SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjadikan isu projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) sebagai keutamaan siasatan mereka kerana melibatkan aset pertahanan dan keselamatan negara yang melibatkan wang rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dengan lengkapnya siasatan itu, Peguam Negara mesti segera mendakwa pihak yang menyeleweng dalam pengendalian projek pembinaan LCS.

Menurutnya, Pemuda UMNO tetap berpendirian tegas agar SPRM dan Peguam Negara segera bertindak mendakwa mereka yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku samaada pecah amanah, menipu, rasuah atau apa jua bentuk penyelewengan hingga menyebabkan kelewatan menyiapkan enam kapal LCS.

“Selagi tiada pendakwaan selagi itulah persepsi dan pelbagai naratif fitnah akan terus dicipta dan ditular bagi menjatuhkan seteru politik terutamanya menjelang Pilihanraya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, isu LCS adalah isu berkeutamaan tinggi kerana melibatkan aset-aset pertahanan dan keselamatan negara yang melibatkan wang rakyat yang sudah dibelanjakan sehingga RM6 bilion.

“Justeru, keutamaan harus diberikan untuk pihak SPRM segera menyelesaikan siasatan jika apa yang dilaporkan oleh PAC menjurus kepada pembuktian bahawa wujud penyelewengan dan salah laku mana-mana individu termasuk berprofil tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here