KERTAS siasatan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak berada dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu disuarakan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika ditemui pada Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
“(Kertas siasatan) tidak berada dengan kami. Saya tidak tahu. Ia tidak berada dengan kami,” katanya ringkas seperti dilaporkan Malay Mail.
Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Mohd Nazlan sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.
SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, yang mana Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.
Ia susulan Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.
Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya pula berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.