PENGERUSI Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas usaha pihak tertentu yang lebih berminat untuk menukar Perdana Menteri dan bukannya mentadbir negara.

Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri tersebut tidak menyatakan pihak atau parti politik mana yang dimaksudkan.

Memetik laporan BH, beliau berpandangan, mereka memainkan isu menukar Perdana Menteri bagi menarik sentimen rakyat.

“Nampak banyak perkara berlaku yang disembunyi daripada rakyat. Ada pakatan usaha untuk adakan seorang Perdana Menteri baharu, jadi mereka main isu tukar Perdana Menteri.

“Itulah kerja mereka…bukan hendak mentadbir negara,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di luar pekarangan Jabatan Peguam Negara, Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas pendedahan dibuat Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.

Tajuddin mendakwa, Ahmad Zahid Hamidi tidak akan berpuas hati selagi tidak dilantik menjadi Perdana Menteri.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, beliau tidak faham dengan sikap Ahmad Zahid yang masih ‘bising-bising’ mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilangsungkan lebih awal walaupun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menerajui jentera pentadbiran negara.

Pada masa yang sama, Tajuddin mencadangkan agar Ahmad Zahid ‘berehat’ daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan jumlah kes yang banyak sehingga menjejaskan kemampuannya menerajui sebuah parti yang besar seperti UMNO.

Beliau turut mendakwa sebelum ini hampir 130 ketua UMNO bahagian mahu Ahmad Zahid berundur.

Menurut Tajuddin, timbul gerakan mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden pada 2020, diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun gerakan tersebut tidak berhasil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here