guane

TINDAKAN tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu ke atas pemborong dan peniaga ayam yang menjual melebihi harga siling ditetapkan baru-baru ini sewajarnya diberikan pujian.

Ini kerana, isu kenaikan harga barangan khususnya bahan basah seperti ayam dan ikan bukan perkara baharu.

Kalau diperhatikan, semacam ada sesuatu yang tidak kena apabila menjelang setiap kali musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, harga barangan basah secara automatik terus melambung.

Kenapa ia berlaku? Adakah ada komplot di sebalik kenaikan harga barangan ini dan bilakah ia akan berakhir?

Bagi penulis, isu dan masalah ini tidak akan berakhir selagi para peniaga, peruncit, pemborong dan penternak di ladang terus mendendangkan lagu Bangau Oh Bangau dengan menyalahkan pihak itu dan pihak ini.

Pengguna akan menyalahkan kerajaan atau KPDNHEP dengan mengatakan tidak tegas dalam menjalankan tugas susulan kenaikan harga barang.

Dalam isu ini, apabila pihak berkuasa bertegas dengan mengeluarkan kompaun, peniaga terbabit pula medakwa saman serta merta itu sebagai keterlaluan dan tidak wajar.

Namun, penulis hairan apabila diminta memberi penjelasan mengenai harga yang dijual, peniaga mengatakan harga dibeli daripada pemborong adalah antara RM8.70 hingga RM8.90, takkan berniaga tiada untung?

Malangnya, ketika diminta bukti termasuk resit pembelian dan nama pemborong, mereka gagal berbuat demikian.

Begitulah, rentetan peristiwa mengenai isu seorang pemborong dan 13 peniaga ayam di Terengganu dikenakan kompaun ekoran menjual barang mentah itu melebihi harga siling ditetapkan kerajaan.

Dalam menangani isu ini semua pihak tidak sewajarnya menunding jari antara satu sama lain, sebaliknya duduklah berbincang dengan sikap dan hati terbuka.

Pendekatan terbaik perlu dilakukan terutama pada bulan Ramadan ini ialah berniagalah dengan hati yang ikhlas, carilah keberkatan ketika menjalankan perniagaan, bukan mencari keuntungan semata-mata.

Justeru tindakan kompaun RM500 dikenakan ke atas setiap peniaga yang menjual ayam melebihi harga RM8.90 sepertimana ditetapkan kerajaan usahlah dipandang dari sudut negatif.

Tindakan itu sekurang- kurangnya menjadi satu peringatan kepada semua peniaga bahawa operasi urus niaga yang dijalankan sebenarnya terikat kepada peraturan dan undang-undang tertentu sepertimana ditetapkan.

Sehubungan itu, setiap peniaga perlu lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan urusan jual beli dengan pelanggan.

Peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga melampau dengan sewenang-wenangnya hanya disebabkan untuk mengaut keuntungan berganda.

Malah, golongan peniaga seharusnya sedar bahawa perbuatan mereka itu bukan sahaja boleh menyebabkan para pengguna teraniaya, tetapi ia turut menyumbang ke arah inflasi negara.

Kita perlu faham bahawa anggota Penguat kuasa KPDNHEP hanya menjalankan tugas dan mereka bertindak sedemikian demi menjaga hak serta kepentingan pengguna.

Apatah lagi, pengguna kini semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang agak tinggi.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia sebelum ini ada memberitahu, tindakan kompaun diambil kerana peniaga terbabit bukan sahaja dikesan menjual ayam segar melebihi harga maksimum ditetapkan, sebaliknya turut melakukan kesalahan mengelirukan pengguna dengan mempamerkan harga RM8.90 sekilogram, tetapi menjualnya melebihi harga ditetapkan.

Malah Saharuddin turut meminta peniaga ayam agar tidak melindungi nama pemborong dan pembekal yang didakwa menjual ayam melebihi harga ditetapkan, namun mereka tetap  ‘berahsia’ dan enggan bekerjasama.

Malah, peniaga masih sanggup membayar kompaun daripada mendedahkan nama pemborong dan pembekal.

Mereka khuatir pendedahan nama pemborong dan pembekal akan mengakibatkan mereka diboikot.

Sebaliknya, mereka menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas kepada penternak di peringkat ladang dan bukannya ke atas pemborong dan peniaga.

Untuk itu, penulis mencadangkan agar KPDNHEP memanggil semua golongan terbabit dengan mengadakan perbincangan secara tuntas ke arah jalan penyelesaian bersama di mana selepas itu tidak ada lagi salah menyalah antara satu sama lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here