TIADA apa yang luar biasa apabila Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) Melaka.

Yang ‘luar biasa’ jika Presiden UMNO itu yang sebelum ini bersama 14 lagi ahli Parlimen parti tersebut menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sehingga memaksa Presiden Bersatu itu meletakkan jawatan mahu bekerjasama dengan Bersatu.

Ketika menegaskan pendirian UMNO itu, Ahmad Zahid berkata; ‘’ Untuk Bersatu kita telah buat keputusan. Kita tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka.. noktah. Tak lambat dah.. dulu dah..masa Perhimpunan Agung UMNO kita dah buat keputusan kita. Itulah keputusan kita dan kita muktamadkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.’’

Sebenarnya sejak awal lagi apabila kerajaan UMNO tumbang di Melaka akibat tindakan empat wakil rakyat termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md.Ali, memang tiada siapapun akan menjangkakan UMNO dan Bersatu akan bekerjasama dalam PRN Melaka.

Tambahan pula ada pemimpin UMNO yang sememangnya membenci Bersatu menegaskan, tidak boleh dibandingkan antara kerjasama dalam kerajaan di peringkat pusat dengan kerjasama politik seperti dalam pilihan raya.

Bahasa mudahnya, sejak dulu lagi sudah ada sentimen untuk menolak Bersatu atas sebab itulah Muhyiddin dijadikan sasaran sehingga UMNO yang kalah dan ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 kini mengetuai kerajaan.

Walaupun keputusan sebenar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ialah tiada kerjasama dalam PRU-15 tetapi nampaknya Ahmad Zahid sudah tidak sabar untuk melaksanakan dalam PRN Melaka.

Tetapi itu pun tidak luar biasa, kalau dasar ‘No Anwar No DAP’ pun boleh dilanggar begitu sahaja sehingga ada pemimpin kanan UMNO mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan tersebar rakaman audio perbualan antara ‘murid’ dan ‘cikgu’, namun tiada tindakan diambil ke atas pemimpin terlibat, apa yang dihairankan.

Namun perlu diingat, apabila PRN Melaka terpaksa diadakan berikutan masalah dalaman UMNO sehingga menyeret rakyat negeri untuk turun mengundi biarpun mereka baru sahaja mahu bernafas selepas dilanda pandemik Covid-19, UMNO lah parti yang kalut sangat bercakap soal kerjasama dengan parti-parti lain.

Ahmad Zahid awal-awal lagi sudah kata ‘No Way’ apabila ditanya oleh Malaysiakini adakah UMNO akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

Dan jangan lupa Ahmad Zahid juga pada 12 Oktober berkata dalam satu wawancara, ‘’ Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK yang pernah diadakan.

‘’Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan insha-Allah rakyat memilih parti yang terbaik.’’

Pada Selasa lalu, Ahmad Zahid berkata, “UMNO dan BN mesti ditanya siapa rakan politik kami untuk menghadapi PRN.

“Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk UMNO dan BN bekerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan secara rasmi.

“Keputusan muktamad akan kita umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik UMNO dan juga MKT UMNO akan diikuti Dewan tertinggi BN yang akan kita adakan minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Dan beliau juga berkata;

‘’UMNO sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menerima pandangan mana-mana pihak sebelum keputusan dibuat.

“Pelbagai pihak datang kepada kami, kami berlapang dada dan berfikiran terbuka… siapa sahaja mahu berikan pandangan kami terima.

“Namun segala keputusan akan kita putuskan secara kolektif apabila tiba masanya nanti. Maka jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis politik untuk menelaah di manakah pendirian UMNO dan BN dalam PRN Melaka ini.’’

Malam tadi lain pula kenyataan Ahmad Zahid. Tiada soal berlapang dada dan berfikiran terbuka sebaliknya sudah dianggap muktamad walaupun MT UMNO dan Dewan Tertinggi BN belum bermesyuarat. Tidak mengapa, kalau mengikut tindak tanduk politik Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut ia bukanlah ‘sesuatu yang luar biasa’. Lagipun dalam UMNO, pemimpin-pemimpin parti itu sudah biasa dengan ‘telatah’ Presiden mereka.

Apa yang mahu diperkatakan ialah sejak awal lagi Ahmad Zahid begitu yakin bahawa UMNO akan mencapai kemenangan cemerlang di Melaka. Beliau mahu membuktikan UMNO boleh bergerak solo tanpa bantuan mana-mana parti termasuklah Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

Ia kerana berdasarkan keputusan PRU-14, Pas tiada apa-apa kekuatan di Melaka atas sebab itulah Ahmad Zahid ‘pandang sebelah mata’ sahaja biarpun dalam pemimpin-pemimpin UMNO mereka bertegas mempertahankan kerjasama dengan Pas.

Mereka bertegas kerana tahu, UMNO boleh menggunakan kekuatan jentera Pas dan paling penting pengundi Pas untuk menyokong kemenangan calon-calon UMNO.

Sebab itulah tersebar berita ada perbincangan sulit antara UMNO dan Pas bagi mengelakkan pertembungan sesama mereka. Tidak pasti sejauh manakah kebenaran berita itu memandangkan Pas adalah anggota rasmi Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu.

Bagaimanapun sejak awal lagi, Bersatu tidak pernah ambil peduli soal sama ada UMNO mahu bekerjasama dengan parti itu atau tidak, walaupun mahukan penyatuan ummah.

Sebaliknya tumpuan Muhyiddin ialah mengatur strategi untuk PN bagi berhadapan PRN Melaka tetapi bersikap terbuka dalam soal kerjasama dengan parti-parti lain seperti mana kata beliau semalam;

‘’ Kami ini pejuang, dalam politik kita hadapi realiti politik, hasrat saya kalau tanya saya hendak berbaik dengan semua orang.

“Ummah ke, perpaduan ummah ke, itu perkara memang biasa kita alu-alukan, tetapi dalam pertimbangan politik dia tidak ada sebut perpaduan ummah pun, dia tengok perpaduan dan kepentingan parti masing-masing.

“Bagi saya kita (PN) mungkin tidak (mahu) melambat-lambat, kita sudah ada keputusan tetapi apa pun bila sampai hari penamaan calon kita tengok apa berlaku, sama ada (wujud) gabungan atau tidak, PN sudah bersedia hadapi tiga penjuru.’’

Kenyataan itu menunjukkan Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Bersatu tidak gundah gulana dengan apa juga pendirian UMNO. Ia memandangkan yang akan membuat keputusan dalam piihan raya itu adalah rakyat.

Justeru daripada menghabiskan masa melayan politik ‘bukan luar biasa’ Ahmad Zahid, lebih baik Bersatu dan PN menumpukan perhatian memenangi pilihan raya tersebutnya yang tercipta berikutan ‘drama dua singa atas gunung’ dalam UMNO sehingga menyusahkan rakyat.

Yakinlah, rakyat Melaka tahu siapa yang akan pilih dan kalau ada mana-mana pemimpin parti yang begitu yakin boleh menang besar atas dasar andaian ‘sebelah sana ada banyak masalah’ – itu baru luar biasa kerana senario sudahpun berubah.

Jadi janganlah yakin dan janganlah angkuh sangat menolak ‘mentah-mentah’ kerjasama sesama parti Melayu. Jangan melihat PRN Melaka sekadar merebut kuasa sebaliknya boleh menjadi platform pertama bagi penyatuan ummah. Itulah harapan orang Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here