guane

ISU dan kontroversi terbaharu yang melanda industri hiburan tanah air seolah-olah mengulangi skrip lama yang tidak pernah terpadam.

Walaupun ditegur, dikritik, tetapi isu membabitkan unsur-unsur moral khususnya adegan keghairahan dan unsur seks melampau tetap berlaku dalam industri ini.

Dalam perkembangan terbaharu, penulis berpendapat kemarahan netizen terhadap klip video adegan panas sebuah drama dikongsi oleh pelakon, Zul Ariffin dan aktres Siti Hariesa di laman Instagram milik kedua-duanya tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak memiliki kesedaran tinggi dan nawaitu sebenar mengenai peranan mereka.

Ketika berhadapan dengan dasar langit terbuka ini, usah terlalu cepat dikongsikan sesuatu karya yang  bersifat murahan apatah lagi ia membabitkan nilai-nilai moral.

Alasan babak berkenaan merupakan versi kedua yang dirakam untuk tujuan publisiti juga tidak seharusnya wujud dalam industri ini sekiranya kita berkarya mengikut acuan adat, budaya dan berpaksi kepada agama di negara ini.

Sebagai pekerja atau anak seni, apakah sebenarnya peranan kita dalam membantu masyarakat?

Dalam berkarya, kenapakah kita masih terus berkiblat ke barat tanpa memikirkan kesan sampingan atau mengambil kira  nilai-nilai budaya kita?

Tidak berseni atau tidak ada nilai estetikakah karya seni kita sekiranya babak rogol tidak ditonjolkan adegan buka pakaian sehingga yang di dalamnya lalu menunjukkan aksi mengghairahkan?

Walaupun pengarah drama, Ain Sharif mengatakan adegan berkenaan sebagai rakaman kedua iaitu ‘scene director cut’ yang mungkin tidak ditayangkan di televisyen, namun bagi penulis ia tidak perlu dirakam pun.

Di Malaysia tidak sesuai dibuat publisiti murahan seperti itu, apatah lagi drama bertajuk ‘Perempuan Itu’ untuk disiarkan di kaca televisyen pada bulan Ramadan ini.

Sebagai penggiat seni, janganlah pula kita dikaitkan bekerja seperti ingin ‘melacurkan’ seni yang akhirnya ia menjadi hampas, sekali gus terpalit kepada orang lain pula.

Isu ini mengingatkan penulis terhadap amaran diberikan oleh bekas Menteri Penerangan, Datuk  Mohamed Rahmat (kini Allahyarham) pada tahun 1993 lalu yang meminta semua pengusaha filem dan drama televisyen tempatan mematahui peraturan ditetapkan, iaitu tidak membenarkan memaparkan adegan tidak sihat.

Mohamed ada menjelaskan,  antara adegan tidak dibenarkan ialah melibatkan  keganasan, tahyul dan seks.

Sekiranya tidak mematahui peraturan tersebut sesebuah filem atau drama itu akan diharamkan.

Maka, ketika itu riuh rendahlah suara para penggiat industeri filem dan drama di negara ini.

Menurut Mohamed, peraturan dibuat untuk memastikan matlamat negara yang mahu mewujudkan nilai-nilai sihat dalam kalangan rakyat akan tercapai.

Malah, kata Mohamed, peraturan itu sudah diterima Kabinet dan diguna pakai oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) dalam penapisan semua rancangan  televisyen yang diterbitkan pengusaha tempatan dan juga luar negara.

Persolannya, apakah peraturan tersebut masih berkuat kuasa sehingga kini atau terdapat pekerja di LPF yang tertidur sewaktu menilai sesebuah filem atau drama?

Ini kerana, kebanjiran filem, drama dan  rancangan televisyen luar negara yang semakin melambak menerusi kaca televisyen di negara ini sekarang seolah-olah tidak bertapis, unsur- unsur moral dan keghairahan melampau semakin banyak disiarkan.

Berbalik kepada isu Zul Ariffin diserang netizen selepas dia memuat naik babak panas drama lakonannya di laman sosial pada Jumaat lalu di mana klip video yang dimuat naik itu memperlihatkan pelakon itu sedang  mendukung Siti Hariesa dari depan yang dianggap keterlaluan, seolah-olah babak lucah dan tidak sesuai untuk tayangan umum.

Bagi penulis, kalau ingin menjadikan drama lebih menarik tidak semestinya kita turut memaparkan adegan yang bertentangan dengan nilai-nilai agama kita.

Malah melalui klip video yang dipaparkan itu, ia turut mendapat teguran daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Idris menerusi hantaran di Facebooknya Sabtu lalu menyifatkan  paparan klip video itu sebagai melampaui batas dan perlu ditegur.

Oleh itu, Idris akan menghubungi pihak terbabit bagi mendapatkan nasihat agar  perkara tersebut boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

Menurut Idris, apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar takwa, namun seolah dicemari dengan kegusaran yang dianggap melampui batas dan perlu ditegur.

Selain Ain Sharif, drama 30 episod berdasarkan skrip Erma Fatima itu turut diarahkan Isma Yusof.

Turut membintangi drama yang bakal disiarkan di TV3 itu ialah Mimi Lana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here