KEMENTERIAN Pertahanan menegaskan bahawa negara-negara lain mesti menghormati pendirian Malaysia dan mematuhi undang-undang negara ini berhubung kapal selam berkuasa nuklear dan kapal perang yang memasuki perairan negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penegasan itu adalah selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).

Menurut beliau, sebagai anggota ASEAN, Malaysia akan sentiasa mempertahankan prinsip mengekalkan rantau Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

Tambah Hishammuddin, Malaysia turut mempertahankan pendiriannya dalam Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

“Pendirian saya tentang Laut China Selatan sentiasa konsisten sejak menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini, kita mesti mengelakkan pertembungan luar jangka, salah perhitungan dan insiden yang tidak diingini di laluan laut yang penting ini, dan semua perkara hendaklah diselesaikan secara aman dan konstruktif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Malaysia menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan semalam berkata, pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

Pada masa sama, langkah berkenaan dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

Hishammuddin berkata, beliau akan menegaskan semula pendirian Malaysia dan menyampaikan pandangan Perdana Menteri kepada Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton melalui panggilan telefon esok.

“Pada masa yang sama, Malaysia dan Australia akan meneruskan kerjasama pertahanan yang kukuh, terutamanya di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) serta Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang dijadualkan berlangsung pada 2022,” jelasnya.

Beliau menambah, Malaysia dan Australia juga akan bekerjasama melalui Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang turut disertai UK, New Zealand dan Singapura.

Menurut Hishammuddin, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah sambutan ulang tahun ke-50 FPDA dan Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-11 di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 21 Oktober ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here