KONGRES Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terkilan dengan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau yang memaki hamun kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning itu sebagai sangat tidak profesional dalam menjalankan tugasnya.

Apatah lagi, kata beliau, video yang tular itu dimuat naik sendiri oleh Ganabatirau tanpa diketahui niat atau tujuan.

“CUEPACS menganggap tindakan yang dilakukan oleh ADUN Kota Kemuning yang mengeluarkan kata-kata kesat serta suara yang tinggi itu sangat keterlaluan seolah-olah merendahkan penjawat awam yang sedang bertugas.

“Tambahan pula penjawat awam yang terbabit dalam kejadian itu tidak diberi peluang untuk menjelaskan permasalahan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

pendapatan Adnan Mat Cuepacs
ADNAN MAT

Rakaman video Ganabatirau memaki hamun penjawat awam itu tular dalam media sosial dan mencetuskan reaksi kesal dalam kalangan netizen.

Adnan menambah, sebagai anggota pentadbiran yang turut bersama terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri, Ganabatirau sewajarnya menyelesaikan permasalahan yang timbul menerusi rundingan secara terus dengan JPS Selangor.

Beliau memberitahu, tindakan menularkan video tersebut seolah-olah mahu menunjukkan diri beliau sebagai seorang ‘hero’ dengan meletakkan semua kesalahan kepada penjawat awam tanpa memberi peluang sebarang penjelasan diberikan oleh kakitangan JPS yang terlibat.

“ADUN Kota Kemuning itu sewajarnya menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pandangan atau masalah dan bukannya membuat serangan secara terbuka di lapangan dan media sosial.

“CUEPACS percaya ADUN Kota Kemuning itu mempunyai akses untuk bertemu dengan JPS negeri serta Exco negeri lain yang bertanggungjawab dalam permasalahan tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, Adnan berkata, CUEPACS mendesak ADUN Kota Kemuning tersebt membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam terutama kakitangan JPS yang terlibat.

Menurut beliau, CUEPACS juga mahu Menteri Besar Selangor masuk campur dalam perkara ini supaya tindakan yang sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Adalah tidak wajar anggota pentadbiran kerajaan negeri bertindak menyerang penjawat awam kerana ia ibarat menuding jari untuk meletakkan kesalahan pada orang lain, tetapi sebenarnya masalah itu turut melibatkan diri mereka sendiri.

“Seharusnya penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan negeri bekerjasama dengan baik bagi menyelesaikan permasalahan rakyat dan bukannya bertindak menyalahkan satu sama lain,” katanya.

Adnan berkata, sebagai kakitangan awam, setiap penjawat awam telah diberi latihan yang mencukupi untuk berhadapan apa jua keadaan serta memiliki tahap profesionalisma yang tinggi.

“Kakitangan awam juga sentiasa mematuhi arahan kerajaan walau parti mana memerintah kerana keutamaan kakitangan awam adalah melaksanakan tugas sebaik mungkin demi kebaikan rakyat dan negara.

“CUEPACS menyeru agar mana-mana pihak tidak lagi menghina dan memperkecilkan peranan penjawat awam,” ujarnya.

Sementara itu, dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dalam laman Facebook miliknya hari ini, Ganabatirau secara terbuka meminta maaf kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan JPS Selangor.

Beliau mengakui kesilapan yang dilakukannya ketika melakukan tinjauan dan pemantauan banjir di Taman Sri Muda di Klang sehingga mengundang kemarahan pelbagai pihak.

“Saya suarakan perkara ini bukanlah untuk menjadi hero tetapi disebabkan berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu. Saya sedar telah bertindak kasar.

“Oleh itu, saya memohon maaf dengan sepenuh hati kepada pihak yang terbabit,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here