    Sekali pandang memang nampak seperti Rafizi benar-benar komited mahu memulihkan semula PKR yang semakin lemah sejak Anwar kembali menerajuinya pada 2018.

    Hakikat PKR sebagai sebuah parti yang sakit tidak dapat dinafikan kerana ia gagal memberi impak yang besar dalam semua pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Justeru, kepakaran Rafizi sebagai ‘raja formula’ sememangnya amat diperlukan untuk memastikan prestasi memalukan PKR itu tidak diulangi pada PRU-15.

    Namun, dari sudut yang lain, ada pihak berpandangan, Rafizi sedang berusaha membina kekuatannya sendiri dalam PKR sekali gus membawa parti itu keluar dari bayangan Anwar serta nostalgia Reformasi.

    Lebih-lebih lagi, sikap Rafizi yang keras menolak gagasan khemah besar adalah bertentangan dengan hasrat memastikan Barisan Nasional (BN) yang didominasi UMNO gagal berkuasa kembali selepas PRU-15.

    Jika itu yang Rafizi mahukan, akan berlaku situasi paradoks di mana PKR berjuang bermati-matian mahu menjulang Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-10 namun pada masa yang sama, parti itu menolak gagasan khemah besar yang boleh meningkatkan peluang parti-parti anti-BN untuk menang.

    Kita tidak pasti apa agenda sebenar Rafizi dan formula apa yang mahu digunakannya kali ini. Cuma kelantangannya dalam soal pemilihan 20 Ahli MPP PKR yang baharu mencetuskan persoalan sama ada beliau mahu mencabar dominasi Anwar dalam PKR.

    Tidak dinafikan Rafizi sememangnya seorang tokoh politik yang popular, bukan sahaja dalam kalangan ahli PKR tetapi masyarakat secara amnya khususnya golongan muda bandar yang berpendidikan dan tidak terlibat secara langsung dalam gerakan Reformasi yang dipelopori Anwar.

    Malah, melihat kepada majoriti besar yang diperolehinya dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden, boleh dikatakan Rafizi mempunyai pengaruh yang besar dan mampu ‘menggoncang’ takhta Anwar yang selama ini begitu sinonim dengan PKR.

    Pada usia 74 tahun, mungkin ramai anak muda termasuk yang dalam PKR menyangka ketokohan Anwar sudah melepasi zaman kemuncaknya dan idea Reformasinya sudah tidak lagi relevan dengan perkembangan politik semasa.

    Namun, mereka mungkin terlupa dengan hakikat bahawa ‘Anwar itu PKR dan PKR itu Anwar’. Sentuhan politik Anwar masih ada bisanya dan beliau masih mempunyai sekumpulan penyokong setia yang sanggup bermati-matian mempertahankannya.

    Lebih-lebih lagi, setakat ini, Anwar masih belum membayangkan hasratnya untuk berundur dari tampuk kepimpinan PKR. Sehingga saat itu tiba, Rafizi terpaksa berpuas hati sekadar menjadi pemimpin nombor dua.

    Mungkin Rafizi bakal menerima nasib yang sama seperti Dr Syed Husin Ali dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang hanya mampu menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR selama 10 tahun tanpa berpeluang pergi lebih jauh.

  • Lupakan Pelan B, UMNO terus saja buat pemilihan

    Lupakan Pelan B, UMNO terus saja buat pemilihan

    PALING lewat, pada 16 Julai ini akan diketahui keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pindaan Perlembagaan UMNO.

    Mei lalu, UMNO sebulat suara meluluskan Pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya.

    Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan, parti itu mungkin terpaksa mengadakan pemilihan sebelum hujung tahun ini sekiranya Pelan B tidak dilaksanakan.

    Tiada siapa yang tahu apa yang dimaksudkan dengan Pelan B itu. Mungkin Ahmad dan beberapa pemimpin kanan UMNO sahaja yang tahu.

    Sebenarnya, UMNO tidak perlu susah-susah memikirkan tentang Pelan B kerana langkah terbaik adalah mengadakan pemilihan secepat mungkin.

    Sememangnya pemilihan UMNO patut dibuat setelah penggal 2018-2021 telah berakhir dan akar umbi perlu sekali lagi diberi peluang menentukan mandat kepimpinan yang baharu.

    Lagipun UMNO dalam situasi yang pelik kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanyalah berjawatan Naib Presiden dalam parti.

    Langkah-langkah yang diambil oleh pentadbiran beliau seperti menarik balik subsidi minyak masak berbotol tidak disokong sepenuhnya oleh UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ahmad Zahid pula sedang berdepan dengan puluhan kes berkaitan rasuah dan penyelewengan dana di mahkamah selain populariti beliau sering dibayangi oleh Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pula semakin kuat pengaruhnya dalam kalangan akar umbi walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    Selain Ahmad Zahid dan Najib, dua lagi pemimpin kanan UMNO iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim juga sedang bergelut dengan kes mahkamah.

    Semua isu ini akan menjadi beban yang terpaksa digalas oleh UMNO sekiranya parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan barisan kepimpinan sedia ada.

    Satu-satunya cara untuk merungkai situasi yang berserabut itu adalah mengadakan pemilihan segera agar akar umbi dapat memilih pemimpin-pemimpin yang berimej bersih dan tiada kes mahkamah.

    Lebih molek lagi jika mereka yang ada kes mahkamah berundur dan tidak mempertahankan jawatan dalam parti agar lebih mudah akar umbi membuat pilihan.

    Kesediaan kluster mahkamah menunjukkan jiwa yang besar demi kelangsungan parti pasti dihargai oleh semua ahli UMNO.

  • Kluster kayangan UMNO senang-lenang, akar umbi tak cukup makan

    Kluster kayangan UMNO senang-lenang, akar umbi tak cukup makan

    PENDEDAHAN Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang media khas yang panjang lebar di Petaling Jaya semalam mendedahkan banyak kepincangan yang berlaku dalam UMNO, lebih-lebih lagi melibatkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    Memang perbuatan beliau itu kelihatan seperti membuka pekung di dada dan boleh menjatuhkan air muka pemimpin-pemimpin parti khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Namun hakikatnya masalah-masalah yang diceritakan oleh Tajuddin memang benar-benar berlaku dan tidak boleh disorok begitu sahaja di bawah karpet.

    Contohnya, isu penyaluran dana parti untuk jentera akar umbi UMNO menjalankan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sudah lama kedengaran rungutan daripada akar umbi yang ‘berjanggut’ menunggu dana yang dijanjikan yang seumpama ‘menunggu bulan jatuh ke riba’.

    Macam-macam arahan diberi oleh kepimpinan parti namun kebanyakan masa hanya bermodalkan air liur sahaja.

    tajuddin rahman akar umbi UMNO
    Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang media khas di Petaling Jaya, semalam mendedahkan beliau terpaksa menggunakan duit sendiri untuk menganjurkan Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mereka minta jentera lebih agresif dalam pentas perang siber dan perang saraf tetapi mereka mungkin lupa nak guna internet pun kena pakai duit.

    Paling tidak pun, berilah peruntukan tambah nilai talian telefon supaya jentera yang terlibat dengan kegiatan media dan penerangan tidak perlu menggunakan duit sendiri.

    Seperti yang Tajuddin kata, nak bergerak ulang-alik ke sana sini semuanya memerlukan duit untuk minyak dan belanja makan minum.

    Akar umbi UMNO bukanlah hendak berkira, tetapi dalam keadaan krisis ekonomi yang semakin memburuk ketika ini, mereka terpaksa mengutamakan perut sendiri dahulu.

    Selepas Barisan Nasional (BN) dan UMNO tewas pada PRU-14, mereka tidak berkira sebab faham parti berdepan kesulitan dari segi kewangan setelah akaun dibekukan dan tidak lagi menjadi kerajaan.

    Malah, Tajuddin sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk menganjurkan Himpunan Penyatuan Ummah dan Melayu Bangkit di Pasir Salak pada 2018 yang seterusnya membawa kepada gagasan Muafakat Nasional.

    Cuma, situasi kini sudah berbeza kerana pemimpin UMNO sudah kembali menjadi Perdana Menteri dan ramai dalam kalangan mereka yang kembali bergelar menteri Kabinet atau dilantik mengepalai syarikat milik kerajaan (GLC).

    Sedikit sebanyak gaya hidup pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang masih diselubungi kemewahan menyebabkan akar umbi UMNO yang berhempas pulas bekerja untuk parti tanpa sebarang imbuhan terasa hati.

    Sepatutnya mereka yang di atas ‘kayangan’ berkorban lebih banyak untuk parti dan bukannya membiarkan akar umbi yang ‘kais pagi, makan pagi’ mengeluarkan wang dari poket sendiri yang sememangnya kempis.

    Suruh buat macam-macam, tetapi bila masuk bab peruntukan, ramai yang buat tak tahu.

  • Minyak masak naik harga, peniaga kecil Melayu merana

    Minyak masak naik harga, peniaga kecil Melayu merana

    “KALAULAH Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) masih lagi PM… mungkin keadaan tidak seteruk sekarang ni.”

    Seorang peniaga kecil yang menjual pisang goreng di sebuah pekan kecil mengeluh apabila ditanya tentang langkah ad-hoc kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak berbotol mulai 1 Julai ini.

    Seperti kebanyakan peniaga kecil lain, wanita tersebut dalam keadaan tersepit ekoran tindakan semberono yang diambil oleh kerajaan yang antara lainnya bagi mengekang isu ketirisan subsidi bekalan minyak masak di negara ini.

    Walaupun kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan subsidi minyak masak peket 1 kilogram, hakikatnya ia tidak memberi sebarang makna kepada peniaga kecil yang majoritinya orang Melayu dan bumiputera.

    Mereka tidak dibenarkan untuk menyalahgunakan minyak masak peket sebagai bahan mentah dalam perniagaan. Lagipun, bekalan minyak masak peket sentiasa tidak mencukupi di pasaran walaupun setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli sepeket sahaja bagi setiap pembelian.

    Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual bagi menampung kenaikan kos yang mendadak selepas tiada lagi subsidi minyak masak botol bulan depan.

    Sebelum ini pun, harga makanan sememangnya meningkat jika dibandingkan dengan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada Mac 2020.

    Contohnya, pisang goreng yang dijual di pekan kecil di kawasan luar banda berharga 30 sen seketul namun kini melonjak ke 50 sen seketul. Harga itu juga berkemungkinan besar naik lagi.

    Situasi yang ditimbulkan oleh dasar separuh masak kerajaan Keluarga Malaysia ini sememangnya memberi tekanan yang amat hebat kepada peniaga kecil yang baru hendak bertatih selepas hidup dalam keperitan akibat krisis pandemik COVID-19.

    Mereka yang berniaga di pekan kecil dan kawasan luar bandar bakal berdepan pengurangan hasil jualan apabila harga barangan yang dijual terpaksa dinaikkan.

    Berbeza dengan kawasan bandar, pelanggan-pelanggan di pekan kecil dan luar bandar tidak mempunyai kuasa beli yang besar. Peningkatan harga yang kecil pun boleh menyebabkan mereka kurang berminat untuk membeli.

    Akibatnya, hasil jualan peniaga kecil semakin menyusut dan apabila perniagaan tidak lagi membuahkan keuntungan, mereka terpaksa tutup kedai. Maka, lupakanlah dasar yang bertujuan memastikan usahawan bumiputera menguasai sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti perniagaan.

    Kalau benar berlaku ketirisan yang serius pun, sepatutnya tingkatkan langkah penguatkuasaan dan lakukanya secara tegas secara tanpa pilih kasih. Bukannya ambil keputusan separuh masak yang membebankan peniaga kecil dan rakyat.

    Memang penarikan balik subsidi minyak masak berbotol sukar diterima akal. Malaysia negara pengeksport minyak sawit.

    Takkanlah bekalan dan harga minyak sawit dalam pasaran tempatan pun tak dapat dikawal. Lemah sangatkah kerajaan yang ada ini?

  • Warisan ‘kacau daun’ khemah besar bertanding di Semenanjung

    Warisan ‘kacau daun’ khemah besar bertanding di Semenanjung

    WALAUPUN gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Parti Warisan yang pada asalnya ditubuhkan di Sabah masih belum berputus asa untuk melebarkan sayapnya di Semenanjung.

    Bermula dengan Pulau Pinang dan diikuti Johor, kini parti yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu telah bertapak di Negeri Sembilan dan Perak.

    Di Negeri Sembilan, Warisan menyasarkan untuk bertanding di empat kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Cita-cita yang agak besar di sebuah negeri yang mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN.

    Manakala di Perak, Mohd Shafie tidak meletakkan sebarang sasaran yang jelas dan hanya meletakkan calon di kerusi-kerusi boleh menang.

    Setakat ini, tidak diketahui berapa kerusi yang bakal ditandingi Warisan di Pulau Pinang yang sinonim dengan kubu kuat DAP sejak PRU-12 pada 2008.

    Selain empat negeri terbabit, Warisan dijangka melebarkan pengaruhnya di negeri-negeri lain di Semenanjung walaupun tahap sokongan yang bakal diterima mungkin suam-suam kuku seperti di Johor.

    Memang Warisan berhak bertanding di mana-mana kerusi yang diidamkannya dalam sebuah negara demokratik seperti Malaysia. Malah, penyertaan Warisan boleh memeriahkan lagi pentas politik di Semenanjung.

    Cuma yang tidak bagusnya, tindakan itu boleh menyebabkan berlaku pertandingan banyak penjuru sekali gus merugikan parti-parti yang menentang rejim kleptokrasi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Contohnya, di Negeri Sembilan, undi di 20 kerusi DUN terbabit boleh sekurang-kurangnya terpecah antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Warisan. Pecahan mungkin bertambah dengan penyertaan calon-calon Bebas.

    Rekod pilihan raya terdahulu menunjukkan pertandingan banyak penjuru lazimnya memberi kelebihan kepada BN dan fakta ini telah terbukti semasa PRN Johor dan Melaka.

    Tidak diketahui apa motif sebenar Warisan bertanding di Semenanjung secara solo tanpa bergabung dengan parti-parti lain di bawah gagasan khemah besar. Apa yang Warisan dan Mohd Shafie mahu buktikan sebenarnya?

    Bukankah lebih baik sekiranya Warisan bergabung tenaga dan sumber yang dimilikinya dengan PN dan PH dalam usaha menyelamatkan negara daripada dicengkam semula oleh rejim kleptokrasi BN/UMNO?

    Sebelum terlambat, wajarlah Mohd Shafie memikirkan semula strategi Warisan bertanding di Semenanjung agar kesilapan yang dilakukan semasa PRN Johor dahulu tidak berulang.

  • Khemah besar tak nampak bayang, tiang pun belum terpacak lagi

    Khemah besar tak nampak bayang, tiang pun belum terpacak lagi

    TARIKH 9 Mei 2018 mencatatkan sejarah gemilang bagi negara ini di mana mitos bahawa Barisan Nasional (BN) tidak dapat dikalahkan telah dibuktikan tidak benar.

    Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan BN yang didominasi oleh UMNO kehilangan kuasa pemerintahan di Pusat serta tujuh negeri iaitu Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kedah, Terengganu dan Sabah.

    Walaupun pada mulanya ramai pemerhati politik menjangka BN mungkin hilang banyak kerusi, boleh dikatakan tiada siapa yang yakin Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad mampu membentuk kerajaan.

    Malah, tiada siapa yang dapat meramalkan Dr Mahathir kembali ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri ketujuh setelah beliau berundur dari arena politik tanah air.

    Satu-satunya faktor yang membolehkan kemenangan mengejut PH itu adalah kemarahan rakyat terhadap rejim kleptokrasi BN yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Najib dan konco-konconya telah menyebabkan Malaysia malu besar di peringkat global.

    Kerakusan pemimpin-pemimpin BN merampok dan menjarah hasil negara telah menyebabkan kerugian mencecah berbilion ringgit sedangkan pada masa yang sama, ramai rakyat hidup menderita dengan pendapatan di bawah garis kemiskinan.

    Kemarahan rakyat itu diterjemahkan mereka dalam bentuk penolakan terhadap BN sekali gus menyebabkan rejim kleptokrasi yang berkuasa sejak merdeka terpaksa berpuas hati dengan peranan sebagai pembangkang.

    Setelah menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, rejim kleptokrasi BN semakin angkuh dan sombong sehingga tergamak mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO membubarkan Parlimen segera.

    Mereka berani mengulangi sikap lama yang tidak mempedulikan kesempitan hidup rakyat dalam era pasca pandemik ekoran kegagalan parti-parti pembangkang bersatu untuk menentang BN.

    Seruan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar PH Plus dan PN berpakat untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru pada PRU-15 seolah-olah mencurah air ke daun keladi.

    Ego dan dendam menguasai diri masing-masing sehingga menyebabkan mata mereka buta terhadap perkara yang lebih utama iaitu menyelamatkan rakyat daripada menjadi mangsa rejim kleptokrasi BN.

    Muhyiddin bukan sahaja berdepan masalah untuk meyakinkan PH Plus berpakat dalam ‘khemah besar’, malah sekutunya dalam PN iaitu PAS turut menolak gagasan itu.

    Tidakkah semuanya dapat melihat keputusan undi popular PRN Johor dan Melaka yang membuktikan majoriti pengundi menolak BN dan UMNO?

    Malangnya setakat ini, khemah besar masih belum nampak bayang, malah tiang-tiangnya pun belum terpacak lagi.

    Jika keadaan ini berterusan, pemimpin-pemimpin yang menolak gagasan khemah besar patut menyalahkan diri sendiri kerana sikap merekalah yang membuka ruang untuk rejim kleptokrasi BN kembali ke Putrajaya.

  • Ke mana Khairy akan pergi pada PRU-15?

    Ke mana Khairy akan pergi pada PRU-15?

    HAMPIR dua tahun berlalu sejak Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan hasratnya bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-14).

    Lebih tepat lagi, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau membuat pengumuman yang menggemparkan dunia politik tanah air itu ketika berucap di hadapan para perwakilan Mesyuarat UMNO Cawangan Sri Kota pada 8 Ogos 2020.

    Persoalan yang timbul selepas itu dan masih lagi belum terjawab sehingga kini: Ke manakah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan pergi?

    Beliau telah menyandang kerusi tersebut sejak PRU-11 dan ini bermakna, Menteri Kesihatan itu perlu mencari kawasan Parlimen yang lain untuk bertanding kerana Tok Mat masih tidak berganjak daripada keputusannya.

    Seperti yang pernah dibayangkan oleh Mohamad, Khairy tidak perlu berasa bimbang kerana UMNO berkemungkinan meletakkan di kerusi yang ‘agak baik’ dan ‘bersebelahan dengan Rembau’.

    Terdapat kemungkinan kawasan Parlimen yang dimaksudkan adalah Tampin yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Shaziman Abu Mansor namun dengar khabar, orang UMNO di sana kurang setuju.

    Mungkin juga Port Dickson di mana Khairy bakal berdepan persaingan sengit di kerusi yang dikenali sebagai kubu kuat PKR sejak PRU-11 dan kini disandang oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Timbul juga desas-desus bekas Ketua Pemuda UMNO itu mungkin ditempatkan di Putrajaya namun dengarnya, ada pihak di UMNO bahagian yang kurang berkenan kerana sudah mempunyai calon yang ingin diketengahkan.

    Khairy boleh sahaja bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah beliau boleh memilih mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Rembau.

    Lebih molek lagi jika beliau bertanding di DUN Paroi untuk menjayakan misi merampas kembali kerusi yang kini disandang oleh pemimpin Amanah, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

    Cuma tiada jaminan Khairy akan dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali negeri itu setelah jatuh ke tangan rejim Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

    Mahu tidak mahu, UMNO dan BN perlu mengakui bahawa Khairy adalah antara pemimpin pelapis terbaik yang mereka miliki dan mempunyai pengalaman yang luas sebagai menteri Kabinet.

    Satu kerugian yang besar sekiranya kerjaya politik Khairy ‘dimatikan’ dengan tidak menamakan beliau sebagai calon parti atau meletakannya di ‘kerusi maut’.

    Pada masa yang sama, Khairy seharusnya sedar bahawa situasi sekarang adalah jauh berbeza dengan PRU-11 di mana beliau bertanding di Rembau sebagai menantu Perdana Menteri.

    Kini, suasana adalah sangat jauh berbeza kerana UMNO dan BN bukan lagi parti yang dominan dalam pentas politik negara. Beliau juga beberapa kali menyuarakan pendirian berbeza dengan pucuk pimpinan UMNO dan perkara ini kurang disenangi oleh akar umbi.

    Pentas PRU-15 bakal menjadi medan pertempuran yang sangat mencabar untuk Khairy sekiranya dicalonkan mewakili parti kerana beliau akan bertanding atas kekuatan sendiri, tanpa ‘dipayungi’ oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

    Pokok-pangkalnya, Khairy perlu mengumumkan segera hasratnya untuk bertanding di kerusi mana memandangkan PRU-15 dijangka diadakan bila-bila masa sahaja.

    Gerak kerja perlu dimulakan sekarang untuk meyakinkan pengundi khususnya akar umbi UMNO di kawasan yang ingin ditandinginya.

    Sekiranya terlambat, tidak mustahil Khairy terpaksa berpuas hati sekadar duduk memanaskan bangku simpanan selepas PRU-15.

  • Sahutlah seruan Muhyiddin bersatu lawan kleptokrasi UMNO

    Sahutlah seruan Muhyiddin bersatu lawan kleptokrasi UMNO

    SETAKAT ini, parti-parti yang berada dalam blok pembangkang kelihatan bersikap dingin terhadap seruan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar mereka berunding bagi mengelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Bukan sekali, malah berulang-ulang kali Muhyiddin mengingatkan mereka tentang padah yang bakal menimpa terhadap rakyat dan negara andainya parti-parti pembangkang tidak bersatu menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang didominasi kleptokrasi dan kluster mahkamah.

    Malangnya, peringatan Presiden Bersatu itu seolah-oleh mencurah air ke daun keladi kerana tidak dipandang serius oleh parti-parti terbabit.

    DAP, Warisan, Pejuang dan Muda menolak usaha tersebut manakala PKR dan Amanah pula seperti berbelah bahagi.

    Apakah mereka masih belum menyedari hakikat yang pahit setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor?

    Kegagalan barisan pembangkang mencapai kesepakatan dalam menentang UMNO dan BN telah menyebabkan parti yang sinonim dengan kleptokrasi dan salah guna kuasa itu beroleh majoriti lebih dua pertiga di dua negeri berkenaan.

    Walhal, kemaraan UMNO dan BN di Johor dan Melaka pasti sahaja dapat disekat andainya tidak berlaku pertembungan banyak penjuru melibatkan parti-parti pembangkang.

    Perkara ini bukan cakap-cakap kosong kerana analisis keputusan PRN Melaka dan Johor menunjukkan BN tidak dapat memenangi banyak kerusi sekiranya jumlah undi parti-parti pembangkang digabungkan.

    Situasi yang sama dijangka berlaku pada PRU-15 malah ramai penganalisis berpandangan, UMNO dan BN mungkin tidak mampu memegang tampuk pemerintahan sekali lagi sekiranya tidak berlaku pertembungan banyak penjuru.

    Maknanya, PN, PH, Pejuang, Warisan dan Muda perlu duduk semeja sekarang bagi membincangkan pembahagian kerusi yang bakal ditandingi.

    Usaha tersebut tidak sepatutnya dilengah-lengahkan kerana terdapat kemungkinan PRU-15 akan diadakan lebih awal.

    Ketepikan dahulu ego dan kisah silam kerana jika UMNO dan BN kembali berkuasa dengan majoriti besar di Parlimen, tiada siapa pun dalam kalangan pemimpin PH dan sekutunya yang akan menjadi Perdana Menteri.

    Jika PH dan sekutunya masih bersikap bodoh sombong, nampaknya Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksalah sekadar berpuas hati dengan menjadi Ketua Pembangkang sekali lagi.

  • PRU-15: Pertembungan banyak penjuru bawa padah kepada negara

    PRU-15: Pertembungan banyak penjuru bawa padah kepada negara

    KEGAGALAN parti-parti yang tidak sehaluan dengan Barisan Nasional (BN) untuk duduk bersama dan berbincang bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan mengundang padah kepada rakyat dan negara.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika situasi itu berlaku, golongan kleptokrat dan kluster mahkamah akan kembali berkuasa.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu menambah, langkah tersebut merupakan salah satu strategi penting untuk menghadapi PRU-15 dan seterusnya mengembalikan negara di atas landasan yang betul.

    “Persoalannya bersediakah kita nak duduk? Apakah asas yang mereka nak bincang, nak runding dan bilakah dapat diputuskan perkara itu supaya naratif yang kita nak buat difahami oleh semua.

    “Kalau tak faham nanti orang kata ini apa pasal buat macam ni? Kenapa dia lawan dia?

    “Pada saya setakat ini belum ada pertemuan rasmi atau perbincangan yang nak dibuat.

    “Saya fikir ada wajar juga usaha ini dapat diberi perhatian oleh semua pimpinan parti-parti terlibat,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Pagoh, hari ini.

    Muhyiddin mengulas tentang perkembangan rundingan antara PN dan parti-parti lain termasuk PH sebagai persediaan menentang BN pada PRU-15.

    Beliau turut mengesahkan bahawa masih belum ada inisiatif rasmi berhubung perkara itu dan setakat ini, mereka masih ‘meninjau kemungkinan-kemungkinan’.

    “Tetapi itu belum sampai ke satu tahap yang dikatakan sudah selesai atau mendapat keputusan,” jelasnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Pagoh itu senada dengan saranan PAS agar pembahagian kerusi antara parti-parti komponen PN diselesaikan segera.

    Beliau berpandangan, langkah itu membolehkan jentera dan pimpinan parti-parti dalam PN membuat persiapan awal memandangkan mereka sudah tahu siapa yang akan bertanding.

    “Jadi kalau kita boleh selesaikan awal masalah itu boleh kita atasi supaya tidak mengganggu usaha kita untuk memenangi PRU-15,” ujarnya.

    Muhyiddin bimbang masalah akan berlaku sekiranya calon diumumkan pada saat-saat terakhir sehingga menyebabkan isu-isu berbangkit tidak dapat diselesaikan.

    “Ia akan membawa kesan kepada keputusan pengundi yang keluar sama ada menang atau kalah.

    “Bagi saya, elok runding sekarang. Bila pilihan raya tak tahu lagi,” katanya.