Tag: SPRM

  • Pegawai kanan SSDU didakwa guna jawatan cadang lantik terus syarikat milik saudara

    Pegawai kanan SSDU didakwa guna jawatan cadang lantik terus syarikat milik saudara

    SEORANG pegawai kanan anak syarikat milik kerajaan Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mencadangkan lantikan terus sebuah syarikat bagi kontrak bernilai lebih RM1.7 juta pada Mac 2020.

    Tertuduh Mazlan Mahadi, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Mengikut pertuduhan, Mazlan didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan di Selangor Smart Delivery Unit Innovations Sdn Bhd (SSDU Innovations) untuk mencadangkan lantikan terus kepada MMSC Ventures Sdn Bhd bagi kontrak Perkhidmatan Design, Develop, Deploy and Maintain The AWS Landing Zone dengan nilai kontrak RM1,797,865.58.

    Syarikat MMSC Ventures adalah milik saudaranya dengan tertuduh mempunyai kepentingan dan kesalahan didakwa dilakukan di pejabat SSDU Innovations di Petaling, pada 25 Mac 2020.

    Mazlan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaras dan tertuduh diwakili peguam, Datuk K. Kumaraendran dan Teh See Khoon.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasportnya. Kes akan disebut semula pada 30 Sept ini.- BERNAMA

  • Hina mahkamah, SPRM, Agong:Amanah buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid esok

    Hina mahkamah, SPRM, Agong:Amanah buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid esok

    PARTI Amanah Negara (Amanah) akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi esok.

    Menurut Biro Mobilisasi Amanah, laporan itu akan dibuat kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menghina dan memfitnah institusi kehakiman negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong.

    “Perbuatan itu dilakukan ketika Ahmad Zahid ketika berucap dalam Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur(WTCKL), semalam.

    “Merujuk ucapan penuh Presiden UMNO pada Taklimat Khas Presiden UMNO, beliau telah menghina dan memfitnah institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Yang di-Pertuan Agong.

    “Oleh itu satu laporan polis berhubung isu ini akan dibuat pada jam 11 pagi secara serentak di seluruh negara,” jelasnya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.

    Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO semalam, dilaporkan bekas peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd mengkritik institusi mahkamah.

    Selain itu, ucapan-ucapan pemimpin UMNO antaranya Ahmad Zahid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyentuh berkaitan kes Najib itu.

  • Pasukan siasatan kes SRC difitnah, diugut dan ditawar habuan – Bahri

    Pasukan siasatan kes SRC difitnah, diugut dan ditawar habuan – Bahri

    KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak membuktikan kerajaan tidak campur tangan dalam sistem perundangan negara.

    Memetik laporan Berita Harian, Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin berkata, ia menutup terus ruang yang boleh dimanipulasi sesetengah pihak bahawa bekas Perdana Menteri itu akan ‘diselamatkan’ oleh kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN).

    “Kerajaan kita diketuai pemimpin daripada BN yang berjaya menutup terus tanggapan kononnya ada campur tangan kerajaan dalam kes itu, sekali gus melambangkan sistem kehakiman kita benar-benar bebas walaupun membabitkan kes berprofil tinggi dan sensitif seperti ini.

    “Saya menyambut baik ketegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mengekalkan sabitan terhadap kes SRC,” katanya kepada BH.

    Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Susulan itu, Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke Penjara Kajang, petang semalam, bagi menjalani hukuman terbabit.

    Bahri memainkan peranan utama sebelum ini dalam siasatan kes SRC pada 2015 sebelum ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Beliau yang memegang jawatan Pengarah BOK Khas sejak 16 Jun 2014 bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.

    Bagaimanapun, Bahri kembali kepada SPRM pada Mei 2018 bagi membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC.

    Pada masa sama, mengimbau kembali pengalaman siasatan kes SRC itu, Bahri berkata, paling tidak boleh dilupakannya apabila pasukannya difitnah, diugut dan ditawarkan habuan bagi menghentikan tugasan mereka.

    “Paling tidak boleh saya lupakan ialah apabila Timbalan Pendakwa Raya SPRM dan beberapa pegawai BOK ditahan sebelum difitnah.

    “Saya pernah berasa ‘keseorangan’ ketika anak buah saya dianiaya dan saya sendiri ditukarkan ke JPM ketika itu,” katanya.

  • Kertas siasatan Mohd Nazlan tidak berada dengan AGC – Peguam Negara

    Kertas siasatan Mohd Nazlan tidak berada dengan AGC – Peguam Negara

    KERTAS siasatan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak berada dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Perkara itu disuarakan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika ditemui pada Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

    “(Kertas siasatan) tidak berada dengan kami. Saya tidak tahu. Ia tidak berada dengan kami,” katanya ringkas seperti dilaporkan Malay Mail.

    Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Mohd Nazlan sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

    SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.

    SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, yang mana Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.

    Ia susulan Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

    Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya pula berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

  • Siasatan skandal LCS tak perlu RCI – Bekas pengarah SPRM

    Siasatan skandal LCS tak perlu RCI – Bekas pengarah SPRM

    Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

    Memetik laporan Berita Harian, Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin, menyifatkan RCI tidak wajar ditubuhkan bagi menyiasat LCS kerana ia bukan badan penguatkuasa dan kehakiman

    “Penemuan melalui RCI tidak boleh menyebabkan seseorang itu diheret ke penjara.

    “Siasatan melalui RCI cuma untuk mengenalpasti siapa yang terbabit atau bertanggungjawab sahaja, tidak lebih daripada itu,” katanya.

    Skandal LCS mula ‘terbongkar’ apabila PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

    Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

    Susulan itu, ramai pihak yang menggesa kerajaan supaya menubuhkan RCI bagi memastikan ketelusan dalam siasatan dan memastikan mereka yang bersekongkol dengan rasuah didedahkan.

    Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyatakan cadangan penubuhan RCI itu sudah dibentangkan ke Kabinet dan keputusannya bergantung kepada keputusan perbincangan dalam Jemaah Menteri.

    Pada masa sama, Bahri berkata, tiada keperluan untuk penubuhan RCI kerana SPRM sudah melengkapkan siasatan berhubung skandal terbabit.

    “Jika pihak penguat kuasa gagal mengesan kesalahan, baharulah RCI diperlukan,” katanya.

    Selasa lalu, bekas Panglima TLDM didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah projek LCS membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

    Sementara itu, Bahri berkata, SPRM perlu bergerak ‘bebas’ dengan meletakkan suruhanjaya itu di bawah Parlimen.

    Beliau berkata, tindakan itu penting bagi melambangkan kemajuan sesebuah negara.

    “Amat wajar dan sudah tiba masanya SPRM dibebaskan, jika Malaysia nak maju perlu bebaskan SPRM.

    “Mana-mana negara yang berani membebaskan badan anti rasuah mereka pasti akan maju seperti China dan terkini Indonesia,” katanya.

    Sementara itu, Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pula berpendapat SPRM boleh berfungsi di bawah sistem sedia ada selagi tiada berdepan masalah dalam sebarang kes penyelewengan yang disiasat suruhanjaya itu.

    Beliau berkata, walaupun diletak di bawah sistem sedia ada, yang penting adalah integriti SPRM itu dalam menjalankan siasatan.

    “Tidak penting SPRM diletak di bawah sistem manapun, yang penting adalah integriti.

    “Bagi saya selagi tiada masalah siasatan (ia ok)….sekarang ini tiada masalahpun.

    “Apa yang penting SPRM mesti bebas menjalankan siasatan dengan bebas,” katanya kepada BH.

    Pada masa sama, Mohd Shukri berkata, SPRM perlu mengabaikan sebarang masalah campur tangan dengan terus menjalankan siasatan secara telus walaupun membabitkan sesiapa sahaja dan mana-mana pihak.

    Mengulas mengenai projek perolehan LCS itu, Mohd Shukri berkata, siasatan sebelum ini tidak berdepan masalah daripada dalam, namun sebaliknya kerjasama sukar diperoleh daripada pihak luar negara.

    “Fail sudah dibuka namun tidak mendapat kerjasama daripada luar negara…siasatan itu diusahakan sejak 2010 namun sampai sekarang tiada maklum balas daripada pihak berkenaan.

    “Seingat saya, banyak kali pihak Peguam Negara (AG) menghantar surat kepada pihak luar negara, namun tiada maklum balas.

    “Siasatan jadi sukar kerana banyak bukti berada di luar negara,” katanya.

  • Jadikan isu LCS keutamaan SPRM, Peguam Negara – Pemuda UMNO

    Jadikan isu LCS keutamaan SPRM, Peguam Negara – Pemuda UMNO

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjadikan isu projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) sebagai keutamaan siasatan mereka kerana melibatkan aset pertahanan dan keselamatan negara yang melibatkan wang rakyat.

    Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dengan lengkapnya siasatan itu, Peguam Negara mesti segera mendakwa pihak yang menyeleweng dalam pengendalian projek pembinaan LCS.

    Menurutnya, Pemuda UMNO tetap berpendirian tegas agar SPRM dan Peguam Negara segera bertindak mendakwa mereka yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku samaada pecah amanah, menipu, rasuah atau apa jua bentuk penyelewengan hingga menyebabkan kelewatan menyiapkan enam kapal LCS.

    “Selagi tiada pendakwaan selagi itulah persepsi dan pelbagai naratif fitnah akan terus dicipta dan ditular bagi menjatuhkan seteru politik terutamanya menjelang Pilihanraya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, isu LCS adalah isu berkeutamaan tinggi kerana melibatkan aset-aset pertahanan dan keselamatan negara yang melibatkan wang rakyat yang sudah dibelanjakan sehingga RM6 bilion.

    “Justeru, keutamaan harus diberikan untuk pihak SPRM segera menyelesaikan siasatan jika apa yang dilaporkan oleh PAC menjurus kepada pembuktian bahawa wujud penyelewengan dan salah laku mana-mana individu termasuk berprofil tinggi,” katanya.

  • Tiada unsur penyelewengan berkaitan Musang King di Gunung Inas

    Tiada unsur penyelewengan berkaitan Musang King di Gunung Inas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mendapati tidak wujud sebarang unsur penyelewengan berhubung keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling.

    Menurut pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, hampir kesemua minit mesyuarat Exco kerajaan negeri berhubung perkara itu sudah pun diteliti setelah pihaknya mendapatkan dokumen berkaitan, sebelum ini.

    Katanya, penelitian awal mendapati dokumen-dokumen tersebut tidak mengandungi sebarang unsur salah laku atau penyelewengan yang boleh diambil tindakan di bawah bidang kuasa SPRM.

    “Namun jika terdapat maklumat baharu yang terkait dengan bidang kuasa kami, kemungkinan siasatan ini akan diteruskan kembali.

    “Setakat ini tiada laporan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak sebaliknya siasatan ini dijalankan hasil inisiatif kami sendiri termasuk berkunjung ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan dokumen berkaitan sebelum ini,” katanya.

    Pada 10 Julai lalu, SPRM Kedah dilaporkan telah memulakan siasatan awal bagi melihat kemungkinan terdapat salah laku yang mendorong kepada berlakunya tragedi banjir lumpur serta aliran puing di kawasan berhampiran gunung tersebut.

    Selain berkunjung ke Wisma Darul Aman, pegawai terlibat turut dihantar ke kawasan bencana bagi meninjau keadaan di situ.

    Shaharom menambah, pihaknya turut merujuk laporan dibuat Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 yang dilihat telah menyentuh aspek dalam kejadian itu secara lebih menyeluruh.

    “Laporan tersebut tampak lebih lengkap dan kami telah meneliti perkara di dalamnya bagi melihat perkara yang mungkin terkait dengan bidang kuasa SPRM.

    “Setakat ini kami tangguh dulu siasatan hingga ada maklumat baharu. Jika ada maklumat lanjut selepas ini, kami boleh mulakan siasatan semula, tertakluk kepada perkara di bawah bidang kuasa SPRM,” katanya.

  • SPRM ‘gempur’ majikan seleweng dana Penjana Kerjaya

    SPRM ‘gempur’ majikan seleweng dana Penjana Kerjaya

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan ‘Ops Hire’, bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) di beberapa negeri, bermula hari ini.

    SPRM dalam kenyataan malam ini memaklumkan operasi besar-besaran itu, dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM bersama SPRM negeri.

    “Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja, semasa mendepani cabaran COVID-19 bermula awal tahun 2020.

    “Ia dilaksanakan PERKESO bagi merangsang ekonomi negara melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, SPRM dengan kerjasama PERKESO telah membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana, dan mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.

    Menurut SPRM, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam sekali gus memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa. – BERNAMA

  • Hakim tegur jangan buat kenyataan kes Syed Saddiq

    Hakim tegur jangan buat kenyataan kes Syed Saddiq

    PESURUHJAYA Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid, yang mendengar perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram, hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.

    Azhar membuat teguran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu laporan polis dibuat terhadap peguam Lim Wei Jit selepas beliau membuat kenyataan mendedahkan pembelaan tertuduh (Syed Saddiq) ketika sidang media pada 21 Jun lepas.

    “Saya rasa perkara seperti ini telah berlaku di mahkamah lain dan kali ini ia berlaku di mahkamah saya. Saya mengingatkan semua orang…biarkan bukti yang berbicara,” kata Azhar.

    Terdahulu, Wan Shaharuddin memohon mahkamah memberi teguran agar perkara sedemikian tidak berlaku lagi.

    “Saya tidak minta prosiding menghina mahkamah dikenakan…tetapi mohon mahkamah memberikan teguran kerana kita sudah dewasa,” katanya.

    Peguam Haijan Omar, yang mewakili Syed Saddiq bagaimanapun memohon maaf atas keterlanjuran yang berlaku dan memaklumkan perkara itu tidak akan berulang.

    Laporan polis itu dibuat seorang pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Jun membabitkan satu video yang dimuat naik di YouTube mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bermotifkan politik.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung. – BERNAMA

  • Sogok polis RM200,000: Peniaga makanan didenda RM100,000

    Sogok polis RM200,000: Peniaga makanan didenda RM100,000

    SEORANG peniaga makanan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini kerana memberi suapan RM200,000 kepada seorang anggota polis bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap lima rakannya yang ditahan dalam satu serbuan pada tahun lepas.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zaed Asan, 34, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 24 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh telah membayar denda itu.

    Menurut pertuduhan pilihan, Mohd Zaed bersama seorang yang masih bebas, pada 14 Nov 2021, pada kira-kira pukul 1.20 pagi bertempat di dalam kereta Volkswagen Passat 2, di tepi jalan berhampiran stesen minyak di Nilai Square Commercial Centre dengan niat secara rasuah memberikan suatu suapan, iaitu wang tunai RM200,000 kepada Koperal Mohamad Taufiq Sudiman.

    Suapan itu sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima rakan peniaga makanan tersebut yang ditahan semasa serbuan oleh pihak polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai pada 13 Nov 2021 di sebuah unit Residensi Mesa Putra Nilai atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan.

    Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Kamal Adha Mohd Harozi.

    Wan Shaharuddin turut memuji tindakan tiga anggota polis yang terbabit dalam kes berkenaan yang tidak terpedaya dengan wang rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

    Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM200,000 bagi kes ini dilucut hak melalui Ketua Pesuruhajaya SPRM kepada kerajaan Malaysia. – BERNAMA