SEBANYAK lima buah bas ekspres disaman dalam operasi penguatkuasaan berhampiran Plaza Tol Juru, Butterworth, Pulau Pinang malam tadi atas kesalahan tidak menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau perjalanan selama empat jam secara berterusan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam kenyataan menerusi laman Facebook berkata, operasi yang menyasarkan bas ekspres itu diadakan selama enam jam bermula kira-kira pukul 11 malam.

Menurutnya, operasi itu bertujuan memastikan semua kenderaan perkhidmatan awam terutama bas ekspres mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

“Ini termasuk memastikan bas dalam keadaan baik dan selamat digunakan, pemandu mempunyai lesen memandu dan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) yang sah.

“Selain itu, kita juga mahu memastikan pengusaha bas menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan bas jauh atau lama menerusi pemeriksaan buku log pemandu,” katanya.

Dalam pada itu tambah kenyataan tersebut, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemandu serta pemilik yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Tegasnya, JPJ Pulau Pinang komited memastikan keselesaan dan kesejahteraan terhadap pengguna jalan raya selari dengan kempen ‘Pandu Cermat dan Sentiasa Selamat Sampai’ ke destinasi.

“Pada masa sama, komitmen ini juga bertujuan mengurangkan statistik kemalangan jalan raya terhadap kenderaan khususnya melibatkan pengangkutan awam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here