Category: Kolumnis

  • Layanan Malaysia terhadap PATI sudah cukup baik

    Layanan Malaysia terhadap PATI sudah cukup baik

    BARU-baru ini negara kita dikejutkan dengan tindakan 528 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang.

    Berdasarkan laporan berita, enam daripadanya termasuk wanita dan kanak-kanak maut dilanggar kenderaan ketika mahu melarikan diri, manakala 424 berjaya ditahan semula.

    Polis masih lagi memburu 104 pelarian yang masih bersembunyi dan Pihak polis juga telah mengeluarkan amaran bahawa tahanan yang lolos dikhuatiri berbahaya kerana mereka boleh melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri masing-masing.

    Rentetan daripada kejadian itu, ada pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara dan mahukan kerajaan memberi layanan lebih baik kepada pelarian yang berada di negara ini.

    Daripada apa yang berlaku, Tok Chey setuju dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang tegas dalam menjawab permintaan kumpulan pembela pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Kata Hamzah, layanan Malaysia sudah cukup baik kepada PATI terutama Rohingya dengan memberi perlindungan dan makanan kepada mereka yang berada di kem tahanan.

    Ujarnya, jika negara ini memberi layanan buruk kepada PATI tersebut, sudah pasti Malaysia tidak akan menjadi tumpuan untuk diceroboh.

    Tindakan menahan mereka di kem tahanan juga sebagai peringatan bahawa Malaysia tidak boleh dimasuki dengan sewenang-wenangnya tanpa dokumen yang sah dan mereka perlulah menghormati undang-undang negara.

    Tok Chey masih ingat lagi pada tahun 2019, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud pernah menyebut bahawa sejumlah RM3.5 juta perlu dibelanjakan hampir setiap bulan bagi menampung kos makanan PATI di 14 depot tahanan Imigresen di seluruh negara.

    Katanya, berdasarkan kos tersebut, kerajaan menanggung purata kos makanan RM12 sehari bagi setiap tahanan, dengan kebanyakan mereka terpaksa berada di depot antara satu atau dua bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

    Dan kini, pada tahun 2022, Tok Chey percaya kos mungkin meningkat dan ada pelarian yang terpaksa ditahan lebih lama di depot kerana kerajaan Myanmar misalnya tidak mahu menerima kembali pelarian tersebut menyebabkan mereka masih ditahan di sini.

    Jadi, dengan apa yang dilakukan kerajaan, Tok Chey berpandangan tidak perlulah Malaysia terlalu ‘berlembut’ dengan PATI kerana layanan ketika ini sudah memadai.

    Permintaan daripada Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) supaya depot tahanan ditambah baik bagi menampung jumlah PATI yang makin bertambah juga bukan penyelesaian tuntas kepada isu ini.

    Ini kerana jika depot tahanan ditambah baik, maka ia akan mengundang lebih ramai PATI untuk masuk ke Malaysia kerana mereka berasa selesa untuk tinggal di depot tahanan.

    Sebaliknya, untuk mengekang jumlah kemasukan PATI dan mengelakkan depot terus sesak, penguatkuasaan di pintu sempadan perlu ditingkatkan supaya PATI tidak mudah untuk lolos masuk ke negara ini.

    Cukuplah dengan apa yang berlaku di beberapa kawasan di tanah air kita apabila warga asing sudah menjadikan kawasan tertentu sebagai kampung mereka yang akhirnya menyebabkan rakyat tempatan tidak dapat hidup dengan tenang.

    Kehadiran PATI juga memberi kesan beban kepada sistem dalam negara misalnya tugas polis makin bertambah apabila terpaksa menyelesaikan kes-kes PATI yang terlibat dengan jenayah.

    Dalam konteks kesihatan, hospital-hospital kerajaan pula dibebankan dengan pesakit warga asing di mana kemudahan tersebut sepatutnya diutamakan untuk warga tempatan yang memerlukan.

    Oleh itu, sudah terang dan nyata, Malaysia ketika ini sudah cukup baik melayan PATI jika dibandingkan dengan negara-negara jiran menyebabkan PATI sentiasa berminat untuk datang ke Malaysia.

    Pada masa sama, kerajaan perlu memperbaiki kelemahan di pintu sempadan supaya Malaysia tidak mudah dibolosi yang akhirnya akan menimbulkan masalah kepada negara dan rakyat sendiri.

    • Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
  • Ternakan berkeliaran undang padah kemalangan jalan raya

    Ternakan berkeliaran undang padah kemalangan jalan raya

    guane

    KALAU tiada aral, pada minggu hadapan, seluruh umat Islam akan mula menyambut hari raya Aidilfitri, iaitu hari kebesaran dan kemenangan selepas sebulan kita mengharungi pelbagai ujian dan dugaan sepanjang menjalani ibadah berpuasa.

    Sepanjang Ramadan ini pelbagai ragam juga kita temui, ada yang berpuasa penuh, ada yang separuh dan juga yang langsung tak berpuasa, jangan risau semuanya boleh menyambut hari raya.

    Bagi kebanyakan masyarakat Islam, terutama orang Melayu, setiap kali menjelang 1 Syawal, khususnya pada hari -hari hari terakhir Ramadan, mereka semakin sibuk mengadakan pelbagai persiapan.

    Selain menghiasi rumah dan menyediakan bahan bahan keperluan untuk membuat kuih muih seperti lemang, ketupat, rendang, nasi dagang dan tapai, suasana kesibukan sudah tentu turut tertumpu di pusat- pusat beli belah di pusat bandar raya.

    Penulis perhatikan perkembangan ini semacam sudah menjadi tradisi dalam masyarakat kita yang lebih gemar membuat persiapan pada saat-saat terakhir termasuk pada malam raya.

    Pada waktu inilah mereka akan membawa keluarga keluar untuk membeli belah barangan keperluan termasuk pakaian anak-anak.

    Hal ini menyebabkan di kebanyakan lokasi sekitar pusat bandar penuh sesak dengan kenderaan dan manusia, sekali gus mengundang pelbagai risiko sehingga boleh mendorong berlakunya kejadian tidak diingini seperti kemalangan jalan raya dan juga kes kes jenayah ragut.

    Kalau di awal Ramadan, kita sentiasa dikejutkan dengan kecederaan anak-anak akibat bermain mercun dan meriam buluh ciptaan khas, namun pada hari-hari terakhir Ramadan dan permulaan Syawal pula, kita seringkali terdengar suara tangisan anggota keluarga akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa.

    Penulis mendapati, boleh dikatakan setiap kali tibanya musim perayaan, kejadian kemalangan meragut nyawa banyak dilaporkan berlaku di negara kita.

    Boleh dikatakan setiap tahun, kecuali dua tahun kebelakangan ini kerana ramai perantau tidak boleh pulang berhari raya di kampung ekoran larangan perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan berlakunya penularan wabak Covid-19.

    Ini menyebabkan berjuta-juta kenderaan tidak boleh bergerak pulang dan kadar kemalangan dua tahun ini turut menurun.

    Kalau terus berasak dan bersesak seperti dahulu tentunya kadar kematian di jalan raya direkodkan lebih tinggi berbanding kematian akibat Covid-19.

    Ia berlaku gara-gara sikap kurang berhemah segelintir pengguna jalan raya yang seolah-olah terlalu ghairah untuk pulang berhari raya ke kampung.

    Sebab itulah, setiap kali musim perayaan anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa membuat pemantauan dan rondaan termasuk melancarkan Op Sikap.

    Bagaimanapun langkah mengadakan operasi di jalan raya masih belum cukup bagi mengelakkan berlakunya kemalangan selagi orang ramai sendiri tidak berdisipilin dan mempraktikkan pemanduan secara berhemah.

    Semua pihak mestilah mengambil sikap bertanggungjawab bagi membendung perkara ini.

    Mengenai kemalangan jalan raya, penulis mendapati antara punca kejadian termasuklah disebabkan haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran, bukan sahaja di jalan negeri dan persekutuan, tetapi juga di lebuh raya.

    lembu raya
    Gambar hiasan

    Justeru penulis mohon sangat-sangat agar para penternak haiwan seperti lembu, kerbau dan kambing sewajarnya bertanggungjawab ke atas haiwan masing-masing.

    Jangan mengambil peluang hari ‘kebebasan’ ini dengan turut membebaskan haiwan masing-masing sehingga bukan sahaja ia merayau ke halaman orang, tetapi juga dibiarkan tidur bergelimpangan di tepi jalan raya.

    Sempena bulan mulia ini semua pemilik haiwan mestilah menempatkan ternakan di dalam kandang.

    Kita tidak mahu apabila jumlah kenderaan meningkat di jalan raya, kadar haiwan berkeliaran turut bertambah kerana penternak sengaja membebaskan ternakan mereka kerana alasan ingin berhari raya.

    Ini kerana haiwan tersebut bukan sahaja akan mengotori halaman orang lain kerana meninggalkan najis di merata tempat, tetapi turut merosakkan pokok hiasan di tepi jalan selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

    Sikap tidak bertanggungjawab seperti itu perlu dikikis segera,vusah dibiarkan haiwan berkeliaran di merata tempat kerana nyawa manusia bukan semurah nilai seekor lembu atau kerbau.

    Justeru, kita turut berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) agar bertindak lebih tegas dengan terus menangkap mana mana haiwan yang masih dibiarkan berkeliaran di jalan raya sepanjang musim perayaan kali ini.

    Kebabyakan PBT khususnya majlis-majlis daerah sebelum ini pernah mengadakan operasi menangkap haiwan yang dibiarkan berkeliaran.

    Bulan lalu, Majlis Daerah Besut (MDB) melakukkan operasi menangkap empat ekor lembu berkeliaran di sekitar Kampung Raja, Kampung Kuala Besut, Kampung Air Tawar, Kampung Keluang dan Taman Perumahan Gong Tengah.

    Menurut Yang Dipertua MDB, Mohd Rashdan Muda, operasi dijalankan sejak sekian lama dan dilakukan secara berkala di mana ternakan yang ditangkap ditempatkan di depo MDB dan pemiliknya boleh menuntut haiwan berkenaan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh ia ditangkap.

    Pemilik akan dikenakan kompaun sebanyak RM250 di bawah Seksyen 6(1) Akta Haiwan Merayau selain perlu membayar kos jagaan sepanjang haiwan itu berada di depo berkenaan.

  • Cukup-cukuplah gaduh pasal politik semasa Ramadan

    Cukup-cukuplah gaduh pasal politik semasa Ramadan

    guane

    SETIAP kali tiba bulan Ramadan, umat Islam di negara ini akan menyambutnya dengan perasaan bangga, penuh kesukuran dan ketakwaan.

    Bagi mereka yang tinggal di kampung, sebaik sahaja anak bulan Ramadan kelihatan, maka bermulalah pelbagai aktiviti keagamaan sama ada dilakukan di rumah atau surau surau berhampiran.

    Selain golongan dewasa boleh dikatakan surau surau atau masjid pada sebelah malamnya sentiasa penuh sesak dengan orang ramai termasuk golongan remaja dan kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan.

    Begitulah betapa indahnya kehadiran malam malam sepanjang Ramadan, menyebabkan tradisi menyambut bulan yang penuh keberkatan ini sentiasa meninggalkan kenangan dan nostalgia indah bagi mereka yang mengerjakan ibadah tersebut.

    Bagaimanapun, itu cerita dahulu, zaman datuk nenek kita, iaitu cerita zaman manusia hidup dalam kegelapan malam tiada bekalan elektrik, tetapi sentiasa tenang, terang dan damai di hati kerana mereka hidup berjiran, bermuafakat serta tolong menolong.

    ramadan
    Umat Islam digalakkan melakukan tadarus al-Quran sepanjang bulan Ramadan kerana perbuatan itu adalah jauh lebih baik daripada bertelagah kerana isu politik. (Gambar hiasan: Warta Rakyat)

    Mereka tidak dilalaikan dengan program hiburan karut-marut menerusi kaca televisyen.

    Malah mereka juga tidak bermasam muka akibat percakapan dan perbalahan politik sempit sehingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dalam masyarakat.

    Kalau dahulu, sepanjang Ramadan kebanyakan umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan penuh berhati hati dan khusyuk termasuk dengan menjaga setiap perkara memudaratkan iaitu yang boleh mengurangkan pahala puasa, jaga tingkah laku, lidah,  mulut, mata dan juga telinga.

    Malangnya, penulis mendapati suasana seperti itu sudah lama berlalu, ada dalam kalangan umat Islam kini semakin lalut sehingga setiap detik dan masa mereka lebih gemar ‘berkelahi’ mengenai politik.

    Bermula dari anak-anak muda hinggalah kepada golongan veteran, mereka akan bercakap politik, di bangku tepi jalan, warung kopi, taman permainan, malah di surau pun ada yang bersembang politik.

    Apa yang penulis perhatikan, bukan sahaja pemimpin parti sahaja yang bercakap mengenai politik, tetapi pengikut dan golongan marhain pun melakukan perkara sama.

    Begitulah betapa hebatnya pengaruh politik di negara ini di mana tanpa disedari ia turut memberi kemudaratan kepada masyarakat, iaitu perpercahan dan permusuhan antara sesama Islam.

    Justeru, sempena bulan Ramadan kali ini penulis benar-benar mengharapkan semua parti politik di negara ini khususnya politik Melayu sama ada mewakili pemerintah ataupun pembangkang seharusnya ‘berdamai’ dengan mengadakan ‘gencatan isu’ selama sebulan bagi melalui bulan Ramadan yang mulia ini.

    Memandangkan Ramadan merupakan bulan penuh barakah, semua pemimpin politik Melayu perlu berehat seketika untuk membolehkan mereka sama sama menjalani ibadah puasa sambil menghayati tuntutan sebenar kemahuan agama, bangsa dan negara.

    Ia penting kerana tiada siapa di antara kita mengetahui apakah nasib kita selepas ini dan adakah kita masih dipanjangkan usia untuk kembali menyambut kedatangan Ramadan pada tahun hadapan?

    Atau apakah sambutan Ramadan kali ini yang terakhir bagi kita?

    Walaupun ia bukan hajat atau harapan kita, namun penularan pelbagai jenis wabak seperti Influeza A (H1N1) dan Covid-19 yang turut dikaitkan sebagai penyakit akhir zaman kini amat membimbangkan.

    Oleh itu, sebagai umat Islam, kita seharusnya akur dan reda dengan apa yang berlaku, tetapi pada masa yang sama kita juga perlu berikhtiar untuk mencari jalan terbaik bagi mengatasinya.

    Berdasarkan perkara itulah, sepanjang bulan Ramadan kali ini setiap pemimpin politik perlu menginsafi setiap kejadian yang berlaku.

    Mereka perlu berganding bahu dengan mengadakan muzakarah atau perbincangan secara meja bulat bagi memikirkan nasib rakyat, bukan hanya pentingkan soal politik semata-mata.

    politik
    Biarlah berpolitik semasa musim pilihan raya sahaja, tak perlu diheret semasa bulan Ramadan. (Gambar hiasan: Warta Rakyat)

    Pada bulan yang mulia ini setiap pemimpin politik Melayu tidak perlu ‘bertempur’, bertikam lidah dengan pelbagai isu kontroversi sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

    Janganlah mendedahkan keburukan dan aib orang lain kerana ia akhirnya turut menelanjangi keburukan bangsa Melayu sendiri.

    Tuduh menuduh, serang menyerang dengan pelbagai isu panas bukan sahaja boleh meretakkan hubungan dan perpaduan, sebaliknya ia turut mendorong kepada perpecahan umat Islam.

    Justeru, jika kita pentingkan bangsa dan agama yang semakin mengecil ini, sama sama kita memenuhi sepanjang malam Ramadan ini dengan berdoa ke arah jalan kebaikan.

    Sudah sampai masanya para pemimpin politik Melayu tidak lagi berkelahi sesama sendiri hanya disebabkan perbezaaan fahaman politik sempit, pangkat dan kuasa.

  • Jadi calon PM belum tentu dapat angkat sumpah jika….

    Jadi calon PM belum tentu dapat angkat sumpah jika….

    TEBUAN Tanah (TT) ‘kagum’ apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebulat suara menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri (PM) parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ikhlas cakap, TT sama sekali tidak pertikaikan apatah lagi mempersoalkan pemilihan Ismail. Cuma apa yang TT tertanya-tanya kalaulah betul wujud solidariti tiinggi dan jiwa besar keseluruhan kepemimpinan UMNO pusat khususnya MT, kenapa perlu parti itu menangguhkan pemilihan?

    UMNO sepatutnya tidak perlu takut mengadakan pemilihan  memandangkan sudah jelas dengan terpilihnya Ismail sebagai calon PM maka sudah tentulah bahagian-bahagian UMNO mendapat isyarat siapa yang harus dipilih sebagai Presiden parti.

    TT juga percaya Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Najib Razak tidak ada masalah jika Ismail menduduki jawatan tersebut. Melalui cara itu ia akan memudahkan Ismail yang dicadangkan oleh Annuar Musa dan turut disokong oleh Nazri Aziz untuk menjadi Pengerusi BN dapat mengaturkan strategi bagi menghadapi PRU-15. Tafsiran atau tanggapan atau kebimbangan pemilihan parti akan menyebabkan UMNO berpecah adalah hujah dangkal dan akan dianggap satu alasan untuk mengelakkan ia diadakan.

    Kalaulah di peringkat kepemimpinan ‘sudah ada jiwa besar dan solidariti tertinggi’ sudah pastilah anak-anak buah di bawah akan mencontohinya.

    Merekapun tidak akan membuat onar sebaliknya akan memastikan perpaduan dalam parti tidak terpecah hanya disebabkan pemilihan. Lagi pula, parti-parti lain sudahpun membuat pemilihan tanpa sedikitpun rasa bimbang akan berlaku perpecahan. Sama ada DAP, Pas mahupun PKR semuanya sudah dan akan membuat pemilihan, jadi kenapa UMNO bimbang sangat?

    Jika Ismail tidak menjadi Presiden UMNO atau Pengerusi BN…langkah MT mencalonkan nama beliau boleh mewujudkan persepsi adakah Ismail yang merupakan Naib Presiden UMNO hanya akan mengikut sahaja siapa akan dipilih sebagai calon pilihan raya dan strategi yang diatur oleh pemimpin lain?

    TT percaya Ismail mempunyai kemampuan bukan sahaja menggalas tanggungjawab sebagai calon PM tetapi juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Atas sebab itulah kepemimpinan UMNO dan MT UMNO yang digambarkan mempunyai solidariti tertinggi serta tidak ada sebarang perpecahan antara mereka perlu berani membuat ketetapan supaya pemilihan diadakan sebelum PRU-15.

    Ismail bukanlah setahun jagung berada dalam politik mahupun kepemimpinan UMNO. Beliau sudah meredah berbelas-belas PRU, berpuluh-puluh PRK dan beberapa PRN, justeru sudah pasti beliau mempunyai strategi bagi memantapkan UMNO bagi menghadapi PRU-15.

    TT bimbang jika Ismail tidak diberi kuasa penuh untuk mengendalikan UMNO dan BN bagi menghadapi PRU-15, ia akan menyebabkan timbul tanggapan bukan-bukan terhadap pemilihan beliau sebagai calon PM. Perlu difahami Ismail dinamakan sebagai calon PM bukan sebagai salah satu calon dalam pilihan raya.

    Kalau sekadar calon pilihan raya, okay la…beliau hanya mengikur sahaja siapa sahaja menjadi calon lain dan menyerahkan kepada kepemimpinan parti menentukan strategi parti, tetapi beliau adalah calon PM…sama ada beliau boleh menyambung tugas sebagai PM atau tidak selepas PRU-15, ia bergantung kepada pencapaian UMNO dan BN dalam pilihan raya berkenaan.

    Oleh itu TT pendapat, lebih baik kepemimpinan UMNO memantapkan pencalonan Ismail dengan menyerahkan segala urusan bagi menghadapi pilihan raya umum kepada Ismail. Biar Ismail mewujudkan pasukan beliau sendiri bagi merangka percaturan bagaimana UMNO dan BN boleh menang cemerlang dalam PRU-15, kalau itu tidak dilakukan, mungkin Ismail sekadar dicalonkan tetapi belum tentu dapat mengangkat sumpah jawatan sebagai PM.

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan.

  • Jangan lupa…RUU Anti Lompat Parti ‘hasil percikan’ skandal 1MDB

    Jangan lupa…RUU Anti Lompat Parti ‘hasil percikan’ skandal 1MDB

    TEBUAN Tanah (TT) rimas bila ada orang dok kait tindakan wakil rakyat lompat parti sebagai pengkhianat, tak bertanggungjawab dan tidak ada maruah. Jadi mereka kata, pasal tu terpaksa wujud undang-undang anti lompat parti.

    Bila dengar perbahasan kat Dewan Rakyat semalam, hampir semua dok cakap pasal ‘Langkah Sheraton’ dan tindakan Ahli Parlimen UMNO lompat masuk ke Bersatu. Cuma TT perasan ada yang cakap tu seolah-olah tak pernah nak kaji kenapa kedua-dua itu berlaku.  Cuma fikirkan bagaimana ‘Langkah Sheraton’ boleh wujud? Dan macam mana Ahli Parlimen boleh lompat parti?

    Jangan lupa  segalanya bermula apabila BN tumbang dalam PRU-14. Kenapa BN tumbang dan UMNO hilang kuasa? Salah satu faktor utama ialah isu 1MDB. Isu inilah mengubah senario politik negara sekarang sehingga terpaksa dibuat undang-undang khas untuk halang wakil rakyat lompat parti.

    Apabila isu 1MDB wujud, siapakah paling lantang dalam UMNO yang minta kepemimpinan parti khususnya Najib Razak membuat penjelasan? Jawapannya Muhyiddin Yassin yang kini adalah Presiden Bersatu dan Pengerusi PN. Akibat bersuara lantang dalam isu yang hari ini telah terbukti menggemparkan dunia dan memalukan negara kita, Muhyiddin disingkirkan dari kerusi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri.

    Perjuangan beliau pada masa itu turut disokong oleh Dr.Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir dan Shafie Apdal. Akhirnya terwujudlah Bersatu dan bergabung bersama PH untuk menumbangkan BN dalam PRU-14.

    Kita boleh kata apa sahaja kepada wakil rakyat UMNO yang melompat ke Bersatu…ikutlah nak kata apapun…tetapi hakikatnya  keadaan itu tidak akan berlaku jika siapapun yang menjadi kerajaan memberi layanan adil kepada pembangkang dan siapa yang berada dalam kerajaan memahami sensitiviti dalam sesuatu tindakan.

    Cuba tanya sekali lagi, apa punca “Langkah Sheraton’? Bukankah ia disebabkan Dr.Mahathir meletakkan jawatan tanpa berunding dengan sesiapa termasuk Kabinet PH ketika itu dan sekaligus dari segi undang-undang keseluruhan kerajaan bubar. Tanyalah Dr.Mahathir apa punca sebenarnya beliau meletakkan jawatan sehingga runtuh kerajaan PH, bukannya persoal Langkah Sheraton yang bertujuan selamatkan negara?

    Untuk menyelamatkan negara, Muhyiddin mengambil inisiatif berunding dengan parti-parti lain termasuk UMNO dan Pas untuk menubuhkan kerajaan serta memilih seorang Perdana Menteri baharu.

    Ketika itu semua kepemimpinan UMNO menyokong untuk bekerjasama dengan Bersatu. Masa itu tak ada pula orang nak potong bawang kat dapur pertikai langkah Muhyiddin? Maknanya sedikit sebanyak pokok pangkal sehingga tercetusnya undang-undang lompat parti ini adalah bermula dengan ‘percikan’ skandal kewangan melibatkan 1MDB.

    Kalau 1MDB tak ada, mungkin situasi politik negara kita berbeza, siapa tahu? Sepatutnya kita berterimakasih kepada Muhyiddin. Disebabkan keberanian beliaulah, negara terselamat daripada penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang lebih besar melibatkan 1MDB.

    Oleh itu logikkah kita anggap seorang ahli Parlimen itu menjadi pengkhianat atau tidak bertanggungjawab dan harus kosongkan kerusi semata-mata mahu menegakkan kebenaran sepertimana dilakukan oleh Muhyiddin?

    Sekurang-kurangnya Muhyiddin dan ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyertai Bersatu kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang ada masalah integriti bukannya seperti  tahun 1988 apabila ramai ahli Parlimen masuk ke Parti Melayu Semangat 46 atas sebab politik bila Ku Li kalah dalam merebut jawatan Presiden UMNO menentang Dr.Mahathir.

    Sebab itulah TT minta yang dok kutuk-kutuk ahli Parlimen atau ADUN lompat parti ini, bermuhasabah dan kaji betul-betul fakta. TT percaya ahli Parlimen terlibat juga tak kisah nak buat undang-undang lompat parti itu tetapi biarlah adil bukan akhirnya menjadi zalim sepertimana kata Muhyiddin semalam.

    Susahlah seorang Ahli Parlimen hilang kelayakan apabila dipecat partinya. Kalau macam tu siapa yang berani nak tegur kepemimpinan parti…tak kanlah parti dok sanjung pemimpin bermasalah, ahli Parlimen kena sokong jugak… kalau tak kena pecat.

    Satu lagi TT nak tanya…yang mana lebih khianat…diam saja bila pemimpin lakukan salahguna kuasa atau lompat parti kerana tak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang korup? Fikirlah sendiri.

  • 1MDB: Pertimbang saranan Muhyiddin dengan serius

    1MDB: Pertimbang saranan Muhyiddin dengan serius

    Tok Chey nampak ekonomi Malaysia menunjukkan petanda positif ke arah pemulihan daripada Covid-19 apabila jumlah pelaburan langsung (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada tahun lalu meningkat 83.1 peratus berbanding pada 2020.

    Pelaburan berjumlah RM306.5 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan itu tertinggi dalam sejarah menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pengembangan perniagaan global dan serantau.

    Selain itu, pembelian saham oleh pelabur asing di Bursa Malaysia dalam 11 minggu pertama tahun ini berjumlah RM6.7 bilion menandakan kembalinya minat pelabur asing terhadap pasaran Malaysia.

    Indeks FBMKLCI juga telah melepasi 1,600 mata yang menjadi petunjuk sentimen positif ke arah pemulihan ekonomi dan refleksi kepada peralihan fasa endemik.

    Kepercayaan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia turut didorong oleh kestabilan politik negara yang telah dilakukan melalui MoU yang ditandatangani oleh Kerajaan dan pembangkang.

    Kerjasama itu menjadi elemen penting sokongan parti politik untuk mengetepikan buat sementara waktu agenda politik demi membawa Malaysia keluar daripada permasalahan ekonomi dan kesihatan.

    Tok Chey percaya keyakinan pelabur luar juga didorong oleh imej kerajaan ketika ini yang menampilkan kepimpinan bebas daripada masalah berkaitan integriti apabila mana-mana pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet.

    Bagi menambahkan lagi keyakinan pihak luar dan mengembalikan imej negara yang pernah terpalit dengan skandal paling mengejutkan dunia iaitu berkaitan 1MDB, maka saranan bekas Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yassin perlu diberi perhatian dengan serius.

    Muhyiddin pada Sabtu menggesa perbicaraan berkaitan skandal 1MDB di Malaysia disegerakan susulan keputusan mahkamah Amerika Syarikat yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.

    Tok Chey lihat gesaan Muhyiddin amat berasas sekali kerana negara luar dengan pantas bertindak untuk menyelesaikan kes itu dan mahkamah di Malaysia seharusnya tidak melayan sebarang usaha bagi menangguhkan prosiding kes tersebut.

    Skandal membabitkan 1MDB adalah isu yang amat besar sekali dan rakyat ingin tahu pengakhiran yang sebenarnya kerana apa yang diketahui setakat ini, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

    Selain merupakan Perdana Menteri pada masa kesalahan itu didakwa dilakukan, Najib juga merupakan Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

    Tok Chey – seperti juga rakyat Malaysia yang lain yang bencikan rasuah dan salah guna kuasa, amat geram, marah dan kecewa apabila membaca pelbagai pendedahan membabitkan 1MDB ketika prosiding dilakukan di Amerika Syarikat.

    Sepertimana yang dilaporkan oleh media seluruh dunia, Peguam Breon Peace dalam siaran langsung dari pejabat peguam di New York berkata, Roger Ng dan kroninya melihat 1MDB bukan sebagai satu entiti yang boleh membantu rakyat Malaysia, tetapi sebagai tabung simpanan untuk memperkayakan diri dengan wang yang disalah guna daripada dana itu.

    Jelas Peace, antara 2012 dan 2013, Roger Ng menerima lebih daripada AS$35 juta dolar dalam bentuk sogokan untuk menjalankan peranannya mencuri dan mencuci berbilion dolar daripada 1MDB.

    Ia termasuk dana 1MDB yang dikumpul pada 2012 dan 2013 melalui tiga transaksi bon dan ia digunakan bagi wang untuk merasuah.

    Tambah Peace lagi, skandal itu sangat besar skalanya dan Roger Ng dan konspirator bersamanya menggelapkan berbilion dolar daripada dana itu.

    Peguam AS itu mengatakan ia adalah perlakuan yang melampau apabila Roger Ng memperoleh perniagaan melalui cara salah yang menguntungkan majikannya dengan merasuah pegawai- pegawai kerajaan di Malaysia dan di Abu Dhabi.

    Oleh itu, berdasarkan apa yang dinyatakan berkaitan 1MDB, maka pelaku yang bertanggungjawab di Malaysia harus segera dihukum dan tidak boleh dibiarkan bebas tanpa rasa bersalah.

  • Harga ayam melambung, cukup-cukuplah dendang lagu Bangau Oh Bangau

    Harga ayam melambung, cukup-cukuplah dendang lagu Bangau Oh Bangau

    guane

    TINDAKAN tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu ke atas pemborong dan peniaga ayam yang menjual melebihi harga siling ditetapkan baru-baru ini sewajarnya diberikan pujian.

    Ini kerana, isu kenaikan harga barangan khususnya bahan basah seperti ayam dan ikan bukan perkara baharu.

    Kalau diperhatikan, semacam ada sesuatu yang tidak kena apabila menjelang setiap kali musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, harga barangan basah secara automatik terus melambung.

    Kenapa ia berlaku? Adakah ada komplot di sebalik kenaikan harga barangan ini dan bilakah ia akan berakhir?

    Bagi penulis, isu dan masalah ini tidak akan berakhir selagi para peniaga, peruncit, pemborong dan penternak di ladang terus mendendangkan lagu Bangau Oh Bangau dengan menyalahkan pihak itu dan pihak ini.

    Pengguna akan menyalahkan kerajaan atau KPDNHEP dengan mengatakan tidak tegas dalam menjalankan tugas susulan kenaikan harga barang.

    Dalam isu ini, apabila pihak berkuasa bertegas dengan mengeluarkan kompaun, peniaga terbabit pula medakwa saman serta merta itu sebagai keterlaluan dan tidak wajar.

    Namun, penulis hairan apabila diminta memberi penjelasan mengenai harga yang dijual, peniaga mengatakan harga dibeli daripada pemborong adalah antara RM8.70 hingga RM8.90, takkan berniaga tiada untung?

    Malangnya, ketika diminta bukti termasuk resit pembelian dan nama pemborong, mereka gagal berbuat demikian.

    Begitulah, rentetan peristiwa mengenai isu seorang pemborong dan 13 peniaga ayam di Terengganu dikenakan kompaun ekoran menjual barang mentah itu melebihi harga siling ditetapkan kerajaan.

    Dalam menangani isu ini semua pihak tidak sewajarnya menunding jari antara satu sama lain, sebaliknya duduklah berbincang dengan sikap dan hati terbuka.

    Pendekatan terbaik perlu dilakukan terutama pada bulan Ramadan ini ialah berniagalah dengan hati yang ikhlas, carilah keberkatan ketika menjalankan perniagaan, bukan mencari keuntungan semata-mata.

    Justeru tindakan kompaun RM500 dikenakan ke atas setiap peniaga yang menjual ayam melebihi harga RM8.90 sepertimana ditetapkan kerajaan usahlah dipandang dari sudut negatif.

    Tindakan itu sekurang- kurangnya menjadi satu peringatan kepada semua peniaga bahawa operasi urus niaga yang dijalankan sebenarnya terikat kepada peraturan dan undang-undang tertentu sepertimana ditetapkan.

    Sehubungan itu, setiap peniaga perlu lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan urusan jual beli dengan pelanggan.

    Peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga melampau dengan sewenang-wenangnya hanya disebabkan untuk mengaut keuntungan berganda.

    Malah, golongan peniaga seharusnya sedar bahawa perbuatan mereka itu bukan sahaja boleh menyebabkan para pengguna teraniaya, tetapi ia turut menyumbang ke arah inflasi negara.

    Kita perlu faham bahawa anggota Penguat kuasa KPDNHEP hanya menjalankan tugas dan mereka bertindak sedemikian demi menjaga hak serta kepentingan pengguna.

    Apatah lagi, pengguna kini semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang agak tinggi.

    Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia sebelum ini ada memberitahu, tindakan kompaun diambil kerana peniaga terbabit bukan sahaja dikesan menjual ayam segar melebihi harga maksimum ditetapkan, sebaliknya turut melakukan kesalahan mengelirukan pengguna dengan mempamerkan harga RM8.90 sekilogram, tetapi menjualnya melebihi harga ditetapkan.

    Malah Saharuddin turut meminta peniaga ayam agar tidak melindungi nama pemborong dan pembekal yang didakwa menjual ayam melebihi harga ditetapkan, namun mereka tetap  ‘berahsia’ dan enggan bekerjasama.

    Malah, peniaga masih sanggup membayar kompaun daripada mendedahkan nama pemborong dan pembekal.

    Mereka khuatir pendedahan nama pemborong dan pembekal akan mengakibatkan mereka diboikot.

    Sebaliknya, mereka menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas kepada penternak di peringkat ladang dan bukannya ke atas pemborong dan peniaga.

    Untuk itu, penulis mencadangkan agar KPDNHEP memanggil semua golongan terbabit dengan mengadakan perbincangan secara tuntas ke arah jalan penyelesaian bersama di mana selepas itu tidak ada lagi salah menyalah antara satu sama lain.

  • Jika  tak berani bersuara…malu la dengan Muhyiddin

    Jika  tak berani bersuara…malu la dengan Muhyiddin

    TEBUAN Tanah (TT) tabik kepada Penganalisis politik, Dr.Zainal Kling yang komen secara terus terang berhubung dua pemimpin UMNO iaitu Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

    Zainal dalam satu kenyataan menegaskan UMNO dan BN mampu menang PRU-15 lebih besar dan berupaya menguasai sokongan pengundi muda jika kedua-dua mereka bersedia bersara dari politik.

    Kata beliau lagi, selagi ada pemimpin yang mempunyai masalah di mahkamah dan terpalit dengan isu rasuah, UMNO dan BN tidak mampu mencapai matlamat kemenangan sepenuhnya.

    TT dah lama tahu, dalam UMNO sendiri memang ada sentimen yang mahu Ahmad Zahid dan Najib berundur. Mereka pun rasa malu dan sedih kerana imej UMNO turut diseret sama apabila kedua-dua pemimpin itu dihadap mahkamah.

    Seorang sudah didapati bersalah dan seorang lagi kena bela diri. Apa nak berlaku seterusnya biarlah proses mahkamah tentukan.

    Tetapi yang pasti, kedua-dua mereka sudah tidak sepatutnya terlibat dalam kepemimpinan UMNO mahupun BN.

    Namun setakat ini semua itu bagaikan mimpi kerana dalam kalangan pemimpin peringkat pusat seolah-olah tidak ada keberanian untuk melakukan perubahan atau ‘pembersihan dalaman’ UMNO.  Ramai lihat mereka macam lebih selesa untuk mendiamkan diri. Sebab itulah Zahid dan Najib dok rasa mereka masih lagi diterima dan menjadi aset parti.

    Sepatutnya, bila sudah ada kes mahkamah, demi parti…Zahid dan Najib ‘pandai-pandailah bawa diri’…apapun hujah mereka, UMNO tetap akan dikaitkan sebab seorang Presiden UMNO dan seorang lagi Pengerusi Jemaah Penasihat BN. Kalau mereka tak mahu bersara…tidak ada masalah tetapi jangan pegang apa-apa jawatan dalam parti.

    UMNO bukannya  tidak ada pemimpin. Ramai lagi yang ada seperti Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Mohamad Hasan, Mahdzir Khalid, Khairy Jamaluddin atau Hishammuddin Hussein, sekarang tambah lagi seorang iaitu Hasni Mohamad. Kesemua mereka tidak ada apa-apa kes dan sudah tunjuk kemampuan boleh menguruskan UMNO.

    TT tengah dok tunggu, siapa berani bersihkan UMNO? Kalau zaman dulu-dulu orang panggil ‘Hang Jebat’, tapi apa masalahnya kalau jadi ‘Hang Jebat’…ni demi kebaikan UMNO dan BN.

    1MDB muhyiddin Najib
    Muhyiddin Yassin.

    Dulu Muhyiddin Yassin yang ada segelintir pemimpin kanan UMNO dok bermusuh sampai hari ini, berani jadi ‘Hang Jebat’ apabila bangkitkan isu 1MDB. Muhyiddin ‘terkorban’ dan sanggup berkorban hilang jawatan nombor dua dalam parti dan kerajaan demi nak pastikan BN ‘tak bungkus’ masa PRU-14.

    TT masih ingat lagi, Muhyiddin kata ‘’kalau esok pilihan raya, isu 1MDB boleh sebabkan BN kalah’’…akhirnya betul apa beliau cakap…isu 1MDB menjadi salah satu faktor utama BN hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah.

    Sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO yang ada sekarang, berani ikut jejak Muhyiddin. Mereka mesti desak atau buat gerakan supaya Zahid dan Najib direhatkan, kalau tak mahu apa yang berlaku dalam PRU-14 berulang.

    Kalaupun tak berani nak desak Zahid dan Najib berundur atau bersara…desaklah supaya pemilihan parti diadakan, jangan dok tangguh-tangguh lagi, malu kat parti lain. Parti lain pun akan hadapi PRU-15 tapi mereka berani buat pemilihan…tak cakap pun soal parti akan berpecah…sebab tu TT tertanya-tanya teruk sangatkah UMNO sampai nak buat pemilihan pun takut atas alasan parti akan berpecah.

    Betul, UMNO ada akar umbi yang lebih kuat berbanding parti-parti lain tapi dalam kalau tengok PRN Melaka dan Johor tu bukan jaminan UMNO boleh menang PRU-15. Bersatu dan PN walaupun dikatakan tak ada akar umbi tapi mereka sudah mampu menarik sokongan pengundi atas pagar dan pengundi Melayu.

    TT percaya ia sedikit sebanyak disebabkan ada pengundi yang bosan dengan UMNO kerana terus dok bergantung kepada pemimpin-pemimpin bermasalah.

    Oleh itu TT nak nasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO beranila sikit buat gerakan untuk ‘bersihkan dalaman parti’. Kalau mereka tak berani buat apa-apa tindakan, mereka patut malu kepada Muhyiddin.  Janganlah dok cakap ‘tunggu buah gugur sendiri’ sebab TT bimbang ‘buah tak gugur’, UMNO yang akan tersungkur.

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • * Kenapa ‘serang’ Muhyiddin…?  * Debat Anwar-Najib buang masa..

    * Kenapa ‘serang’ Muhyiddin…? * Debat Anwar-Najib buang masa..

    *Salahkah Muhyiddin bincang bentuk kerjasama politik?

    TEBUAN Tanah (TT) hairan sejak tersebarnya cerita Muhyiddin Yassin jumpa Dr.Mahathir Mohamad, macam-macam orang kata kat Muhyiddin. Bukan kata orang politik, penganalisis politik pun ‘tumpang sekaki’…TT tak kisah kalau komen tu tak nampak berat sebelah dan relevan atau lebih tepat lagi boleh terima dek akal.

    Tetapi ada hujah tu, nampak sangat macam ada motif. Kenapa tak ulas soal wajar atau tidak, parti-parti lain bergabung lawan BN dalam PRU-15…patut ulasla benda tu dengan terperinci. Ni tidak…dok cakap Muhyiddin dah tak relevan la, pengkhianat la, terdesak la dan macam-macam lagi.

    Yang tak berapa nak logik tu, bila ada penganalisis kata Bersatu perlu pemimpin baru, dalam ayat lain Muhyiddin dah tak boleh  pimpin Bersatu.

    TT nak tanya…atas dasar apa penganalisis cerdik pandai ni kata macam tu? Apakah Muhyiddin ada kes rasuah atau salahguna kuasa? Adakah parti Bersatu atau Perikatan Nasional ditolak secara total dalam PRN Melaka dan Johor seperti mana dialami oleh Pejuang dan Warisan?

    Kenapa tak cakap soal PKR yang nampak ketara semakin ditolak rakyat? Kenapa tak ulas soal Anwar Ibrahim yang dilihat semakin hilang pengaruh? Kenapa tak cakap Dr.Mahathir semakin tak relevan dalam politik negara?

    Kenapa hanya tumpu kepada Muhyiddin? Apakah kerana beliau bertemu Dr.Mahathir.. dah ada ‘orang kepanasan’? Apa masalahnya Muhyiddin berbincang dengan parti lain?

    Fahamlah sikit, Muhyiddin berbincang bagi persiapan PRU-15 bukannya buat konspirasi nak jatuhkan kerajaan sekarang yang Perikatan Nasional pun ada di dalamnya.

    Lagipun Muhyiddin tak kan buat ‘kerja-kerja bodoh’ itu. Ia kerana banyak agenda yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini adalah kesinambungan apa yang beliau rancang dan lakukan ketika menjadi PM.

    Muhyiddin tak mungkin akan ikut perangai buruk beberapa pemimpin kanan UMNO jadi ‘duri dalam daging’ ketika parti mereka bersama dalam Kerajaan PN. Pertemuan Muhyiddin dan Dr.Mahathir diatur oleh pemimpin kanan Pejuang… bukannya Muhyiddin yang terhengeh-hengeh nak jumpa Dr.Mahathir!

    Muhyiddin pun tak pernah secara senyap-senyap hantar surat kat Agong sokong Anwar jadi PM?

    Bila mereka atur jumpa Dr.Mahathir, dari situlah Muhyiddin dapat idea untuk buat gabungan lawan BN…salah ke?

    Kena fahamlah PN kalau boleh mahu terus bekerjasama dengan BN tapi ada kalangan pemimpin UMNO sudah angkuh, rasa parti itu dah kuat…baru menang dua PRN  hasil peratusan keluar mengundi rendah..dah rasa parti mereka kembali diterima rakyat.

    Tak apalah itu bab mereka nak syok sendiri, cuma TT pelik kenapa takut sangat Muhyiddin nak bentuk gabungan politik ni? Kalau tak takut, janganlah cakap bukan-bukan atau buat komen entah-entah atas nama penganalisis politik. Kalau orang politik, TT fahamlah memang dah ada yang mula bimbang, mungkin tidur tak lena.

    Macam mana nak lena…dah cakap berbuih-buih kat Perhimpunan Agung supaya PRU kena buat cepat, setakat ni apa bayangpun tak nampak, walaupun PM daripada parti yang sama…kasihan pulak TT tengok…

    Satu lagi mereka bimbang, dalam kalangan pemimpin politik selain UMNO, Muhyiddin ada kredibiliti dan karisma untuk memimpin gabungan baru politik yang pastinya boleh mengancam BN…jadi mereka kena cari jalan bagaimana mahu menyekat kemaraan Muhyiddin. Cara lain tak ada, selain cuba wujud persepsi seolah-olah Muhyiddin ni khianat, ada agenda peribadi nak jadi PM dan macam-macam lagi. Tu saja modal mereka ada.

    Malang sungguh Malaysia ni sebab masih ada ahli politik yang tak matang-matang lagi berpolitik walaupun orang kata ‘dah kematu’ bergelumang dalam gelanggang politik. Patutnya baguslah kalau Muhyiddin nak wujud gabungan politik. Barulah PRU-15 ni bertambah menarik… BN nak takut apa? Kan dah menang dua PRN, pengundi Cina pun dah sokong BN kan? Jadi  relak la. Biar rakyat tentukan.

    Jadi tak perlu lah buruk-burukkan Muhyiddin…matang la sikit berpolitik…kalau nak tahu macam mana nak matang pi belajar dengan ahli politik Indonesia..

    *Debat Anwar-Najib buang masa

    TT tak tahu apa respons rakyat bila Anwar Ibrahim dan Najib Razak sedia bersemuka untuk berdebat. Kalau berdebat pasal isu rakyat okay la juga ni pasal Sapura…senang cakap berdebat pasal masalah Sapura…aduhhh.

    Apa la ada dalam kepala ahli politik kita…masalah rakyat berlambak-lambak..tak nak berdebat…ni nak pi cerita pasal masalah satu syarikat.

    Betul la dalam tu ramai kakitangan…betul lah kerajaan ada ‘share’ tetapi  apa halnya sampai nak berdebat..sebelum ini ada isu lebih besar lagi termasuk satu syarikat tu yang pada 2015 heboh satu dunia tak nak pula nak berdebat.

    Masa tu ada program macam ‘Nothing to Hide’ tapi yang berkenaan tak tunjuk muka sampai ke sudah walaupun yang dok tercengok tunggu nak ‘berdebat’ tu bekas PM. Tapi yang isu Sapura ni cepat sungguh nak berdebat…pelik jugak.

    Bukan kata TT, ramai lagi yang pelik. Kalau isu macam Tabung Haji tu memang elok la ‘berdebat’ sebab orang Melayu pun pening dok tengok tuduh menuduh antara kerajaan dengan pembangkang. Ni isu Sapura..rakyat kat bawah pun tak faham..yang mereka tahu ada cerita pasal gaji CEO dia punya la tinggi…

    Jadi dah pasti rakyat pelik kenapa Najib dan Anwar beria-ia benar nak berdebat.  

    Tapi Najib-Anwar masing-masing dah ‘naik sheikh’, beria-ia nak berdebat..tambah pula beberapa media berebut-rebut naik siar secara langsung….tapi apa rakyat dapat? Kalau tonton buang masa ada la…

  • Kerajaan perlu cari jalan selesai masalah kekurangan pekerja di restoran 24 jam

    Kerajaan perlu cari jalan selesai masalah kekurangan pekerja di restoran 24 jam

    Kawan-kawan Tok Chey semuanya ceria apabila dapat kembali solat dengan merapatkan saf setelah terpaksa ‘berjauhan’ ketika menunaikan ibadah itu sejak Covid-19 melanda negara kita bermula Mac 2020.

    Tok Chey lihat semangat untuk beribadah juga berlipat-ganda pada tahun ini apabila kehadiran jemaah ke surau tempat Tok Chey tinggal melimpah hingga ke luar walaupun dalam keadaan sudah merapatkan saf.

    Semuanya bersemangat dan memanfaatkan peluang untuk ke surau setelah sebelum ini nikmat tersebut diragut oleh virus yang telah mengubah segala kehidupan manusia.

    Solat juga boleh dilakukan 21 rakaat bersama solat witir dan dimulakan dengan tazkirah oleh ustaz jemputan selepas solat Maghrib. Tok Chey lihat kebenaran untuk solat rapat saf bukan semata-mata kepada perbuatan itu, tetapi ia lebih kepada untuk menunjukkan bahawa kita sudah menghampiri penghujung fasa kesengsaraan akibat Covid-19.

    Ia adalah signal bahawa kita akan dapat kembali kepada kehidupan normal yang sebelum ini dihalang oleh virus yang telah menyebabkan ramai orang terkorban.

    Bermula 1 April serentak dengan umat Islam boleh merapatkan saf, banyak kelonggaran berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia. Contohnya daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digunakan sebelum ini, hanya satu SOP sahaja yang perlu dipatuhi apabila negara kita mula beralih ke fasa endemik.

    Pintu-pintu sempadan yang telah dibuka mulai Jumaat lalu juga memberi kesan yang amat besar kepada pemulihan ekonomi apabila sektor pelancongan dan pembuatan akan kembali rancak selepas ini.

    Negeri-negeri yang berjiran dengan sempadan juga akan dapat menikmati kesan kedatangan pelancong dan secara keseluruhannya pelancong asing akan datang ke Malaysia tanpa sekatan dan kuarantin.

    Tok Chey amat menghargai usaha-usaha pemimpin yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat tanpa mengenal penat lelah. Mereka telah berusaha untuk memulihkan negara dari sudut ekonomi dan kepentingan nyawa walaupun menghadapi pelbagai kekangan.

    Nampaknya kini kita sudah merasai nikmat hasil daripada perancangan yang tepat daripada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dibantu oleh menteri-menteri Kabinet.Jika tiada perancangan yang rapi, Malaysia sudah pasti akan tertinggal di belakang tatkala negara lain kebanyakannya sudah melonggarkan banyak sekatan untuk beralih ke kehidupan normal.

    Dalam proses untuk kembali normal dan memulihkan ekonomi setempat, salah satunya Tok Chey berharap kepada kerajaan agar dapat mencari jalan supaya masalah pekerja di restoran dapat diselesaikan dengan segera.

    Ini kerana, masalah kekurangan pekerja amat ketara apabila kebanyakan restoran tidak mampu untuk beroperasi 24 jam walaupun telah mendapat kebenaran daripada kerajaan.

    Tok Chey dapat merasai masalah itu pada malam tadi apabila hampir 20 minit makanan yang dipesan masih tidak kunjung tiba.

    Apabila ditanya kepada pemilik restoran, jawapan yang sama diberikan iaitu mereka tidak cukup pekerja dan tidak mampu untuk memberikan servis seperti sebelum ini.

    Kata mereka, pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja walaupun telah dijanjikan pelbagai insentif seperti potongan KWSP, cuti, bonus dan sebagainya.

    Ataupun jika masalah kekurangan pekerja memerlukan tempoh yang lama untuk diatasi, kerajaan mungkin boleh memberikan insentif cukai dalam tempoh tertentu kepada peniaga restoran yang mengamalkan konsep layan diri.

    Tok Chey bukan nak membela peniaga restoran, cumanya ia adalah satu cabang proses pemulihan ekonomi secara mikro supaya peniaga dapat dibantu untuk kembali bangkit.

    Secara tidak langsung selepas ini mereka akan kembali ke landasan menjadi penyumbang utama cukai dan memenuhi semula kantung kewangan negara yang susut akibat kesan pandemik