MEMANG mengejutkan apabila usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Hanya perbezaan dua undi yang menyebabkan usul tersebut ditolak. Sebanyak 84 undi menyokong berbanding 86 undi tidak bersetuju.

Lebih mengejutkan, seperti yang dinyatakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi belah bahagian itu, seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Seperti yang dilaporkan Malaysiakini hari ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendakwa, seramai 31 penyokong kerajaan tidak hadir ketika pengundian dijalankan.

Tidak perlu kita persoalkan ke mana 19 lagi Ahli Parlimen kerana kemungkinan besar mereka ialah wakil pembangkang.

Kalau hadir sekali pun, mereka hanya menambah bilangan Ahli Parlimen yang menolak usul tersebut.

Yang patut dipersoalkan adalah mengapa begitu ramai penyokong kerajaan tidak berada di dalam Dewan Rakyat ketika usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu memasuki proses undi belah bahagian?

Mungkin ada yang mempunyai sebab kukuh seperti dijangkiti COVID-19 atau menjadi kontak rapat sehingga menyebabkan terpaksa menjalani kuarantin kendiri.

Setelah ditolak penyokong kerajaan yang tidak hadir dengan alasan sedemikian, jumlahnya pasti mencukupi untuk memastikan usul tersebut dapat diluluskan dan seterusnya dibentangkan ke Dewan Negara pula.

Andainya tiga penyokong kerajaan hadir dan mengundi untuk bersetuju dengan usul yang penting itu, pasti kisah-kisah susulan seperti kononnya Memorandum Persefahaman (Mou) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah terbubar tidak timbul.

Kegagalan meluluskan usul lanjutan subseksyen SOSMA sekali gus menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa berdepan kekangan dalam usaha membanteras anasir yang mengancam keselamatan negara seperti kumpulan militan dan pengganas.

Apa yang lebih membimbangkan, situasi sama bakal berulang dan dikhuatiri boleh mencetuskan krisis Perlembagaan sekiranya berlaku sebelum belanjawan negara diluluskan.

Kepada penyokong-penyokong kerajaan yang tidak hadir tanpa sebab yang kukuh petang semalam, ingatlah bahawa elaun bulanan yang mereka nikmati dibayar dengan menggunakan wang rakyat.

Kegagalan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Parlimen boleh dianggap sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Kerajaan sudah bayar elaun mereka dengan menggunakan wang rakyat, buatlah kerja betul-betul demi menghalalkan pendapatan yang diterima.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here