Tag: Johor

  • Syarat ketat MM2H boleh jejaskan Johor – Hasni

    Syarat ketat MM2H boleh jejaskan Johor – Hasni

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SYARAT ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) akan memberi kesan terhadap Johor sekiranya peraturan kepada peserta itu tidak dikaji semula untuk dilonggarkan.

    Meskipun menyambut baik pengumuman program itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri Johor amat berharap syarat yang dikenakan terbabit dapat dikaji semula sebelum ia dilaksanakan.

    Kata beliau, kajian semula itu penting kerana program MM2H merupakan salah satu kekuatan yang dapat memberi faedah serta manfaat kepada negeri tersebut.

    “Kerajaan negeri berharap agar MM2H ini bukan hanya dikaji semula tetapi segera dilaksanakan. Dengan apa yang diumumkan, Johor amat terkesan sekiranya Kementerian Dalam Negeri (KDN) enggan menyemak semula syarat ketat MM2H.

    “Kita melihat perlunya syarat-syarat peserta MM2H ini dilonggarkan mengikut syarat-syarat lama program itu dan bukannya mengikut peraturan baharu yang ditetapkan,” katanya selepas menyerahkan 46 unit rumah kepada penduduk untuk projek penempatan semula perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2, di sini hari ini.

    Kelmarin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula syarat ketat MM2H yang ditetapkan.

    Baginda bertitah akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.

    Mengikut syarat baru, peserta perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, pemilikan akaun simpanan RM1 juta selain peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

    Selain itu, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.

    Sementara itu, Hasni berkata, program MM2H itu juga memberi impak kepada kerajaan negeri memandangkan kedudukan Johor yang bersebelahan dengan Singapura.

    Malah ujarnya, kebimbangan kerajaan negeri dalam perkara itu telah disuarakan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkunjung ke Johor baru-baru ini.

  • Segera laksana vaksinasi individu bawah 18 tahun

    Segera laksana vaksinasi individu bawah 18 tahun

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menggesa kerajaan Pusat untuk menyegerakan dasar berkaitan suntikan vaksin Covid-19 kepada individu berusia bawah 18 tahun di negara ini.

    Beliau berkata, langkah memberi suntikan kepada golongan usia berkenaan dilihat disambut baik pelbagai pihak dalam usaha untuk memperluas imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.

    “Sekiranya suntikan dos ketiga diperlukan, saya percaya kerajaan Pusat akan membentuk satu dasar berkenaan dengan meningkatkan antibodi atau daya ketahanan diri bagi individu termasuk frontliner yang telah terima dos lengkap.

    “Lebih penting ialah suntikan untuk bawah 18 tahun kepada pelajar, mahasiswa dan belia, kita harap kerajaan Pusat akan menyegerakan dasar suntikan dibawah usia 18 tahun,” katanya.

    Beliau menjawab soalan Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nanas) berkaitan pelaksanaan suntikan dos ketiga kepada individu lengkap vaksin khususnya petugas barisan hadapan negara pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

    Sementara itu, Hasni memaklumkan, pelaksanaan program Johor Vaksin Immunisation Plan (J-VIP) sejak 6 Ogos lalu menyaksikan sebanyak 530 syarikat berdaftar dengan seramai 3,899 orang telah divaksin dalam tempoh berkenaan.

    Katanya J-VIP merupakan satu program yang memberi pilihan kepada majikan untuk menyuntik vaksin kepada pekerja mereka dengan harga RM350 setiap individu.

    “Pelaksanaan program itu bersesuaian dengan usaha mempercepat kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk, sama ada warganegara dan bukan warganegara di Johor.

    “Johor telah melantik Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Johor (J-Biotech) untuk menyelaras bekalan vaksin yang diperoleh melalui pembelian dan juga melalui sumbangan kepada negeri ini.

    “Impak daripada program ini adalah pekerja dalam pelbagai sektor swasta di negeri ini dapat divaksin secepat mungkin,” katanya.

    Tambah beliau, pelaksanaan program vaksinasi berbayar itu juga memudahkan perancangan industri dan sektor swasta untuk membuka semula operasi perniagaan mereka yang terkesan akibat Covid-19 dengan selamat dan tersusun.

    “Selain itu, ia juga membantu kerajaan negeri memberi tumpuan untuk mengoptimumkan peruntukan vaksin di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) ataupun yang diperoleh melalui sumbangan kepada rakyat awam yang berdaftar,” jelasnya.

  • Singapura, UAE sumbang vaksin kepada Johor

    Singapura, UAE sumbang vaksin kepada Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SINGAPURA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menyumbang lebih 400,00 dos vaksin Covid-19 kepada Johor bagi memastikan proses vaksinasi penduduk di negeri itu berjalan lancar sekaligus mempercepat imuniti kelompok yang disasarkan.

    Sumbangan itu akan melibatkan 100,640 dos vaksin jenis Pfizer dari negara jiran, manakala UAE pula bersedia untuk memberi sebanyak 300,000 vaksin SinoPharm.

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, Singapura juga telah membuat sumbangan sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac kepada negeri itu pada 29 Julai lalu.

    “Jumlah vaksin yang telah diterima Johor di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam tempoh 1 Mac sehingga 5 September adalah sebanyak 4,713,800 dos.

    “Sementara itu, sebagai tanda persahabatan erat antara Johor dan Singapura, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lalu manakala mereka akan turut menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer dalam masa terdekat.

    “Tambahan lagi, kerajaan negeri juga akan menerima 300,000 dos vaksin SinoPharm hasil sumbangan daripada kerajaan UAE,” katanya pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

    Hasni berkata, vaksin merupakan komponen utama kepada usaha untuk pulih daripada pandemik itu.

    “Oleh itu, Johor telah menetapkan sasaran seramai 100 peratus populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas untuk menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 16 September ini dan lengkap dua dos menjelang minggu ketiga Oktober,” ujarnya.

    Sementara itu, kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengurangkan beban ditanggung Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam usaha melawan pandemik Covid-19.

    “Pelbagai inisiatif dan langkah strategik telah diambil pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Malaysia di setiap peringkat pelaksanaan bagi memikul beban kerja JKNJ.

    “Kerajaan negeri juga telah menggerakkan sukarelawan Southern Volunteer untuk program pendaftaran vaksin dan mengadakan kempen bersesuaian yang dilaksana agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Penghulu-penghulu dan Jabatan Perpaduan.

    “Melalui program ini, sedikit sebanyak ia telah meringankan beban kerja JKNJ dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan kepatuhan dan pembudayaan norma baharu diikuti oleh rakyat Johor secara umumnya,” ujarnya.

  • Boleh walk-in suntik vaksin di 21 PPV sekitar Johor

    Boleh walk-in suntik vaksin di 21 PPV sekitar Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MASYARAKAT di Johor yang belum menerima suntikan vaksin boleh hadir secara walk-in ke 21 buah pusat pemberian vaksin (PPV) disenaraikan menawarkan perkhidmatan tersebut bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

    Kesemua PPV tersebut termasuk secara bergerak terbuka kepada warganegara yang berusia 18 tahun ke atas sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri mempercepat usaha mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, antara lokasi tersebut adalah PPV Dewan Raya Bandar Putra dan PPV Mobile Kampung Melayu (Kulai); PPV Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Taman Yayasan dan Labis (Segamat); Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (Tangkak) dan Dewan Jubli Intan (Muar).

    Katanya, orang ramai perlu mengikuti tarikh-tarikh yang ditetapkan di setiap PPV yang disenaraikan dan tidak digalakkan merentas daerah untuk berusaha mendapat vaksinasi di lokasi-lokasi tersebut.

    “Di Batu Pahat, terdapat lima PPV menawarkan perkhidmatan itu iaitu PPV Dewan Jubli Intan, Dewan Terbuka Taman Hajjat, Dewan Makmur Rengit, Dewan Serbaguna Sri Sulong dan Dewan Orang Ramai Parit Raja.

    “Manakala lima PPV di Pontian juga disenaraikan iaitu Dewan Jubli Intan, Dewan Serbaguna Benut, Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Dewan Perpat Timbul, dan Klinik Kesihatan Kayu Ara Pasong,” katanya, hari ini.

    Sementara itu, orang ramai di Mersing dan Kluang juga boleh mendapatkan perkhidmatan itu di PPV Dewan Jubli Intan Mersing dan Politeknik Mersing selain Dewan Muafakat Simpang Renggam.

    “Orang ramai masih berpeluang mendapat vaksinasi dalam masa terdekat dengan hanya mendaftarkan diri melalui MySejahtera. Kesemua PPV sedia ada di lokasi lain masih melaksanakan program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara aktif.

    “Warga asing tidak digalakkan menghadirkan diri ke lokasi walk-in ini. Peluang mendapat vaksinasi masih tinggi sekiranya mereka berdaftar di MySejahtera, masyarakat tempatan pula tidak perlu bimbang sekiranya vaksin telah habis di akhir hari kerana janji temu baharu akan diberikan dan mereka akan diutamakan,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, dianggarkan lebih 1.39 juta penduduk di negeri ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, manakala lebih 2.2 juta sudah menerima dos pertama iaitu pada kadar 82.0 peratus.

  • Stor simpan 1,661 karton rokok seludup terbongkar

    Stor simpan 1,661 karton rokok seludup terbongkar

    RAHIMI MOHAMAD

    DUA buah premis perniagaan di Taman Pontian Jaya, Johor yang dijadikan tempat menyimpan rokok seludup akhirnya terbongkar dipercayai selepas tiga bulan sindiket menggunakan stor itu untuk menyembunyikan kegiatan mereka.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang, semalam, seorang lelaki yang berada di premis itu turut ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam bersama 1,661 karton pelbagai jenama rokok.

    Lelaki warga tempatan yang ditahan bersama 1,661 karton rokok seludup di Taman Pontian Jaya, Pontian.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang, stor tersebut disyaki menjadi lokasi transit sebelum barangan kontraban itu diedar ke pasaran gelap terutama di daerah tersebut.

    “Dengan penahanan suspek lelaki berusia 57 tahun serta barangan rampasan tersebut telah berjaya memutuskan rangkaian pengedaran rokok tidak bercukai terutamanya di daerah itu.

    “Kita minta kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam serbuan tersebut, PGA merampas 1,085 karton rokok U2 Merah; 200 karton rokok Canyon Hijau; 150 rokok Canyon Merah dan 50 karton rokok AXR Merah yang setiap pek berisi 20 batang rokok.

    “Kita turut merampas 50 karton rokok D&J Ice Plus; 100 karton John D Blend; 15 karton Gudang Garam; lima karton rokok Class Mild: tiga karton RE Bold; dua karton Promax Hijau dan satu karton rokok Promax Merah,” katanya.

    Tambah beliau, anggaran keseluruhan rampasan termasuk sebuah kereta jenis Toyota Vios yang digunakan untuk aktiviti tersebut berjumlah RM360,098.

    Katanya, suspek serta barangan rampasan serta kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

  • Jangan abai vaksinasi golongan tanpa kewarganegaraan

    Jangan abai vaksinasi golongan tanpa kewarganegaraan

    GOLONGAN yang dianggap tanpa kewarganegaraan atau pelarian seharusnya diberi keutamaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Johor.

    Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, langkah itu memastikan tiada kumpulan di negeri berkenaan yang tercicir daripada menerima vaksinasi.

    Menurut beliau, golongan tanpa kewarganegaraan tersebut merangkumi mereka yang dilahirkan di Malaysia tetapi tidak mempunyai dokumentasi yang sah seperti sijil kelahiran atau kad pengenalan untuk membuktikannya.

    “Bagi kelompok pelarian, Johor mempunyai komuniti Rohingya yang cukup besar tinggal di sebahagian kawasan dalam Johor Bahru dan Kulai.

    “Tanpa kad pengenalan atau surat beranak yang sah, seseorang tidak boleh memperolehi talian telefon bimbit untuk mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera untuk tujuan divaksinasi. Apa yang akan berlaku kepada orang-orang seperti ini? ” katanya, hari ini.

    Md Jais menambah, kerajaan seharusnya tidak hanya menumpukan perhatian untuk memberi vaksin kepada rakyat Malaysia atau pekerja yang sah sahaja.

    Beliau memberitahu, kebanyakan etnik Rohingya ialah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan pada masa ini, mereka melakukan pekerjaan rencam untuk mencari nafkah.

    “Sekarang, setelah kes-kes di negeri ini meningkat, kerajaan harus pertimbangkan kerjasama dengan UNHCR agar mereka diberi suntikan vaksin kerana kita tidak mahu virus ini menyebar dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.

    Md Jais yang juga Ketua Umno Bahagian Kluang mengatakan bahawa terdapat keperluan untuk memperluaskan ujian saringan Covid-19, mempertingkat pengesanan kontak rapat dan proses pengasingan masyarakat setempat untuk menangani wabak tersebut di Johor.

    “Sebelum ini, Johor mempunyai 1,000 lebih kes setiap hari tetapi sekarang jumlah kes meningkat kepada lebih dari 2,000 kes sehari,” katanya.

    Beliau berpandangan, langkah-langkah berjaga juga mesti diperingkatkan di negeri itu ekoran kemunculan varian-varian yang mudah berjangkit seperti varian Delta.

  • 60 kampung di Sabah, 6 kawasan di Johor banjir

    60 kampung di Sabah, 6 kawasan di Johor banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 45 kampung di Beaufort dan 15 kampung di Membakut, Sabah dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Padas dan Sungai Membakut akibat hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai sejak kelmarin.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort memberitahu, bacaan kedalaman air di kedua-dua sungai melebihi paras bahaya iaitu 9.28 meter di Sungai Padas dan 7.41 meter di Sungai Membakut, setakat pukul 10 pagi.

    “Kampung terjejas banjir di Beaufort setakat ini ialah Binunuk, Balibata, Simpang Empat, Bakalau, Sungkadan, Melalugus, Batandok Lubak, Melati, Lumatai, Mempagar, Kuarters SESB Beaufort, Kuarters Kereta Api, Kampung Lawa, Lago, Suasa, Kangsa, Berumbai, Bangkalalak, Batu 60, Batu 58, Jempangah, Kitalabak Lumatai, Luagan Sanginan dan Laboi.

    “Kampung Bingkul, Mapait, Limbawang, Lajau, Lubak, Poribg Lupak, Lupak, Tuhu, Selinsing, Beringin, Gadong, Kebajang Ulu, Kukup, Jabang, Mentulud, Batu 64, Lupak Seberang, Kampung Cina, Kurian Padas Damit, Kebulu dan Menanjung,” katanya, hari ini.

    Katanya, antara kawasan turut dilanda banjir di daerah kecil Membakut ialah Kampung Bambangan, Sinoko, Sindok, Baitam Ulu, Baitam Laut, Baitam Baru, Jambatan Baru, Lumantak, Papas, Lampijas, Kayai, Dungau, Brunei dan pekan lama Membakut.

    Sementara itu, banjir turut melanda Batu 10, Kampung Laut, Skudai, Johor Bahru dan enam kawasan melibatkan Kampung Sepakat, Kampung Masjid, Sungai Masai, Desa Bakti dan Jalan Masai di Pasir Gudang.

    Anggota memantau keadaan banjir kilat di Kampung Sentosa Barat, Pasir Gudang, pagi ini namun tiada mangsa banjir dipindahkan kerana air semakin surut pada jam 8 pagi ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, hujan lebat sejak tengah malam tadi mengakibatkan banjir dan mengakibatkan penduduk terpaksa mengalami kerugian apabila pelbagai harta benda rosak.

    “Namun tiada sebarang kejadian kemalangan jiwa dilaporkan sehingga kini dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, tiada pusat pemindahan yang dibuka dan banjir kilat yang naik sehingga kira-kira satu meter juga sudah surut.

    Ketika ini katanya, mangsa sedang melakukan kerja pembersihan semasa beliau meninjau beberapa kawasan perkampungan terjejas pagi pagi ini.

  • RM3.96 juta diberikan kepada 132 institusi tahfiz di Johor

    RM3.96 juta diberikan kepada 132 institusi tahfiz di Johor

    RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK RM3.96 juta akan disalurkan kerajaan negeri Johor kepada pusat tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor di seluruh negeri itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, bantuan secara one-off itu akan diserahkan kepada 116 buah madrasah tahfiz dan 16 pondok tahfiz dengan setiap institusi menerima RM30,000.

    “Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) tidak lupa peranan dan sumbangan dimainkan institusi tahfiz dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

    “Sehubungan itu, bagi memastikan institusi tahfiz ini terus beroperasi bagi membangunkan syiar dan pendidikan Islam, MAINJ memperuntukkan bantuan one-off berjumlah RM30,000 kepada institusi tahfiz yang berdaftar.

    “Diharap dengan peruntukan ini, tidak timbul isu institusi tahfiz gulung tikar di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu, Tosrin berkata, kerajaan negeri menyeru institusi tahfiz yang masih belum berdaftar di negeri itu agar segera berbuat demikian bagi membolehkan peruntukan sama diagihkan.

    Muar merupakan daerah yang menempatkan paling banyak institusi tahfiz berdaftar di Johor iaitu sebanyak 26 institusi, diikuti Batu Pahat (24) dan Johor Bahru (19).

    Kluang pula menempatkan 12 buah institusi tersebut selain masing-masing 11 buah di Tangkak dan Segamat serta baki selebihnya di Pontian, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing.

    Baru-baru ini, laporan media mendakwa kira-kira 12.8 peratus pusat tahfiz atau madrasah yang beroperasi di seluruh Johor hanya mampu bertahan kira-kira sebulan sahaja lagi setelah pendapatan pusat pengajian mereka terjejas teruk akibat impak Covid-19.

  • RTS, projek landasan berkembar bantu pulih ekonomi Johor

    RTS, projek landasan berkembar bantu pulih ekonomi Johor

    RAHIMI MOHAMAD

    DUA projek mega melibatkan pengangkutan awam darat yang sedang dibangunkan di Johor akan menjadi penyumbang utama kepada usaha pemulihan ekonomi negeri susulan kesan pandemik Covid-19.

    Pelaksanaan Projek Rapid Transit System (RTS) Malaysia-Singapura dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru itu juga secara tidak langsung akan mengukuhkan kedudukan bandar raya Johor Bahru sebagai pintu masuk antarabangsa darat utama dunia.

    Hasni Mohammad

    Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kedua-dua projek tesebut juga akan memberi impak positif terhadap kepesatan pembangunan Bandaraya Johor Bahru dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

    “Dengan siapnya kedua-dua projek itu ia akan secara langsung menyokong keberadaan Ibrahim International Business District atau (IIBD) di bandar raya Johor Bahru ini.

    “Projek Pembangunan IIBD yang meliputi kawasan seluas 100 hektar di tengah-tengah daerah Sentral Johor Bahru akan menjadi ‘The Southern Gateway of Malaysia’ dan ‘The next best option to live, work and play in Southeast Asia after Singapore’,” katanya semasa berucap dalam majlis pelantikan dan angkat sumpah Datuk Bandar Johor Bahru hari ini.

    Menurut Hasni, pengukuhan kedudukan Johor Bahru di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu sejajar dengan kedudukan strategiknya yang bersebelahan dengan Singapura, sekali gus menjadi pintu masuk darat yang utama ke republik itu dari Malaysia.

    “Apabila IIBD siap kelak, warga bandar raya ini akan dapat menikmati lebih banyak pelaburan strategik dalam pelbagai sektor melalui penyiapan infrastruktur bertaraf antarabangsa. Pelaburan-pelaburan itu juga bakal meletakkan Johor Bahru sebagai bandaraya yang setanding atau lebih daripada Kuala Lumpur,” katanya.

    Hasni berkata, tidak mustahil akan berlaku penghijrahan lebih ramai anak muda dari luar Johor ke bandar raya ini ekoran lambakan peluang yang ditawarkan hasil daripada pelaburan-pelaburan strategik tersebut.

    “IIBD akan menjadi katalis kepada penciptaan lebih banyak peluang dan pemangkin kepada kemajuan bandar raya Johor Bahru, saya yakin, MBJB berupaya untuk terus memberikan perkhidmatan dan sokongan yang melangkaui jangkaan setiap warganya.

    “MBJB juga akan kekal kompeten dalam usahanya mengurus sumber dan potensi yang ada pada bandar raya ini untuk manfaat bersama,” katanya.

  • 53,908 isi rumah di Johor miskin mutlak, tak mampu tampung hidup

    53,908 isi rumah di Johor miskin mutlak, tak mampu tampung hidup

    RAHIMI MOHAMAD

    STATISTIK terkini menunjukkan kira-kira 53,908 isi rumah di Johor berada dalam kategori miskin mutlak iaitu pendapatan mereka adalah lebih rendah daripada nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

    Perkara tersebut didedahkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang berkata, keadaan itu membuatkan golongan berkenaan sukar menampung kos keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat berteduh.

    “Berikut merupakan hakikat yang amat pahit untuk kita terima. Hasil daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersilih ganti, ramai antara isi rumah di Johor sebenarnya telah terjerumus ke dalam kemiskinan.

    “Oleh itu, cukuplah saya menyatakan bahawa cabaran utama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) adalah untuk mengagihkan kekayaan bagi merapatkan jurang kesenjangan ekonomi dalam kalangan masyarakat bandar yang memerlukan pendekatan lebih spesifik dan inklusif daripada sebelumnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelantikan dan angkat sumpah Datuk Bandar Johor Bahru ke-13, Datuk Noorazam Osman di Menara MBJB, di sini hari ini.

    Sehubungan itu, Hasni berkata, Belanjawan Johor 2022 akan menekankan elemen pengupayaan golongan memerlukan dalam kesemua 12 Agenda Kebajikan, Pemberdayaan dan Keberhasilan.

    “Diharapkan agar pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama MBJB berupaya menawar dan melaksana dasar dan inisiatif mengikut kesesuaian kawasan pentadbiran masing-masing.

    “Suka untuk saya ingatkan bahawa ukuran kepada prestasi sesebuah PBT tidak harus disandarkan kepada jumlah kutipan cukai dan simpanan kekayaan semata-mata,

    “Tetapi dalam konteks semasa, prestasi sesebuah PBT juga harus diukur dengan mengambil kira program pembasmian kemiskinan dan pemberdayaan masyarakat yang dilakukan mengikut kesesuian di kawasan masing-masing,” ujarnya.