MOHD LAZIM ENDUT

LEBIH 100 orang guru di Terengganu yang bertindak menolak daripada menerima suntikan vaksin Covid-19 terus dipujuk agar membuat pertimbangan wajar.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, jumlah tersebut sebenarnya mewakili peratusan yang kecil berbanding keseluruhan guru yang ada di negeri ini.

Beliau berkata, memang ada isu guru yang tolak dan enggan divaksin, malah di tempat lain pun ada.

Cuma katanya, beliau ingin menyarankan kepada golongan tersebut agar dapat mempertimbang semula keputusan merek demi kemaslahan dan kebaikan semua pihak.

“Apa yang saya difahamkan jumlah berkenaan tidak statik kerana ada juga guru yang menerima vaksin setelah dipujuk, manakala selebihnya mereka yang ‘hardcore’ atau tegar.

“Bagi penjawat awam negeri pula, setakat ini kita belum menerima laporan. Kita tidak tahu punca mereka (menolak) sama ada sebab penyakit atau sebaliknya,” katanya ketika kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, setakat ini tiada peraturan atau undang-undang yang membolehkan tindakan dikenakan ke atas penjawat awam termasuk guru yang menolak untuk divaksin.

“Pendekatan yang kita ambil ketika ini ialah dengan cara memujuk bagi memastikan guru-guru terbabit alkhir bersetuju menerima suntikan vaksin,”ujar beliau.

Sementara itu, Dr. Ahmad Samsuri memberitahu, ujian saringan Covid-19 secara berkala selepas pembelajaran bersemuka bermula antara pilihan lain akan dikenakan sekiranya golongan berkenaan masih enggan divaksin.

“Itu mungkin salah satu cara. Jika mereka sanggup hendak ‘hadap’ ujian dua minggu sekali, itu terserahlah kepada mereka” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here