prn melaka

PEJABAT Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada Barisan Nasional (BN) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkongsian dalam platform media sosialnya memaklumkan, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dikeluarkan kepada BN susulan penganjuran majlis sosial di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC), malam tadi.

Notis kepada Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz yang dikongsikan oleh KKM menyebut parti itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 (1) PPPAPB (langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) kerana gagal memastikan penjarakan fizikal yang merupakan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Notis itu juga memaklumkan kompaun RM10,000 kepada BN atas kesalahan melanggar SOP itu akan habis tempoh pada 9 Nov ini.

Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn, WTC itu turut dihadiri Pengerusi parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Baru-baru ini, KKM menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk pelancaran jentera bermula 25 Okt hingga 27 Nov ini.

Menurut SOP Fasa Empat PPN yang dikemas kini Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 22 Okt, penganjuran majlis di dalam dewan atau tempat terbuka dibenarkan dengan kapasiti tetamu 50 peratus ruang penganjuran majlis selain perlu memastikan penjarakan fizikal.

Majlis tidak dibenarkan sekiranya sukar untuk mengawal keadaan apabila terdapat ramai orang pada satu-satu masa dan sukar untuk mengawal keperilakuan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ini. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here