Kerajaan perlu cari jalan selesai masalah kekurangan pekerja di restoran 24 jam

Kawan-kawan Tok Chey semuanya ceria apabila dapat kembali solat dengan merapatkan saf setelah terpaksa ‘berjauhan’ ketika menunaikan ibadah itu sejak Covid-19 melanda negara kita bermula Mac 2020.

Tok Chey lihat semangat untuk beribadah juga berlipat-ganda pada tahun ini apabila kehadiran jemaah ke surau tempat Tok Chey tinggal melimpah hingga ke luar walaupun dalam keadaan sudah merapatkan saf.

Semuanya bersemangat dan memanfaatkan peluang untuk ke surau setelah sebelum ini nikmat tersebut diragut oleh virus yang telah mengubah segala kehidupan manusia.

Solat juga boleh dilakukan 21 rakaat bersama solat witir dan dimulakan dengan tazkirah oleh ustaz jemputan selepas solat Maghrib. Tok Chey lihat kebenaran untuk solat rapat saf bukan semata-mata kepada perbuatan itu, tetapi ia lebih kepada untuk menunjukkan bahawa kita sudah menghampiri penghujung fasa kesengsaraan akibat Covid-19.

Ia adalah signal bahawa kita akan dapat kembali kepada kehidupan normal yang sebelum ini dihalang oleh virus yang telah menyebabkan ramai orang terkorban.

Bermula 1 April serentak dengan umat Islam boleh merapatkan saf, banyak kelonggaran berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia. Contohnya daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digunakan sebelum ini, hanya satu SOP sahaja yang perlu dipatuhi apabila negara kita mula beralih ke fasa endemik.

Pintu-pintu sempadan yang telah dibuka mulai Jumaat lalu juga memberi kesan yang amat besar kepada pemulihan ekonomi apabila sektor pelancongan dan pembuatan akan kembali rancak selepas ini.

Negeri-negeri yang berjiran dengan sempadan juga akan dapat menikmati kesan kedatangan pelancong dan secara keseluruhannya pelancong asing akan datang ke Malaysia tanpa sekatan dan kuarantin.

Tok Chey amat menghargai usaha-usaha pemimpin yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat tanpa mengenal penat lelah. Mereka telah berusaha untuk memulihkan negara dari sudut ekonomi dan kepentingan nyawa walaupun menghadapi pelbagai kekangan.

Nampaknya kini kita sudah merasai nikmat hasil daripada perancangan yang tepat daripada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dibantu oleh menteri-menteri Kabinet.Jika tiada perancangan yang rapi, Malaysia sudah pasti akan tertinggal di belakang tatkala negara lain kebanyakannya sudah melonggarkan banyak sekatan untuk beralih ke kehidupan normal.

Dalam proses untuk kembali normal dan memulihkan ekonomi setempat, salah satunya Tok Chey berharap kepada kerajaan agar dapat mencari jalan supaya masalah pekerja di restoran dapat diselesaikan dengan segera.

Ini kerana, masalah kekurangan pekerja amat ketara apabila kebanyakan restoran tidak mampu untuk beroperasi 24 jam walaupun telah mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Tok Chey dapat merasai masalah itu pada malam tadi apabila hampir 20 minit makanan yang dipesan masih tidak kunjung tiba.

Apabila ditanya kepada pemilik restoran, jawapan yang sama diberikan iaitu mereka tidak cukup pekerja dan tidak mampu untuk memberikan servis seperti sebelum ini.

Kata mereka, pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja walaupun telah dijanjikan pelbagai insentif seperti potongan KWSP, cuti, bonus dan sebagainya.

Ataupun jika masalah kekurangan pekerja memerlukan tempoh yang lama untuk diatasi, kerajaan mungkin boleh memberikan insentif cukai dalam tempoh tertentu kepada peniaga restoran yang mengamalkan konsep layan diri.

Tok Chey bukan nak membela peniaga restoran, cumanya ia adalah satu cabang proses pemulihan ekonomi secara mikro supaya peniaga dapat dibantu untuk kembali bangkit.

Secara tidak langsung selepas ini mereka akan kembali ke landasan menjadi penyumbang utama cukai dan memenuhi semula kantung kewangan negara yang susut akibat kesan pandemik


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *