Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SELEPAS 14 hari tragedi bot nelayan karam di perairan Parit Hailam, Batu Pahat, mayat mangsa terakhir
ditemukan tersangkut pada tali sawat enjin pada 4.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mayat Chia Hock Neng, 60, ditemukan pasukan bomba dan penyelamat sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat sejak 14 September lalu.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Batu Pahat sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat untuk bedah siasat.

“Sebelum penemuan itu, bot nelayan berkenaan telah diapungkan dan ditarik kira-kira 500 meter dari pantai Teluk Hailam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan penemuan mayat mangsa.

Ketua Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Othman Mohd Baker berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam bot berkenaan.

Pada 14 September lalu, sebuah bot yang dinaiki empat nelayan karam dan tenggelam akibat cuaca buruk dan ombak besar.

Dua daripada nelayan berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke laut sebelum diselamatkan nelayan yang berada berhampiran tempat kejadian.

Sementara dua lagi nelayan dilaporkan hilang sebelum satu mayat ditemui terbelit dengan tali pukat di luar bot berkenaan ketika kerja-kerja mengapungkan dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here