PEMBUKAAN sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri memberi gambaran bahawa negara kini sedang bergerak ke peringkat endemik.

Memetik laporan Bernama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pendekatan secara berfasa atau berperingkat itu juga menunjukkan bahawa negara akan kembali kepada keadaan sediakala.

“Dalam konteks fasa PPN ini, kita sedang bawa negara kembali kepada keadaan sedia kala dengan memastikan tatacara dan peraturan yang kita bawa itu dapat dipatuhi dan sekolah dapat dibuka dengan selamat,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai mesyuarat bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), beliau berkata, ia bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pembukaan sekolah dapat dilaksanakan dengan baik, lancar dan teratur.

Katanya, perancangan itu penting sebagai tekad semua pihak untuk memastikan keselamatan semua pihak terutama murid apabila sekolah dibuka kelak.

Ahad lalu, Radzi mengumumkan sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan bilangan dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

Pengoperasian sekolah secara bersemuka bermula di Fasa 2 PPN dengan pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober.

Ditanya mengenai tindakan terhadap guru yang memilih untuk tidak divaksin beliau berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan akan diumumkan kemudian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here