Tag: terengganu

  • Beruang matahari ganas di Kg Rahmat akhirnya tumpas

    Beruang matahari ganas di Kg Rahmat akhirnya tumpas

    KERISAUAN penduduk Kampung Rahmat di Chalok Setiu mengenai kelibat seekor beruang matahari seberat 65 kilogram yang sentiasa memasuki kawasan kampung kini terlerai apabila haiwan liar tersebut berjaya memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), pagi tadi.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof memberitahu, pihaknya telah memasang perangkap di kampung tersebut pada 22 September lalu susulan aduan awal diterima pada 20 September.

    Beliau berkata, penduduk mula menyedari kejadian berkenaan pada pukul 6 pagi tadi.

    Menurut beliau, perangkap itu dipasang selepas menerima aduan penduduk yang ternampak haiwan itu berkeliaran dan merosakkan tanaman dan ternakan di kawasan perkampungan tersebut.

    Bagaimanapun katanya, beruang matahari jantan dengan anggaran berat 65 kilogram itu hanya memasuki perangkap selepas dialihkan dari lokasi asal yang dipasang, iaitu sekitar 100 meter dengan rumah penduduk.

    “Beruang matahari agak berbahaya dan boleh mencederakan sekiranya berasa terancam, haiwan ini berkuku tajam menyebabkan penduduk bimbangkan keselamatan mereka.

    “Kita akan membuat pemeriksaan kesihatan ke atas beruang ini dan jika disahkan sihat, ia akan dilepaskan ke kawasan hidupan liar Sungai Deka, Hulu Terengganu,” ujar beliau hari ini.

    Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, Che Azharuddin Che Othman, 39, memberitahu, sebelum ini beruang tersebut telah menceroboh masuk ke kawasan rumah dan memakan 20 ekor burung merpati peliharaannya.

    “Apabila melihat kecederaan pada kesemua burung merpati yang mati itu, saya yakin ia diserang binatang buas, apatah lagi keadaan pagar rumah didapati rosak.

    “Saya percaya beruang ini tinggal di hutan dan di ladang kelapa sawit berhampiran kampung dan sebelum ini pun ada penduduk pernah beberapa kali terserempak dengan haiwan tersebut yang berkeliaran di kawasan kampung,” ceritanya.

    Seorang lagi penduduk, Mohd Sufian Awang, 39, memberitahu, beruang matahari itu disedari mula ‘mengganas’ sejak tiga minggu lalu selepas merosakkan tanaman penduduk.

    Katanya, apa yang menakutkan beberapa penduduk mengadu kediaman mereka turut diceroboh haiwan berkenaan.

    “Seorang jiran sebelum ini pernah mengadu buah cempedak yang dilonggokkan di hadapan rumah untuk dijual kepada peraih habis dirosakkan dan dimakan dipercayai perbuatan haiwan liar itu,” ujarnya.

  • Terengganu salur RM13.2 juta taja pelajar luar negara

    Terengganu salur RM13.2 juta taja pelajar luar negara

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEBANYAK RM13.2 juta diperuntukkan kerajaan negeri Terengganu bagi menaja 29 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 melanjutkan pengajian ke universiti luar negara, khususnya di Jordan dan United Kingdom (UK) pada tahun ini.

    Kesemua pelajar tersebut yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara telah mendapat tajaan Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu.

    Menurut Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham, mereka yang mendapat biasiswa berkenaan terdiri daripada 10 pelajar perubatan membabitkan tajaan RM7.9 juta di mana setiap pelajar dibiayai RM790,000 sepanjang enam tahun pengajian.

    Menurut beliau, seramai 14 pelajar dalam bidang pengajian Islam pula menerima tajaan RM1.9 juta untuk tempoh empat tahun dan setiap pelajar menerima tajaan RM133,000.

    pelajar terengganu
    MOHD AZMI MOHAMAD DAHAM

    Turut menerima tajaan katanya, tiga pelajar bidang pergigian sebanyak RM1.7 juta di mana setiap pelajar menerima RM560,000.

    Beliau berkata, kesemua 27 pelajar itu bakal menyambung pengajian masing-masing di pelbagai universiti di Jordan manakala dua lagi pelajar akan ke United Kingdom.

    Katanya, seorang pelajar bakal menyambung pelajaran di Imperial College of London dalam bidang fizik di mana jumlah pembiayaan bagi pengajian tersebut ialah RM1.14 juta selama empat tahun.

    “Seorang lagi pelajar bidang kejuruteraan mekanikal di University of Manchester menerima pembiayaan biasiswa RM630,000 bagi pengajian selama tiga tahun,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

  • 36,507 pelajar Terengganu suntik vaksin mulai Selasa

    36,507 pelajar Terengganu suntik vaksin mulai Selasa

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SERAMAI 36,507 pelajar tingkatan empat dan lima di Terengganu bakal menerima suntikan vaksin Covid-19, bermula Selasa ini.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, proses vaksinasi kesemua pelajar terbabit akan dijalankan di 54 buah sekolah menengah di seluruh negeri ini.

    Beliau memberitahu, semua pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu akan menerima suntikan vaksin Pfizer.

    Katanya, berdasarkan data jumlah pelajar yang akan menerima vaksinasi, seramai 18,264 adalah pelajar tingkatan empat manakala 18,243 orang lagi merupakan pelajar tingkatan lima.

    Pengarah Kesihatan Negeri Terenganu, Datuk Dr. Kasemani Embong

    “Jumlah pelajar yang bakal menerima suntikan vaksin ini hanya melibatkan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk sekolah menengah agama dan maktab rendah sains Mara (MRSM),” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Ahmad Shah Muhamed, Datuk Bandar Kuala Terengganu Rozali Salleh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu Ariffin Abdullah.

    Menurut Dr Kasemani, program vaksinasi kepada pelajar tingkatan empat dan lima dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Oktober depan.

    Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memberi keutamaan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebagai persediaan mereka menduduki peperiksaan.

    Selain itu ujarnya, bagi pelajar tingkatan satu dan tiga, pihaknya sedang menunggu kelulusan untuk vaksinasi kumpulan pelajar tersebut.

  • 14 pemandu 4×4 dicekup ceroboh Hutan Simpan Petuang

    14 pemandu 4×4 dicekup ceroboh Hutan Simpan Petuang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KEJADIAN ceroboh hutan simpan kekal di Terengganu membabitkan penganjuran aktiviti kenderaan lasak terus berulang.

    Semalam, seramai 14 pemandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) ditahan Jabatan Perhutanan Terengganu setelah didapati menceroboh kawasan Hutan Simpan Petuang, di Hulu Terengganu.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, penahanan lelaki berusia antara 21 hingga 65 tahun itu dibuat melalui serbuan pada pukul 11. 30 pagi.

    Katanya, mereka ditahan kerana memasuki kawasan Hutan Simpan Petuang tanpa sebarang permit.

    Menurut beliau, operasi dilakukan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu bersama anggota Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat setelah menerima aduan terdapat pencerobohan di kawasan tersebut.

    Melalui operasi itu katanya, anggota terbabit telah menahan 14 lelaki bersama kenderaan 4×4 dinaiki, dipercayai digunakan untuk memasuki hutan simpan kekal tanpa kebenaran bertulis atau permit.

    Beliau berkata, sewaktu serbuan dibuat, mereka sedang berehat di tepi sungai berhampiran dan mendakwa memasuki kawasan hutan simpan itu untuk menikmati keindahan alam sempena cuti hujung minggu.

    “Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut, manakala kenderaan tersebut turut disita,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Roslan memberitahu, Khamis lalu, pihaknya menahan 13 penunggang motosikal lasak di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu kerana kesalahan sama.

    Menurut beliau, pihaknya memandang serius isu pencerobohan memandangkan kawasan hutan simpan kekal tidak boleh diceroboh tanpa kebenaran pihak berkuasa.

    “Kita bukan hanya menahan mereka yang mencuri hasil hutan sahaja, tetapi menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang masuk ke dalam hutan simpan tanpa kebenaran,” ujar beliau.

    Katanya, kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

  • Tukang bot mati lemas di sungai Pulau Ketam

    Tukang bot mati lemas di sungai Pulau Ketam

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SELEPAS kerja-kerja menurunkan bot yang siap dibaik pulih ke dalam sungai Pulau Ketam berakhir, kelibatnya tidak kelihatan dan dia dipercayai hilang di dalam sungai berkenaan, pada awal pagi tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Izman Mohamed, 44, dikatakan sedang menurunkan bot yang selesai dibaik pulih untuk ditempatkan di jeti berhampiran bersama empat individu lain termasuk anak lelakinya.

    Malah, kehilangan mangsa hanya disedari anaknya sejurus selesai kerja-kerja menurunkan bot tersebut lalu mereka terus melakukan pencarian sebelum mayat mangsa ditemukan di dasar sungai, pada pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, sebaik ditemui mayat mangsa terus dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Terengganu laksana hudud selepas RU355 lulus

    Terengganu laksana hudud selepas RU355 lulus

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN negeri Terengganu bersedia melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) 2002 sebaik sahaja cadangan dua Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahari Mamat, sebahagian Rang Enakmen yang dibuat semasa pemerintahan kerajaan PAS sebelum ini berjalan mengikut bidang kuasa sedia ada.

    Menurut beliau, ia termasuk dengan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

    Malah katanya, kerajaan negeri Terengganu sedia maklum bahawa empat undang-undang yang sedia ada sekarang diselia di peringkat Persekutuan.

    “Maka, setiap pelaksanaannya nanti hanya akan melibatkan kadar populasi 96 peratus Melayu Islam tanpa berkait dengan golongan bukan Islam.”

    “Buat masa ini yang penting ialah dengan memaksimumkan penggunaan peruntukan 356 iaitu melibatkan maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan seperti termaktub di dalam Akta 355,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.

    Beliau berkata, ini kerana, ia merupakan satu ibadah dan tuntutan bagi seorang Muslim.

    Menurut Satiful Bahari, ketika ini penerangan menerusi bengkel dan sesi dialog sedang giat dijalankan melibatkan pelbagai jabatan penguatkuasaan, pendakwaan dan hakim mahkamah syariah.

    “Kita bergerak secara berperingkat dan pada tahun hadapan kita akan mempertingkatkan pelaksanaan di bawah bidang kuasa bagi memberi pendidikan dan penjelasan untuk masyarakat.

    “Insya-Allah, Terengganu akan menjadi negeri pertama melaksanakan hudud mengikut peruntukan yang diizinkan dan proses ini sentiasa diteliti bagi mengelakkan konflik dengan undang-undang sivil di peringkat Persekutuan,” jelas beliau.

    Selain itu kata Satiful Bahari, Terengganu juga sedang menaik taraf infrastruktur melibatkan mahkamah syariah kepada empat lapisan di mana kaedah-kaedah teknikal sedang dikemas kini.

  • 8 anak syarikat kerajaan negeri Terengganu tutup

    8 anak syarikat kerajaan negeri Terengganu tutup

    SEBANYAK lapan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu terpaksa menutup operasi sepanjang tahun ini kerana berhadapan dengan masalah kerugian.

    Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, langkah itu dibuat memandangkan ada di antara anak syarikat tersebut tidak mempunyai pekerja dan tidak menjalankan sebarang aktiviti sejak tahun 2011 hingga 2016. 

    Menurut beliau, secara umumnya syarikat tersebut mempunyai pelbagai justifikasi tertentu.

    Katanya antara syarikat yang bakal ditutup ialah TI Offshore Service Sdn. Bhd., Suterasemai Sdn. Bhd., Terengganu Marine Work Sdn. Bhd. dan TI Merchandile Sdn. Bhd.

    “TI Offshore Service Sdn. Bhd. berstatus tidak aktif sejak 2016 tanpa menjalankan sebarang aktiviti.

    “Manakala Suterasemai Sdn Bhd. Pula sejak 2011 lagi tidak beroperasi, tetapi kos pentadbirannya masih ditanggung setiap tahun,” ujanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Sabri Mohd Noor (BN-Langkap)  pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.

    Menurut Dr Ahmad Samsuri, penutupan Terengganu Marine Works Sdn. Bhd. dibuat kerana tidak beroperasi sejak diambil alih daripada GLC Terengganu pada 2014.

    “Selain itu katanya, TI Merchandise Sdn Bhd., tidak beroperasi sejak mula ditubuhkan pada 2014, kemudian diaktifkan pada 2018 sebagai syarikat menjual cenderamata, tetapi terpaksa dihentikan bagi mengelak persaingan dengan peniaga tempatan, ” terang beliau.

    Lain-lain syarikat yang mengalami situasi sama ialah Pemika Terengganu Sdn Bhd., TI Global Food Management Limited (Labuan), TI Overseas Resources Limited, dan TI Overseas Limited.

  • Lebih 100 guru di Terengganu tolak vaksin, dipujuk buat pertimbangan wajar

    Lebih 100 guru di Terengganu tolak vaksin, dipujuk buat pertimbangan wajar

    MOHD LAZIM ENDUT

    LEBIH 100 orang guru di Terengganu yang bertindak menolak daripada menerima suntikan vaksin Covid-19 terus dipujuk agar membuat pertimbangan wajar.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, jumlah tersebut sebenarnya mewakili peratusan yang kecil berbanding keseluruhan guru yang ada di negeri ini.

    Beliau berkata, memang ada isu guru yang tolak dan enggan divaksin, malah di tempat lain pun ada.

    Cuma katanya, beliau ingin menyarankan kepada golongan tersebut agar dapat mempertimbang semula keputusan merek demi kemaslahan dan kebaikan semua pihak.

    “Apa yang saya difahamkan jumlah berkenaan tidak statik kerana ada juga guru yang menerima vaksin setelah dipujuk, manakala selebihnya mereka yang ‘hardcore’ atau tegar.

    “Bagi penjawat awam negeri pula, setakat ini kita belum menerima laporan. Kita tidak tahu punca mereka (menolak) sama ada sebab penyakit atau sebaliknya,” katanya ketika kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Dr. Ahmad Samsuri berkata, setakat ini tiada peraturan atau undang-undang yang membolehkan tindakan dikenakan ke atas penjawat awam termasuk guru yang menolak untuk divaksin.

    “Pendekatan yang kita ambil ketika ini ialah dengan cara memujuk bagi memastikan guru-guru terbabit alkhir bersetuju menerima suntikan vaksin,”ujar beliau.

    Sementara itu, Dr. Ahmad Samsuri memberitahu, ujian saringan Covid-19 secara berkala selepas pembelajaran bersemuka bermula antara pilihan lain akan dikenakan sekiranya golongan berkenaan masih enggan divaksin.

    “Itu mungkin salah satu cara. Jika mereka sanggup hendak ‘hadap’ ujian dua minggu sekali, itu terserahlah kepada mereka” jelas beliau.

  • 2 pencuri kayu balak kantoi dicekup penguat kuasa

    2 pencuri kayu balak kantoi dicekup penguat kuasa

    CUBAAN dua lelaki untuk mencuri dan membawa keluar 77 batang kayu pelbagai spesis dan saiz bernilai RM13,000 di Kampung Pela, Hulu Terengganu terkantoi, apabila tindakan mereka berjaya dihidu anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu, Rabu lalu.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, penguat kuasa yang membuat pemantauan pada pukul 5 petang di laluan utama Jerangau-Jabor, terserempak dengan sebuah lori yang membawa muatan kayu bulat pelbagai spesis dan saiz.

    Menurut beliau, selepas pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati lori jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun itu membawa pelbagai spesis kayu seperti kayu berpaya, gerongang, jubin, bintangor, terap, pulai dan kelat.

    “Hasil pemeriksaan dibuat, mendapati mereka tidak memiliki sebarang pas pemindah atau kebenaran bertulis daripada pihak kami,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Berikutan itu kata Roslan, pihaknya telah menahan pemandu lori berkenaan bersama kelindan berusia 19 tahun.

    Selain itu tambah beliau, pihaknya turut merampas lori itu bersama 77 batang kayu berkenaan untuk siasatan lanjut.

    Katanya, kes disiasat mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu mengikut peruntukan Seksyen 68 (1) di mana terdapat hasil hutan dalam milikannya atau kawalannya tanpa memiliki pas bagi pemindahan hasil hutan.

  • 23 nelayan langgar syarat lesen, ikan RM3 juta dirampas

    23 nelayan langgar syarat lesen, ikan RM3 juta dirampas

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PADAH akibat melanggar syarat lesen menangkap ikan, seramai 27 nelayan ditahan ketika sedang melakukan aktiviti berkenaan pada jarak kurang 12 batu nautika dari Kuala Merchang, Marang, awal pagi semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, 22 nelayan yang ditahan kerana melanggar syarat lesen itu merupakan warga tempatan, manakala lima lagi adalah warga Myanmar.

    Katanya, mereka ditahan di dalam dua buah bot pukat jerut dan pukat tunda kelas C antara pukul 1 hingga 4.30 pagi di lokasi tersebut.

    Beliau memberitahu, penahanan itu dibuat berdasarkan operasi pemantauan, pengawalan dan survelan (MCS) oleh Unit Perlindungan Sumber Perikanan Terengganu di kawasan perairan Pulau Kapas hingga Dungun.

    Justeru ujarnya, kesemua kru dan dua bot yang berpangkalan di Kuala Besut dan Kuantan, Pahang itu dibawa masuk ke Pangkalan Perlindungan Sumber Pulau Kambing untuk tindakan lanjut.

    ” Selain itu, kita turut menyita dua bot dan hasil tangkapan sebanyak 4,000 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Menurut Ruzaidi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan kompaun.

    “Pemantauan dan tindakan akan dilakukan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang melanggar peraturan ditetapkan.

    “Malah, kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi Akta Perikanan 1985,” jelas beliau.