BARU-baru ini negara kita dikejutkan dengan tindakan 528 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Berdasarkan laporan berita, enam daripadanya termasuk wanita dan kanak-kanak maut dilanggar kenderaan ketika mahu melarikan diri, manakala 424 berjaya ditahan semula.

Polis masih lagi memburu 104 pelarian yang masih bersembunyi dan Pihak polis juga telah mengeluarkan amaran bahawa tahanan yang lolos dikhuatiri berbahaya kerana mereka boleh melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Rentetan daripada kejadian itu, ada pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara dan mahukan kerajaan memberi layanan lebih baik kepada pelarian yang berada di negara ini.

Daripada apa yang berlaku, Tok Chey setuju dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang tegas dalam menjawab permintaan kumpulan pembela pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kata Hamzah, layanan Malaysia sudah cukup baik kepada PATI terutama Rohingya dengan memberi perlindungan dan makanan kepada mereka yang berada di kem tahanan.

Ujarnya, jika negara ini memberi layanan buruk kepada PATI tersebut, sudah pasti Malaysia tidak akan menjadi tumpuan untuk diceroboh.

Tindakan menahan mereka di kem tahanan juga sebagai peringatan bahawa Malaysia tidak boleh dimasuki dengan sewenang-wenangnya tanpa dokumen yang sah dan mereka perlulah menghormati undang-undang negara.

Tok Chey masih ingat lagi pada tahun 2019, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud pernah menyebut bahawa sejumlah RM3.5 juta perlu dibelanjakan hampir setiap bulan bagi menampung kos makanan PATI di 14 depot tahanan Imigresen di seluruh negara.

Katanya, berdasarkan kos tersebut, kerajaan menanggung purata kos makanan RM12 sehari bagi setiap tahanan, dengan kebanyakan mereka terpaksa berada di depot antara satu atau dua bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Dan kini, pada tahun 2022, Tok Chey percaya kos mungkin meningkat dan ada pelarian yang terpaksa ditahan lebih lama di depot kerana kerajaan Myanmar misalnya tidak mahu menerima kembali pelarian tersebut menyebabkan mereka masih ditahan di sini.

Jadi, dengan apa yang dilakukan kerajaan, Tok Chey berpandangan tidak perlulah Malaysia terlalu ‘berlembut’ dengan PATI kerana layanan ketika ini sudah memadai.

Permintaan daripada Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) supaya depot tahanan ditambah baik bagi menampung jumlah PATI yang makin bertambah juga bukan penyelesaian tuntas kepada isu ini.

Ini kerana jika depot tahanan ditambah baik, maka ia akan mengundang lebih ramai PATI untuk masuk ke Malaysia kerana mereka berasa selesa untuk tinggal di depot tahanan.

Sebaliknya, untuk mengekang jumlah kemasukan PATI dan mengelakkan depot terus sesak, penguatkuasaan di pintu sempadan perlu ditingkatkan supaya PATI tidak mudah untuk lolos masuk ke negara ini.

Cukuplah dengan apa yang berlaku di beberapa kawasan di tanah air kita apabila warga asing sudah menjadikan kawasan tertentu sebagai kampung mereka yang akhirnya menyebabkan rakyat tempatan tidak dapat hidup dengan tenang.

Kehadiran PATI juga memberi kesan beban kepada sistem dalam negara misalnya tugas polis makin bertambah apabila terpaksa menyelesaikan kes-kes PATI yang terlibat dengan jenayah.

Dalam konteks kesihatan, hospital-hospital kerajaan pula dibebankan dengan pesakit warga asing di mana kemudahan tersebut sepatutnya diutamakan untuk warga tempatan yang memerlukan.

Oleh itu, sudah terang dan nyata, Malaysia ketika ini sudah cukup baik melayan PATI jika dibandingkan dengan negara-negara jiran menyebabkan PATI sentiasa berminat untuk datang ke Malaysia.

Pada masa sama, kerajaan perlu memperbaiki kelemahan di pintu sempadan supaya Malaysia tidak mudah dibolosi yang akhirnya akan menimbulkan masalah kepada negara dan rakyat sendiri.

  • Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here