TEBUAN Tanah (TT) tabik kepada Penganalisis politik, Dr.Zainal Kling yang komen secara terus terang berhubung dua pemimpin UMNO iaitu Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Zainal dalam satu kenyataan menegaskan UMNO dan BN mampu menang PRU-15 lebih besar dan berupaya menguasai sokongan pengundi muda jika kedua-dua mereka bersedia bersara dari politik.

Kata beliau lagi, selagi ada pemimpin yang mempunyai masalah di mahkamah dan terpalit dengan isu rasuah, UMNO dan BN tidak mampu mencapai matlamat kemenangan sepenuhnya.

TT dah lama tahu, dalam UMNO sendiri memang ada sentimen yang mahu Ahmad Zahid dan Najib berundur. Mereka pun rasa malu dan sedih kerana imej UMNO turut diseret sama apabila kedua-dua pemimpin itu dihadap mahkamah.

Seorang sudah didapati bersalah dan seorang lagi kena bela diri. Apa nak berlaku seterusnya biarlah proses mahkamah tentukan.

Tetapi yang pasti, kedua-dua mereka sudah tidak sepatutnya terlibat dalam kepemimpinan UMNO mahupun BN.

Namun setakat ini semua itu bagaikan mimpi kerana dalam kalangan pemimpin peringkat pusat seolah-olah tidak ada keberanian untuk melakukan perubahan atau ‘pembersihan dalaman’ UMNO.  Ramai lihat mereka macam lebih selesa untuk mendiamkan diri. Sebab itulah Zahid dan Najib dok rasa mereka masih lagi diterima dan menjadi aset parti.

Sepatutnya, bila sudah ada kes mahkamah, demi parti…Zahid dan Najib ‘pandai-pandailah bawa diri’…apapun hujah mereka, UMNO tetap akan dikaitkan sebab seorang Presiden UMNO dan seorang lagi Pengerusi Jemaah Penasihat BN. Kalau mereka tak mahu bersara…tidak ada masalah tetapi jangan pegang apa-apa jawatan dalam parti.

UMNO bukannya  tidak ada pemimpin. Ramai lagi yang ada seperti Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Mohamad Hasan, Mahdzir Khalid, Khairy Jamaluddin atau Hishammuddin Hussein, sekarang tambah lagi seorang iaitu Hasni Mohamad. Kesemua mereka tidak ada apa-apa kes dan sudah tunjuk kemampuan boleh menguruskan UMNO.

TT tengah dok tunggu, siapa berani bersihkan UMNO? Kalau zaman dulu-dulu orang panggil ‘Hang Jebat’, tapi apa masalahnya kalau jadi ‘Hang Jebat’…ni demi kebaikan UMNO dan BN.

1MDB muhyiddin Najib
Muhyiddin Yassin.

Dulu Muhyiddin Yassin yang ada segelintir pemimpin kanan UMNO dok bermusuh sampai hari ini, berani jadi ‘Hang Jebat’ apabila bangkitkan isu 1MDB. Muhyiddin ‘terkorban’ dan sanggup berkorban hilang jawatan nombor dua dalam parti dan kerajaan demi nak pastikan BN ‘tak bungkus’ masa PRU-14.

TT masih ingat lagi, Muhyiddin kata ‘’kalau esok pilihan raya, isu 1MDB boleh sebabkan BN kalah’’…akhirnya betul apa beliau cakap…isu 1MDB menjadi salah satu faktor utama BN hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO yang ada sekarang, berani ikut jejak Muhyiddin. Mereka mesti desak atau buat gerakan supaya Zahid dan Najib direhatkan, kalau tak mahu apa yang berlaku dalam PRU-14 berulang.

Kalaupun tak berani nak desak Zahid dan Najib berundur atau bersara…desaklah supaya pemilihan parti diadakan, jangan dok tangguh-tangguh lagi, malu kat parti lain. Parti lain pun akan hadapi PRU-15 tapi mereka berani buat pemilihan…tak cakap pun soal parti akan berpecah…sebab tu TT tertanya-tanya teruk sangatkah UMNO sampai nak buat pemilihan pun takut atas alasan parti akan berpecah.

Betul, UMNO ada akar umbi yang lebih kuat berbanding parti-parti lain tapi dalam kalau tengok PRN Melaka dan Johor tu bukan jaminan UMNO boleh menang PRU-15. Bersatu dan PN walaupun dikatakan tak ada akar umbi tapi mereka sudah mampu menarik sokongan pengundi atas pagar dan pengundi Melayu.

TT percaya ia sedikit sebanyak disebabkan ada pengundi yang bosan dengan UMNO kerana terus dok bergantung kepada pemimpin-pemimpin bermasalah.

Oleh itu TT nak nasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO beranila sikit buat gerakan untuk ‘bersihkan dalaman parti’. Kalau mereka tak berani buat apa-apa tindakan, mereka patut malu kepada Muhyiddin.  Janganlah dok cakap ‘tunggu buah gugur sendiri’ sebab TT bimbang ‘buah tak gugur’, UMNO yang akan tersungkur.

*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here