PEMBERIAN subsidi dianggap satu kesalahan sekiranya dilakukan dengan tujuan untuk menjadi popular dan memenangi pilihan raya.

Pandangan itu disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam dialog bersama para pelajar Seoul National University dan sekumpulan pelajar tajaan Malaysia di Korea Selatan sempena Persidangan Kepimpinan Asia.

Menurut beliau, ada perkara tertentu yang boleh diberi subsidi dan ada yang tidak.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memberi contoh, kerajaan boleh beri subsidi untuk kawal harga barangan yang naik berpunca dari pandemik.

“Tetapi apabila subsidi diberi dengan sebab untuk jadi popular dan menang pilihan raya, itu salah.

“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, parti politik semasa itu guna wang merasuah pengundi tetapi beri alasan kononnya itu adalah subsidi.

“Jadi kita perlu bijak menilai sama ada itu adalah subsidi yang diperlukan ataupun rasuah. Jika subsidi diguna bertujuan merasuah pengundi, ini adalah jenayah. Rakyat perlu bijak menilai antara subsidi dan rasuah,” katanya seperti dikongsi dalam hantaran Facebook hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kestabilan negara sesudah pilihan raya adalah jauh lebih penting daripada saling berebut tempat.

Beliau menambah, pihak yang kalah perlu menerima hakikat itu dan menunggu sehingga pilihan raya akan datang.

“Tetapi biasanya pihak yang kalah tak terima kekalahan sebaliknya tuduh pihak yang menang menipu.

“Disebabkan itu timbul cubaan untuk menafikan kemenangan dan protes, tunjuk perasaan, demonstrasi, cubaan ambil alih kerajaan dan sebagainya.

“Ini menyebabkan negara tidak stabil dan banyak kesan buruk,” jelasnya.

Dr Mahathir turut menekankan tentang perbezaan nilai-nilai antara Barat dan Timur khususnya dari segi penyelesaian konflik.

“Umpamanya kita tidak bermusuh dan berperang sesama jiran seperti barat. Mereka suka cari penyelesaian dengan berperang.

“Sedangkan di Asia kita pilih meja rundingan sebagai penyelesaian bagi apa jua krisis dan kemudian kita capai kata sepakat dari rundingan tersebut. Kita tidak pilih untuk berperang sesama sendiri hingga negara musnah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here