Category: Komentar

  • ‘Keangkuhan’ UMNO tolak Bersatu lemahkan kuasa politik Melayu di Melaka

    ‘Keangkuhan’ UMNO tolak Bersatu lemahkan kuasa politik Melayu di Melaka

    PENULIS  ‘agak kagum’ apabila melihat semangat berkobar-kobar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu termasuklah dalam Pilihan Raya Negeri  (PRN) Melaka Pada 20 November ini.

    Kata beliau, ‘’kita mesti menghormati ketetapan Perhimpunan Agung UMNO bahawa kita jangan dimanipulasikan untuk ditunggangi semula. Maka ketetapan itu mesti dihormati, kita tidak akan pernah bekerjasama bersama Bersatu dalam PRN Melaka. Presiden UMNO Mesti akur suara akar umbi.’’

    Penulis percaya Ahmad Zahid masih bertegas mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo waima dengan Pas pun UMNO hanya pandang sebelah mata.

    Ia memandangkan UMNO begitu yakin mereka boleh kembali memerintah negeri itu dengan alasan ‘’500,000 pengundi Melaka kini menyesali apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)’’. – Untuk rekod jumlah pengundi Melaka ialah 495,196 orang.

    Tidak mengapalah itu keyakinan Ahmad Zahid maklumlah ia berdasarkan kaji selidik yang dijalankan tetapi realitinya PRN Melaka ini akan menyaksikan senario yang berbeza.

    Apabila UMNO membuat keputusan menolak Bersatu, ia akan membuka laluan kepada pertembungan tiga penjuru – setakat ini akan melibatkan Bersatu, UMNO dan Pakatan Harapan – dan tidak mustahil boleh mencecah sehingga lima hingga enam penjuru.

    Perlu diingatkan selain UMNO, Pas, Bersatu dan PH, beberapa parti kecil juga menyatakan pendirian mereka untuk bertarung di Melaka iaitu Muda, Putra dan kemungkinan sebuah parti yang dianggotai bekas tentera.

    Justeru akibat ‘keangkuhan’ UMNO itu akan menyebabkan undi Melayu berpecah dan semua parti Melayu akan berada dalam kedudukan ‘menang sorak kampung tergadai’ – akhirnya yang akan untung ialah Pakatan Harapan.

    Sepatutnya sebagai sebuah parti Melayu, Ahmad Zahid mencari jalan bagaimana mahu mengelakkan UMNO, Pas dan Bersatu bertembung sesama sendiri.

    Tetapi nampaknya, Ahmad Zahid sudah berpatah arang dan kerat rotan dengan Bersatu. Tiada ruang dibuka kepada perbincangan walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menegaskan sedia berunding.

    Bagaimanapun Ahmad Zahid jangan ingat dengan ‘keangkuhan’ menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu ia akan menguntungkan UMNO, sebaliknya tersilap langkah parti itu sendiri akan menerima akibatnya.

    Atas sebab itulah Bersatu tidak terasa tergugat dengan keputusan UMNO malah jauh sekali sukar menerima pendirian tersebut.

    Selama ini Bersatu mahu meneruskan kerjasama di Melaka kerana memikirkan supaya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru yang akhirnya akan merugikan kesemua parti-parti Melayu.

    Namun dendam kesumat politik dengan andaian tidak mahu dipatuk ular yang sama menjadi alasan kepada Ahmad Zahid yang sememangnya sejak awal dilihat ‘mustahil’ mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

    Sudah pastilah keputusan Ahmad Zahid akan menggembirakan Pakatan Harapan termasuklah parti ‘cikgu’ Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut PKR.

    Mereka tentulah tidak perlu bersusah payah kerana UMNO sudah membuat kerja untuk mereka. Tetapi soalnya kuat sangatkah UMNO di Melaka? Adakah parti itu berada dalam kedudukan terbaik untuk kembali berkuasa?

    Penulis tidak pasti sumber kaji selidik mana yang Ahmad Zahid menggunakanpakai bagi menggambarkan UMNO akan mencapai kemenangan di Melaka.

    Hasil tinjauan dan pertemuan penulis dengan pelbagai pihak di Melaka pada Isnin lalu dan seterusnya di Kuala Lumpur serta meneliti hasil keputusan PRU-14 lalu, laluan UMNO tidaklah semudah disangka apatah lagi diimpikan.

    Daripada 13 kerusi DUN enam kerusi dimenangi dengan majoriti tipis iaitu Asahan (275), Lendu (627), Pantai Kundor (772), Rim (536), Merlimau (130) dan Taboh Naning (740).

    Satu sumber yang turut membuat tinjauan di Melaka memaklumkan mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti dengan majoriti di bawah 1,000 undi- ia tidak boleh lagi dianggap selamat.

    Mungkin UMNO akan berhujah bahawa PRU-14 senario berbeza kerana ketika itu adalah isu 1MDB dan SRC yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi dengan hampir pasti akan berlaku tiga penjuru, adakah UMNO yakin majoriti tipis itu tidak tergugat?

    Itu belum lagi mengambil kira pertarungan politik dalaman UMNO yang hampir pasti akan berlaku apabila senarai calon diumumkan dan persepsi rakyat Melaka terhadap individu-individu tertentu dalam UMNO sama ada di peringkat pusat mahupun negeri tersebut.

    Atas sebab itulah ramai yang berasa aneh dengan ‘rasa bangga’ tidak bertempat Ahmad Zahid yang menolak mentah-mentah kerjasama dengan Bersatu atas nama kehendak akar umbi.

    Beberapa sumber memberitahu penulis, dalam kalangan majoriti rakyat Melaka khususnya orang Melayu yang tidak berparti, mereka mahukan ketiga-tiga parti itu bergabung dan mempertahankan Kerajaan Melayu Islam di negeri berkenaan.

    Namun UMNO tidak mahu. UMNO hanya memikirkan keuntungan kuasa politik dengan andaian Melaka adalah kubu mereka. Apapun dalam pilihan raya segala-galanya berkemungkinan.

    Tambahan pula sudah ada cakap-cakap PRN Melaka kali ini, pengundi bukan lagi akan memilih parti sebaliknya akan berpandukan siapakah individu yang dicalonkan.

    Kalau seorang calon itu dilihat tidak menepati selera pengundi, percayalah ‘sekeramat manapun’ parti tersebut pastinya bila umum namapun sudah kalah.

    Kesimpulannya, Ahmad Zahid dan UMNO jangan dilihat terlalu angkuh menolak kerjasama dengan Bersatu – kalau dengan DAP, UMNO boleh bertindak berunding pada saat-saat akhir bagi menyelamatkan Kerajaan Negeri Melaka apabila empat ADUN menarik sokongan – kenapakah tiada ruang dibuka untuk mengadakan perbincangan sesama parti Melayu?

    Apapun UMNO sudah membuat keputusan dan Bersatu pun ‘tidak akan menyembah’ UMNO untuk bekerjasama. Justeru kepemimpinan UMNO perlu bertanggungjawab jika parti itu gagal kembali berkuasa di Melaka dengan bertanding secara solo dan paling buruk kuasa politik orang Melayu terus melemah di negeri Hang Tuah itu.

  • Kenapa degil, susah sangatkah hendak patuh SOP?

    Kenapa degil, susah sangatkah hendak patuh SOP?

    prn melaka

    TIDAK sampai seminggu selepas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan penganjuran sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya termasuk perhimpunan dan majlis sosial, dua parti politik telah mengingkari prosedur operasi standard (SOP).

    Semalam, parti MUDA pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abul Rahman yang masih belum disahkan pendaftaran dikenakan kompaun RM4,000 atas kesalahan berhimpun.

    Kompaun tersebut dikeluarkan susulan sidang media Syed Saddiq di hadapan bangunan Stadthuys di Bandar Hilir, Melaka petang semalam.

    Selain itu, Barisan Nasional (BN) dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Kesalahan yang dilakukan adalah menganjurkan majlis pelancaran jentera BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam tadi.

    Sikap mereka yang terlibat dalam kedua-dua aktiviti itu seolah-olah menjadikan larangan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan COVID-19 seperti mencurah air ke daun keladi.

    SOP Muda PRN Melaka Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
    Parti MUDA dikenakan kompaun RM4,000 atas kesalahan berhimpun semasa sidang media di pekarangan Stadthuys, Bandar Hilir, Melaka, semalam. – Gambar: Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

    Apakah mereka tidak menginsafi apa yang berlaku selepas PRN Sabah tahun lalu di mana gelombang pandemik yang ganas tercetus selepas itu?

    Akibatnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat bagi memastikan situasi pandemik dapat dikawal.

    Proklamasi Darurat juga diisytiharkan bagi membolehkan kerajaan melaksanakan langkah-langkah segera bagi membendung pandemik serta membantu rakyat yang terjejas.

    Kita bersyukur kerana segala usaha dan langkah yang diambil kerajaan PN ketika itu telah membuahkan hasil sehingga membolehkan pentadbiran baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melonggarkan SOP.

    Sempadan negeri kita telah dibuka manakala rakyat yang lengkap divaksin boleh melancong di dalam negara.

    Namun, kelonggaran yang diberi tidak sepatutnya menjadikan kita semua terlupa bahawa COVID-19 masih belum meninggalkan kita.

    Sebab itulah Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan penganjuran aktiviti berkaitan pilihan raya mulai 25 Oktober hingga 29 November.

    Mungkin dalam keghairahan berkempen, ada yang terlupa menjaga SOP seperti dua insiden yang berlaku semalam.

    Lebih membimbangkan jika aktiviti kempen calon-calon yang bertanding melibatkan kehadiran orang ramai dalam jumlah yang besar.

    Dengan kemunculan varian yang ganas seperti Delta, tidak mustahil gelombang baharu pasca PRN Melaka boleh tercetus sehingga boleh menyebabkan rakyat terpaksa ‘dikurung’ sekali lagi.

    Bagi orang politik khususnya wakil rakyat mungkin tidak terasa sangat kesannya kerana mereka diberi kebenaran untuk bergerak rentas negeri dan daerah untuk melawat kawasan masing-masing.

    Tetapi fikirkanlah apa yang ditanggung oleh rakyat biasa yang berbulan-bulan tidak dapat berjumpa keluarga terdekat dan ada yang terjejas pendapatan apabila sektor ekonomi ditutup.

    Mungkin juga kadar kompaun yang dikenakan adalah agak kecil dan bagi parti-parti politik, nilai RM4,000 atau RM10,000 itu ‘setakat celah gigi sahaja’.

    Elok juga sekiranya Kementerian Kesihatan mengenakan kadar kompaun yang sangat tinggi kepada mana-mana pertubuhan yang melanggar SOP agar mereka serik dan tidak mengulangi kesalahan serupa.

  • Exco maki penjawat awam, tendang sahaja PH dari Selangor

    Exco maki penjawat awam, tendang sahaja PH dari Selangor

    MUNGKIN Pakatan Harapan (PH) sudah berasa terlalu selesa di Selangor setelah menguasai negeri itu selama tiga penggal sejak 2008.

    Sebab itu pemimpinnya termasuk yang bertaraf Exco seperti V Ganabatirau berani bersikap biadab mengherdik dan memaki hamun penjawat awam.

    Walau apa pun alasannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning itu tidak patut menunjukkan perangai kurang ajar terhadap kakitangan-kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor terbabit.

    Tidak cukup dengan memalukan mereka di hadapan khalayak ramai, Ganabatirau yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor menularkan rakaman video beliau memaki hamun penjawat awam dalam laman Facebook miliknya.

    Apakah motif beliau berbuat demikian? Tidakkah beliau sedar perbuatannya itu telah menjatuhkan air muka pegawai dan kakitangan JPS Selangor terbabit?

    Sebagai seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Ganabatirau sepatutnya sedar bahawa pemimpin politik dan penjawat awam perlu saling bekerjasama bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    Agensi-agensi kerajaan kadangkala berdepan pelbagai kekangan dari segi sumber bagi menyelesaikan masalah yang timbul, lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik yang menyebabkan banyak urusan tergendala atau tertangguh.

    Dalam hal ini, pemimpin politik sebenarnya boleh memainkan peranan bagi menyelesaikan isu yang dihadapi.

    Banyak masalah dapat diselesaikan apabila dibincangkan secara murni dan bersopan secara bersemuka dengan pihak-pihak yang terlibat.

    Tentu sekali, tindakan mengherdik dan memaki hamun penjawat awam tidak akan menyebabkan masalah selesai dengan serta-merta.

    Lupakah Ganabatirau tentang sejarah ‘hadiah’ penyapu yang disampaikan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo kepada Majlis Daerah Hulu Selangor pada 2007?

    Insiden memalukan itu dikatakan menjadi antara punca yang membawa kepada tumbangnya Barisan Nasional (BN) di Selangor kira-kira setahun kemudian.

    Keratan akhbar Berita Harian siaran 13 November 2007 mengenai Anugerah Penyapu yang disampaikan Khir Toyo kepada Majlis Daerah Hulu Selangor.

    Dr Khir dilaporkan menjelaskan bahawa pemberian penyapu itu bukan bertujuan menjatuhkan maruah tetapi adalah simbolik bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang ditetapkan.

    Majlis Daerah Hulu Selangor diberikan ‘anugerah’ penyapu ekoran kutipan hasil cukai taksiran 2006 yang kurang memuaskan.

    Walau bagaimanapun, Dr Khir dikritik pelbagai pihak termasuk Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kerana tindakannya dikatakan mengaibkan penjawat awam.

    Hari ini, Presiden CUEPACS, Adnan Mat turut mengeluarkan kenyataan yang tegas mengecam perbuatan Ganabatirau yang dianggap sebagai tidak profesional.

    Sejarah lazimnya akan berulang dan tidak mustahil PH menerima nasib yang sama seperti BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

    Agaknya Ganabatirau terlepas pandang fakta sejarah ini dan terlupa bahawa penjawat awam juga merupakan pengundi yang mempunyai jatuh bangun mana-mana parti politik dalam pilihan raya.

    Keangkuhan pemimpin PH dan DAP mesti ditamatkan dan mereka mesti diajar secukup-cukupnya pada PRU-15 supaya tidak lagi berlaku insiden yang memalukan terhadap penjawat awam di Selangor pada masa akan datang.


    Nota: Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dalam laman Facebook miliknya hari ini, V Ganabatirau secara terbuka meminta maaf kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan JPS Selangor.

  • Keputusan Zahid tolak Bersatu bukan luar biasa

    Keputusan Zahid tolak Bersatu bukan luar biasa

    TIADA apa yang luar biasa apabila Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) Melaka.

    Yang ‘luar biasa’ jika Presiden UMNO itu yang sebelum ini bersama 14 lagi ahli Parlimen parti tersebut menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sehingga memaksa Presiden Bersatu itu meletakkan jawatan mahu bekerjasama dengan Bersatu.

    Ketika menegaskan pendirian UMNO itu, Ahmad Zahid berkata; ‘’ Untuk Bersatu kita telah buat keputusan. Kita tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka.. noktah. Tak lambat dah.. dulu dah..masa Perhimpunan Agung UMNO kita dah buat keputusan kita. Itulah keputusan kita dan kita muktamadkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.’’

    Sebenarnya sejak awal lagi apabila kerajaan UMNO tumbang di Melaka akibat tindakan empat wakil rakyat termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md.Ali, memang tiada siapapun akan menjangkakan UMNO dan Bersatu akan bekerjasama dalam PRN Melaka.

    Tambahan pula ada pemimpin UMNO yang sememangnya membenci Bersatu menegaskan, tidak boleh dibandingkan antara kerjasama dalam kerajaan di peringkat pusat dengan kerjasama politik seperti dalam pilihan raya.

    Bahasa mudahnya, sejak dulu lagi sudah ada sentimen untuk menolak Bersatu atas sebab itulah Muhyiddin dijadikan sasaran sehingga UMNO yang kalah dan ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 kini mengetuai kerajaan.

    Walaupun keputusan sebenar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ialah tiada kerjasama dalam PRU-15 tetapi nampaknya Ahmad Zahid sudah tidak sabar untuk melaksanakan dalam PRN Melaka.

    Tetapi itu pun tidak luar biasa, kalau dasar ‘No Anwar No DAP’ pun boleh dilanggar begitu sahaja sehingga ada pemimpin kanan UMNO mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan tersebar rakaman audio perbualan antara ‘murid’ dan ‘cikgu’, namun tiada tindakan diambil ke atas pemimpin terlibat, apa yang dihairankan.

    Namun perlu diingat, apabila PRN Melaka terpaksa diadakan berikutan masalah dalaman UMNO sehingga menyeret rakyat negeri untuk turun mengundi biarpun mereka baru sahaja mahu bernafas selepas dilanda pandemik Covid-19, UMNO lah parti yang kalut sangat bercakap soal kerjasama dengan parti-parti lain.

    Ahmad Zahid awal-awal lagi sudah kata ‘No Way’ apabila ditanya oleh Malaysiakini adakah UMNO akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

    Dan jangan lupa Ahmad Zahid juga pada 12 Oktober berkata dalam satu wawancara, ‘’ Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK yang pernah diadakan.

    ‘’Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan insha-Allah rakyat memilih parti yang terbaik.’’

    Pada Selasa lalu, Ahmad Zahid berkata, “UMNO dan BN mesti ditanya siapa rakan politik kami untuk menghadapi PRN.

    “Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk UMNO dan BN bekerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan secara rasmi.

    “Keputusan muktamad akan kita umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik UMNO dan juga MKT UMNO akan diikuti Dewan tertinggi BN yang akan kita adakan minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamaan calon,” katanya.

    Dan beliau juga berkata;

    ‘’UMNO sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menerima pandangan mana-mana pihak sebelum keputusan dibuat.

    “Pelbagai pihak datang kepada kami, kami berlapang dada dan berfikiran terbuka… siapa sahaja mahu berikan pandangan kami terima.

    “Namun segala keputusan akan kita putuskan secara kolektif apabila tiba masanya nanti. Maka jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis politik untuk menelaah di manakah pendirian UMNO dan BN dalam PRN Melaka ini.’’

    Malam tadi lain pula kenyataan Ahmad Zahid. Tiada soal berlapang dada dan berfikiran terbuka sebaliknya sudah dianggap muktamad walaupun MT UMNO dan Dewan Tertinggi BN belum bermesyuarat. Tidak mengapa, kalau mengikut tindak tanduk politik Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut ia bukanlah ‘sesuatu yang luar biasa’. Lagipun dalam UMNO, pemimpin-pemimpin parti itu sudah biasa dengan ‘telatah’ Presiden mereka.

    Apa yang mahu diperkatakan ialah sejak awal lagi Ahmad Zahid begitu yakin bahawa UMNO akan mencapai kemenangan cemerlang di Melaka. Beliau mahu membuktikan UMNO boleh bergerak solo tanpa bantuan mana-mana parti termasuklah Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

    Ia kerana berdasarkan keputusan PRU-14, Pas tiada apa-apa kekuatan di Melaka atas sebab itulah Ahmad Zahid ‘pandang sebelah mata’ sahaja biarpun dalam pemimpin-pemimpin UMNO mereka bertegas mempertahankan kerjasama dengan Pas.

    Mereka bertegas kerana tahu, UMNO boleh menggunakan kekuatan jentera Pas dan paling penting pengundi Pas untuk menyokong kemenangan calon-calon UMNO.

    Sebab itulah tersebar berita ada perbincangan sulit antara UMNO dan Pas bagi mengelakkan pertembungan sesama mereka. Tidak pasti sejauh manakah kebenaran berita itu memandangkan Pas adalah anggota rasmi Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu.

    Bagaimanapun sejak awal lagi, Bersatu tidak pernah ambil peduli soal sama ada UMNO mahu bekerjasama dengan parti itu atau tidak, walaupun mahukan penyatuan ummah.

    Sebaliknya tumpuan Muhyiddin ialah mengatur strategi untuk PN bagi berhadapan PRN Melaka tetapi bersikap terbuka dalam soal kerjasama dengan parti-parti lain seperti mana kata beliau semalam;

    ‘’ Kami ini pejuang, dalam politik kita hadapi realiti politik, hasrat saya kalau tanya saya hendak berbaik dengan semua orang.

    “Ummah ke, perpaduan ummah ke, itu perkara memang biasa kita alu-alukan, tetapi dalam pertimbangan politik dia tidak ada sebut perpaduan ummah pun, dia tengok perpaduan dan kepentingan parti masing-masing.

    “Bagi saya kita (PN) mungkin tidak (mahu) melambat-lambat, kita sudah ada keputusan tetapi apa pun bila sampai hari penamaan calon kita tengok apa berlaku, sama ada (wujud) gabungan atau tidak, PN sudah bersedia hadapi tiga penjuru.’’

    Kenyataan itu menunjukkan Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Bersatu tidak gundah gulana dengan apa juga pendirian UMNO. Ia memandangkan yang akan membuat keputusan dalam piihan raya itu adalah rakyat.

    Justeru daripada menghabiskan masa melayan politik ‘bukan luar biasa’ Ahmad Zahid, lebih baik Bersatu dan PN menumpukan perhatian memenangi pilihan raya tersebutnya yang tercipta berikutan ‘drama dua singa atas gunung’ dalam UMNO sehingga menyusahkan rakyat.

    Yakinlah, rakyat Melaka tahu siapa yang akan pilih dan kalau ada mana-mana pemimpin parti yang begitu yakin boleh menang besar atas dasar andaian ‘sebelah sana ada banyak masalah’ – itu baru luar biasa kerana senario sudahpun berubah.

    Jadi janganlah yakin dan janganlah angkuh sangat menolak ‘mentah-mentah’ kerjasama sesama parti Melayu. Jangan melihat PRN Melaka sekadar merebut kuasa sebaliknya boleh menjadi platform pertama bagi penyatuan ummah. Itulah harapan orang Melayu.

  • Langkah berani Muhyiddin faktor Malaysia semakin pulih daripada pandemik

    Langkah berani Muhyiddin faktor Malaysia semakin pulih daripada pandemik

    PADA 10 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rentas negeri mula dibenarkan pada 11 Oktober – satu detik yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.

    Kebenaran itu salah satu daripada kelonggaran atau pencapaian negara untuk melangkah keluar daripada pandemik Covid-19 selepas beberapa negeri mulai melangkah ke Fasa 3 dan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Sementara itu, kes Covid-19 terus mencatatkan penurunan manakala hampir semua sektor ekonomi sudah beroperasi dan sektor sosial serta rekreasi diberi kelonggaran. Sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi mula dibuka.

    Rakyat juga sudah kembali memenuhi restoran dan pusat beli belah. Kawasan pelancongan kembali meriah.

    Dalam suasana menarik nafas lega kerana hidup kita sudah hampir kembali seperti sedia kala, jangan lupa semua itu tidak mungkin akan tercapai tanpa keberanian Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri selama 18 bulan bermula 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021.

    Biarpun 18 bulan mungkin nampak singkat tetapi kalau tiada usaha bersungguh-sungguh Ahli Parlimen Pagoh itu dalam menguruskan negara ketika negara diserang pandemik Covid-19 mana mungkin negara berada dalam situasi sekarang.

    Jika kita mengimbas kembali kepemimpinan beliau dalam tempoh 18 bulan itu, Muhyiddin bukan sahaja berhadapan dengan ‘musuh halimunan’ iaitu Covid-19 tetapi juga ‘musuh nyata’ iaitu pemimpin pembangkang dan ‘duri dalam daging’ yang terdiri daripada beberapa pemimpin kanan UMNO biarpun parti mereka sebahagian daripada kerajaan.

    ‘Kluster-kluster’ politik ini menjadikan pandemik Covid-19 bagaikan ‘peluru’ yang ‘ditaburkan’ bagi melaksanakan agenda bagi menyingkirkan Muhyiddin.

    Sepanjang tempoh 18 bulan itu, mereka ‘menaburkan racun’ keraguan dan menyebarkan dakyah bagi menggambarkan Muhyiddin gagal menangani Covid-19.

    Namun Allah SWT Maha Mengetahui, biarpun Muhyiddin terpaksa ‘akur’ dengan percaturan politik yang digerakkan oleh ‘musuh politik nyata’ dan ‘musuh politik dalam selimut’, hari ini rakyat dapat menyaksikan apa yang dilakukan oleh Muhyiddin dalam tempoh 18 bulan tersebut.

    Janganlah kita menjadi kelompok yang ‘buta mata’ dan ‘buta hati’ untuk mengakui tanpa perancangan dan tindakan Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri dalam menangani Covid-19 mana mungkin Malaysia menuju proses pemulihan.

    Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan darurat, pakej rangsangan ekonomi, pakej bantuan rakyat dan paling ampuh melancarkan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah bukti keberanian, kemampuan dan kejayaan Muhyiddin sehingga meletakkan Malaysia pada situasi sekarang.

    Ternyata ‘kerajaan gagal’ bukan sahaja satu pembohongan dan dakyah malah fitnah terhebat ke atas beliau sehingga terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri – paling perit pengunduran itu akibat tindakan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan yang pastinya akan tercatat dalam sejarah politik tanah air.

    Muhyiddin mungkin tidak sempat membuktikan kejayaan beliau ketika menjadi Perdana Menteri tetapi rakyat dapat menyaksikan kebenarannya selepas dua bulan beliau berundur.

    Kalau Muhyiddin gagal 18 bulan lalu sudah pasti PICK tidak wujud dan sekaligus bermakna Malaysia akan terus berperang dengan pandemik Covid-19. Peogram itu wujud kerana keberanian Muhyiddin yang tidak teragak-agak mengarahkan agar tempahan awal dibuat daripada pelbagai fasiliti dan negara.

    Kenapa dianggap ‘keberanian’? Ia disebabkan walaupun belum lagi vaksin dihasilkan kerana kebanyakan masih di peringkat kajian makmal, Muhyiddin mahu tempahan dibuat.

    Seperti mana kata beliau, ‘’ (ia) dengan matlamat untuk menjamin rakyat Malaysia akan mendapat akses kepada vaksin Covid-19 sebaik sahaja ia ditemui dan disahkan selamat digunakan kelak.’’

    Muhyiddin percaya vaksin akan menjadi penawar dan  game changer yang akan membawa negara keluar daripada kemelut pandemik yang telah mencetuskan krisis kesihatan paling buruk dalam sejarah negara.

    Keputusan Muhyiddin itu membolehkan Malaysia tersenarai antara negara yang mendapat jaminan awal bekalan vaksin sehingga kita mampu berada dalam suasana sekarang apabila mencapai imuniti kelompok melebihi 90 peratus populasi penduduk dewasa.Tetapi adakah kelompok yang menjadi penghasut politik menghargai jasa dan keupayaan Muhyiddin? Adakah mereka mengiktiraf kejayaan beliau?

    ‘Jauh api dari panggang’! sebaliknya mereka terus dengan kebencian politik yang mendalam sehinggakan apabila Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mereka bagaikan ‘tidur tak lena’ dan ‘melompat bagaikan kera kena belacan’.

    Mereka sebenarnya bimbang dengan kemampuan Muhyiddin memulihkan negara yang selama ini mereka cuba tutup dengan pembohongan dan fitnah akan memperkukuhkan kedudukan politik beliau.

    Kelompok tersebut cuba meneruskan dakyah mereka dengan mempersoalkan layakkan Muhyiddin menerajui MPN tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat memahami kemampuan Muhyiddin.

    Ia memandangkan Ismail Sabri adalah pemimpin kanan UMNO yang terus setia bersama kerajaan pimpinan Muhyiddin sebelum ini. Ismail Sabri sanggup bersusah payah dengan beliau menangani pandemik Covid-19 ketika ada pemimpin-pemimpin parti itu hanya bijak mengkritik dalam Facebook dan media sosial sahaja.

    Sebab itulah Ismail Sabri mempertahankan keputusan melantik Muhyiddin kerana beliau tahu sejauh manakah kemampuan beks Perdana Menteri itu untuk terus menyumbang kepada pemulihan negara.

    Justeru Ismail Sabri tidak peduli apapun kritikan berhubung pelantikan tersebut termasuklah daripada mana-mana individu yang teringin sangat mahu menjadi penasihat ekonomi. Ia kerana keupayaan Muhyiddin sudah terbukti dengan apa yang dinikmati oleh rakyat dan negara sekarang.

    Apa yang penulis sampaikan melalui artikel ini bukanlah mahu menyanjung bekas Perdana Menteri itu tetapi mahu mengingatkan sesetengah ahli politik janganlah mengajar rakyat negara ini untuk tidak mengenang jasa pemimpin tidak kira dari parti manapun. Paling penting janganlah cuba memesongkan fakta.

    Jika ada kebaikan yang dilakukan oleh pemimpin tersebut, kita harus menghargai dan mengiktirafnya. Begitulah juga Muhyiddin, beliau meletakkan jawatan bukan kerana gagal menangani Covid-19 tetapi disebabkan oleh mainan politik ‘dendam kesumat’.

    Mungkin Muhyiddin tidak sempat melengkapkan misi memulihkan negara sebagai Perdana Menteri tetapi Allah SWT menentukan beliau boleh meneruskan usaha tersebut dan memainkan peranan penting sebagai Pengerusi MPN. Jadi tidak payahlah ahli-ahli politik tertentu berasa gelisah sangat.

    Kesimpulannya, tanpa keberanian Muhyiddin membuat keputusan dan bertungkus lumus selama 18 bulan ditambah pula dengan sokongan tidak berbelah bahagi Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan Keselamatan dan kemudiannya Timbalan Perdana Menteri, tidak mungkin Malaysia kini melangkah fasa pemulihan.Itulah faktanya!

  • ‘Realiti semasa’ mana yang dirujuk, ‘di bumi nyata mana’ yang Zahid pijak

    ‘Realiti semasa’ mana yang dirujuk, ‘di bumi nyata mana’ yang Zahid pijak

     

    SEMALAM portal Malaysiakini melaporkan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan, beliau tidak angkuh apabila berkata, Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Beliau juga menegaskan, “Jawapan-jawapan saya itu bukanlah suatu keangkuhan sebaliknya berpegang kepada realiti semasa dan berpijak di bumi yang nyata’’.

    Semalam juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu tidak akan ‘gopoh’ dalam menentukan kerjasama dengan mana-mana parti bagi pilihan raya tersebut.

    Sebaliknya parti itu sedang mengumpulkan maklum balas daripada semua pihak termasuk pimpinan di peringkat bahagian sebelum ianya diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

    Dalam soalnya, kita tidak pasti siapa sebenarnya gopoh kerana inidividu paling awal membuat kenyataan tidak akan mengadakan kerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) dalam PRN Melaka ialah Ahmad Zahid.

    Tetapi sekarang Ahmad Maslan pula berkata, UMNO sedang kumpul maklum balas di peringkat bahagian sebelum kepemimpinan buat keputusan. Maknanya, apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid sebelum ini boleh dianggap kenyataan peribadi.

    Namun pada masa sama ia juga boleh mewujudkan persepsi bahawa atau persoalan realiti semasa mana yang dirujuk dan di bumi nyata mana yang Ahmad Zahid pijak ketika begitu teruja bercakap tidak akan mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti dalam PRN tersebut.

    Perlu diingat Ahmad Zahid juga menjawab ‘No Way’ apabila ditanya oleh portal Malaysiakini adakah UMNO akan bekerjasama dengan Bersatu di Melaka dan kemudiannya disusuli dengan kenyataan beliau iaitu;

    ‘’Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang pernah diadakan.

    ‘’ Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan, insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” katanya.

    Kalau betul seperti mana kata Ahmad Maslan, UMNO menanti maklum balas bahagian sebelum buat keputusan berhubung kerjasama dengan parti lain dalam PRN Melaka, baguslah.

    Ia kerana ‘realiti semasa’ dan ‘bumi yang dipijak’ oleh Ahmad Zahid dan kepemimpinan UMNO menunjukkan, parti itu tidak akan mencapai kejayaan jika tidak bekerjasama dengan parti lain sama ada dalam PRN Melaka mahu PRU-15.

    Atas sebab itulah pemimpin-pemimpin Pas memberi reaksi agak kecewa dengan kenyataan Ahmad Zahid seperti mana peringatan Ketua Sidang Assabiqun (veteran) Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed yang berharap Presiden UMNO itu mengkaji secara mendalam sebelum membuat keputusan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

    ‘’Kena kaji betul-betul, kalau tidak berjaya nanti jangan menyesal, semuannya melopong nanti kalau nak lawan tiga penjuru,’’ katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Turut memberi penegasan ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata,’’Kalau UMNO tidak mahu bersama, hendak jalan sendiri, kita tiada pilihan, itu bab parti masing-masing. Cuma kita bagi tau kalau berlaku pertandingan tiga penjuru (UMNO, Pas dan Bersatu), semua akan rugi, jadi semua kena elakkan tanding tiga penjuru.’’

    Penulis tidak pasti sama ada berikutan reaksi tegas kedua-dua pemimpin Pas itu memungkinkan Majlis Tertingg UMNO malam tadi tidak membuat keputusan berhubung kerjasama dengan parti lain dalam PRN Melaka, sebaliknya mahu menunggu dahulu maklum balas bahagian.

    Sedangkan sebelum ini, kalau berdasarkan kenyataan ‘No Way’ dan ‘tiada cahaya terang’ ia seolah-olah UMNO sudah membuat keputusan berhubung perkara tersebut  memandangkan Ahmad Zahid adalah Presiden parti itu. Bila seorang Presiden berkata demikian, ia selalunya menjadi petunjuk kepada pendirian sesebuah parti.

    Bagaimanapun rupa-rupanya UMNO belum buat apa-apa keputusan maknanya kenyataan Ahmad Zahid lebih kepada kenyataan politik yang tidak membawa apa-apa makna…adakah begitu?

    Namun begitu masa masih ada untuk UMNO memahami ‘realiti semasa’ dan ‘berpijak di bumi nyata’ dengan sebenar-benarnya iaitu parti itu tidak mampu bergerak solo jika ingin kekal memegang tampuk pentadbiran di Melaka.

    Perkara itu ditegaskan oleh Penganalisis politik USM, Profesor Sivamurugan Pandian yang berkata, UMNO perlu melihat kepada lawan mereka iaitu Pakatan Harapan yang dilihat tidak goyah dengan kemelut yang berlaku ketika ini.

    ‘’Sekiranya kerjasama dibina dengan parti-parti lain (komponen Perikatan Nasional), itu sekurang-kurangnya akan menunjukkan keupayaan UMNO untuk ketengahkan penyatuan ataupun kerjasama dengan parti lain dalam keadaan ketika perlu mengurus beberapa persepsi.

    “Jadi, UMNO berhadapan dengan persoalan untuk mengurus persepsi dalam kalangan pengundi walaupun kita tahu di peringkat akar umbi, UMNO kuat dari segi guna tenaga, jentera dan mengurus parti.

    “Sejauh mana itu mampu terjemah dalam bentuk sokongan (semasa PRN), masih menjadi satu titik persoalan,” katanya.

    Oleh itu kalau Ahmad Zahid ‘berpegang kepada realiti semasa’ dan ‘berpijak di bumi nyata’ – itulah situasinya kalau UMNO mahu berkuasa di Melaka, jika tidak…’No Way’ parti itu boleh menang kerana ‘tidak nampak cahaya terang untuk UMNO’.

  • Peluang PH kembali berkuasa di Melaka

    Peluang PH kembali berkuasa di Melaka

    MAMPUKAH UMNO kembali menguasai tampuk kepemimpinan Kerajaan Negeri Melaka jika Pilihan Raya Negeri diadakan? Adakah UMNO benar-benar bersedia untuk bertanding secara solo tanpa mahu bekerjasama dengan mana-mana parti termasuklah Bersatu dan Pas? Atas pertimbangan apakah Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi begitu yakin parti itu akan menang?

    Kalau mengikut penganalisis politik mereka melihat laluan UMNO agak getir apatah lagi Kerajaan Negeri Melaka pimpinan parti itu tumbang angkara langkah politik empat orang ADUN termasuk dua daripada UMNO.

    Mereka pula bertindak kerana tidak berpuashati dengan pemimpin UMNO, akhirnya Ketua Menteri Melaka daripada UMNO, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali memohon perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd.Ali Rustam untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

    Isnin ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas di Melaka berkaitan PRN negeri itu.

    Kalaulah SPR mengumumkan PRN akan dilaksanakan maka gendang PRN sudah dipalu. UMNO mempunyai misi penting untuk mempertahankan tampuk pemerintahan negeri. Soalnya adakah UMNO akan berjaya?

    Kalau mengkaji keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO sebenarnya mempunyai laluan sukar untuk kembali berkuasa. Dalam pilihan raya tersebut daripada 13 kerusi yang dimenangi enam daripadanya dengan majoriti di bawah 1,000 undi.

    DUN itu termasuklah kerusi Lendu yang disandang oleh Datuk Seri Sulaiman Md.Ali. Beliau menang di situ dengan majoriti 627 undi. Lima lagi kerusi ialah Taboh Naning (740 undi), Asahan (275 undi), Pantai Kundor (772 undi), Rim (536 undi) dan Merlimau (130 undi).

    Sudah pasti dengan keengganan Ahmad Zahid untuk bekerjasama dengan Bersatu dan Pas, pertembungan tiga penjuru tidak dapat dielakkan lagi. Justeru jika itu berlaku peluang untuk UMNO mempertahankan kerusi-kerusi tersebut agak sukar.

    Ahmad Zahid mungkin yakin mampu menang biarpun kehilangan kuasa memerintah Melaka dalam PRU-14. Faktor nasional dianggap menjadi punca kekalahan tersebut. Tetapi Ahmad Zahid dan UMNO perlu sedar senario sekarang jauh lebih getir untuk parti tersebut.

    Selain masalah dalaman UMNO yang pasti akan membantutkan usaha parti itu menawan kembali Melaka, PRN kali ini juga dikatakan berpunca daripada UMNO. Kegelojohan UMNO meminta DUN dibubarkan telah membangkitkan kemarahan rakyat Melaka.

    Ia memandangkan negeri itu baru sahaja mahu bangkit selepas dilanda pandemik Covid-19. Ketika rakyat baru sahaja mahu bernafas, mereka diseret untuk terlibat dalam krisis politik ciptaan UMNO.

    Ahmad Zahid sering bercakap soal jajaran politik seperti mana berlaku di Perak sebagai solusi bagi mengelakkan ketegangan politik yang boleh memudaratkan rakyat tetapi kenapa di Melaka tidak berlaku?

    Kenapa awal-awal lagi tidak berunding atau mengadakan kerjasama dengan pembangkang bagi mengelakkan PRN? Kenapa sudah terdesak mahu berunding dengan DAP?

    Tetapi sekarang pembangkang bukan sahaja menolak UMNO malah UMNO sendiri mencipta musuh baru apabila tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu yang bersama dalam kerajaan dan pada masa sama sudah ‘kirim salam’ kepada Muafakat Nasional.

    Dalam soal Bersatu kita boleh faham kerana parti itu sudah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dalam PRU-15 maka PRN Melaka dijadikan ‘pembuka tirai’, tetapi bagaimana dengan Pas yang sentiasa berusaha mempertahankan Muafakat Nasional?

    Adakah kerana Ahmad Zahid melihat Pas tidak mempunyai kekuatan di Melaka memandangkan dalam PRU-14 Pas tidak menang satu pun kerusi di 23 kerusi yang ditandinginya? Justeru atas sebab itu beliau memandang Pas ‘sebelah mata’?

    Ahmad Zahid harus sedar Pas mempunyai jentera dan penyokong yang boleh membantu kemenangan UMNO tetapi kalau UMNO mahu bekerjasama dengan Pas kerusi mana yang UMNO sedia korbankan kepada Pas?

    Bagaimana pula kedudukan Pas sebagai anggota rasmi Perikatan Nasional dan kenapa harus meminggirkan Bersatu yang hakikatnya jika digabungkan kekuatan ketiga-tiga parti Melayu itu tidak mustahil sebuah kerajaan negeri yang kukuh dapat ditubuhkan.

    Tetapi kepemimpinan UMNO tidak mahu. PRN Melaka mahu dijadikan medan uji kaji dan isyarat kononnya UMNO boleh menang biarpun bertanding secara solo  dalam PRU-15 menggunakan panji-panji BN.

    Tidak salah untuk mempunyai cita-cita tersebut tetapi berdasarkan senario politik semasa semua itu ibarat mimpi di siang hari. UMNO tidak akan mungkin menang jika bertanding secara sendirian tanpa sokongan parti-parti lain.

    Kecualilah sudah ada dalam pemikiran kepemimpinan UMNO mereka mahu menubuhkan Kerajaan di Melaka dengan bergabung bersama PKR dan DAP, jika tiada mana-mana gabungan memiliki majoriti.

    Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan adakah ia akan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil?  Apa jaminan tidak akan berlaku ‘tekan menekan’ antara satu sama lain memandangkan masing-masing memegang kunci penentu jatuh bangun kerajaan yang dibentuk tersebut?

    Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh kepemimpinan UMNO sebenarnya akan membuka laluan mudah kepada Pakatan Harapan untuk kembali berkuasa di Melaka. Dalam pakatan itu tidak berantakan seperti mana UMNO dan dalam pakatan itu tidak ada mana-mana parti mahu bertanding secara solo.

    Formula terbaik di Melaka ialah ketiga-tiga parti Melayu bergabung dan menentang Pakatan Harapan dalam pertarungan satu lawan satu bukan tiga penjuru apatah lagi melibatkan pertembungan antara parti Melayu.

    Kenapa begitu angkuh sangat mahu bertanding sendirian seolah-olah UMNO parti paling kuat di Melaka sedangkan sebelum ini selepas kalah dalam PRU-14 mahu jadi kerajaan pun atas sokongan Bersatu dan ADUN Bebas?

    Kesimpulannya, kalau UMNO mahu menjadikan PRN Melaka sebagai medan ujikaji kekuatan parti itu, silakan sahaja tetapi seandainya ujian itu gagal Ahmad Zahid dan seluruh kepemimpinan UMNO Melaka pasti apa yang harus dilakukan.

    Jangan hanya bijak bercakap menghormati keputusan rakyat sedangkan kita sendiri yang menyebabkan rakyat terpaksa membuat keputusan tersebut.

  • Zahid kata lah apapun…Pas tetap pertahankan MN, berjuang bersama PN

    Zahid kata lah apapun…Pas tetap pertahankan MN, berjuang bersama PN

    JIKA sebelum ini Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dilihat berkias dalam soal hubungan UMNO dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) tapi dalam satu wawancara malam tadi Presiden UMNO itu tidak berlapik lagi.

    Beliau secara terus terang berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Kalau diteliti kenyataan Ahmad Zahid, beliau dengan tegas berkata, ‘’oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK yang pernah diadakan.

    ‘’Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan insha-Allah rakyat memilih parti yang terbaik.’’ Beliau juga bercakap soal khianat mengkhianati yang semua tahu ia ada kaitan dengan tindakan Pas menjadi anggota rasmi kepada Perikatan Nasional (PN).

    Menariknya, kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat pada hari yang sama gambar beberapa pemimpin UMNO dan Pas makan bersama di sebuah restoran yang dihadiri oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Walaupun tidak tahu apakah ia sekadar makan-makan biasa atau sedikit sebanyak menyentuh juga soal Muafakat Nasional yang ketika ini semakin tidak menentu memandangkan antara kepemimpinan UMNO dan pemimpin UMO dilihat bertentangan.

    Soalnya kenapa tidak ada kenyataan rasmi daripada Ahmad Zahid bahawa tiada lagi kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional? Kenapa hanya berkias dan membuat kenyataan melalui wawancara sahaja? Adakah beliau sendiri teragak-agak kerana tahu ada ditentang oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri?

    Ahmad Zahid seharusnya berterus terang. Sebagai Presiden UMNO beliau perlu ada keberanian untuk membuat kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

    Atau adakah mungkin hanyalah beliau dan penyokong-penyokongnya sahaja tidak mahu Muafakat Nasional sedangkan pemimpin dan ahli UMNO lain mahu meneruskan hubungan itu kerana tahu ia akan memberi keuntungan politik kepada UMNO seperti mana beberapa keputusan PRK sebelum ini?

    Ahmad Zahid tidak harus bernostalgia dengan sejarah silam UMNO kononnya parti itu akan berupaya mencapai kejayaan camerlang dengan turun secara solo dengan mengarak panji-panji Barisan Nasional. Zaman politik berjuang secara bersendirian ini sudah berlalu, apatah lagi kalau parti itu dilihat ‘ada masalah’ dari segi kepemimpinan.

    Atas sebab itulah Pas masih terus berusaha mempertahankan Muafakat Nasional, walaupun Ahmad Zahid semakin melihat Pas ‘sebelah mata sahaja’. Ahmad Zahid tidak menghargai kesabaran Pas untuk mempertahankaan Muafakat Nasional kerana beliau marah Pas menjadi anggota Perikatan Nasional.

    Bagaimanapun penulis yakin Pas tidak akan bertindak balas kerana Pas mahu berkawan dengan kedua-duanya sama ada dengan UMNO mahupun Bersatu. Misi Pas adalah demi perpaduan ummah. Itu kata Pas…

    Namun ada juga yang berkata sebenarnya, majoriti pemimpin dan ahli Pas lebih rela untuk bersama dengan UMNO berbanding Bersatu dalam PRU-15. Pas hanya mahu mengelakkan pertembungan antara parti-parti Melayu sahaja.

    Justeru Pas berbuat baik dengan kedua-duanya…UMNO dan Bersatu. Secara tidak langsung ia akan menyelamatkan calon Pas daripada bertembung sama ada dengan calon UMNO dan Bersatu. Bagaimana pula dengan calon UMNO dan Bersatu, apa pendirian Pas.

    Pas sudah kata mereka akan menyokong calon penyandang bagi sesuatu kawasan. Kalau itu keputusannya maknanya Pas akan menyokong calon UMNO di 15 kawasan yang ahli Parlimennya berubah angin ke Bersatu selepas PRU-14 lalu. Adakah Bersatu akan merelakannya?

    Kenapa Pas mahu menyokong calon penyandang? Kenapa tidak biarkan sahaja UMNO dan Bersatu bertarung sesama sendiri? Kalau macam itu apa ertinya Pas berada dalam Perikatan Nasional, kalau mereka terpaksa menyokong parti lawan yang menentang rakan komponen sendiri atas alasan ‘kerusi penyandang’?

    Sebenarnya pendirian Pas dalam soal perjalanan menuju ke PRU-15 agak mengelirukan dan mungkin memeningkan. Ia kerana Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO sudah memberikan kenyataan yang jelas berhubungan Muafakat Nasional, justeru pemimpin Pas pun beranilah membuat kenyataan tegas demi menjaga maruah parti itu.

    Tak kan bila seorang Presiden parti sudah menolak sebarang kerjasama, Pas masih lagi terhegeh-hegeh mahu bersama? Pas perlu membuat pendirian jelas, mungkin Pas boleh tegaskan akan bersama Perikatan Nasional tetapi tidak akan bermusuh dengan UMNO. Bagaimana caranya Pas fikirkanlah. Yang pasti Ahmad Zahid tidak mahu Pas.

    Mungkin Pas berhujah, pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO mahu terus bersama Muafakat Nasional. Soalnya siapa paling berkuasa, kalau Presiden sudah memberi bayangan sedemikian adakah ada mana-mana pemimpin UMNO berani bersuara?

    Kalau ada keberanian, sudah lama mereka akan meminta Ahmad Zahid mengadakan pemilihan parti bagi membolehkan UMNO mempunyai barisan kepemimpinan mantap apabila masuk ke gelanggang pilihan raya? Adakah Ahmad Zahid tidak mantap mengepalai UMNO ke dalam pertarungan itu…semua tahu jawapannya.

    Apapun yang pasti Ahmad Zahid katalah apapun pasal Muafakat Nasional, Pas tidak akan ‘terasa hati’ kerana tahu tiada mana-mana parti yang akan menang dengan berjuang sendirian…cuma Ahmad Zahid sahaja yang terus bermimpi. Justeru Pas akan bersama MN dan berjuang bersama PN…siapapun menang parti itu akan untung…Itulah seni politik…

  • MN: Ahmad Zahid terus berkias, tak kan Pas tak faham-faham lagi!

    MN: Ahmad Zahid terus berkias, tak kan Pas tak faham-faham lagi!

    PENULIS amat memahami usaha Pas untuk mewujudkan perpaduan ummah melibatkan tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu – ia satu hasrat yang murni.

    Lanjutan itu Pas menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional (PN) dan pada masa sama menjalin hubungan dengan UMNO melalui Piagam Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani pada 14 September 2019. Tetapi niat baik Pas itu hakikatnya meletakkan parti itu dalam satu situasi janggal dalam percaturan politik.

    Mungkin atas sebab itulah Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi terus memperkatakan soal Muafakat Nasional selepas bertanya adakah Muafakat Nasional masih wujud. Kali ini hujah  Presiden UMNO itu melalui catatan Facebooknya dianggap ‘lebih pedas’.

    Kalau diteliti setiap para catatan beliau itu, ia jelas menunjukkan Ahmad Zahid seolah-olah tidak kisah sama ada Pas mahu bekerjasama dengan UMNO atau tidak. Beliau juga terus  membangkitkan soal tindakan Pas menganggotai PN dengan berkata,;

    ‘’…Akar umbi UMNO mempunyai sebab yang wajar berhubung ketetapan itu (tidak bekerjasama dengan Bersatu) kerana semua maklum apakah agenda terselindung penubuhan PBBM sejak September 2016. Manakala pimpinan Pas pula ‘mengisytiharkan’ kesetiaan kepada PPBM dan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassi selepas menyertai Perikatan Nasional.

    ‘’Sedangkan mereka juga tahu dengan jelaskan apakah agenda terselindung penubuhan PPBM seperti yang mereka tahu tentang agenda penubuhan Parti Amanah Negara (PAN).’’

    Kenyataan itu menunjukkan Ahmad Zahid tidak boleh menerima tindakan Pas menjadi anggota PN. Justeru beliau berhujah,’’ UMNO tidak boleh berdepan dengan ketidakketentuan tentang MN dalam persiapan dan persediaannya menghadapi PRU-15.’’

    Soalnya siapa sebenarnya berada dalam ‘ketidaktentuan’ itu Ahmad Zahid atau pemimpin-pemimpin UMNO yang sebahagiannya masih bergantung harap agar Muafakat Nasional dikekalkan dan sebahagian lagi mahu ketiga-tiga parti Melayu itu bergabung tenaga?

    Dan kata Ahmad Zahid dalam hujah ketiganya,’’..ramai pihak termasuk dalam kalangan pengundi atas pagar berpandangan UMNO telah dikhianati maka jika benar begitu tidak mengapa. UMNO kekal bertanding di bawah panji Barisan Nasional bersama parti komponen dan rakannya yang masih etia kepada perjuangan gabungan ini’’.

    Manakala dalam hujah keempatnya beliau menegaskan, ‘’PN yang dibarisi PPBM dan Pas telahpun mengumumkan mereka telah mencapai kata sepakat. Kata sepakat antara mereka untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan DUN pada PRU-15.’’

    ‘’Justeru sudah terang lagi bersuluh UMNO perlu ‘move on’ dan melangkah ke hadapan dengan segera. UMNO tidak boleh terus dalam ‘uncertainty’ (ketidaktentuan),’’ kata beliau.

    Penegasan Ahmad Zahid itu seolah-olah membayangkan beliau semakin menjauhkan UMNO daripada Pas memandangkan Pas sudah sepakat dengan Bersatu dan PN. Jadi soalnya kenapakah kepemimpinan Pas masih mahu terhengeh-hengeh mengharapkan kerjasama dengan UMNO?

    Tambahan pula dalam hujah kelima melalui catatan itu Presiden UMNO tersebut bagaikan memberi pilihan kepada Pas.

    Beliau berkata, ‘’adakah UMNO tidak berusaha menyelamatkan ‘The Real Muafakat Nasional’ yang dimeterai antara UMNO dan Pas pada 2019. ‘The Real Muafakat Nasional’ yang merupakan suatu kerjasama yang wajib bersandarkan kepada penyatuan ummah yang jujur lagi ikhlas. Jawapannya UMNO sentiasa berusaha. Namun tiada guna bertepuk sebelah tangan. Justeru biarlah demokrasi yang menentukan sehingga tiba PRU-15. Ini bukan manifestasi ketamakan sebaliknya biarlah ia ‘free for all’’.

    ‘’Tetapi UMNO tidaklah ‘rigid’. Masih ada ruang untuk mempertahankan ‘The Real Muafakat Nasional’ jika Pas bersedia. Ramai berharapkan begitu namun dalam keadaan sekarang UMNO perlu berdepan dengan realiti semasa.’’

    Walaupun dilihat cuba berlapik  tetapi Ahmad Zahid sebenarnya sudah memberi isyarat kepada Pas bahawa jika Pas mahu bekerjasama dengan UMNO atau mahu mengembalikan ‘The Real Muafakat Nasional’, mereka perlu meninggalkan PN atau lebih tepat lagi jangan berkawan dengan Bersatu.

    Justeru apa pilihan Pas? Tak kan Pas begitu terdesak sangat mahu menyatukan ummah sehingga membiarkan Ahmad Zahid berkata apa sahaja terhadap parti tersebut? Dan adakah niat Pas mahu menyatukan ummah itu benar-benar difahami oleh orang Melayu?

    Pas perlu faham dengan pelbagai hujah Ahmad Zahid yang seolah-olah melihat Pas ‘sebelah mata’ sedangkan Pas masih terus bercakap soal Muafakat Nasional, orang melihat Pas mahu ‘bermain di dua kolam’ dan lebih buruk lagi mahu mewujudkan situasi ‘siapa pun menang mereka akan untung’ – adakah itu yang Pas mahukan?

    Bagaimanapun pada masa sama Ahmad Zahid pun cukup-cukuplah berkias-kias dalam soal hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional. Kalau beliau sebagai Presiden UMNO tidak mahu lagi parti itu meneruskan kerjasama buatlah kenyataan secara rasmi.

    Ia bagi memudahkan pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat membuat tindakan lanjut. Pada masa ini, mereka keliru, di sesetengah negeri kepemimpinan UMNO terus tabah mempertahankan Muafakat Nasional tetapi di peringkat pusat pucuk pimpinan membuat kenyataan yang mengelirukan mereka.

    Begitu juga dengan pemimpin dan ahli Pas, mereka pun keliru juga bila kepemimpinan Pas dok bercakap soal penyatuan ummah tetapi Ahmad Zahid tak habis-habis ‘berkias-kias’ seolah-olah Pas ibarat ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’. Mereka juga tidak mungkin lupa bagaimana ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Ahmad Zahid yang berucap di hadapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaikan memberi kata dua kepada Pas bersama MN atau PN.

    Penulis faham ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas dikatakan ‘lebih selesa’ dengan UMNO berbanding Bersatu. Tetapi dahulupun Pas boleh bekerjasama dengan parti serpihan UMNO iaitu Semangat 46 sehingga berjaya merampas Kelantan pada 1990 dan membantu PKR memenangi lima kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN dalam PRU 1999.

    Pencapaian itu menunjukkan Pas mempunyai kekuatan dan keupayaan sendiri biarpun bekerjasama dengan parti mana sekalipun, jadi kenapa Pas masih mahu dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ semata-mata mahu mempertahankan Muafakat Nasional.

    Kalau Ahmad Zahid bercakap ‘Free For All’ dan Pas pula pernah melantunkan slogan ‘’ Pas For All’ lebih baik Pas pertahankan kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional kerana di situ mereka lebih dihargai. Selepas PRU-15, berbincanglah bagaimana mahu menubuhkan kerajaan, inshaallah ketika itu perpaduan ummah dalam erti kata sebenarnya akan tercapai.

    Kerana apa? Sebab ketika itu soal siapa mahu menjadi dominan sudah tidak timbul lagi kerana rakyat sudahpun membuat keputusan. Sekarang UMNO mahu menjadi dominan sebab itulah mereka menolak gagasan penyatuan ummah melibatkan Bersatu oleh Pas. Tak kan Pas tidak faham-faham lagi?

  • Buat apa nak PRN…kalau Zahid kata ”tak mengapa hilang kerajaan negeri”

    Buat apa nak PRN…kalau Zahid kata ”tak mengapa hilang kerajaan negeri”

    DALAM reaksi tumbangnya kerajaan UMNO di Melaka,Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata;

    ’’Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri dikuasai parti saya. Tapi tunggulah… saya fikir elok diadakan pilihan raya negeri supaya DUN Melaka dibubarkan. Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk pilih mana kerajaan terbaik mentadbir negeri dan negara kita, insha-Allah.’’

    Kalau benarlah Ahmad Zahid kata tidak mengapa hilang kerajaan negeri, kenapa hendak menyusahkan rakyat apabila mahu DUN dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan? Kenapakah rakyat yang baru mahu bernafas semula selepas diancam pandemik Covid-19 harus diseret dalam pertelingkahan politik yang berpunca daripada krisis dalam UMNO?

    Sepatutnya Ahmad Zahid ‘merelakan sahaja’ kerajaan negeri Melaka diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) tanpa perlu ada PRN. Lagipun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pun dah tak lama. Tidakkah Ahmad Zahid memikirkan kesusahan rakyat?

    Sampai bila UMNO mahu menyusahkan rakyat dan menghuru-harakan politik negara dengan agenda politik pemimpin-pemimpinnya.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid mengepalai 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Kerajaan PN tumbang di peringkat pusat, sekarang Kerajaan UMNO di Melaka pula tumbang disebabkan angkara ADUN UMNO sendiri.

    Betul ada empat ADUN yang bertindak di Melaka tetapi yang menjadi perhatian dua daripada UMNO, macam mana mereka boleh tergamak menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti mereka sendiri?

    Jawapannya mudah, mereka mencontohi tindakan pemimpin pusat yang menjadikan majoriti tipis sebagai ‘senjata’ untuk menyingkirkan kerajaan biarpun mereka yang bersama-sama membentuk kerajaan.

    Kalaulah tindakan dua UMNO itu dianggap tidak wajar ketika Melaka baru memasuki Fasa Ke-3 Pelan Pemulihan Negara, apa yang Ahmad Zahid lakukan dengan 14 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin lebih teruk.

    Mereka melakukan ‘huru-hara’ politik itu ketika Muhyiddin bersama ahli-ahli Parlimen UMNO dalam Kabinet sedang bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19.

    Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan ketika itu, tetapi Ahmad Zahid mencanangkan slogan ‘kerajaan gagal’. Tetapi sekarang ternyata apa yang dilakukan Muhyiddin telah menampakkan hasil.

    Selain itu konflik Melaka juga seperti mana kata beberapa penganalisis politik menampakkan bagaimana UMNO di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid kini semakin berantakan.  Ahmad Zahid semakin tidak mampu mengawal situasi dalaman parti itu.

    Jika sebelum ini berlaku pertembungan antara ‘kluster menteri’ dengan ‘kluster majlis tertinggi’ sekarang di peringkat negeri pula wujud apa yang dipanggil ‘dua singa atas satu gunung’ . Kalau Ahmad Zahid benar-benar mempunyai cengkaman dalam UMNO sudah pasti kerajaan UMNO di Melaka tidak akan tumbang.

    Walaupun dua ADUN UMNO itu amat memahami akibat yang mereka akan terima tetapi mereka sudah nekad untuk sanggup bersekongkol dengan PH bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baharu. Mereka tidak peduli pun apa Ahmad Zahid mahu buat.

    Tambahan pula, kalau mahu bercakap soal bersekongkol ini, rasanya dua ADUN tersebut jauh ‘lebih baik’ daripada Ahmad Zahid kerana mereka melakukan secara terbuka berbanding Ahmad Zahid yang didakwa mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri secara senyap-senyap dan terbongkar rakaman audio mirip suara beliau.

    Tetapi adakah kedua-dua isu dibincangkan oleh MKT? Adakah Ahmad Zahid dikenakan apa-apa tindakan kerana dianggap melanggar dasar parti? Tidak ada! Sebaliknya keahlian dua ADUN itu dalam UMNO gugur secara automatik kerana mengadakan sidang akhbar dengan pemimpin PH.

    Oleh itu tidak perlulah Ahmad Zahid menyusahkan rakyat Melaka apabila mahu DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN. Tanyalah sesiapapun, bacalah reaksi rakyat dalam media sosial apabila Kerajaan UMNO tumbang di Melaka semalam, semuanya memberi reaksi negatif, mereka sudah bosan dan muak dengan kerenah politik yang dicetuskan oleh UMNO.

    Sepatutnya Ahmad Zahid berasa malu kerana ketika beliau berdegar-degar bercakap bahawa ramai merisik mahu kembali ke dalam UMNO, sebaliknya yang berlaku ADUN UMNO sendiri menjatuhkan Kerajaan parti itu. Kalau begitu keadaannya, adakah apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid tersebut satu kenyataan atau sekadar ‘ mimpi indah pada siang hari’?

    Cukuplah janganlah menyusahkan rakyat. Cukuplah Kerajaan Pusat bergolak kerana kerenah UMNO, tak kanlah ia hendak dibiarkan berlaku di negeri-negeri pula. Ahmad Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO Melaka perlu berjiwa besar merelakan bahawa dari segi bilangan kerusi PH ada majoriti. Biarlah PH memerintah sehingga PRU-15.

    Lepas itu UMNO rampaslah kembali, bukankah Ahmad Zahid begitu yakin UMNO akan bangkit dan mahu menjadi dominan dalam pilihan raya tersebut. Jadi bersabarlah, janganlah menyusahkan rakyat dengan percaturan politik yang tidak habis-habis oleh UMNO. Rakyat dah muak!