Akhirnya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang berusia 81 tahun dan sudah 56 tahun berkecimpung dalam politik mengumumkan persaraannya.

Kit Siang membuat pengumuman itu dalam Kongres DAP yang diadakan di IDCC, di Shah Alam pada Ahad. Serentak dengan pengumuman itu, Kit Siang tidak akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang sama ada di peringkat Parlimen atau DUN.

Walaupun sudah membuat keputusan bersara, legasinya tetap diteruskan apabila anaknya Lim Guan Eng telah dipilih menjadi Pengerusi DAP Kebangsaan.

Pada pandangan Tok Chey, pengumuman Kit Siang itu adalah pembuka jalan kepada pemimpin lain yang sudah terlalu lama dalam politik untuk mengikut langkah serupa. Ini kerana, negara kita memerlukan pemimpin baru untuk diketengahkan dan bukannya berkisar mengenai muka-muka lama yang tidak lagi relevan.

Orang pertama yang wajar mengikuti langkah itu ialah Tun Mahathir Mohamad kerana beliau juga sudah terlampau lama memenuhi setiap segenap penjuru kisah politik dalam negara kita. Tok Chey tidak nafikan jasanya amat besar tetapi penglibatannya dalam politik boleh dikatakan sudah berlebihan dan adalah lebih baik beliau bersara secepat mungkin.

Dengan keadaan kesihatannya ketika ini, adalah lebih afdal soal politik diserahkan secara total kepada anaknya Mukhriz.

Mukhriz pun sudah berpengalaman dalam berpolitik dan boleh meneruskan gagasan Mahathir menghidupkan parti Pejuang yang semakin malap. Begitu juga dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang sudah tidak lagi relevan untuk menjadi peneraju parti itu susulan semakin lama makin hilang sokongan daripada rakyat.

Semenjak Anwar mengemudi parti itu dari luar penjara, PKR dilihat makin berpecah dan hilang arah tujuan. Pemimpin muda dalam PKR yang dulunya ‘solid’ berjuang untuk parti juga tidak ‘sekepala’ dalam banyak isu.

Berdasarkan pemerhatian Tok Chey, PKR lebih kukuh dan disenangi rakyat ketika ia dipimpin oleh isteri Anwar iaitu Wan Azizah Wan Ismail.

Oleh kerana Wan Azizah pun sudah ‘lama’, maka lebih baik Anwar menyerahkan kepimpinan PKR kepada anak perempuannya, Nurul Izzah bagi melengkapkan trend pemimpin lama bersara dari politik dan menyerahkan kepimpinan kepada anak masing-masing.

Akhir sekali yang sepatutnya dari awal-awal lagi tanpa berlengah perlu bersara dari politik dan tidak perlu menunggu hingga umur tua ialah dua watak tumpuan dalam UMNO ketika ini. Mereka berdua perlu bersara lebih awal kerana berhadapan dengan isu integriti.

Pertamanya, Najib Razak yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. Kerana kesalahan- kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Seorang lagi ialah Zahid Hamidi yang telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Oleh itu sedar-sedarlah diri dan berilah peluang kepada pemimpin lain untuk menerajui parti.

*Tok Chey adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here