guane

KALAU tiada aral, pada minggu hadapan, seluruh umat Islam akan mula menyambut hari raya Aidilfitri, iaitu hari kebesaran dan kemenangan selepas sebulan kita mengharungi pelbagai ujian dan dugaan sepanjang menjalani ibadah berpuasa.

Sepanjang Ramadan ini pelbagai ragam juga kita temui, ada yang berpuasa penuh, ada yang separuh dan juga yang langsung tak berpuasa, jangan risau semuanya boleh menyambut hari raya.

Bagi kebanyakan masyarakat Islam, terutama orang Melayu, setiap kali menjelang 1 Syawal, khususnya pada hari -hari hari terakhir Ramadan, mereka semakin sibuk mengadakan pelbagai persiapan.

Selain menghiasi rumah dan menyediakan bahan bahan keperluan untuk membuat kuih muih seperti lemang, ketupat, rendang, nasi dagang dan tapai, suasana kesibukan sudah tentu turut tertumpu di pusat- pusat beli belah di pusat bandar raya.

Penulis perhatikan perkembangan ini semacam sudah menjadi tradisi dalam masyarakat kita yang lebih gemar membuat persiapan pada saat-saat terakhir termasuk pada malam raya.

Pada waktu inilah mereka akan membawa keluarga keluar untuk membeli belah barangan keperluan termasuk pakaian anak-anak.

Hal ini menyebabkan di kebanyakan lokasi sekitar pusat bandar penuh sesak dengan kenderaan dan manusia, sekali gus mengundang pelbagai risiko sehingga boleh mendorong berlakunya kejadian tidak diingini seperti kemalangan jalan raya dan juga kes kes jenayah ragut.

Kalau di awal Ramadan, kita sentiasa dikejutkan dengan kecederaan anak-anak akibat bermain mercun dan meriam buluh ciptaan khas, namun pada hari-hari terakhir Ramadan dan permulaan Syawal pula, kita seringkali terdengar suara tangisan anggota keluarga akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa.

Penulis mendapati, boleh dikatakan setiap kali tibanya musim perayaan, kejadian kemalangan meragut nyawa banyak dilaporkan berlaku di negara kita.

Boleh dikatakan setiap tahun, kecuali dua tahun kebelakangan ini kerana ramai perantau tidak boleh pulang berhari raya di kampung ekoran larangan perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan berlakunya penularan wabak Covid-19.

Ini menyebabkan berjuta-juta kenderaan tidak boleh bergerak pulang dan kadar kemalangan dua tahun ini turut menurun.

Kalau terus berasak dan bersesak seperti dahulu tentunya kadar kematian di jalan raya direkodkan lebih tinggi berbanding kematian akibat Covid-19.

Ia berlaku gara-gara sikap kurang berhemah segelintir pengguna jalan raya yang seolah-olah terlalu ghairah untuk pulang berhari raya ke kampung.

Sebab itulah, setiap kali musim perayaan anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa membuat pemantauan dan rondaan termasuk melancarkan Op Sikap.

Bagaimanapun langkah mengadakan operasi di jalan raya masih belum cukup bagi mengelakkan berlakunya kemalangan selagi orang ramai sendiri tidak berdisipilin dan mempraktikkan pemanduan secara berhemah.

Semua pihak mestilah mengambil sikap bertanggungjawab bagi membendung perkara ini.

Mengenai kemalangan jalan raya, penulis mendapati antara punca kejadian termasuklah disebabkan haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran, bukan sahaja di jalan negeri dan persekutuan, tetapi juga di lebuh raya.

lembu raya
Gambar hiasan

Justeru penulis mohon sangat-sangat agar para penternak haiwan seperti lembu, kerbau dan kambing sewajarnya bertanggungjawab ke atas haiwan masing-masing.

Jangan mengambil peluang hari ‘kebebasan’ ini dengan turut membebaskan haiwan masing-masing sehingga bukan sahaja ia merayau ke halaman orang, tetapi juga dibiarkan tidur bergelimpangan di tepi jalan raya.

Sempena bulan mulia ini semua pemilik haiwan mestilah menempatkan ternakan di dalam kandang.

Kita tidak mahu apabila jumlah kenderaan meningkat di jalan raya, kadar haiwan berkeliaran turut bertambah kerana penternak sengaja membebaskan ternakan mereka kerana alasan ingin berhari raya.

Ini kerana haiwan tersebut bukan sahaja akan mengotori halaman orang lain kerana meninggalkan najis di merata tempat, tetapi turut merosakkan pokok hiasan di tepi jalan selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Sikap tidak bertanggungjawab seperti itu perlu dikikis segera,vusah dibiarkan haiwan berkeliaran di merata tempat kerana nyawa manusia bukan semurah nilai seekor lembu atau kerbau.

Justeru, kita turut berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) agar bertindak lebih tegas dengan terus menangkap mana mana haiwan yang masih dibiarkan berkeliaran di jalan raya sepanjang musim perayaan kali ini.

Kebabyakan PBT khususnya majlis-majlis daerah sebelum ini pernah mengadakan operasi menangkap haiwan yang dibiarkan berkeliaran.

Bulan lalu, Majlis Daerah Besut (MDB) melakukkan operasi menangkap empat ekor lembu berkeliaran di sekitar Kampung Raja, Kampung Kuala Besut, Kampung Air Tawar, Kampung Keluang dan Taman Perumahan Gong Tengah.

Menurut Yang Dipertua MDB, Mohd Rashdan Muda, operasi dijalankan sejak sekian lama dan dilakukan secara berkala di mana ternakan yang ditangkap ditempatkan di depo MDB dan pemiliknya boleh menuntut haiwan berkenaan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh ia ditangkap.

Pemilik akan dikenakan kompaun sebanyak RM250 di bawah Seksyen 6(1) Akta Haiwan Merayau selain perlu membayar kos jagaan sepanjang haiwan itu berada di depo berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here