DALAM keadaan rakyat Malaysia berdepan masalah kekurangan bekalan minyak masak peket 1 kilogram yang dijual pada harga subsidi RM2.50 sepeket, lain pula halnya di selatan Thailand.

Laporan Astro Awani hari ini mendedahkan bahawa produk tersebut dapat diperoleh dengan mudah di sana, malah pelanggan boleh membeli seberapa banyak yang mereka mahu pada harga 55 baht atau kira-kira RM7 sepeket.

Malah, seorang penduduk di sebuah kampung di Narathiwat memberitahu bahawa mereka tidak berdepan dengan masalah mendapatkan minyak masak peket 1 kg kerana sentiasa ada stok.

Timbul persoalan bagaimana ketirisan boleh berlaku sehingga menyebabkan produk bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja boleh terlepas masuk ke negara asing.

Yang menjadi mangsa adalah rakyat kita khususnya mereka yang berpendapatan rendah kerana harga minyak masak botol kini tidak lagi menerima subsidi daripada kerajaan.

Namun, mereka tiada pilihan kerana bekalan minyak masak peket 1 kg sukar diperoleh dan jika ada pun, peniaga mengehadkan jumlah yang boleh dibeli oleh setiap pelanggan.

Salah satu punca ketirisan yang dikenal pasti adalah kelemahan dari segi penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan negara.

Keadaan ini membolehkan mereka yang tamak haloba mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menjual produk bersubsidi ke negara jiran.

Bagi setiap peket minyak masak 1 kg, mereka beroleh keuntungan atas angin kira-kira RM4.50 dan melihat kepada mudahnya bekalan produk itu diperoleh di selatan Thailand, terdapat kemungkinan ia diseludup dalam jumlah yang besar.

Dalam hal ini, agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab mengekang kegiatan penyeludupan dan kawalan sempadan perlu melipatgandakan usaha mencegah ketirisan bekalan minyak masak bersubsidi.

Gejala ini jika tidak dibanteras akan menyebabkan kerajaan berterusan menanggung kerugian kerana subsidi yang disalurkan akhirnya dinikmati oleh sindiket penyeludupan.

Tidak mustahil jika satu hari nanti, tiada lagi subsidi diberikan untuk minyak masak paket 1 kg bagi mengelakkan ketirisan daripada terus berlaku.

Jika itu langkah yang diambil, rakyat Malaysia khususnya golongan B40 pasti akan sangat terkesan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here