SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar di dalam komputer riba milik saksi itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah Tun Dr Mahathir menerima sumbangan politik, saksi itu menjawab, “Ya dan parti (Bersatu)”.

Saksi ke-17 itu memberitahu mahkamah bahawa sumbangan dana itu dibayar melalui anak saudara (Tun Dr Mahathir) iaitu Tan Sri Rahmat Abu Bakar yang menggunakan kod nama ‘Kedahan’.

Ahmad Zaidi: Kenapa anda membuat pembayaran kepada Tan Sri Rahmat?

Tan: Saya percaya ia adalah untuk dana politik.

Ahmad Zaidi: Bahawa RM2.6 juta telah diberikan kepada Tan Sri Rahmat untuk diberi kepada Tun Mahathir, adakah itu betul, untuk dana politik?

Tan: Betul.

Tan turut memberitahu mahkamah bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut diberi sumbangan politik daripada UKSB melalui sahabat baik ahli politik itu, Datuk Teo Wee Cheng yang juga merupakan pengarah syarikat SHH Resources Sdn Bhd.

Saksi itu turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa dana yang diterima Ahmad Zahid adalah dana politik.

Ahmad Zaidi: Adakah anda melihat Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin di mahkamah di sebelah Datuk Seri Zahid?

Tan: Tidak.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here