Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

SATU sindiket yang aktif membangunkan aplikasi bertujuan mengakses data pengguna sebelum mencuri wang mangsa berjaya ditumpaskan semalam, hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Kontinjen Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi Ops Merpati itu, enam individu terbabit yang pakar dalam bidang teknologi maklumat (ICT) ditahan.

“Sindiket ini dianggotai pakar-pakar komputer berpendidikan tinggi. Suspek yang juga dua lelaki dan empat wanita itu terdiri daripada seorang pemilik syarikat, tiga ‘software developer’ serta dua ‘multimedia designer’ masing-masing berusia antara 21 hingga 39 tahun.

“Mereka ditahan dalam Ops Merpati pada pukul 3.30 petang semalam (Rabu) di sekitar kawasan Taman Bukit Indah di Johor Bahru, dan tangkapan itu direkodkan sebagai kes pertama di negeri ini dan kedua di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengiklankan jualan barang dengan harga murah dalam media sosial bagi menarik minat mangsa.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan akan menghubungi sindiket sebelum diberikan satu pautan untuk tujuan pembayaran.

“Namun ketika pembayaran hendak dibuat menerusi pautan yang membawa kepada aplikasi yang dibangunkan sindiket itu, mereka akan mula menggodam segala data yang diberikan mangsa sehingga dapat mengakses akaun bank sekali gus mengambil wang mangsa tanpa diketahui mangsa.

“Bila kita buat pembelian dalam talian dan kemudian bila kita nak bayar, akan keluar satu ‘link’ dan kita diminta tekan ‘link’ berkenaan dan biasanya urusan pembayaran itu akan ‘hang’ (tergantung),” katanya.

Menurutnya, mangsa
akan berfikiran pembayaran tidak berlaku kerana proses itu tergantung tetapi sebenarnya dalam tempoh tersebut hanya beberapa saat, sindiket berkenaan dapat mengakses sebarang maklumat daripada nombor kad kredit, nombor pin atau sebarang kod rahsia,
seterusnya mengambil wang dan dimasukkan ke akaun sindiket.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan turut menjual aplikasi yang dibangunkan kepada sindiket-sindiket penipuan yang lain dengan harga yang boleh mencecah sehingga RM30,000.

Beliau memberitahu dalam serbuan itu, turut dirampas telefon bimbit, komputer, router wifi, cakera keras, dan kad akses serta kunci rumah yang dipercayai digunakan sindiket.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120 kanun sama kerana melakukan pakat jahat jenayah.

“Siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan pihaknya akan terus mengesan sindiket lain yang menggunakan taktik penipuan yang sama. Sehingga kini difahamkan lebih 100 aplikasi ini sudah dijual oleh sindiket ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here