Author: Wartawan WartaRakyat

  • Empat lagi kes positif Covid-19 di Parlimen

    Empat lagi kes positif Covid-19 di Parlimen

    APA yang dibimbangkan sudah terjadi. Itulah apa yang boleh disimpulkan apabila Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini memaklumkan empat lagi kes positif Covid-19 dikesan di kawasan bangunan Parlimen.

    Beliau membuat penjelasan itu ketika mengulas desakan wakil pembangkang supaya waktu sidang Parlimen dilanjutkan selepas 5.30 petang seperti ditetapkan ketika ini bagi membolehkan lebih ramai wakil rakyat berucap.

    “Kita (sidang Dewan Rakyat) sebenarnya telah tidak menuruti nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), kalau ikut nasihat Ketua Pengarah Kesihatan kita bersurai pukul 2 petang sebab beliau bimbang penularan Covid-19 di kawasan Parlimen.

    “Semalam dan hari ini ada lagi empat kes. Risiko agak tinggi sebab itu saya tetapkan 5.30 petang untuk beri peluang kepada semua bahas,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Bagaimanapun Azhar memberitahu, keputusan untuk melanjutkan sidang melebihi pukul 5.30 petang berada di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-ndang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Azhar menjawab Shamsul Iskandar Md Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang mencadangkan Parlimen bersidang melebihi pukul 5.30 petang.

    Isnin lalu, Azhar mengesahkan dua Ahli Parlimen positif Covid-19 sekali gus tidak dapat menyertai Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang berlangsung.

    Susulan itu, enam lagi Ahli Parlimen yang terpaksa menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada dua Ahli Parlimen terbabit.

    “Hasil ujian saringan Covid-19 diadakan Jumaat lalu juga mendapati seramai 13 orang kakitangan Parlimen didapati positif, berikutan itu seramai 58 kakitangan Parlimen turut menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada mereka yang positif,” kata Azhar.

  • 553,871 terima vaksin semalam, jumlah harian tertinggi

    553,871 terima vaksin semalam, jumlah harian tertinggi

    PEMBERIAN  vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan kadar tertinggi semalam apabila sejumlah 553,871 dos diberikan.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi Twitter hari ini berkata, daripada jumlah itu, 356,112 adalah dos pertama, manakala 196,759 pula adalah dos kedua.

    Jumlah itu juga merupakan kadar vaksinasi harian tertinggi pernah direkodkan di negara ini.

    Ia menjadikan jumlah kumulatif rakyat Malaysia yang menerima vaksin meningkat kepada 18,393,347 setakat ini.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 12,487,441 merupakan penerima dos pertama, atau 38.2 peratus daripada populasi negara.

    Manakala penerima yang lengkap dos kedua pula adalah sebanyak 5,905,906 bersamaan 18.1 peratus.

    Pada masa sama, 53.3 peratus golongan dewasa di negara ini telah menerima sekurang kurangnya dos pertama, manakala 25.2 peratus lengkap menerima dua dos.

    Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan pemberian vaksin tertinggi iaitu sebanyak 5,112,057 bagi dos pertama dan 1,831,585 bagi dos kedua.

    Ini diikuti Sarawak sebanyak 1,678,014 dos pertama dan 1,197,746 bagi dos kedua.

    Manakala negeri-negeri lain mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah satu juta bagi dos pertama dan di bawah 400,000 bagi dos kedua.