BERIKUTAN kelantangannya mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kongres parti, Rafizi Ramli ditegur oleh Presiden PKR itu.

Memetik laporan FMT, Anwar meminta timbalannya itu agar tidak menggunakan Kongres PKR untuk memberi pandangan negatif terhadapnya.

Sebaliknya, kata beliau, Rafizi boleh membuat teguran menerusi saluran dalaman parti.

Anwar memberitahu, hampir 90 peratus perwakilan Kongres PKR mengemukakan usul agar semua pihak memperkukuhkan parti.

“Saya tak mahu panjangkan isu ini, kerana ini Rafizi. Kalau dia tak gunakan forum itu menyinggung sikit-sikit bukan dia.

“Saya harap mudah-mudahannya dalam beberapa perbincangan awal, saya pujuk dia redakan hal ini tumpu menyerang musuh, tumpu perkuat parti.

“Bila dia sibuk bab itu, dia tak nampak masalah dalaman ini kerana masalah dalaman boleh bincang, boleh kritik, boleh canggah, boleh bantah dalam forum dalaman.

“Itu adab jamaah, saya rasa dalam perbincangan tadi, 90 peratus cakap hal sama,” katanya pada sidang media di Kongres PKR.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rafizi bahawa popularitinya sebagai Ketua Pembangkang ketika ini mengalami kemerosotan.

Rafizi turut berkata sekiranya beliau menjadi Anwar, beliau akan menerima dapatan kajian berkenaan kerana ia memberi kesan langsung kepada Pakatan Harapan (PH), menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Anwar menambah, PKR bukan seperti UMNO, jika sesetengah pemimpin mengeluarkan kenyataan mengkritik Presiden ketika perhimpunan tahunan, sudah pasti terdapat usul pemecatan.

“Cuma harus dewasa dan matang kerana kita berdepan masalah segera terutamanya menghadapi PRU dalam satu pasukan.

“Parti kita lebih terbuka tapi bila datang pilihan raya kita terbuka, soal pokok, soal dasar,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here