Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS menahan lima lelaki kerana terlibat kegiatan judi dalam talian yang beroperasi di sebuah pusat panggilan atau ‘call centre’ di Pangsapuri Tepian Bayu, Jalan Sultanah Aminah, Marina Cove di Johor Bahru, kelmarin.

Serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 6 petang.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis yang diserbu itu merupakan merupakan ‘call centre’ menawarkan aktiviti perjudian dalam talian melalui dua laman sesawang iaitu www.89rich8888.com dan www.tgr138.com.

“Selain itu sindiket ini mempuyai kutipan harian hingga RM15,000 dengan menyasarkan pelanggan dari Singapura. Premis ini telah beroperasi sejak Mac 2022,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, menerusi serbuan itu juga pihaknya merampas empat komputer riba, 20 telefon bimbit, tiga buah modem wifi, satu wifi, dua kad akses dan wang tunai RM3,950.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan itu berperanan sebagai operator tambah nilai dan cuci kredit serta ditugaskan berinteraksi dengan pelanggan untuk mempromosikan judi dalam talian.

Jelas beliau, semua transaksi dilakukan secara perbankan dalam talian menerusi beberapa akaun yang telah dikenal pasti dan semuanya melibatkan akaun bank di negara ini.

“Gaji yang diterima mereka antara RM3,000 sebulan dan diberi komisyen sebanyak 15 peratus,” katanya.

Kamarul Zaman memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosi perjudian dalam talian, jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 atau maksimum RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun.

Semua suspek katanya, direman selama empat hari bermula Rabu sehingga 1 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kejayaan operasi ini adalah hasil risikan dijalankam pihak polis dan sebahagian lagi daripada aduan orang ramai. Jika terdapat sebarang kegiatan judi dalam talian, orang ramai boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis Johor 07-2212999 atau 07-2254677,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here