Author: Admin

  • Hormat Anwar tidak patut dianggap membodek – Saifuddin

    Hormat Anwar tidak patut dianggap membodek – Saifuddin

    PERBUATAN menghormati dan mentaati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya disamakan dengan membodek.

    Memetik laporan Malaysiakini, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbuatan itu adalah satu kewajipan dalam sesebuah organisasi.

    Beliau memberikan analogi ketaatan kepada pemimpin seumpama solat jemaah yang dipimpin oleh seorang imam.

    “Taat kepada pemimpin satu kewajipan organisasi, taat sifat dipuji.

    “Orang Islam dalam solat (berjemaah) ada imam, kita ikut, sekali kita tak ikut imam solat kita terbatal. Kalau imam tak betul kita boleh tegur dalam solat, ada cara tegur imam.

    “Imam rukuk (solat) kita rukuk, itu bukan makna bodek imam, itu taat dan patuh pada imam.

    “Imam baca dalam sembahyang bacaannya salah, tegur dia… imam lupa, tegur, ada cara. Dalam sembayang pun boleh tegur apa lagi di luar.

    “Tegurlah Anwar Ibrahim dalam mesyuarat, semua dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) boleh jadi saksi berapa banyak pandangan dia disanggah, ditolak sampai kadang-kadang dia merayu ‘ini pandangan saya’,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Ke-16 PKR di Shah Alam, hari ini.

    Saifuddin menambah, Anwar ialah pemimpin yang boleh ditegur dan dikritik, namun biarlah secara beradab dan berakhlak.

    Semalam, Timbalan Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli berkata, kepimpinan baharu PKR tidak perlu membodek atau mempertahankan Anwar apabila Presiden parti itu dikritik.

    Menurut Rafizi, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.

    “Kalau saya menjadi Anwar Ibrahim, saya rasa kita perlu terima factual finding (hakikat sebenar) kerana jika kita tidak melakukan apa-apa, ia (situasi sedia ada) akan diterjemahkan kepada keputusan pilihan raya, (di mana) hakikatnya dia telah hilang populariti.

    “Apa yang penting untuk parti dan kepimpinan baru adalah bukannya cuba membodek Anwar ke, pertahankan Anwar ke..,” kata Rafizi.

    Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin melahirkan rasa simpati dengan Presiden parti itu yang diserang dan diperlekehkan oleh beberapa pihak tertentu.

    Secara sinis, Shamsul membaca dua rangkap pantun bagi mengingatkan ahli PKR supaya patuh dan hormat kepada pucuk pimpinan parti itu.

    “Saya nak dedikasi dua pantun: bila berbicara khemah besar, jangan kita mudah tersasar, pemimpin hebat jiwanya besar, diserang digasak tetap sabar.

    “Ini bukan bodek, ini pantun, boleh jawab nanti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan.

  • Rakyat sudah ‘serik doh weh’, tak mahu undi PH

    Rakyat sudah ‘serik doh weh’, tak mahu undi PH

    guane

    KEBELAKANGAN ini nampaknya semakin ramai pemimpin parti politik tanah air bercakap mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Rata-ratanya memperkatakan mengenai sasaran, strategi dan pelbagai percaturan ke arah memastikan kemenangan besar dalam PRU-15 nanti bagi memegang tampuk pemerintahan negara.

    Ketika berucap sempena Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam semalam, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengatakan bahawa parti itu perlu memenangi pilihan raya umum.

    Menurut Saifuddin, ia perlu untuk membolehkan Pakatan Harapan (PH) kembali memimpin kerajaan bagi menyelamatkan rakyat dan juga negara.

    Untuk itu katanya, PKR mesti berusaha untuk memenangi PRU-15 yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Beliau dipetik sebagai berkata, PKR membuat kongres tahunan untuk terus mengukuhkan parti dan memperkuat PH serta menjana seluruh kekuatan baharu untuk PRU-15.

    Katanya lagi, masuk PRU dengan matlamat jelas untuk menang dan memimpin kerajaan baharu demi menyelamatkan rakyat dan negara, bukannya masuk PRU-15 untuk jadi pembangkang.

    Malah katanya, membiarkan kerajaan yang ada sekarang terus berkuasa dan menunggu PRU untuk membiarkan kerajaan sekarang berkuasa adalah satu malapetaka besar.

    Begitulah semangat kebanyakan pemimpin parti politik di Malaysia termasuk PKR apabila bercakap mengenai PRU-15.

    Semua parti politik mahukan kemenangan dengan meletakkan sasaran meraih majoriti lebih besar, sekaligus mahu memerintah dan menerajui tampuk pemerintahan negara.

    Penulis hargai semangat dan impian besar tersebut.

    Sebagai sebuah negara demokrasi semua pihak bebas untuk bersuara dan merancang pelbagai strataegi untuk menang.

    Penulis percaya hanya rakyat yang mampu memberi jawapan parti manakah yang bakal diangkat sebagai pemerintah negara.

    Namun, penulis ingin mengingatkan kepada semua parti politik, rakyat yang menjadi (pengundi) tidak lagi berfikiran seperti dahulu.

    Minda rakyat kini semakin berubah dan mereka kini sukar diperkotak-katikkan.

    Mereka sudah bijak menilai antara intan dan permata dengan kaca.

    Rakyat ingin mengecapi hidup dalam suasana aman dan tenteram, tanpa sebarang konflik politik yang boleh membantut urusan kehidupan termasuk dari segi ekonomi, pendidikan anak-anak, keagamaan dan lain-lain berkaitan.

    Mereka tidak mahu pemimpin yang gagal menjaga nasib serta kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam di tanah air sendiri.

    Rakyat berasa ‘serik doh weh!’ apabila memilih PH pada PRU-14, tahun 2018.

    Malah, penulis sendiri ada mendengar perkataan ini terkeluar secara terbuka dari mulut kebanyakan rakyat.

    Ada yang mengatakan bahawa kemenangan PH pada PRU-14 bukan setakat ada pemimpin dan parti-parti politik tertentu dalam gabungan tersebut, tetapi ia turut didorong faktor kelicikan Tun Dr Mahathir Mohamad memainkan sesuatu isu sehingga mampu memperdayakan rakyat.

    Bagi penulis, kalau PKR mahukan kemenangan dalam PRU-15 pada kali ini ia merupakan satu tugas agak mencabar dan perlu mencari pendekatan strategi baharu.

    Antaranya termasuklah tidak mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerana sebahagian besar rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur sejak awal-awal lagi telah menolak Anwar.

    Faktor kedua pula ialah tiada parti DAP dalam gabungan yang melibatkan PKR. Mampukah?

    Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana rakyat sudah ‘serik doh weh!’ akibat tertipu dengan janji-janji manis PH sewaktu PRU-14, agak mustahil mereka terus memberi peluang kedua.

  • ROS minta PKR jawab aduan keputusan pemilihan parti

    ROS minta PKR jawab aduan keputusan pemilihan parti

    JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah menghantar surat kepada PKR berhubung aduan berkaitan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.

    Memetik laporan FMT, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah berbincang dengan peguam tentang surat tersebut.

    “Pagi tadi dapat surat daripada ROS, ada aduan kepada ROS berkenaan proses pemilihan yang diadakan baru-baru ini.

    “Sejurus dapat surat tu, saya adakan mesyuarat. Ini keadaan paling sukar, seolah-olah berlaku kepada DAP pada 2013 dan 2015,” katanya dalam Kongres PKR.

    Pada 16 April lalu, seorang wanita membuat aduan kepada ROS mendakwa dipecat daripada PKR tanpa pengetahuannya, sekali gus menafikan peluangnya untuk bertanding dalam pemilihan parti itu.

    Wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pemimpin PKR tahun lalu itu, percaya terdapat komplot jahat untuk menghalangnya bertanding jawatan ketua cabang.

    Saifuddin menambah, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas ‘watak pemecah belah dalam parti’.

    “Apa guna tabur fitnah, kalau nak pecah belahkan sesama kita,” katanya.

    Saifuddin turut berikrar akan mempertahankan parti daripada sebarang serangan.

    “Tugas terakhir, untuk minit terakhir, saya Saifuddin Nasution akan mempertahankan parti,” tegasnya.

    Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, tindakan segelintir calon tewas dalam pemilihan parti yang membuat laporan polis dan ROS disifatkan sebagai ‘menyerah tengkuk pada musuh’.

    Beliau mengakui terkilan dengan tindakan itu dengan berkata individu tersebut tidak perlu berbuat demikian dan seharusnya memberi sepenuh kepercayaan kepada barisan kepimpinan baharu.

    “Saya nak nasihatkan jangan bagi musuh kita peluru. Kenapa serahkan leher, tengkuk kita kepada musuh.

    “Kita tahu mereka (musuh) risau dengan adanya Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli ini adalah kekuatan yang paling kuat, yang boleh menyiapsediakan Keadilan untuk terajui Putrajaya,” katanya dalam Kongres PKR.

    Fahmi berkata demikian berkata merujuk kepada tindakan ahli PKR yang membuat laporan polis dan JPPM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti.

    Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh turut menggesa supaya parti mengambil tindakan ‘menyenarai hitam’ individu yang membuat laporan polis dan ROS ke atas parti itu.

    Memetik laporan Bernama, beliau ketika menyampaikan ucapan pembubaran Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR 2018-2021 berkata, ahli parti yang hanya mengejar jawatan akan melemahkan parti dan wajar dikenakan tindakan tegas oleh biro disiplin parti.

    “Bila nak bertanding menjadi calon (PRU) bersungguh-sungguh tanda tangan surat aku janji, tapi bila parti minta bayar semula wang deposit… susah nak bayar. Kita senarai hitam sahaja, yang tabur fitnah pun kita senarai hitam juga.

    “Kita julang calon yang betul-betul mahu menangkan PKR, bukannya nak menangkan diri sendiri. Perjuangan PKR memerlukan komitmen dan fahaman tinggi terhadap keadilan serta reformasi,” katanya.

  • Jangan kritik Presiden dalam kongres, Anwar tegur Rafizi

    Jangan kritik Presiden dalam kongres, Anwar tegur Rafizi

    BERIKUTAN kelantangannya mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kongres parti, Rafizi Ramli ditegur oleh Presiden PKR itu.

    Memetik laporan FMT, Anwar meminta timbalannya itu agar tidak menggunakan Kongres PKR untuk memberi pandangan negatif terhadapnya.

    Sebaliknya, kata beliau, Rafizi boleh membuat teguran menerusi saluran dalaman parti.

    Anwar memberitahu, hampir 90 peratus perwakilan Kongres PKR mengemukakan usul agar semua pihak memperkukuhkan parti.

    “Saya tak mahu panjangkan isu ini, kerana ini Rafizi. Kalau dia tak gunakan forum itu menyinggung sikit-sikit bukan dia.

    “Saya harap mudah-mudahannya dalam beberapa perbincangan awal, saya pujuk dia redakan hal ini tumpu menyerang musuh, tumpu perkuat parti.

    “Bila dia sibuk bab itu, dia tak nampak masalah dalaman ini kerana masalah dalaman boleh bincang, boleh kritik, boleh canggah, boleh bantah dalam forum dalaman.

    “Itu adab jamaah, saya rasa dalam perbincangan tadi, 90 peratus cakap hal sama,” katanya pada sidang media di Kongres PKR.

    Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rafizi bahawa popularitinya sebagai Ketua Pembangkang ketika ini mengalami kemerosotan.

    Rafizi turut berkata sekiranya beliau menjadi Anwar, beliau akan menerima dapatan kajian berkenaan kerana ia memberi kesan langsung kepada Pakatan Harapan (PH), menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Anwar menambah, PKR bukan seperti UMNO, jika sesetengah pemimpin mengeluarkan kenyataan mengkritik Presiden ketika perhimpunan tahunan, sudah pasti terdapat usul pemecatan.

    “Cuma harus dewasa dan matang kerana kita berdepan masalah segera terutamanya menghadapi PRU dalam satu pasukan.

    “Parti kita lebih terbuka tapi bila datang pilihan raya kita terbuka, soal pokok, soal dasar,” jelasnya.

  • UMNO ‘takut’ buat pemilihan macam takut hantu

    UMNO ‘takut’ buat pemilihan macam takut hantu

    TT pelik sungguh dengan UMNO yang takut sangat nak buat pemilihan sampaikan macam-macam mereka kata kat Pendaftar Pertubuhan (RoS).

    Terbaru Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki ingatkan RoS kuasa Perdana Menteri (PM) Ismail Sabri Yaakob lebih tinggi daripada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

    TT tak faham apa maksud Asyraf Wajdi, adakah maksudnya beliau mahu PM campur tangan supaya RoS luluskan rayuan UMNO? TT hanya bertanya sebab nada kenyataan dilihat sebegitu. Sepatutnya sebagai seorang yang bijak pandai Asyraf Wajdi harus menghormati bidang kuasa dan tugas RoS.

    RoS akan membuat keputusan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada. Kalaulah rayuan UMNO tak layak diterima tak layak lah, apa hal pula nak cakap soal kuasa siapa lebih tinggi?  Apa istimewanya UMNO sampai RoS terpaksa lulus rayuan parti itu walaupun tak memenuhi syarat?

    Asyraf Wajdi sepatutnya tak perlu beri tekanan kepada RoS, biarlah agensi kerajaan itu melakukan kerja mereka. Tunggu sahaja keputusan rasmi RoS, kalau diterima Alhamdulillah, kalau ditolak…UMNO bersedialah buat pemilihan, apa yang takut sangat nak pemilihan macam takut kat hantu?

    Dalam bab ni TT puji Tok Mat Hasan yang kata UMNO akan patuh kepada sekiranya diputuskan perlu mengadakan pemilihan parti pada hujung tahun ini.

    Timbalan Presiden UMNO itu dilaporkan berkata sekiranya permohonan pindaan Perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan tidak diluluskan, parti akan mengadakan pemilihan berkenaan seiring mesyuarat dijadualkan pada hujung November.

    “Jika RoS tidak luluskan, mesyuarat juga akan diadakan seperti dijadualkan dan akan ada pemilihan jawatan di semua peringkat iaitu cawangan, bahagian dan pusat,” jelas Mohamad.

    Itu barulah ‘gentlemen’…ini tidak dok buat statement yang nampak seolah-olah segelintir pemimpin UMNO ‘tidur tak lena’ kalau ada pemilihan…dah kenapa? Buatlah saja pemilihan, apa masalahnya.Tak kan Asyraf Wajdi tak faham kenyataan Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO adalah sebuah parti yang matang.

    Bila dah matang mestilah pemilihan akan berjalan dengan lancar. TT yakin Tok Mat Hasan ada keyakinan tu sebab itulah beliau buat kenyataan seumpama itu.

    Sepatutnya sebagai seorang Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi kena beranilah berhadapan dengan cabaran jika pemilihan diadakan. Menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan tidak berlaku perpecahan dalam UMNO, khususnya Pemuda, kalau berlaku perpecahan maknanya talbiah UMNO la yang tak betul.

    Jadi TT nak nasihatkan pemimpin UMNO seperti Asyraf Wajdi tenang-tenang sahaja menanti keputusan rasmi RoS.Jangan nampak panik sangat. Lagi pula sebagai seorang yang mempunyai latar belakang agama, Asyraf Wajdi pasti faham apa yang berlaku tentunya ada hikmah daripada Allah SWT.

    Belajarlah untuk redha dan bukannya membuat kenyataan-kenyataan yang menampakkan ketakutan tak bertempat pemimpin UMNO kerana terpaksa buat pemilihan yang ‘kambing pun boleh tersenyum’.

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • Anggota polis cedera dilanggar lari penyeludup minyak

    Anggota polis cedera dilanggar lari penyeludup minyak

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang anggota polis pengsan akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala setelah dilanggar lari oleh sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Frontier di Kulim, Kedah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.15 pagi ketika anggota tersebut yang menaiki motosikal, cuba menghentikan kenderaan tersebut di simpang berdekatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kulim.

    “Berikutan kejadian itu, siasatan terus dijalankan dan suspek yang berusia 40 tahun dan berasal dari Sungai Petani, Kedah, ditahan di Butterworth, Pulau Pinang.

    “Semakan lanjut mendapati dia memiliki tiga rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis THC,” katanya.

    Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda itu mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai.

    “Terdapat tangki minyak di bahagian belakang kenderaan itu dengan suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak,” katanya.

    Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 42(1) dan 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 6(1) APJ 1987,” katanya.

  • Lebih 50% pengusaha stesen minyak rugi, hanya cukup makan

    Lebih 50% pengusaha stesen minyak rugi, hanya cukup makan

    KERAJAAN digesa mempertimbangkan mekanisme penetapan harga runcit petroleum secara bulanan berbanding secara mingguan yang dilaksanakan ketika ini.

    Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM), Khairul Anuar Abdul Aziz berkata, kaedah penetapan harga secara mingguan menyebabkan lebih 50 peratus pengusaha stesen minyak terpaksa beroperasi dalam kerugian atau sekadar ‘cukup makan’.

    Menurut beliau, mereka terpaksa menanggung kos operasi tinggi susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan kenaikan tarif elektrik.

    Namun katanya, beban menjadi lebih berat apabila kaedah penetapan keuntungan pengusaha minyak tidak berubah pada kadar 15 sen seliter.

    “Mekanisme penetapan harga secara bulanan lebih stabil bagi pengusaha. Kalau harga mingguan, tak sempat kami nak habiskan stok (dibeli pada harga tinggi) dah turun harga lagi, jadi kami rugi banyak. 50-60% pengusaha sekarang memang sakit kerana margin kurang.

    “Pandangan orang luar selalu menganggap harga minyak naik, kami untung besar. Tidak sama sekali kerana pendapatan kami bergantung kepada kuantiti yang kami jual dan kerajaan sudah tetapkan pengusaha dibenar mengambil keuntungan 15 sen saja bagi setiap liter,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Khairul Anuar berkata, secara dasarnya, apabila harga minyak tinggi, pengusaha stesen minyak memerlukan kos yang besar untuk membeli produk petroleum dan dari segi pengguna, mereka akan mengurangkan penggunaan sekali gus menyebabkan kemerosotan pendapatan pengusaha.

    “Bila harga RON97 tinggi, jualan produk itu turun 90% kerana ramai pengguna termasuk orang kaya raya beralih kepada RON95 yang disubsidi kerajaan. Sebab itu kita tengok trend jualan di stesen minyak seluruh negara menunjukkan peningkatan mendadak bagi RON95,” jelasnya.

    “Penjualan RON97 terlalu sikit, tak dapat tampung kos (operasi) pun. Sampai ada pengusaha terpaksa tutup lampu, kurangkan pekerja.

    “Kalau industri lain, bila kos naik contoh macam pelaksanaan gaji minimum baru-baru ini, mereka boleh naikkan harga barang tetapi kami tak boleh sebab (margin) dah ditentukan oleh kerajaan,” katanya.

    Kerajaan menetapkan harga siling bagi RON95 ketika ini ialah RM2.05 bagaimanapun diesel dan RON97 diapungkan mengikut harga pasaran.

    Harga runcit petrol bagi RON95 adalah RM2.05 seliter; diesel (RM2.15 seliter) dan petrol RON97 (RM4.75 seliter) mulai 14 Jul – 20 Jul. Harga RON97 turun 5 sen berbanding pada minggu sebelumnya sekali gus memberi kesan kepada pendapatan pengusaha stesen minyak.

    Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Mac 2017 menetapkan harga runcit petrol dan diesel melalui kaedah pengapungan terkawal secara mingguan dan ia diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

  • Jho Low didakwa pernah tawar RM1.5 bilion selesai kes

    Jho Low didakwa pernah tawar RM1.5 bilion selesai kes

    AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan pernah menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.

    Walau bagaimanapun, Malaysiakini yang memetik The Edge melaporkan, sumber yang tidak dinamakan mengatakan bahawa kerajaan telah menolak tawaran itu.

    Laporan itu yang disiarkan malam tadi juga mendakwa seorang bekas Peguam Negara mewakili Jho Low dalam rundingan dengan kerajaan Malaysia.

    Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak mengetahui tentang perkara itu.

    Jho Low dikaitkan sebagai dalang di sebalik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan telah didakwa tanpa kehadiran di mahkamah Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.

    Dia kini dalam pelarian dan lokasinya tidak diketahui umum.

    Pada 2018, Jabatan Kehakiman AS telah mendakwa Jho Low dengan konspirasi untuk mengubah berbilion dolar daripada dana kekayaan negara Malaysia, dan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika.

    Di Malaysia, Jho Low dan rakan sekutunya berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion. Dia juga menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berasingan dengan pembantunya, Eric Tan Kim Loong sebanyak AS$125.97 juta.

    Pada 2020, SPRM membawa satu lagi pertuduhan terhadap Jho Low dan rakan-rakannya, kali ini didakwa terlibat dalam konspirasi jenayah bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM60,629,839.43.

    Jho Low berulang kali mendakwa dia tidak bersalah dan pada wawancara 2020 dia mendakwa dia hanyalah perantara dalam urusan 1MDB.

  • Kongres AMK kecoh, petugas halang ahli masuk

    Kongres AMK kecoh, petugas halang ahli masuk

    KONGRES Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Shah Alam hari ini dicemari dengan insiden kekecohan apabila beberapa ahli sayap tersebut dihalang masuk untuk mewakili cabang mereka.

    Memetik laporan Malaysiakini, difahamkan, perang mulut tercetus kira-kira pukul 10 pagi, sebaik sahaja kongres sayap tersebut bermula.

    Salah seorang ahli AMK yang terlibat, Danish Hairudin ketika dihubungi Malaysiakini berkata sekretariat kongres hanya membenarkan 75 cabang AMK untuk menghantar perwakilan mereka.

    Keputusan itu didakwa atas dasar cabang tersebut gagal membuat mesyuarat agung tahunan (AGM) atau tidak menghantar laporan mereka kepada sekretariat.

    “Tapi ini kesilapan kepimpinan sebelumnya di cabang terlibat. Mereka yang tidak membuat AGM.

    “Barisan kepimpinan baharu tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana mereka baru saja dipilih dalam pemilihan baru-baru ini,” katanya.

    Ahli AMK Cabang Kota Raja itu mendakwa, sekatan itu juga melanggar perlembagaan parti, yang memberi hak kepada pemimpin cabang untuk menghadiri kongres kebangsaan.

    “Perlembagaan parti menjamin hak pemimpin peringkat cabang yang dipilih untuk hadir ke kongres parti. Tiada peruntukan yang menyatakan pemimpin peringkat cabang boleh dihalang kerana kepimpinan sebelumnya tidak membuat AGM,” tambahnya.

    Mengulas perkara itu, Setiausaha AMK, Syukri Razab berkata, isu itu tidak sepatutnya timbul.

    Menurut beliau, ahli-ahli tersebut dihalang masuk ke dewan kongres kerana mereka bukan perwakilan.

    Untuk menjadi perwakilan, katanya, ada dua syarat yang perlu dipenuhi.

    “Pertama, cabang mesti buat AGM dengan cukup korum dan hantar laporan. Korum mesti cukup dan laporan perlu ada semua tandatangan.

    “Kedua, cabang mesti ikut proses pemilihan secara sempurna. Perlu ada sekurang-kurangnya lapan pencalonan (untuk semua jawatan peringkat cabang) – ketua, timbalan, naib ketua dan lima ahli jawatankuasa.

    “Apa yang berlaku tadi, mereka hanya mematuhi syarat kedua,” katanya lagi.

    Mengulas lanjut, Syukri berkata AGM perlu diadakan kerana dalam mesyuarat itu, cabang akan memberi mandat kepada barisan kepimpinan baharu untuk menjadi wakil di kongres kebangsaan.

    Memetik laporan FMT, Syukri berkata, AMK turut mengehadkan kapasiti dewan yang hanya boleh memuatkan hanya 400 perwakilan, berbanding 675 yang layak hadir.

  • Maszlee dakwa PM, Menteri Kewangan PH tolak rancangan makanan percuma

    Maszlee dakwa PM, Menteri Kewangan PH tolak rancangan makanan percuma

    BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendedahkan bahawa rancangannya untuk memberi makanan percuma kepada murid sekolah tiga tahun lalu, ditolak Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Memetik laporan FMT, Maszlee mencadangkan program sarapan untuk pelajar, bermula dengan 100 sekolah, pada 2019 bagi memastikan pemakanan yang betul bagi kanak-kanak, selain menggalakkan mereka mengamalkan tabiat pemakanan baik serta mencuci hidangan selepas makan.

    “Anda harus ingat bahawa pada 2019, saya telah memulakan idea untuk mengadakan makanan sekolah percuma. Kami menjalankan projek rintis di 100 sekolah dan kami akan melancarkannya pada 2020.

    “Tetapi, Perdana Menteri ketika itu, pada 2020, dan Menteri Kewangan sangat tidak bersetuju dengan idea itu,” katanya pada forum anjuran Universiti Monash Malaysia.

    Walau bagaimanapun, beliau tidak menyebut nama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dimaksudkannya itu.