guane

KEBELAKANGAN ini nampaknya semakin ramai pemimpin parti politik tanah air bercakap mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Rata-ratanya memperkatakan mengenai sasaran, strategi dan pelbagai percaturan ke arah memastikan kemenangan besar dalam PRU-15 nanti bagi memegang tampuk pemerintahan negara.

Ketika berucap sempena Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam semalam, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengatakan bahawa parti itu perlu memenangi pilihan raya umum.

Menurut Saifuddin, ia perlu untuk membolehkan Pakatan Harapan (PH) kembali memimpin kerajaan bagi menyelamatkan rakyat dan juga negara.

Untuk itu katanya, PKR mesti berusaha untuk memenangi PRU-15 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau dipetik sebagai berkata, PKR membuat kongres tahunan untuk terus mengukuhkan parti dan memperkuat PH serta menjana seluruh kekuatan baharu untuk PRU-15.

Katanya lagi, masuk PRU dengan matlamat jelas untuk menang dan memimpin kerajaan baharu demi menyelamatkan rakyat dan negara, bukannya masuk PRU-15 untuk jadi pembangkang.

Malah katanya, membiarkan kerajaan yang ada sekarang terus berkuasa dan menunggu PRU untuk membiarkan kerajaan sekarang berkuasa adalah satu malapetaka besar.

Begitulah semangat kebanyakan pemimpin parti politik di Malaysia termasuk PKR apabila bercakap mengenai PRU-15.

Semua parti politik mahukan kemenangan dengan meletakkan sasaran meraih majoriti lebih besar, sekaligus mahu memerintah dan menerajui tampuk pemerintahan negara.

Penulis hargai semangat dan impian besar tersebut.

Sebagai sebuah negara demokrasi semua pihak bebas untuk bersuara dan merancang pelbagai strataegi untuk menang.

Penulis percaya hanya rakyat yang mampu memberi jawapan parti manakah yang bakal diangkat sebagai pemerintah negara.

Namun, penulis ingin mengingatkan kepada semua parti politik, rakyat yang menjadi (pengundi) tidak lagi berfikiran seperti dahulu.

Minda rakyat kini semakin berubah dan mereka kini sukar diperkotak-katikkan.

Mereka sudah bijak menilai antara intan dan permata dengan kaca.

Rakyat ingin mengecapi hidup dalam suasana aman dan tenteram, tanpa sebarang konflik politik yang boleh membantut urusan kehidupan termasuk dari segi ekonomi, pendidikan anak-anak, keagamaan dan lain-lain berkaitan.

Mereka tidak mahu pemimpin yang gagal menjaga nasib serta kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam di tanah air sendiri.

Rakyat berasa ‘serik doh weh!’ apabila memilih PH pada PRU-14, tahun 2018.

Malah, penulis sendiri ada mendengar perkataan ini terkeluar secara terbuka dari mulut kebanyakan rakyat.

Ada yang mengatakan bahawa kemenangan PH pada PRU-14 bukan setakat ada pemimpin dan parti-parti politik tertentu dalam gabungan tersebut, tetapi ia turut didorong faktor kelicikan Tun Dr Mahathir Mohamad memainkan sesuatu isu sehingga mampu memperdayakan rakyat.

Bagi penulis, kalau PKR mahukan kemenangan dalam PRU-15 pada kali ini ia merupakan satu tugas agak mencabar dan perlu mencari pendekatan strategi baharu.

Antaranya termasuklah tidak mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerana sebahagian besar rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur sejak awal-awal lagi telah menolak Anwar.

Faktor kedua pula ialah tiada parti DAP dalam gabungan yang melibatkan PKR. Mampukah?

Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana rakyat sudah ‘serik doh weh!’ akibat tertipu dengan janji-janji manis PH sewaktu PRU-14, agak mustahil mereka terus memberi peluang kedua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here