PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berasa sangsi dengan kritikan yang dilemparkan oleh Rafizi Ramli terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mempersoalkan sama ada Timbalan Presiden PKR itu benar-benar menolak Anwar atau tindakan itu cuma strategi politik partinya.

Dr Mahathir berpandangan, PKR ingin membuktikan kepada rakyat kononnya bukan semua ahli dan pemimpin parti itu menyokong Anwar.

“Ini kerana, saya rasa Rafizi faham bahawa Anwar tidak lagi popular seperti dahulu. Jika Anwar hendak bercerita lagi kisah beliau dianiaya, ia sudah tidak berkesan di hati rakyat.

“Anwar juga masih tiada cakap lain, asyik bercakap hendak menjadi Perdana Menteri sahaja.

“Sebab itu, saya perlu mendapat sedikit masa lagi untuk melihat tingkah laku Rafizi. Betulkah Rafizi tolak Anwar atau itu cuma strategi politik PKR?” katanya seperti dilaporkan FMT yang memetik Sinar Harian.

Pada Kongres Nasional PKR Ke-16 di Shah Alam baru-baru ini, Rafizi berkata, kepimpinan baharu PKR tidak perlu membodek atau mempertahankan Anwar apabila Presiden parti itu dikritik.

Menurut Rafizi, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan, Anwar perlu menerima dapatan kajian Invoke bahawa populariti Ahli Parlimen Port Dickson itu semakin jatuh.

Mungkin pandangan Dr Mahathir itu ada benarnya kerana ‘aura’ Anwar tidak memberi kesan positif terhadap prestasi PKR dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.

Malah, strategi yang dicatur Anwar di Melaka dan Johor serba tidak menjadi sehingga menyebabkan PKR mengalami kekalahan yang memalukan.

Rakyat juga sudah semakin bosan dengan modal kempen ‘Anwar mesti jadi Perdana Menteri’ yang sering dicanangkan PKR sejak 1998 lagi.

Tidak mustahil ‘gerakan’ yang diwayangkan oleh Rafizi dan pasukannya cuma bertujuan mengaburi mata rakyat daripada kegagalan Anwar sedangkan segala kata pemutus masih terletak dalam tangan Presiden PKR itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here