Tag: Mahathir Mohamad

  • “Saya ini nampak nyanyuk ke?” – Dr Mahathir

    “Saya ini nampak nyanyuk ke?” – Dr Mahathir

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa beliau masih layak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun sudah berusia.

    Beliau menegaskan, segala tugas dapat diteruskan beliau seperti biasa.

    “Saya ini nampak nyanyuk ke? Saya boleh jawab tak soalan ‘you’ (pemberita). Ialah memang kebiasaannya orang umur 97 tahun sudah nyanyuk.

    “Tetapi adakah anda melihat saya sebagai (nyanyuk),” soalnya pada sidang media di Putrajaya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai cakap-cakap orang ramai yang mempersoalkan keputusannya menjadi calon bagi mengekalkan kerusi Parlimen Langkawi.

    Keputusan Mahathir untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang didakwa tidak mendapat sambutan.

    Kerjaya politik Dr Mahathir menjangkau lebih 75 tahun dan beliau berkhidmat dua kali sebagai perdana menteri negara, dari 1981 hingga 2003 dan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

    Sementara itu, Mahathir menafikan pernah meminta bantuan daripada Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk “menyelamatkan” dirinya daripada parti komponen Pakatan Harapan.

    “Tak pernah, tak ada pun ,” katanya.

    Semalam, Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir “hanya topeng dan boneka” dalam kabinet PH.

    Dakwa Tengku Adnan, Mahathir meminta pertolongan dengannya kerana tidak tahan dengan Amanah dan DAP.

  • Dr Mahathir nafi dakwaan ada pengaruh ke atas hakim kes Najib

    Dr Mahathir nafi dakwaan ada pengaruh ke atas hakim kes Najib

    BEKAS perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan beliau mempunyai pengaruh ke atas hakim-hakim yang terbabit dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International.

    Bercakap pada sidang media, Mahathir dalam laporan Free Malaysia Today dipetik sebagai berkata, beliau tidak pernah mencampuri urusan pelantikan hakim semasa Pakatan Harapan memerintah.

    Beliau menjawab spekulasi bahawa barisan hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berat sebelah kerana beliau dilantik semasa pentadbiran Mahathir.

    “Saya lantik ketua hakim kerana saya perdana menteri. Saya tiada pilihan. Saya cuma meluluskan nama yang dikemukakan.

    “Tak mungkin saya ada pengaruh ke atas mahkamah. Ada tiga (lapis) mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan. Ada sembilan orang hakim dan semua sama pendapat,” katanya.

    Mahathir berkata perbicaraan Najib Razak dalam kes SRC International mengambil masa empat tahun, berbanding sembilan bulan perbicaraan Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertama.

    “Najib diberi peluang untuk bela diri tapi apa dia buat? Dia hanya kata ‘kita mahu mohon orang ini tarik diri, orang itu tarik diri, ini tak adil’. Apa yang tak adil?” kata Mahathir, mengingatkan Najib gagal menyangkal keterangan terhadapnya.

    Najib pada Selasa menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan pensabitan bagi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang, berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International.

    Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Peguam Najib berkata bekas perdana menteri itu tidak dapat perbicaraan yang adil, antaranya kerana tidak dapat mengemukakan keterangan baharu.

    Sementara itu, Mahathir menepis khabar angin mendakwa beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

    “Bohong. Saya tak temui Ismail,” katanya.

    Mahathir berkata mereka pernah bertemu sebelum naib presiden Umno itu menjadi perdana menteri, untuk memberikan nasihat.

    “Selepas dia jadi perdana menteri tak ada pertemuan.”

  • Tun M dakwa Najib tanam pendapat “apa nak malu jika mencuri”

    Tun M dakwa Najib tanam pendapat “apa nak malu jika mencuri”

    TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Datuk Seri Najb Tun Razak menanam pendapat bahawa tiada apa perlu dimalukan sekiranya mencuri.

    Memetik laporan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu turut berpendapat, ketika ini ramai yang tidak tahu malu termasuk si perasuah dan pencuri.

    “Tetapi sekarang orang Melayu tidak lagi berasa malu. Apa nak malu. Najib menanam pendapat bahawa apa nak malu jika mencuri. Dia boss. Boss boleh mencuri.

    “Kalau boss tak malu kerana mencuri, orang Melayu pun tak perlu malu bila mencuri,” jelasnya dalam satu kenyataan di laman sosial hari ini.

    Dr Mahathir turut berpandangan ini merupakan kejayaan terbesar Najib dan tiada seorang pun yang berjaya menterbalikkan beliau.

    “Sehinggakan ada segelintir sanggup mencium tangan, demi duit dan jawatan.

    “Dan sekarang ini ramai orang tak tahu malu. Ada yang sampai cium tangan. Kenapa cium tangan. Boleh dapat duit. Boleh dapat jawatan. Apa nak malu?

    “Kalau tangan berbau najis, tak apa. Ada duit dalam najis. Terbongkok-bongkoklah nak cium tangan. Apa nak malu? Kalau tangan bersalut tahi tetapi ada duit, okaylah. Tak payah malu,” katanya.

    Dakwa mantan Perdana Menteri itu juga, dunia juga mentertawakan Malaysia kerana tidak malu dengan kelakuan berkenaan.

    Perkara ini jelasnya turut mendorong masyarakat untuk berbuat demikian.

  • Tun M cabar Apandi buktikan anaknya jutawan

    Tun M cabar Apandi buktikan anaknya jutawan

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar bekas peguam negara Tan Sri Mohd Apandi Ali membuktikan anaknya menjadi jutawan semasa beliau perdana menteri.

    Beliau mengutarakan cabaran itu selepas Apandi dilaporkan bertanya, “Dalam dunia ini, mana lagi ada seorang perdana menteri yang mana anak-anak mereka menjadi jutawan?”

    Dr. Mahathir sebagaimana laporan Free Malaysia Today berkata, anaknya tidak dibenarkan menjalankan sebarang urusan dengan kerajaan, apatah lagi menyertai parti kerajaan, ketika beliau menjadi perdana menteri.

    “Jika ada anak (saya) yang jadi jutawan, sila beri bukti akan tarikh gelaran ini diberi kepada mereka, serta bukti kejutaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

    “Jika tidak ada bukti, saya anggap kenyataan ini adalah fitnah dan saya berhak bertindak mengikut undang-undang.”

    Beliau menjawab empat soalan dikemukakan Apandi di Facebook bulan lalu, termasuk berkaitan kes Batu Puteh, tuntutan Sulu, dan saman berkaitan pemecatan Apandi sebagai peguam negara.

    Apandi bertanya mengapa kerajaan Dr Mahathir memilih untuk menyelesaikan saman pemecatan tidak sah terhadapnya melalui “persetujuan”, dan sama ada ini bermakna Dr. Mahathir telah bertindak secara arbitrari dan “salah dari segi tatacara atau perundangan” ketika memecatnya sebagai peguam negara.

    Mahathir menjelaskan bahawa Apandi dipecat kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan seterusnya mahkamah tempatan mendapati bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bersalah atas salah laku.

    Namun, katanya, Apandi memutuskan bahawa Najib “tidak membuat apa-apa kesalahan”.

    “Semua ini menunjuk bahawa Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan yang dilaku oleh Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

    “Perbuatan Apandi menunjuk bahawa ia tidak memegang kepada ‘rule of Law’ (kedaulatan undang-undang. (Beliau) tidak sesuai menjadi peguam negara.

    “Kerajaan berhak untuk menamatkan (perkhidmatan) pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah. Ramai sudah pegawai yang membuat salah dilucutkan daripada jawatan.”

  • UKSB beri sumbangan politik RM2.6 juta kepada Tun Mahathir – Saksi

    UKSB beri sumbangan politik RM2.6 juta kepada Tun Mahathir – Saksi

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar di dalam komputer riba milik saksi itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

    Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah Tun Dr Mahathir menerima sumbangan politik, saksi itu menjawab, “Ya dan parti (Bersatu)”.

    Saksi ke-17 itu memberitahu mahkamah bahawa sumbangan dana itu dibayar melalui anak saudara (Tun Dr Mahathir) iaitu Tan Sri Rahmat Abu Bakar yang menggunakan kod nama ‘Kedahan’.

    Ahmad Zaidi: Kenapa anda membuat pembayaran kepada Tan Sri Rahmat?

    Tan: Saya percaya ia adalah untuk dana politik.

    Ahmad Zaidi: Bahawa RM2.6 juta telah diberikan kepada Tan Sri Rahmat untuk diberi kepada Tun Mahathir, adakah itu betul, untuk dana politik?

    Tan: Betul.

    Tan turut memberitahu mahkamah bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut diberi sumbangan politik daripada UKSB melalui sahabat baik ahli politik itu, Datuk Teo Wee Cheng yang juga merupakan pengarah syarikat SHH Resources Sdn Bhd.

    Saksi itu turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa dana yang diterima Ahmad Zahid adalah dana politik.

    Ahmad Zaidi: Adakah anda melihat Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin di mahkamah di sebelah Datuk Seri Zahid?

    Tan: Tidak.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – BERNAMA

  • Dr Mahathir persoal Najib henti bayar waris Kesultanan Sulu

    Dr Mahathir persoal Najib henti bayar waris Kesultanan Sulu

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keputusan pentadbiran terdahulu di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak menghentikan bayaran penyerahan wilayah sebanyak RM5,300 setahun kepada waris keturunan Kesultanan Sulu.

    Memetik laporan BH, beliau membangkitkan sama ada tindakan yang diambil ekoran insiden serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah itu mengikut lunas undang-undang serta memenuhi kehendak proses pembatalan perjanjian lama, terutama bagi mengelak pertikaian berbangkit selepasnya.

    “Saya dengar pada masa itu Najib buat kenyataan dia tidak akan bayar (bayaran penyerahan wilayah). Pada masa itu, saya cuma sokong dia saja. Dia yang buat keputusan.

    “Tapi, saya diberitahu keputusan itu tidak dirujuk kepada Kabinet dan Dewan Rakyat (pada 2013) dan dia (seolah-olah) buat keputusan sendiri,” katanya ditemui selepas hadir menjadi panel pada program Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian anjuran PTTI di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, sewajarnya kerajaan ketika itu mengkaji terlebih dulu keputusan menghentikan bayaran itu, termasuk mengesahkan pihak yang menyerang Sabah ketika itu memang dari keturunan kesultanan Sulu.

    “Kita yang berjanji untuk bayar setiap tahun jumlah ini, jadi bila kita janji, kita kena tunai janji walaupun atas sebab serangan. Tetapi kita juga tak tahu serangan itu oleh keturunan Sultan Sulu atau orang lain.

    “Jadi kita kena kaji dulu dan lepas itu sahkan yang menyerang itu adalah Kesultanan Sulu. Barulah kita boleh berhenti (bayar). Tapi ini tidak ada kajian, terus henti (bayar) saja,” katanya.

    Dr Mahathir memberitahu, tindakan itu yang menyebabkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu terus membuat tuntutannya ke atas Sabah di mahkamah timbang tara antarabangsa hingga kini.

    “Itu yang menyebabkan masalah kita hadapi sekarang. Sebelum ini tidak ada masalah. Tiap-tiap tahun kita bayar. Bila berhenti, maka mereka bawa kes ke mahkamah Sepanyol, tapi kita tidak iktiraf mahkamah di Sepanyol.

    “Sebab dalam membuat hukuman (tuntutan), kedua-dua pihak mesti memberi pendapat dalam mempertahankan kedudukan mereka. Tapi ini dibuat keputusan sebelah saja. Jadi itu kita tak pernah bagi kuasa kepada mahkamah Sepanyol,” katanya.

    Mengambil contoh isu Pulau Batu Putih, Dr Mahathir berkata, Malaysia bersetuju dengan pihak yang menuntut supaya isu tuntutan berkenaan dirujuk ke mahkamah.

    Isu tuntutan pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu terus hangat diperkatakan susulan laporan media sebelum ini menyatakan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris Kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia, selepas mereka diberi Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

    Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, Mahkamah Rayuan Paris sudah membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

  • Benarkah Rafizi tolak Anwar, atau cuma wayang politik?

    Benarkah Rafizi tolak Anwar, atau cuma wayang politik?

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berasa sangsi dengan kritikan yang dilemparkan oleh Rafizi Ramli terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau mempersoalkan sama ada Timbalan Presiden PKR itu benar-benar menolak Anwar atau tindakan itu cuma strategi politik partinya.

    Dr Mahathir berpandangan, PKR ingin membuktikan kepada rakyat kononnya bukan semua ahli dan pemimpin parti itu menyokong Anwar.

    “Ini kerana, saya rasa Rafizi faham bahawa Anwar tidak lagi popular seperti dahulu. Jika Anwar hendak bercerita lagi kisah beliau dianiaya, ia sudah tidak berkesan di hati rakyat.

    “Anwar juga masih tiada cakap lain, asyik bercakap hendak menjadi Perdana Menteri sahaja.

    “Sebab itu, saya perlu mendapat sedikit masa lagi untuk melihat tingkah laku Rafizi. Betulkah Rafizi tolak Anwar atau itu cuma strategi politik PKR?” katanya seperti dilaporkan FMT yang memetik Sinar Harian.

    Pada Kongres Nasional PKR Ke-16 di Shah Alam baru-baru ini, Rafizi berkata, kepimpinan baharu PKR tidak perlu membodek atau mempertahankan Anwar apabila Presiden parti itu dikritik.

    Menurut Rafizi, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.

    Selain itu, bekas Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan, Anwar perlu menerima dapatan kajian Invoke bahawa populariti Ahli Parlimen Port Dickson itu semakin jatuh.

    Mungkin pandangan Dr Mahathir itu ada benarnya kerana ‘aura’ Anwar tidak memberi kesan positif terhadap prestasi PKR dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.

    Malah, strategi yang dicatur Anwar di Melaka dan Johor serba tidak menjadi sehingga menyebabkan PKR mengalami kekalahan yang memalukan.

    Rakyat juga sudah semakin bosan dengan modal kempen ‘Anwar mesti jadi Perdana Menteri’ yang sering dicanangkan PKR sejak 1998 lagi.

    Tidak mustahil ‘gerakan’ yang diwayangkan oleh Rafizi dan pasukannya cuma bertujuan mengaburi mata rakyat daripada kegagalan Anwar sedangkan segala kata pemutus masih terletak dalam tangan Presiden PKR itu.

  • Salah beri subsidi untuk menang pilihan raya – Tun M

    Salah beri subsidi untuk menang pilihan raya – Tun M

    PEMBERIAN subsidi dianggap satu kesalahan sekiranya dilakukan dengan tujuan untuk menjadi popular dan memenangi pilihan raya.

    Pandangan itu disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam dialog bersama para pelajar Seoul National University dan sekumpulan pelajar tajaan Malaysia di Korea Selatan sempena Persidangan Kepimpinan Asia.

    Menurut beliau, ada perkara tertentu yang boleh diberi subsidi dan ada yang tidak.

    Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memberi contoh, kerajaan boleh beri subsidi untuk kawal harga barangan yang naik berpunca dari pandemik.

    “Tetapi apabila subsidi diberi dengan sebab untuk jadi popular dan menang pilihan raya, itu salah.

    “Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, parti politik semasa itu guna wang merasuah pengundi tetapi beri alasan kononnya itu adalah subsidi.

    “Jadi kita perlu bijak menilai sama ada itu adalah subsidi yang diperlukan ataupun rasuah. Jika subsidi diguna bertujuan merasuah pengundi, ini adalah jenayah. Rakyat perlu bijak menilai antara subsidi dan rasuah,” katanya seperti dikongsi dalam hantaran Facebook hari ini.

    Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kestabilan negara sesudah pilihan raya adalah jauh lebih penting daripada saling berebut tempat.

    Beliau menambah, pihak yang kalah perlu menerima hakikat itu dan menunggu sehingga pilihan raya akan datang.

    “Tetapi biasanya pihak yang kalah tak terima kekalahan sebaliknya tuduh pihak yang menang menipu.

    “Disebabkan itu timbul cubaan untuk menafikan kemenangan dan protes, tunjuk perasaan, demonstrasi, cubaan ambil alih kerajaan dan sebagainya.

    “Ini menyebabkan negara tidak stabil dan banyak kesan buruk,” jelasnya.

    Dr Mahathir turut menekankan tentang perbezaan nilai-nilai antara Barat dan Timur khususnya dari segi penyelesaian konflik.

    “Umpamanya kita tidak bermusuh dan berperang sesama jiran seperti barat. Mereka suka cari penyelesaian dengan berperang.

    “Sedangkan di Asia kita pilih meja rundingan sebagai penyelesaian bagi apa jua krisis dan kemudian kita capai kata sepakat dari rundingan tersebut. Kita tidak pilih untuk berperang sesama sendiri hingga negara musnah,” ujarnya.

  • PRU-15: Tun M mahu bertanding lagi sebab ‘ramai orang tak tahu urus negara’

    PRU-15: Tun M mahu bertanding lagi sebab ‘ramai orang tak tahu urus negara’

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, keputusannya untuk bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah disebabkan ‘ramai orang tidak tahu mengurus negara’.

    Memetik laporan Astro Awani, bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia mempunyai potensi dan sumber yang banyak tetapi semua itu tidak penting jika pemimpin tidak tahu cara menggunakannya.

    “Saya melihat banyak perkara yang boleh dilakukan untuk negara ini. Bagaimanapun, ramai orang nampaknya tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

    Beliau yang berusia 97 tahun sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk berundur dari pentas politik negara.

    Namun, Dr Mahathir kemudian membuat pusingan U dan membatalkan hasrat tersebut apabila menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU-15.

    Beliau merupakan Perdana Menteri yang paling lama berkuasa di Malaysia.

    Beliau menjadi Perdana Menteri Keempat ketika era Barisan Nasional (BN) mulai 1981 hingga 2003, sebelum kembali semula sebagai Perdana Menteri yang pertama dari Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan mulai Mei 2018.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir memberitahu, beliau kecewa kerana tiada kuasa untuk menangani masalah sosial seperti jurang kekayaan antara penduduk di kampung dan bandar.

    Katanya, beliau mempunyai banyak idea bagaimana untuk menambah baik negara, tetapi kecewa kerana beliau tidak lagi berkuasa untuk melaksanakan idea tersebut.

    “Masih banyak perkara yang saya mahu lakukan dan saya sangat prihatin dengan masalah sosial. Orang yang tinggal di kampung miskin tetapi yang di bandar agak kaya.

    “Saya rasa boleh mencari jalan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk di kampung tetapi untuk itu, saya perlu ada kuasa, jika tidak, saya kecewa,” jelasnya.

  • Kerja mereka tukar PM, bukan hendak tadbir negara – Tun Mahathir

    Kerja mereka tukar PM, bukan hendak tadbir negara – Tun Mahathir

    PENGERUSI Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas usaha pihak tertentu yang lebih berminat untuk menukar Perdana Menteri dan bukannya mentadbir negara.

    Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri tersebut tidak menyatakan pihak atau parti politik mana yang dimaksudkan.

    Memetik laporan BH, beliau berpandangan, mereka memainkan isu menukar Perdana Menteri bagi menarik sentimen rakyat.

    “Nampak banyak perkara berlaku yang disembunyi daripada rakyat. Ada pakatan usaha untuk adakan seorang Perdana Menteri baharu, jadi mereka main isu tukar Perdana Menteri.

    “Itulah kerja mereka…bukan hendak mentadbir negara,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di luar pekarangan Jabatan Peguam Negara, Putrajaya hari ini.

    Beliau mengulas pendedahan dibuat Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.

    Tajuddin mendakwa, Ahmad Zahid Hamidi tidak akan berpuas hati selagi tidak dilantik menjadi Perdana Menteri.

    Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, beliau tidak faham dengan sikap Ahmad Zahid yang masih ‘bising-bising’ mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilangsungkan lebih awal walaupun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menerajui jentera pentadbiran negara.

    Pada masa yang sama, Tajuddin mencadangkan agar Ahmad Zahid ‘berehat’ daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

    Menurut beliau, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan jumlah kes yang banyak sehingga menjejaskan kemampuannya menerajui sebuah parti yang besar seperti UMNO.

    Beliau turut mendakwa sebelum ini hampir 130 ketua UMNO bahagian mahu Ahmad Zahid berundur.

    Menurut Tajuddin, timbul gerakan mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden pada 2020, diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun gerakan tersebut tidak berhasil.