BEBERAPA Ahli Parlimen terkejut apabila melihat Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) kembali mempengerusikan sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat petang ini.

Mana tidaknya, beliau telah meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos lalu.

Azalina dilihat duduk di kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sebaik sahaja Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) selesai berbahas dan sesi sebelum itu dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menyatakan dirinya terperanjat kerana Azalina tiba-tiba mempengerusikan mesyuarat sedangkan pagi tadi, beliau mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sebagai penyokong kerajaan.

“Tiada pemakluman daripada Yang Dipertua tentang penggantian yang begitu mudah, jadi persoalan adakah Peraturan Mesyuarat diguna pakai dengan sebetulnya?” soalnya.

Azalina
Gambar: YouTube Parlimen Malaysia

Sementara itu, Sim Tse Tzin (PH-Bayan Baru) berharap pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu perlu dibuat segera dan sebarang isu dalaman berkaitan perkara tersebut hendaklah diselesaikan.

Beliau memahami beban tugas yang ditanggung oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya memandangkan Parlimen akan bersidang sehingga hujung Disember ini.

Sehubungan itu, Tze Tzin berpandangan, memang terdapat keperluan untuk melantik seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

“Saya rasa kecewalah kerana Yang Berhormat Pengerang letak jawatan. Saya rasa Yang Berhormat sangat sesuai dan sangat layak jadi Timbalan Speaker hingga Speaker pun.

“Tetapi kerana buat keputusan letak jawatan, kekosongan itu patut diisi secepat mungkin,” jelasnya.

Seperti yang dijelaskan oleh Azalina, beliau menjalankan tugas mempengerusikan sidang secara sementara di bawah Peraturan Mesyuarat 7 (3).

“Mutaah… Hari Isnin atau Selasa pun mungkin orang lain,” katanya.

Selepas Azalina memberi penjelasan, Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) sempat mencelah, “Bahayo sobut mutaah tu.”

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang sepatutnya diadakan semalam dikatakan ditangguh selepas majoriti ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menolak pencalonan Datuk Seri Ahmad Maslan bagi menyandang jawatan tersebut.

Difahamkan mereka bertindak demikian sebagai ‘tindak balas’ terhadap tingkah laku Ahli Parlimen Pontian itu yang sebelum ini ‘menyerang’ Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ahli Parlimen Pagoh tersebut menjadi Perdana Menteri.

Selain itu, Ahmad juga merupakan salah seorang daripada 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sehingga menyebabkan Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan dan Kerajaan PN tumbang.

Difahamkan dalam mesyuarat pra sidang Dewan Rakyat kelmarin yang melibatkan semua ahli Parlimen kerajaan, seorang pemimpin kanan PN secara terbuka memberitahu Ahmad bahawa beliau tidak akan menyokong Setiausaha Agung UMNO itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here