Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sindiket penipuan bina aplikasi akses maklumat mangsa tumpas

    Sindiket penipuan bina aplikasi akses maklumat mangsa tumpas

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    SATU sindiket yang aktif membangunkan aplikasi bertujuan mengakses data pengguna sebelum mencuri wang mangsa berjaya ditumpaskan semalam, hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Kontinjen Johor.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi Ops Merpati itu, enam individu terbabit yang pakar dalam bidang teknologi maklumat (ICT) ditahan.

    “Sindiket ini dianggotai pakar-pakar komputer berpendidikan tinggi. Suspek yang juga dua lelaki dan empat wanita itu terdiri daripada seorang pemilik syarikat, tiga ‘software developer’ serta dua ‘multimedia designer’ masing-masing berusia antara 21 hingga 39 tahun.

    “Mereka ditahan dalam Ops Merpati pada pukul 3.30 petang semalam (Rabu) di sekitar kawasan Taman Bukit Indah di Johor Bahru, dan tangkapan itu direkodkan sebagai kes pertama di negeri ini dan kedua di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengiklankan jualan barang dengan harga murah dalam media sosial bagi menarik minat mangsa.

    Katanya, mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan akan menghubungi sindiket sebelum diberikan satu pautan untuk tujuan pembayaran.

    “Namun ketika pembayaran hendak dibuat menerusi pautan yang membawa kepada aplikasi yang dibangunkan sindiket itu, mereka akan mula menggodam segala data yang diberikan mangsa sehingga dapat mengakses akaun bank sekali gus mengambil wang mangsa tanpa diketahui mangsa.

    “Bila kita buat pembelian dalam talian dan kemudian bila kita nak bayar, akan keluar satu ‘link’ dan kita diminta tekan ‘link’ berkenaan dan biasanya urusan pembayaran itu akan ‘hang’ (tergantung),” katanya.

    Menurutnya, mangsa
    akan berfikiran pembayaran tidak berlaku kerana proses itu tergantung tetapi sebenarnya dalam tempoh tersebut hanya beberapa saat, sindiket berkenaan dapat mengakses sebarang maklumat daripada nombor kad kredit, nombor pin atau sebarang kod rahsia,
    seterusnya mengambil wang dan dimasukkan ke akaun sindiket.

    Katanya, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan turut menjual aplikasi yang dibangunkan kepada sindiket-sindiket penipuan yang lain dengan harga yang boleh mencecah sehingga RM30,000.

    Beliau memberitahu dalam serbuan itu, turut dirampas telefon bimbit, komputer, router wifi, cakera keras, dan kad akses serta kunci rumah yang dipercayai digunakan sindiket.

    Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120 kanun sama kerana melakukan pakat jahat jenayah.

    “Siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan pihaknya akan terus mengesan sindiket lain yang menggunakan taktik penipuan yang sama. Sehingga kini difahamkan lebih 100 aplikasi ini sudah dijual oleh sindiket ini,” katanya.

  • Polis serbu pusat panggilan judi dalam talian, 5 ditahan

    Polis serbu pusat panggilan judi dalam talian, 5 ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan lima lelaki kerana terlibat kegiatan judi dalam talian yang beroperasi di sebuah pusat panggilan atau ‘call centre’ di Pangsapuri Tepian Bayu, Jalan Sultanah Aminah, Marina Cove di Johor Bahru, kelmarin.

    Serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 6 petang.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

    “Hasil pemeriksaan mendapati premis yang diserbu itu merupakan merupakan ‘call centre’ menawarkan aktiviti perjudian dalam talian melalui dua laman sesawang iaitu www.89rich8888.com dan www.tgr138.com.

    “Selain itu sindiket ini mempuyai kutipan harian hingga RM15,000 dengan menyasarkan pelanggan dari Singapura. Premis ini telah beroperasi sejak Mac 2022,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, menerusi serbuan itu juga pihaknya merampas empat komputer riba, 20 telefon bimbit, tiga buah modem wifi, satu wifi, dua kad akses dan wang tunai RM3,950.

    Menurutnya, semua suspek yang ditahan itu berperanan sebagai operator tambah nilai dan cuci kredit serta ditugaskan berinteraksi dengan pelanggan untuk mempromosikan judi dalam talian.

    Jelas beliau, semua transaksi dilakukan secara perbankan dalam talian menerusi beberapa akaun yang telah dikenal pasti dan semuanya melibatkan akaun bank di negara ini.

    “Gaji yang diterima mereka antara RM3,000 sebulan dan diberi komisyen sebanyak 15 peratus,” katanya.

    Kamarul Zaman memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosi perjudian dalam talian, jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 atau maksimum RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun.

    Semua suspek katanya, direman selama empat hari bermula Rabu sehingga 1 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    “Kejayaan operasi ini adalah hasil risikan dijalankam pihak polis dan sebahagian lagi daripada aduan orang ramai. Jika terdapat sebarang kegiatan judi dalam talian, orang ramai boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis Johor 07-2212999 atau 07-2254677,” katanya.

  • Tiada pemandu kedua untuk perjalanan jauh, 5 bas disaman

    Tiada pemandu kedua untuk perjalanan jauh, 5 bas disaman

    SEBANYAK lima buah bas ekspres disaman dalam operasi penguatkuasaan berhampiran Plaza Tol Juru, Butterworth, Pulau Pinang malam tadi atas kesalahan tidak menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau perjalanan selama empat jam secara berterusan.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam kenyataan menerusi laman Facebook berkata, operasi yang menyasarkan bas ekspres itu diadakan selama enam jam bermula kira-kira pukul 11 malam.

    Menurutnya, operasi itu bertujuan memastikan semua kenderaan perkhidmatan awam terutama bas ekspres mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

    “Ini termasuk memastikan bas dalam keadaan baik dan selamat digunakan, pemandu mempunyai lesen memandu dan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) yang sah.

    “Selain itu, kita juga mahu memastikan pengusaha bas menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan bas jauh atau lama menerusi pemeriksaan buku log pemandu,” katanya.

    Dalam pada itu tambah kenyataan tersebut, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemandu serta pemilik yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    Tegasnya, JPJ Pulau Pinang komited memastikan keselesaan dan kesejahteraan terhadap pengguna jalan raya selari dengan kempen ‘Pandu Cermat dan Sentiasa Selamat Sampai’ ke destinasi.

    “Pada masa sama, komitmen ini juga bertujuan mengurangkan statistik kemalangan jalan raya terhadap kenderaan khususnya melibatkan pengangkutan awam,” katanya.

  • ATM perlu beri lebih perhatian kedaulatan di Laut Cina Selatan

    ATM perlu beri lebih perhatian kedaulatan di Laut Cina Selatan

    KOMITMEN berterusan kerajaan menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperlukan bagi memastikan tentera China tidak sesuka hati mencerobohi sempadan dan perairan negara di Laut China Selatan.

    Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, China kebelakangan ini agak aktif menjalankan aktiviti ketenteraan dan penguatkuasaan maritim di Laut China Selatan hingga menganggu aktiviti perikanan serta industri minyak dan gas negara.

    “Kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) harus mengambil serius situasi ini dengan memperkukuhkan aspek ketenteraan di sempadan kita khususnya di perairan Sabah dan Sarawak.

    Datuk Rozman Isli

    “Sudah berkali-kali kita dengar alasan China mengenai tindakan mereka itu untuk ‘menjamin hak, kepentingan dan kedaulatan Negara China’ tetapi bagaimana dengan hak serta kedaulatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Rozman, siri pencerobohan berulang kali sejak tahun 2013 itu dapat dilihat menerusi laporan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), membabitkan 23 kes di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sepanjang tahun lalu.

    “Kerajaan harus menunjukkan bahawa kita peka dan cakna soal keselamatan dan kedaulatan negara di Laut China Selatan dengan lebih tegas, kita tidak boleh lagi berdiam diri dengan hanya melihat dari jauh segala tindakan pihak lain yang telah mencabul kedaulatan wilayah kita.”

    Tambah Rozman, situasi di Laut China Selatan dijangka semakin tegang susulan kunjungan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke Taiwan.

    Ditambah lagi katanya, kunjungan beberapa anggota Parlimen Kesatuan Eropah (EU) yang dijadualkan Disember ini sekaligus dikhuatiri bakal meningkatkan lagi ketegangan tersebut.

    “Kita dapat saksikan tentera China People’s Liberation Army (PLA) telah mengadakan lima latihan ketenteraan bersenjata di perairan Laut China Selatan antara 27 hingga 31 Julai lalu, beberapa hari sebelum kunjungan Pelosi ke Asia.

    Susulan itu, Amerika Syarikat pula menghantar kapal perang USS Ronald Reagan ke Laut China Selatan, katanya.

    Rozman turut mengingatkan kerajaan dan ATM supaya mengambil serius termasuk memantau perkembangan yang berlaku di Taiwan kerana situasi itu akan turut memberi impak dI Laut China Selatan.

    China juga katanya dikhuatiri akan terus meningkatkan aktiviti ketenteraan di sekitar Laut China Selatan termasuk di kawasan milik Malaysia serta kawasan-kawasan yang masih dalam pertikaian.

    “Kebimbangan semakin meningkat ekoran laporan beberapa aktiviti China di Laut China Selatan sejak beberapa minggu lalu menunjukkan jet milik China sering melakukan pintasan terhadap pesawat lain.

    Terbaharu, sebuah pesawat milik Tentera Udara Australia telah dipintas secara berbahaya oleh jet China hingga membahayakan pesawat dan nyawa anak kapal tersebut.

    Rozman juga berkata, perkembangan itu menunjukkan Malaysia harus siap sedia khususnya patrol koordinasi laut, udara dan darat bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya konflik tercetus di Laut China Selatan.

    Pada masa sama katanya, kerajaan juga harus memastikan hal itu tidak mencetuskan kegusaran buat pemegang taruh di Laut China Selatan seperti nelayan dan pemain industri minyak dan gas negara.

    “Kelewatan penghantaran enam unit kapal tempur pesisir (LCS) tidak boleh dijadikan alasan untuk Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) untuk mengambil sikap tunggu dan lihat di Laut China Selatan.

    “Ini kerana selain siri pencerobohan di perairan negara, ketegangan di Selat Taiwan turut memberi impak terus kepada Laut China Selatan yang dijangka semakin tegang pada bulan mendatang,” tegas Rozman.

  • Remaja wanita berdepan hukuman mati atas dakwaan bunuh teman lelaki

    Remaja wanita berdepan hukuman mati atas dakwaan bunuh teman lelaki

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG gadis berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh teman lelakinya di sebuah hotel di Taman Mount Austin, Johor Bahru dalam bulan ini.

    Tertuduh, Sim Hui Ying, 19, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, R. Salini.

    Namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah membunuh seorang lelaki bernama Yap Kelly, 29, di sebuah hotel di Taman Mount Austin, pada pukul 8 malam, 20 September lalu.

    Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan bersalah.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 6 Disember ini bagi penyerahan laporan kimia dan laporan bedah siasat.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Warta Rakyat difahamkan, remaja berkenaan bertindak melakukan perbuatan itu semasa menentang kemahuan tertuduh iaitu teman lelakinya yang mahu mereka melakukan hubungan seks tanpa kerelaan.

    Remaja berkenaan kemudiannya memaklumkan keluarganya berhubung kejadian tersebut sebelum pihak keluarga membuat laporan polis.

  • Mayat terakhir mangsa bot karam ditemukan selepas 14 hari tragedi

    Mayat terakhir mangsa bot karam ditemukan selepas 14 hari tragedi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SELEPAS 14 hari tragedi bot nelayan karam di perairan Parit Hailam, Batu Pahat, mayat mangsa terakhir
    ditemukan tersangkut pada tali sawat enjin pada 4.40 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mayat Chia Hock Neng, 60, ditemukan pasukan bomba dan penyelamat sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat sejak 14 September lalu.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Batu Pahat sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat untuk bedah siasat.

    “Sebelum penemuan itu, bot nelayan berkenaan telah diapungkan dan ditarik kira-kira 500 meter dari pantai Teluk Hailam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan penemuan mayat mangsa.

    Ketua Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Othman Mohd Baker berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam bot berkenaan.

    Pada 14 September lalu, sebuah bot yang dinaiki empat nelayan karam dan tenggelam akibat cuaca buruk dan ombak besar.

    Dua daripada nelayan berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke laut sebelum diselamatkan nelayan yang berada berhampiran tempat kejadian.

    Sementara dua lagi nelayan dilaporkan hilang sebelum satu mayat ditemui terbelit dengan tali pukat di luar bot berkenaan ketika kerja-kerja mengapungkan dilakukan.

  • Tujuh wanita jatuh lubang, turapan konkrit retak

    Tujuh wanita jatuh lubang, turapan konkrit retak

    Tujuh wanita terjatuh ke dalam lubang di halaman belakang rumah ketika menari dalam majlis hari lahir di bandar Alagoinhas di timur laut Brazil, baru-baru ini.

    Rakaman kemalangan yang menakutkan itu menunjukkan wanita-wanita tersebut membentuk bulatan kecil dengan tangan dilingkarkan antara satu sama lain ketika mereka menari mengikut lagu pada majlis itu pada Sabtu.

    Bagaimanapun, turapan konkrit tiba-tiba retak menyebabkan mereka terjatuh ke dalam lubang dan bernasib baik kerana hanya mengalami luka-luka kecil, menurut Sinar Harian yang memetik laporam Agensi.

    Satu rakaman video berasingan menunjukkan beberapa orang lelaki di parti itu membantu mangsa-mangsa keluar dari lubang tersebut.

    Salah seorang wanita yang terjatuh ke dalam lubang itu menunjukkan badannya penuh dengan serpihan konkrit.

    Kemalangan itu tidak melemahkan mood mereka kerana para penari membersihkan diri, menukar pakaian dan berkumpul untuk bergambar serta meneruskan pesta hari lahir.

    Turapan yang retak itu kemudian ditutup bagi memastikan kawasan itu cukup selamat untuk sambutan parti lain.

  • Pemandu lori maut ditimpa papan tanda jalan

    Pemandu lori maut ditimpa papan tanda jalan

    SEORANG pemandu lori maut selepas lori yang dipandunya melanggar papan tanda jalan di persiaran Paya Terubong 2, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

    Difahamkan, mangsa berusia 48 tahun itu maut di tempat kejadian kerana tersepit di tempat pemandu selepas papan tanda jalan itu jatuh menghempap lori tersebut.

    Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Khairul Anuar Abd. Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Jelasnya, apabila tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori melanggar papan tanda jalan dan terdapat seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu.

    ”Pihak bomba membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota dengan pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas ‘rescue tool’.

    ”Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pukul 3.46 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak St. John ambulans yang berada dilokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pukul 4.37 petang.

  • Kes wanita berpakaian ihram selesai secara baik – JAIPk

    Kes wanita berpakaian ihram selesai secara baik – JAIPk

    KES wanita yang tular dalam media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Makkah, sudah selesai secara baik melalui penyelesaian luar mahkamah sejak hampir sebulan lalu.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Mohd Yusop Husin, berkata wanita berperwatakan lelaki atau pengkid itu tampil bersama ibu bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah, Seri Iskandar dan melalui sesi kaunseling.

    “Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta semua maklumat berkaitan dengan kehadiran bersama ibu serta bapanya. Alhamdulillah mereka berikan kerjasama amat baik.

    “Wanita itu sudah selesai berikan kenyataannya kepada kita. Insya-Allah kita ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani kes seumpama ini,” katanya lapor  Harian Metro.

    Ditanya mengenai tindakan susulan terhadap wanita berkenaan, Yusop berkata, JAIPk menggunakan pendekatan tersendiri antaranya membabitkan sesi kaunseling.

    “Tidak semestinya dalam kita mencegah sesuatu, ia perlu bersifat suatu hukuman, tangkap, apatah lagi mendera kerana ada kaedah lain yang boleh kita buat tambahan pula dia dan keluarganya berikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri kepada kita.

    “Mudah-mudahan dia sedar kesilapan yang dilakukannya serta insaf. Pada saya, jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela,” katanya.

    Mengenai kemungkinan kes seumpamanya berulang, beliau berkata, ia bergantung kepada keseriusan kesalahan berkenaan selain bilangan kesalahan sama yang dilakukan secara berulang.

    “Kadangkala mungkin kesalahan itu buat tanpa sedar dan tanpa niat serta tiada maksud tertentu. Dan mungkin ada kesalahan yang memang sengaja dilakukan di samping dilakukan secara berulang. Umpamanya jika didapati kesalahan itu berulang dan sengaja dilakukan, maka sudah tentu tindakan tegas akan diambil,” katanya.

    Kes itu tular Ogos lalu apabila wanita berkenaan yang berada di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan didakwa menggunakan visa pelancong, bukan menerusi khidmat agensi bagi mengerjakan umrah.

  • Kerajaan perlu ada mekanisme pantau, nilai perakuan MPN – Pakar

    Kerajaan perlu ada mekanisme pantau, nilai perakuan MPN – Pakar

    KERAJAAN perlu wujudkan mekanisme memantau dan menilai perlaksanaan perakuan yang telah dibawa Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Pakar Ekonomi Datuk Prof. Dr. Madeline Berma berkata, pihak kerajaan perlu mempercepatkan usaha melaksanakan perakuan yang dibawa MPN.

    “MPN, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memberi 69 perakuan hasil perbincangan dengan para pakar ekonomi negara, namun hanya 23.2% perakuan telah dilaksanakan.

    “Data ini menunjukkan bahawa pihak Kerajaan perlu mempercepat dan mempertingkatkan lag usaha melaksanakan perakuan yang dibawa oleh MPN,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    MPN pada Selasa mendedahkan walaupun Kabinet telah meluluskan 90.5% perakuan majlis itu namun dari segi pelaksanaannya ia mengecewakan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada 69 perakuan berkaitan isu-isu utama hanya 16 perakuan atau 23.2% telah selesai dilaksanakan.

    Datuk Prof. Dr. Madeline Berma

    Mengulas mengenai isu pekerja asing, Berma berkata, kerajaan perlu mempercepatkan usaha tersebut di pelbagai sektor, khususnya di sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan.

    “Dalam jangka masa pendek, Malaysia masih memerlukan pekerja asing dalam sektor ekonomi tertentu, terutama dalam situasi negara sedang berada dalam fasa pemulihan,” katanya.

    Tambah beliau, MPN sedar bahawa ekonomi negara perlu dipulihkan dengan cepat akibat penutupan ekonomi semasa pandemik.

    Katanya, pemulihan ekonomi negara dalam jangka pendek memerlukan pekerja asing manakala dalam jangka masa panjang, kerajaan perlu menggalakkan perusahaan beralih ke automasi.

    “Kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia juga perlu bekerja sama dengan pihak majikan untuk mempermudah urusan kuota dan proses permohonan membawa pekerja asing masuk, untuk menqurangkan “defisit keyakinan” kepada KSM.

    “Dalam jangkamasa panjang, Kerajaan perlu mengalakkan supaya perusahaan Malaysia beralih ke automasi, untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing,” ujarnya. – Satu Berita