MEMANG mengejutkan apabila usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat, semalam.
Hanya perbezaan dua undi yang menyebabkan usul tersebut ditolak. Sebanyak 84 undi menyokong berbanding 86 undi tidak bersetuju.
Lebih mengejutkan, seperti yang dinyatakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi belah bahagian itu, seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
Seperti yang dilaporkan Malaysiakini hari ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendakwa, seramai 31 penyokong kerajaan tidak hadir ketika pengundian dijalankan.
Tidak perlu kita persoalkan ke mana 19 lagi Ahli Parlimen kerana kemungkinan besar mereka ialah wakil pembangkang.
Kalau hadir sekali pun, mereka hanya menambah bilangan Ahli Parlimen yang menolak usul tersebut.
Yang patut dipersoalkan adalah mengapa begitu ramai penyokong kerajaan tidak berada di dalam Dewan Rakyat ketika usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu memasuki proses undi belah bahagian?
Mungkin ada yang mempunyai sebab kukuh seperti dijangkiti COVID-19 atau menjadi kontak rapat sehingga menyebabkan terpaksa menjalani kuarantin kendiri.
Setelah ditolak penyokong kerajaan yang tidak hadir dengan alasan sedemikian, jumlahnya pasti mencukupi untuk memastikan usul tersebut dapat diluluskan dan seterusnya dibentangkan ke Dewan Negara pula.
Andainya tiga penyokong kerajaan hadir dan mengundi untuk bersetuju dengan usul yang penting itu, pasti kisah-kisah susulan seperti kononnya Memorandum Persefahaman (Mou) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah terbubar tidak timbul.
Kegagalan meluluskan usul lanjutan subseksyen SOSMA sekali gus menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa berdepan kekangan dalam usaha membanteras anasir yang mengancam keselamatan negara seperti kumpulan militan dan pengganas.
Apa yang lebih membimbangkan, situasi sama bakal berulang dan dikhuatiri boleh mencetuskan krisis Perlembagaan sekiranya berlaku sebelum belanjawan negara diluluskan.
Kepada penyokong-penyokong kerajaan yang tidak hadir tanpa sebab yang kukuh petang semalam, ingatlah bahawa elaun bulanan yang mereka nikmati dibayar dengan menggunakan wang rakyat.
Kegagalan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Parlimen boleh dianggap sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.
Kerajaan sudah bayar elaun mereka dengan menggunakan wang rakyat, buatlah kerja betul-betul demi menghalalkan pendapatan yang diterima.
KENAPA UMNO dilihat begitu takut dengan pemilihan parti? Kenapa perlu Perhimpunan Agung UMNO 2021 meluluskan usul supaya pemilihan parti ditangguh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)? Pemilihan mana dimaksudkan adakah pemilihan yang ditangguh sejak tahun lalu kerana pandemik Covid-19?
Terlalu banyak persoalan apabila perkara itu diumumkan oleh Timbalan Prsesiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu lalu.
Turut menarik perhatian, beliau juga berhujah bahawa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah diminta segera memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung perkara itu dan ia diiringi dengan pesanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob;
‘’ Saya juga minta Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tolong perhatikan hal ini, kalau kita tulis pada RoS jangan ada orang yang halang keputusan parti kita.’’ kata Tok Mat Hasan.
Persoalannya apa istimewanya UMNO sehingga mereka boleh menangguh pemilihan selama enam bulan selepas PRU-15. Kalaupun nak tangguh buatlah dahulu pemilihan yang tertangguh sebelum ini. Kalau sebelum ini alasan diberikan adalah penularan Covid-19, sekarang wabak itu sudah semakin terkawal.
Dan orang tertanya-tanya kenapa UMNO tidak laksanakan sahaja pemilihan seperti mana dilakukan oleh parti-parti lain? Kalaulah tidak mahu perpecahan dalam parti, cuba fikirkan adakah parti-parti lain yang membuat pemilihan termasuk pembangkang tidak ada masalah dalaman atau dilihat ada perpecahan.
Di dalam DAP didakwa ada dua kelompok, dalam Pas ada kelompok menyokong Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, dalam PKR ada kelompok tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim…tetapi mereka tetap mengadakan pemilihan.
Justeru tak kanlah pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang sebelum ini pemimpin mereka ‘mendabik dada’ menjadi pilihan rakyat takut untuk melaksanakan pemilihan.
Sebelum ini pandai pula pemimpin-pemimpin kanan UMNO berdegar-degar bercakap bahawa PRU-15 perlu diadakan segera bagi mengembalikan mandat kepada rakyat dalam usaha mewujudkan sebuah kerajaan stabil, tetapi anehnya kenapa UMNO tidak berani memberi mandat kepada ahli-ahlinya untuk menentukan barisan kepemimpinan?
Kalau mahu bercakap soal kem-kem atau risiko perpecahan semua parti berhadapan dengan masalah dalaman tetapi nampaknya mereka jauh ‘lebih jantan’ berbanding UMNO?
Adakah kebimbangan perpecahan yang dinyatakan oleh pemimpin kanan UMNO membuktikan perangai pemimpin dan ahli-ahli parti itu jauh lebih buruk daripada parti-parti lain?
Kasihan ahli-ahli UMNO apabila diberikan gambaran secara terbuka oleh pemimpin mereka berhubung ‘perangai buruk’ yang akan berlaku jika pemilihan diadakan. Sepatutnya, pemimpin UMNO mempunyai keyakinan dan kepercayaan bahawa parti itu tidak akan berpecah belah kerana pemilihan.
Berikutan pandangan seperti itulah ia memburukkan imej UMNO yang mungkin akan ditafsirkan sebagai parti yang suka berebut kuasa sehingga pemilihan yang dilaksanakan secara demokrasipun mereka boleh berpecah belah.
Kalaulah pemilihan dianggap boleh membawa perpecahan, tak kanlah pemimpin-pemimpin hebat seperti Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh mengendalikan keadaan dan menyelesaikannya sebelum pilihan raya berlangsung? Jika masalah perpecahan dalam parti pun tidak boleh diuruskan macam mana mahu menguruskan negara?
Sebenarnya apabila kepemimpinan UMNO menangguh dari semasa ke semasa pemilihan atau dilihat takut mengadakan pemilihan, ia hanya akan mewujudkan cakap-cakap termasuklah dakwaan bahawa kalau pemilihan diadakan Ahmad Zahid belum tentu dapat mempertahankan kedudukannya.
Tambahan pula ketika ini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri. Kalau mengikut tradisi Presiden UMNO adalah Perdana Menteri, jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum. Apa salahnya kalau ahli-ahli parti memilih Ismail Sabri sebagai Presiden UMNO? Apakah beliau tidak layak berada di kedudukan itu?
Mungkin cakap-cakap begitu tidak menyenangkan Ahmad Zahid dan penyokong-penyokong tetapi inilah politik. Orang akan membuat pelbagai andaian, kalau mereka melihat agak aneh bila parti lain buat pemilihan, UMNO pula mahu menangguhkannya.
Seperkara lagi, kenapa perlu memberitahu Ismail Sabri supaya perhatikan permohonan UMNO kepada RoS? Apa maksudnya? Adakah kepemimpinan UMNO bimbang memandangkan Menteri Dalam Negeri bukan daripada UMNO?
RoS menjalankan tugas dan tanggungjawab secara profesional.Kalaulah permohonan UMNO itu mematuhi apa yang diperuntukkan undang-undang sudah pasti, RoS tidak ada masalah untuk meluluskannya, tetapi kalau ia tidak bertepatan undang-undang sudah pastilah akan tolak. Ia sama sekali tidak ada kaitan dengan keputusan politik.
Bagaimana kalau selepas ini parti-parti lain juga akan membuat permohonan sepertimana dilakukan oleh UMNO? Bagaimana RoS mahu menanganinya?
Oleh itu kalau UMNO mahu membuat permohonan kepada RoS, buat sahaja tidak perlu minta Perdana Menteri ‘perhatikan’, Perdana Menteri pun pasti akan mengikut apa yang ditentukan oleh undang-undang, jika tidak beliau akan menjadi ‘mangsa serangan dan kecaman’.
Kesimpulannya, semua pandangan atau persepsi itu wujud hanya kerana UMNO ‘tidak berani’ melaksanakan pemilihan. Jika UMNO mencontohi parti-parti lain sudah pasti tidak ada masalah apa-apa tetapi rupa-rupanya apabila salah satu sayap parti itu bercakap ‘lebih jantan’, UMNO sendiri nampaknya ‘kurang kejantanannya’.
Justeru UMNO tidak harus ‘bersilat lidah’ atau melakukan apa-apa manuver dalam soal pemilihan parti itu, bila sampai tempohnya buat sahaja pemilihan, siapa yang layak biarlah ahli-ahli UMNO tentukan, beranilah sikit hadapi kenyataan biar apapun keputusannya…tak kan nak seronok menang PRN sahaja.
Akhirnya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang berusia 81 tahun dan sudah 56 tahun berkecimpung dalam politik mengumumkan persaraannya.
Kit Siang membuat pengumuman itu dalam Kongres DAP yang diadakan di IDCC, di Shah Alam pada Ahad. Serentak dengan pengumuman itu, Kit Siang tidak akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang sama ada di peringkat Parlimen atau DUN.
Walaupun sudah membuat keputusan bersara, legasinya tetap diteruskan apabila anaknya Lim Guan Eng telah dipilih menjadi Pengerusi DAP Kebangsaan.
Pada pandangan Tok Chey, pengumuman Kit Siang itu adalah pembuka jalan kepada pemimpin lain yang sudah terlalu lama dalam politik untuk mengikut langkah serupa. Ini kerana, negara kita memerlukan pemimpin baru untuk diketengahkan dan bukannya berkisar mengenai muka-muka lama yang tidak lagi relevan.
Orang pertama yang wajar mengikuti langkah itu ialah Tun Mahathir Mohamad kerana beliau juga sudah terlampau lama memenuhi setiap segenap penjuru kisah politik dalam negara kita. Tok Chey tidak nafikan jasanya amat besar tetapi penglibatannya dalam politik boleh dikatakan sudah berlebihan dan adalah lebih baik beliau bersara secepat mungkin.
Dengan keadaan kesihatannya ketika ini, adalah lebih afdal soal politik diserahkan secara total kepada anaknya Mukhriz.
Mukhriz pun sudah berpengalaman dalam berpolitik dan boleh meneruskan gagasan Mahathir menghidupkan parti Pejuang yang semakin malap. Begitu juga dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang sudah tidak lagi relevan untuk menjadi peneraju parti itu susulan semakin lama makin hilang sokongan daripada rakyat.
Semenjak Anwar mengemudi parti itu dari luar penjara, PKR dilihat makin berpecah dan hilang arah tujuan. Pemimpin muda dalam PKR yang dulunya ‘solid’ berjuang untuk parti juga tidak ‘sekepala’ dalam banyak isu.
Berdasarkan pemerhatian Tok Chey, PKR lebih kukuh dan disenangi rakyat ketika ia dipimpin oleh isteri Anwar iaitu Wan Azizah Wan Ismail.
Oleh kerana Wan Azizah pun sudah ‘lama’, maka lebih baik Anwar menyerahkan kepimpinan PKR kepada anak perempuannya, Nurul Izzah bagi melengkapkan trend pemimpin lama bersara dari politik dan menyerahkan kepimpinan kepada anak masing-masing.
Akhir sekali yang sepatutnya dari awal-awal lagi tanpa berlengah perlu bersara dari politik dan tidak perlu menunggu hingga umur tua ialah dua watak tumpuan dalam UMNO ketika ini. Mereka berdua perlu bersara lebih awal kerana berhadapan dengan isu integriti.
Pertamanya, Najib Razak yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. Kerana kesalahan- kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Seorang lagi ialah Zahid Hamidi yang telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Oleh itu sedar-sedarlah diri dan berilah peluang kepada pemimpin lain untuk menerajui parti.
*Tok Chey adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
ISU dan kontroversi terbaharu yang melanda industri hiburan tanah air seolah-olah mengulangi skrip lama yang tidak pernah terpadam.
Walaupun ditegur, dikritik, tetapi isu membabitkan unsur-unsur moral khususnya adegan keghairahan dan unsur seks melampau tetap berlaku dalam industri ini.
Dalam perkembangan terbaharu, penulis berpendapat kemarahan netizen terhadap klip video adegan panas sebuah drama dikongsi oleh pelakon, Zul Ariffin dan aktres Siti Hariesa di laman Instagram milik kedua-duanya tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak memiliki kesedaran tinggi dan nawaitu sebenar mengenai peranan mereka.
Ketika berhadapan dengan dasar langit terbuka ini, usah terlalu cepat dikongsikan sesuatu karya yang bersifat murahan apatah lagi ia membabitkan nilai-nilai moral.
Alasan babak berkenaan merupakan versi kedua yang dirakam untuk tujuan publisiti juga tidak seharusnya wujud dalam industri ini sekiranya kita berkarya mengikut acuan adat, budaya dan berpaksi kepada agama di negara ini.
Sebagai pekerja atau anak seni, apakah sebenarnya peranan kita dalam membantu masyarakat?
Dalam berkarya, kenapakah kita masih terus berkiblat ke barat tanpa memikirkan kesan sampingan atau mengambil kira nilai-nilai budaya kita?
Tidak berseni atau tidak ada nilai estetikakah karya seni kita sekiranya babak rogol tidak ditonjolkan adegan buka pakaian sehingga yang di dalamnya lalu menunjukkan aksi mengghairahkan?
Walaupun pengarah drama, Ain Sharif mengatakan adegan berkenaan sebagai rakaman kedua iaitu ‘scene director cut’ yang mungkin tidak ditayangkan di televisyen, namun bagi penulis ia tidak perlu dirakam pun.
Di Malaysia tidak sesuai dibuat publisiti murahan seperti itu, apatah lagi drama bertajuk ‘Perempuan Itu’ untuk disiarkan di kaca televisyen pada bulan Ramadan ini.
Sebagai penggiat seni, janganlah pula kita dikaitkan bekerja seperti ingin ‘melacurkan’ seni yang akhirnya ia menjadi hampas, sekali gus terpalit kepada orang lain pula.
Isu ini mengingatkan penulis terhadap amaran diberikan oleh bekas Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat (kini Allahyarham) pada tahun 1993 lalu yang meminta semua pengusaha filem dan drama televisyen tempatan mematahui peraturan ditetapkan, iaitu tidak membenarkan memaparkan adegan tidak sihat.
Mohamed ada menjelaskan, antara adegan tidak dibenarkan ialah melibatkan keganasan, tahyul dan seks.
Sekiranya tidak mematahui peraturan tersebut sesebuah filem atau drama itu akan diharamkan.
Maka, ketika itu riuh rendahlah suara para penggiat industeri filem dan drama di negara ini.
Menurut Mohamed, peraturan dibuat untuk memastikan matlamat negara yang mahu mewujudkan nilai-nilai sihat dalam kalangan rakyat akan tercapai.
Malah, kata Mohamed, peraturan itu sudah diterima Kabinet dan diguna pakai oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) dalam penapisan semua rancangan televisyen yang diterbitkan pengusaha tempatan dan juga luar negara.
Persolannya, apakah peraturan tersebut masih berkuat kuasa sehingga kini atau terdapat pekerja di LPF yang tertidur sewaktu menilai sesebuah filem atau drama?
Ini kerana, kebanjiran filem, drama dan rancangan televisyen luar negara yang semakin melambak menerusi kaca televisyen di negara ini sekarang seolah-olah tidak bertapis, unsur- unsur moral dan keghairahan melampau semakin banyak disiarkan.
Berbalik kepada isu Zul Ariffin diserang netizen selepas dia memuat naik babak panas drama lakonannya di laman sosial pada Jumaat lalu di mana klip video yang dimuat naik itu memperlihatkan pelakon itu sedang mendukung Siti Hariesa dari depan yang dianggap keterlaluan, seolah-olah babak lucah dan tidak sesuai untuk tayangan umum.
Bagi penulis, kalau ingin menjadikan drama lebih menarik tidak semestinya kita turut memaparkan adegan yang bertentangan dengan nilai-nilai agama kita.
Malah melalui klip video yang dipaparkan itu, ia turut mendapat teguran daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Idris menerusi hantaran di Facebooknya Sabtu lalu menyifatkan paparan klip video itu sebagai melampaui batas dan perlu ditegur.
Oleh itu, Idris akan menghubungi pihak terbabit bagi mendapatkan nasihat agar perkara tersebut boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.
Menurut Idris, apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar takwa, namun seolah dicemari dengan kegusaran yang dianggap melampui batas dan perlu ditegur.
Selain Ain Sharif, drama 30 episod berdasarkan skrip Erma Fatima itu turut diarahkan Isma Yusof.
Turut membintangi drama yang bakal disiarkan di TV3 itu ialah Mimi Lana.
NASIB baik drama ‘mendapatkan persetujuan sebulat suara’ daripada para perwakilan tidak berlaku pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020, Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan soalan kepada perwakilan tentang isu memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
Melihat kepada hebatnya asakan beliau dan para pembahas yang menggesa agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen segera, terdapat kemungkinan episod serupa berulang.
Namun, situasi itu tidak berlaku kerana Ismail Sabri dalam ucapan penggulungannya sebagai Naib Presiden UMNO terlebih dahulu menegaskan bahawa lima pemimpin tertinggi parti termasuk Ahmad Zahid perlu berbincang dahulu berhubung gesaan membubarkan Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Kalau top 5 UMNO bersetuju sekali pun, ia tidak bermakna Ismail Sabri boleh terus mempersembahkan syor pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.
Perlu dibawa dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terlebih dahulu, kemudian baru dibawa ke Kabinet yang turut dianggotai pemimpin-pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ahli Parlimen Bera itu kelihatan tenang ketika memberi penjelasan tentang isu pembubaran Parlimen walaupun terdapat laporan media berhubung penyebaran surat layang semasa Perhimpunan Agung UMNO yang mengecam beliau serta mendesak PRU-15 segera diadakan.
Selain itu, Ismail Sabri membentangkan langkah-langkah yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan mulai 1 April ini sebagai maklumbalas terhadap usul-usul yang dikemukakan oleh UMNO.
Antaranya pelaksanaan gaji minimum RM1,500, mengarahkan bank melaksanakan debit dari akaun bekas suami yang gagal memberi nafkah bulanan kepada bekas isteri, pengeluaran caruman KWSP RM10,000 dan pembayaran ex-gratia RM1.5 juta kepada keluarga anggota bomba yang terkorban dalam insiden rusuhan, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Boleh dikatakan ucapan penggulungan Ismail Sabri adalah lebih berisi dan lebih padu berbanding ucapan penggulungan Ahmad Zahid yang seolah-olah tiada apa yang menarik selain menyakat Tok Mat tentang kemungkinan menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Pemerhati politik melihat ucapan penggulungan Ismail Sabri sebagai satu penegasan bahawa keberadaan beliau dalam UMNO tidak seharusnya diperlekehkan.
Memang benar Ahmad Zahid berkuasa sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) namun setakat itu sahajalah.
Hakikatnya, Ismail Sabri merupakan pemimpin nombor satu dalam kerajaan dan segala usul yang dibawa oleh UMNO tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kelulusan Kabinet yang diketuai beliau.
Ahmad Zahid juga mesti ingat bahawa UMNO bukan satu-satunya parti yang membentuk kerajaan dan kembalinya pemimpin BN sebagai Perdana Menteri adalah hasil persetujuan pemimpin-pemimpin PN dan GPS.
Zaman UMNO dan BN menjadi ‘abang besar’ dalam gabungan parti pemerintah sudah lama berakhir. Terimalah hakikat itu biarpun pahit untuk ditelan.
Tebuan Tanah (TT) nak ketawapun ada bila tengok gelagat pemimpin-pemimpin UMNO bercakap pasal bila mereka nak pilihan raya. Beberapa hari sebelum hari pengundian PRN Johor, Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi kata, PRU-15 kena buat sebaik sahaja MoU dengan pembangkang tamat Julai ini.
Malam tadi pula, Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat Hasan pula kata, PRU-15 perlu disegerakan. Sambil berderet alasan beliau beri, Tok Mat Hasan kata tak boleh tunggu tahun depan. ‘’Momentum apa lagi BN tunggu’’, kata beliau.
TT faham, UMNO dan BN berada dalam keterujaan menang dua PRN dan keghairahan untuk singkirkan musuh-musuh politik yang dianggap lemah atau mungkin juga nak singkirkan pemimpin yang dianggap ‘gunting dalam lipatan’ melalui PRU tetapi jangan sampai menampakkan ‘kelunturan’ dalam bab-bab strategi.
Sepatutnya, desakan atau gesaan minta buat PRU segera ini bincang senyap-senyap dalam parti, bukan heboh satu dunia tahu. Tu baru strategi, ini tidak buat kenyataan terbuka..cakap pula ni waktu terbaik sebab pembangkang dan parti lawan tengah lemah..kenapa nak bagi peluang mereka susun barisan?…aduh..
Sebab itu, TT sokong apa yang Annuar Musa kata, ‘’…tidak pernah soal tarikh pilihan raya ini dibincang secara terbuka. Seingat sayalah, ini Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke 41 saya hadir, tarikh pilihan raya tidak diputuskan secara terbuka kerana ia satu strategi parti yang sangat penting.’’
Betul, itu strategi parti…yang Ahmad Zahid dan Tok Mat Hasan…ghairah sangat cakap pasal perkara itu kenapa? TT tak kisah, kalau desakan tu datang daripada pemimpin-pemimpin peringkat bawah, tetapi ini Presiden dan Timbalan Presiden.
Kalaupun hujah mereka, kerajaan sekarang bukan kerajaan UMNO walaupun PM daripada UMNO tetapi itu bukan alasan nak cakap bila mahu PRU-15. Lagi pula sama ada Parlimen boleh dibubarkan atau tidak, ia perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Perdana Menteri. Tak kan pemimpin UMNO tidak belajar-belajar lagi apa yang berlaku dalam pelantikan MB Johor baru-baru ini.
Jadi janganlah bincang secara terbuka bab PRU-15 ni, apatah lagi siap desak lagi kena buat segera. Seperti mana kata Annuar;
‘’Apabila dibincang secara terbuka, ia mendahului bidang kuasa Agong. […] Satu daripadanya (bidang kuasa Agong) ialah menerima atau menolak pembubaran parlimen.
“Jadi soal pembubaran parlimen tak boleh dibincangkan di luar konteks perlembagaan negara. Sebab itu pada saya tarikh cepat atau lambat elok dibincangkan pucuk pimpinan secara tertutup dan mengekalkannya sebagai satu strategi parti bukan untuk bercakap secara terbuka.’’
TT nak ingatkan pemimpin-pemimpin UMNO dalam soal PRU ini, sejak dulu bila PRU mahu dibuat tu rahsia strategi terbesar parti. Dulu tak ada mana-mana pemimpin tertinggi UMNO yang cakap secara terbuka pasal benda tu. Kalau wartawan tanya pun, mereka akan jawab, ‘’tunggu saja, sabar…’’, ‘’tak lama lagi’’. Apabila berucap pula, mereka akan minta ahli-ahli parti bersedia menghadapi PRU…tapi tak sebut pun nak bila?
Bila mereka jawap atau cakap macam itu, semua orang dok meneka-neka bila termasuk pembangkang…tu barulah pemikiran strategik. Ni tak…siang malam dok ‘meratib’ nak PRU segera, nak PRU segera…sampai orang tanya..UMNO ni kerja nak buat pilihan raya saja ka?
Yang pelik paling pelik, dok ghairah nak PRU..macam berani sangat…nak buat dalam pemilihan parti ‘macam takut’ pulak? Patutnya buatla pemilihan dulu…sekarang pun dalam UMNO tengah ‘’feel good factor’’…sebab dah menang beberapa PRK dan dua PRN…mesti team kepemimpinan sedia ada akan dapat sokongan.
Kalau pemimpin UMNO hujah, kerajaan sekarang tak stabil sebab tak ada mandat rakyat…dalam UMNO pun ada cakap-cakap kalau pemilihan parti buat…kepemimpinan sedia ada belum tentu dapat sokongan…betul ke?
*Siapa poster boy atau calon PM daripada UMNO?
Dalam keterujaan dan keghairahan semakin membuak-buak pemimpin UMNO nak buat PRU-15…TT nak tanya..siapa akan jadi ‘poster boy’ atau calon PM daripada UMNO?
Selama ini, pemimpin UMNO dok canang…PAU (Perhimpunan Agung UMNO) adalah suara akar umbi UMNO..apa yang diputuskan oleh PAU kena ikut…jadi bolehlah kalau masa PAU ni, perwakilan sebut siapa mereka mahu jadi ‘poster boy’ UMNO.
Janganlah dok ghairah sebut bila nak PRU-15 tetapi bila bab siapa ‘poster boy’ terus ‘lidah kelu’…silap-silap ada yang kata tu ‘strategi’ UMNO tak boleh umum. Aikk…
TT rasa lebih baik, UMNO umum dulu siapa ‘poster boy’ BN. Bukan apa, TT dengar macam-macam cerita. Konflik dalaman UMNO bagaikan ‘bom jangka’ yang tunggu saja akan cetus perang saudara. Khabarnya ada sampai lima puak dalam parti itu, betul ke? TT tanya saja sebab, TT kasihan kat ahli-ahli akar umbi.
Patutnya bila pemimpin dok desak nak PRU, mestilah UMNO dah ada calon untuk jadi PM. Adakah orang yang jadi Presiden UMNO? Adakah orang yang jadi Timbalan Presiden UMNO? Adakah orang yang jadi PM sekarang? Atau adakah bekas Presiden UMNO?
Semua ini pemimpin UMNO kena jawab supaya rakyat boleh buat penilaian. Janganlah berdegar-degar desak PRU, tapi bila orang tanya sapa calon PM daripada UMNO…terus diam.Pemuda UMNO yang lantang bidas orang itu, kecam orang ini…tiba-tiba ‘senyap’.
TT harap, kepemimpinan UMNO yang mempunyai keyakinan cukup tinggi nak minta pilihan raya, umumlah siapa ‘poster boy’ parti itu semasa PAU yang tengah berlangsung, senang sikit perwakilan bila pulang nak maklumkan kepada ahli-ahli di peringkat umbi. Tidak kira siapapun yang dipilih, umum saja…jangan malu-malu.
*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.
SERONOK sungguh, Barisan Nasional (BN) dan UMNO meraikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu hinggakan ketika Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob masuk ke Bilik Gerakan BN, laungan bubar Parlimen bergema.
Kelompok yang terjerit-jerit macam ‘kera kena belacan’ dan ‘kuntilanak tak dapat jejak tanah’ tu, tak beradab langsung buat kat PM macam tu. Ismail Sabri bukan sekadar Naib Presiden UMNO tetapi PM, jadi hormatlah sikit. Kalau seronok sangatpun tak payahlah buat macam tu. Menang kat Johor tu pun nasib sebab ramai tak keluar mengundi. Ada orang UMNO bagi tau kat Tebuan Tanah (TT), kemenangan tu tak boleh jadi ukuran UMNO dan BN dah kuat.
Bagaimanapun kegembiraan mereka, mungkin dah tukar sedih bila Hasni Mohammad yang menjadi ‘poster boy’ BN ‘memberi laluan’ kepada orang muda untuk menjadi Menteri Besar. ‘Beri laluan’ itu bahasa halus, apa sebenarnya berlaku bukan rahsia lagi.
ADUN Machap Onn Hafiz Ghazi dipilih jadi MB. Dan ia mendapat perkenan Sultan Johor. Jadi kepemimpinan UMNO kena hormat perkenan baginda. Tak payah lah nak buat isu lagi. Sebaliknya, ahli-ahli UMNO patut minta Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN bertanggungjawab berikutan apa yang berlaku.
Tak kan Ahmad Zahid tak tahu pelantikan MB harus mendapat perkenan Sultan? Tak kan Ahmad Zahid ‘tak check’ dengan golongan cerdik pandai, wajar atau tidak, BN umum ‘poster boy’ atau calon MB. Memang patut Shahrir Abdul Samad berasa malu kerana ketawakan PN dan PH pasal tak umum calon MB.
Kepemimpinan PN,PH dah tahu…menang dulu PRN, lepas tu serah nama calon-calon MB kepada Sultan, sebab siapa MB kena dapat perkenan Sultan terlebih dahulu. Apabila dah serah nama kepada tuanku Sultan, biarlah baginda putuskan, siapa yang baginda perkenankan..hormati saja…jangan cetus kontroversi lagi.
Sekarang Sultan Johor dah perkenan Onn Hafiz jadi MB…cukuplah ‘tutupla buku’. Buat apa nak ‘merajuk’ sampai ada kata perwakilan UMNO Johor tak nak berbahas masa dalam perhimpunan agung UMNO esok. TT tak pasti apakah mereka betul-betul akan buat macam tu cuma TT nak nasihatkan mereka… ”usah cari masalah”.
Kalau itu berlaku makna Ahmad Zahid gagal kawal suasana dalam pasti sendiri. Dok gempak gempita cakap pasal kestabilan…parti sendiri berantakan. Dah ada yang cakap-cakap kalau Ahmad Zahid tak minta perkenan Sultan Johor untuk bubar DUN…dah pasti Hasni masih MB sampai penggal berakhir.
Sama ada cakap-cakap tu betul atau tidak, Ahmad Zahid kena la bagi penjelasan dalam perhimpunan agung UMNO. Sebab sekarang orang tengok bila tercetus isu pelantikan MB Johor, UMNO nampak buruk…tambah pula Ahmad Zahid bawa Akuan Bersumpah 39 ADUN yang sokong Hasni kekal jadi MB…tetapi Tuanku Sultan menggunakan kebijaksanaan baginda melantik Onn Hafiz.
Jadi daripada mana-mana pemimpin UMNO nak jadikan perhimpunan agung UMNO sebagai peluang terbaik nak beri tekanan kepada Ismail Sabri untuk bubar Parlimen…lebih baik mereka minta Ahmad Zahid bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Johor…ada berani?
Politik Hasni akan lebih cemerlang…
TT kenal Hasni Mohammad semasa beliau Ketua Pemuda Johor pada tahun 1998. Kerap juga masa tu jumpa beliau sembang-sembang politik. Sejak awal lagi kenal beliau, TT memang tahu Hasni ni ahli politik yang bijak dan baik…tak suka bermusuh dengan sesiapa dan rajin bekerja.
Jadi bila Hasni tak lagi menjadi MB walaupun menjadi salah satu faktor utama BN menang besar di Johor, TT pun turut bersimpati. Tetapi nak buat macam mana, Hasni sendiripun redha untuk beri laluan kepada orang muda seperti Onn Hafiz Ghazi untuk ambil alih jawatan MB Johor (walaupun macam-macam cerita bertebaran selepas beliau berkata demikian dalam satu kenyataan).
Ramai terkejut bila Hasni tak jadi MB lagi. Memang patut terkejut pun sebab masa PRN, TT ada di sana tengok rakyat Johor memang selesa dengan beliau. Mereka hormat dan kagum dengan kepemimpinan beliau. Tetapi nak buat macam mana Hasni tak ada rezeki nak terus jadi MB.
Namun TT yakin tidak menjadi MB bukan bermakna ‘dunia politik’ Hasni sudah berakhir, sebaliknya ia pasti ada hikmahnya. Lagipun Hasni meninggalkan kerusi MB bukan seperti mana Khaled Nordin dalam PRU-14. Sebaliknya Hasni menerajui BN untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam PRN pada 12 Mac lalu.
Justeru TT percaya lepas ini Hasni akan lebih cemerlang di peringkat pusat pula. Hasni boleh menjadi calon favourite untuk jawatan Naib Presiden UMNO atau lebih tinggi lagi Timbalan Presiden UMNO. Oleh itu TT harap penyokong-penyokong bekas MB Johor itu janganlah kecewa sangat.
Mereka perlu atur strategi daripada sekarang untuk meningkatkan lagi perjalanan politik Hasni. Lepas ni Hasni kena bertanding di kerusi Parlimen pula. Hasni kena jadi pemimpin pelapis UMNO dari Johor di peringkat pusat. Tak ada orang lain dah…
Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan.
Tok Chey sebelum ini memang sokong UMNO dan BN. Parti itu memang banyak jasa kepada rakyat dan negara.
Di kampung Tok Chey pun UMNOlah satu-satunya parti yang dapat tolong ahlinya dalam apa masalah sekalipun.
Sudah terbukti UMNO mempunyai gerak kerja yang tersusun bermula daripada proses bantuan bencana hinggalah kepada gerak kerja sewaktu pilihan raya.
Semuanya kerana sokongan akar umbi yang kuat terhadap parti politik tertua dalam sejarah negara. Ahli-ahlinya juga setia dan tidak mudah terpesong prinsip pegangan politik seperti ahli parti politik lain.
Tidak dapat dinafikan ramai pemimpin dalam UMNO yang bagus-bagus dan boleh diharap untuk membela rakyat dalam waktu susah.
Cumanya apabila UMNO dikuasai oleh ‘kluster mahkamah’ iaitu orang yang terpalit dengan kes jenayah rasuah dan salah guna kuasa, maka Tok Chey rasa pemimpin UMNO lain yang bersih perlu bangkit bersuara. Tidak perlu Tok Chey sebutkan nama mereka, tapi semua ahli dan pemimpin UMNO dapat meneka siapa mereka yang bermasalah itu.
UMNO tidak boleh melupakan luka lama ditolak rakyat gara-gara tindakan ‘kluster mahkamah’ yang mengheret parti itu jatuh ke tahap paling lemah.
Oleh itu, Tok Chey harap sangat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 16 hingga 19 Mac ini menjadi medan terbaik untuk mendesak ‘kluster mahkamah’ supaya berundur dan memberikan ruang kepada muka baharu untuk mentadbir UMNO.
Usah dibuai dengan kejayaan beberapa pilihan raya negeri (PRN) untuk terus mengekalkan muka-muka pemimpin yang terpalit dengan kes dan pendakwaan mahkamah kerana keputusan yang diperolehi pada PRN sebelum ini bukan gambaran mutlak UMNO-BN disukai rakyat.
Contohnya pada PRN Johor Sabtu lalu, berdasarkan undi popular, daripada keseluruhan 1,426,573 orang yang keluar mengundi, 599,753 orang sahaja yang menyokong BN manakala 826,820 orang lagi mengundi parti lain.
Dari segi peratusan pula, jumlah undi yang BN perolehi ialah 43.11 peratus manakala 56.89 peratus lagi mengundi parti selain BN.
Pada PRN Johor juga, sejumlah 1,173,224 pengundi tidak turun membuang undi dan Tok Chey tidak dapat meneka apa pola pengundian mereka sama ada mereka akan menyokong BN, parti lain atau membuat undi protes.
Begitu juga dengan kemenangan pada PRN Melaka sebelum ini, ia disumbangkan oleh peratusan keluar mengundi yang rendah.
Jika jumlah keluar mengundi tinggi seperti mana pada PRU14, adakah BN mampu memperoleh kemenangan?
UMNO-BN bernasib baik menang kerana parti lain berpecah dan bagaimana jika parti lain dapat bersatu dan bekerjasama saat-saat akhir untuk menumbangkan BN?
Oleh sebab itu, UMNO perlu cepat-cepat membersihkan parti itu kerana medan PAU kali ini adalah peluang terbaik untuk benar-benar membebaskan UMNO daripada belenggu isu integriti.
Jangan hanya fokus kepada untuk mendesak PRU15 kerana kunci untuk membubar Parlimen ada di tangan pemimpin UMNO sendiri.Bila-bila masa sahaja ia boleh dibuat.
Tok Chey harap sangat pemimpin muda yang sayangkan UMNO, yang memang ikhlas berjuang demi bangsa dan agama, yang jujur dan amanah segera bertindak untuk membersihkan UMNO.
Lagipun UMNO tidak akan mati, atau berkubur malah akan lebih hebat jika bebas daripada pemimpin bermasalah itu.
Berubahlah, dan bertindak dari sekarang kerana jika tidak, UMNO perlu melalui satu lagi episod duka ditolak rakyat pada PRU15.
Dan apabila terjadi lagi pada masa itu, amatlah sukar untuk UMNO kembali bangkit.
*Ismail Sabri perlu tegas, kalau tak mahu jadi PM paling singkat
TT berpendapat laungan bubar oleh segelintir penyokong BN ketika Ismail Sabri Yaakob memasuki ruang bilik gerakan parti itu di Johor baru-baru ini adalah isyarat awal kepada Perdana Menteri bahawa banyak lagi tekanan yang beliau akan hadapi daripada parti sendiri untuk membubarkan Parlimen.
Mungkin agak keterlaluan tetapi TT dok fikir-fikir, Ismail Sabri tidak ada kemampuan untuk menahan gelombang itu jika beliau tidak tunjuk ketegasan untuk melawan arus tersebut.
TT percaya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula esok akan jadi gelanggang untuk kelompok tertentu beri tekanan kepada Perdana Menteri buat PRU-15 segera. Khabarnya, geng-geng dalam UMNO dah tak sabar nak buat PRU-15 selepas menang PRN di Melaka dan terbaru di Johor.
UMNO tahu kalau buat PRU-15 sekarang mereka ada kelebihan, peratusan undi mungkin rendah disebabkan rakyat semakin muak dengan politik. Bila perasaan itu wujud, mereka tak nak keluar mengundi, kalau itu berlaku BN akan menang mudah seperti mana di Melaka dan Johor.
TT nak tanya perlukah Ismail Sabri ikut rentak partinya? Ismail Sabri tu PM kepada seluruh rakyat Malaysia bukannya nak layan UMNO saja. Jadi Ismail Sabri tak boleh teragak-agak…beliau kena tunjuk ketegasan, kalau PRU-15 belum sesuai lagi, jangan buat.
Lagipun dah ada perjanjian kena berunding dengan parti-parti dalam kerajaan sebelum nak bubarkan Parlimen, tak boleh buat macam kat Johor, sekutu pun tak tahu DUN nak bubar.
TT percaya, kalau Ismail Sabri tak ikut apa yang UMNO putuskan khususnya melalui PAU…kedudukan beliau ‘dalam bahaya’. Kita akan tengok semula adegan ‘tarik sokongan’ oleh ahli Parlimen UMNO sepertimana dialami oleh Muhyiddin Yassin sebelum ini…alasan mereka demi mewujudkan kerajaan stabil, mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat…paling klasik pemimpin UMNO akan kata ‘itu kehendak akar umbi’..
Sama ada, Ismail Sabri mampu bertahan atau tidak, pilihan di tangan beliau. Ismail Sabri kena atur strategi bagaimana mahu menangani desakan UMNO untuk bubar Parlimen jika tak mahu jadi PM paling singkat dalam sejarah!
*Bila Puad mula ‘berkepak’…
TEBUAN Tanah (TT) dah agak Puad Zarkashi mesti ‘serang’ Muhyiddin Yassin dan Bersatu bila BN menang di PRN Johor. Puad ‘makin berkepak’ bila beliau sendiri menang di DUN Rengit dengan majoriti 1,920 undi.
Pesaing beliau dari Bersatu adalah muka baru, Mohammad Huzair Lajis – tak pernah pun bertanding dalam pilihan raya, tak pernah pun jadi ketua bahagian, apatah lagi jadi Timbalan Menteri, tetapi beliau berjaya memperolehi 5,983 undi manakala Puad 7,902 undi. Calon PKR, Khairuddin A Rahim pula dapat 2,065 undi.
Di DUN Rengit, peratusan keluar mengundi 59.5 peratus. Jumlah undi keseluruhan 16,157 undi. Puad kuasai 48.91 peratus. Mohamad Huzair (37.03 peratus) dan Khairuddin A.Rahim (12.78 peratus).
Dari angka-angka ni, Puad tak payah ‘berkepak’ sangat’.Betul, kalau lebih satu undi pun Puad menang. Tetapi kalau tengok ‘kerajinan’ Puad yang sejak penubuhan Kerajaan PN kemudiannya sekarang UMNO jadi PM, dok ‘serang’ Muhyiddin habis-habisan, patutnya Puad dapat lebih banyak undi.
Masa PRU-14, Ayub Jamil -yang ramai kecewa bila beliau tak dipilih pertahan DUN Rengit – mendapat 9,642 undi daripada jumlah undi keseluruhan 17,157 undi dan menang dengan majoriti 4,172 undi. Kena ingat ketika itu, politik negara dilanda gelombang perubahan.
Tetapi disebabkan Ayup popular, beliau mampu bertahan walaupun undi majoriti kurang sikit berbanding 2013, namun tak ada la daripada sekitar 4,000 undi turun sampai 2,000…patutnya bila tak ada gelombang dan dengan jumlah keluar mengundi lebih kurang saja, Puad boleh dapat lebih daripada 1,920 undi.
Namun itu tak berlaku…kenapa ya? Jadi kalau Puad nak terus ‘berkepak’ sebab dah menang kat DUN Rengit, silakan. Cuma nak tanya Puad, semasa beliau kalah di kerusi Parlimen Batu Pahat dalam PRU-13 dan tak bertanding pada PRU-14 tapi gagal bantu UMNO rampas kembali kerusi itu, kenapa Puad tak letak jawatan sebagai Ketua Bahagian? Bermaruahkah Puad membiarkan kerusi Parlimen Batu Pahat terus dikuasai parti lain.
Satu kerusi Parlimen pun Puad tak boleh nak jaga, dok ‘berkepak’ nak cabar Muhyiddin dan menteri Kabinet Bersatu letak jawatan.
Patutnya Puad suruh pemimpin UMNO Johor yang kata ‘nak tanam’ Muhyiddin dan Bersatu dalam PRN Johor letak jawatan sebab mereka gagal capai misi itu. Walaupun menang tiga kerusi, Bersatu beri saingan segi kat 26 DUN lain. Kalau peratusan mengundi keluar lebih tinggi…mungkin keputusan berbeza.
Bagaimanapun Allah SWT tentukan segala-galanya dan sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya…jadi Puad jangan angkuh sangat…apatah lagi PRU adalah gelanggang berbeza…
*Tebuan Tanah (TT) adalah penganalisis politik yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.
Tebuan Tanah (TT) tau Najib Razak rasa beliau paling popular, walaupun sudah didapati bersalah oleh dua mahkamah dan empat hakim dalam kes SRC International…ke mana saja beliau pergi ‘dilihat’ nampak sambutan.
Sebab itu Najib kata, ‘’sambutan setakat ini Alhamdulillah dan saya harap semangat ‘Bossku’ ini dapat diterjemahkan dalam undi kepada BN nanti..itu saya harap sangat.’’
Terbuktilah dalam BN tak ada lagi orang sepopular Najib, tak kisahlah, Ahmad Zahid Hamidi atau Tok Mat Hasan..semuanya tak boleh lawan populariti Najib. Zahid dilihat ‘teraba-raba’ manakala Tok Mat pula nampak tak menonjol.
Jadi TT tak terkejutlah bila dengar cakap-cakap BN terpaksa guna Najib yang dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan oleh mahkamah berkempen di kawasan kelabu.
TT tak pasti sejauh mana benda ni betul tapi kalau tengok cara Najib turun di Johor dan sebelum ni di Melaka..riak-riak itu ada, nak buat macam mana BN nak harap kat sapa lagi? Walaupun khabarnya ramai ahli-ahli UMNO di Johor tak selesa, kepemimpinan BN tak ada pilihan sebab yang penting menang.
Kalau begitu keadaannya, jika nanti BN menang besar di Johor, Najib paling layak kembali menjadi Presiden UMNO. Lagipun khabarnya majoriti ketua bahagian masih setia bersama ‘boss kau’. Bila BN menang PRU, Najib boleh jadi PM sekali lagi. Yang lain tu boleh lah terus bermimpi…
*Bangsa Johor bijak menilai antara integriti dan populariti
SEORANG sahabat TT di Johor mengeluh bila lihat ramai jugak orang yang sambut Najib Razak walaupun majoritinya dikatakan bukanlah pengundi tempatan. Tapi tak kisahlah, janji bila orang tengok gambar dalam media sosial…’boss kau’ dapat sambutan.
Sahabat TT ni bukannya tak sokong BN, dia penyokong tegar UMNO, cuma dia rasa kecewa bila tengok Najib disambut macam tu. Soal Najib tengah dalam rayuan atau tidak, itu bukan soalnya yang penting dua mahkamah dah kata dia salah, lebih buruk lagi, kes bekas Perdana Menteri – satu dunia heboh…malu Malaysia.
Bila orang dok panggil Najib dengan pelbagai gelaran, UMNO turut terima tempiasnya, tu yang sahabat TT kecewa. Sepatutnya UMNO tak lagi bergantung kepada Najib. Parti itu kena jauhkan diri daripada Najib atau mana-mana pemimpin yang ada kes mahkamah.
Malangnya kata sahabat TT, benda tu tak berlaku sebab dalam UMNO, semua orang tak berani buat langkah untuk pinggirkan Najib sebab mereka tak ada kekuatan. Jadi mahu tak mahu, mereka terpaksa ikut sahaja rentak politik Najib.
Sebenarnya bukan hanya sahabat TT yang dok bercakap pasal ‘boss kau’ ni, ramai lagi ahli-ahli UMNO pun ada perasaan yang sama. Malah ada yang cakap kat TT, 12 Mac ni, mereka tak nak keluar mengundi walaupun mereka ahli UMNO, sebabnya mereka tak nak nanti kalau BN menang, UMNO tak berubah.
Bukan mereka tak sayang UMNO, cuma kata mereka, kalau BN menang maknanya itu kemenangan untuk pemimpin ada masalah integriti. Memang betul, BN nak menang tapi kata mereka, tak payahlah bergantung kepada kelompok ‘kluster mahkamah’. Tak kan kita nak mengajar anak cucu kita untuk sanjung pemimpin yang sah-sah didapati bersalah oleh mahkamah kerana rasuah dan salahguna kuasa?
Semua pandangan tu, TT simpan dalam hati dan bermain di fikiran sepanjang masa. Tambahan pula bila tengok orang sambut ‘boss kau’ agak meriah, cuma TT dok tertanya-tanya, adakah ia akan diterjemah dalam bentuk undi, sebab bangsa Johor ada kebijaksanaan tersendiri dalam menilai antara integriti dan populariti.
*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.