JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah menghantar surat kepada PKR berhubung aduan berkaitan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.

Memetik laporan FMT, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah berbincang dengan peguam tentang surat tersebut.

“Pagi tadi dapat surat daripada ROS, ada aduan kepada ROS berkenaan proses pemilihan yang diadakan baru-baru ini.

“Sejurus dapat surat tu, saya adakan mesyuarat. Ini keadaan paling sukar, seolah-olah berlaku kepada DAP pada 2013 dan 2015,” katanya dalam Kongres PKR.

Pada 16 April lalu, seorang wanita membuat aduan kepada ROS mendakwa dipecat daripada PKR tanpa pengetahuannya, sekali gus menafikan peluangnya untuk bertanding dalam pemilihan parti itu.

Wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pemimpin PKR tahun lalu itu, percaya terdapat komplot jahat untuk menghalangnya bertanding jawatan ketua cabang.

Saifuddin menambah, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas ‘watak pemecah belah dalam parti’.

“Apa guna tabur fitnah, kalau nak pecah belahkan sesama kita,” katanya.

Saifuddin turut berikrar akan mempertahankan parti daripada sebarang serangan.

“Tugas terakhir, untuk minit terakhir, saya Saifuddin Nasution akan mempertahankan parti,” tegasnya.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, tindakan segelintir calon tewas dalam pemilihan parti yang membuat laporan polis dan ROS disifatkan sebagai ‘menyerah tengkuk pada musuh’.

Beliau mengakui terkilan dengan tindakan itu dengan berkata individu tersebut tidak perlu berbuat demikian dan seharusnya memberi sepenuh kepercayaan kepada barisan kepimpinan baharu.

“Saya nak nasihatkan jangan bagi musuh kita peluru. Kenapa serahkan leher, tengkuk kita kepada musuh.

“Kita tahu mereka (musuh) risau dengan adanya Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli ini adalah kekuatan yang paling kuat, yang boleh menyiapsediakan Keadilan untuk terajui Putrajaya,” katanya dalam Kongres PKR.

Fahmi berkata demikian berkata merujuk kepada tindakan ahli PKR yang membuat laporan polis dan JPPM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh turut menggesa supaya parti mengambil tindakan ‘menyenarai hitam’ individu yang membuat laporan polis dan ROS ke atas parti itu.

Memetik laporan Bernama, beliau ketika menyampaikan ucapan pembubaran Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR 2018-2021 berkata, ahli parti yang hanya mengejar jawatan akan melemahkan parti dan wajar dikenakan tindakan tegas oleh biro disiplin parti.

“Bila nak bertanding menjadi calon (PRU) bersungguh-sungguh tanda tangan surat aku janji, tapi bila parti minta bayar semula wang deposit… susah nak bayar. Kita senarai hitam sahaja, yang tabur fitnah pun kita senarai hitam juga.

“Kita julang calon yang betul-betul mahu menangkan PKR, bukannya nak menangkan diri sendiri. Perjuangan PKR memerlukan komitmen dan fahaman tinggi terhadap keadilan serta reformasi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here