Tag: Radzi Jidin

  • KPM beri perhatian hasil inovasi guru – Radzi

    KPM beri perhatian hasil inovasi guru – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memberi perhatian terhadap segala pendekatan inovasi dan inisiatif yang dihasilkan para guru supaya ia tidak hanya kekal di sekolah mereka, sebaliknya diperluaskan ke sekolah lain.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana terdapat inovasi yang dilakukan guru-guru ini boleh digunakan secara meluas kerana kosnya tidak tinggi selain mengambil masa cepat dan pendekatan yang mudah.

    “Saya telah maklumkan kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid mengenai perkara ini dan apakah inisiatif serta ikhtiar yang boleh dilakukan supaya ia dapat dikembangkan ke sekolah lain pula,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Apresiasi Festival Guru Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Aminudin Adam.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, sudah tiba masanya untuk membuat perubahan terhadap struktur pendidikan negara ini supaya mampu bersaing dengan negara luar.

    “Dunia berubah tetapi jika kita masih lagi dengan pendekatan lama, kita akan terus ketinggalan kerana dalam konteks pendidikan, kita bukan sahaja bersaing dengan jiran, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri tetapi kita bersaing di peringkat dunia,” katanya.

    Pada majlis itu, Radzi turut menyampaikan anugerah kepada 27 guru daripada pelbagai kategori seperti Anugerah Ikon, Anugerah Cikgu Juara Digital, Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Khas Pendidikan. – BERNAMA

  • Perkhidmatan 2,600 guru kontrak jangka disambung dua tahun

    Perkhidmatan 2,600 guru kontrak jangka disambung dua tahun

    NASIB 2,600 guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata, perincian mengenai berita menggembirakan itu akan diumumkan dalam masa terdekat sejurus perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai.

    “Berkaitan dengan COS kita lihat ramai bangkitkan mengenai isu ini dan ramai yang telah menyampaikan masalah ini kepada kementerian.

    “Oleh itu, isu ini sedang dalam proses untuk diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peraturan dan tatacara sedia ada. Ingin saya jelaskan kerana ada yang kata tidak dapat gaji bulan lima itu tidak benar, kerana kami akan pastikan kebajikan guru-guru terpelihara,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya dekat Ketereh hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata pihaknya sentiasa berbincang mengenai pendekatan terbaik yang boleh dilakukan kepada guru kontrak perkhidmatan itu.

    Semalam, menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter miliknya, Radzi memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan supaya isu guru COS ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak pada Jun depan, diberi perhatian dan diselesaikan segera.

    Beliau berkata, KPM dan SPP sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.

    Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya akan perincikan satu persatu serta tindakan yang boleh diambil mengenai isu guru bersara awal.

    “Kami sedang kaji secara mendalam dengan mengambil kira data dari tahun 2017 kerana mana-mana perkhidmatan lain juga akan ada yang mengambil ketetapan untuk bersara awal bukan guru sahaja yang bersara awal kerana ia adalah pilihan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

  • Garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 4.0 diumum bulan ini

    Garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 4.0 diumum bulan ini

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dijangka membentangkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 pada bulan ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan garis panduan tersebut ketika ini di peringkat akhir perincian sebelum diumumkan.

    “Kami mengambil kira semua pandangan termasuk daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia penting supaya guru-guru dan murid sekolah berada dalam keadaan selamat dan terhindar daripada wabak COVID-19,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran di Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, SOP tersebut turut melibatkan aktiviti kokurikulum di sekolah yang sebelum ini hanya dibenarkan diadakan di kawasan sekolah sahaja.

    “Selain itu, bagi pelajar tinggal di asrama yang mempunyai kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19, namun tidak bergejala mereka tidak perlu menjalani kuarantin kendiri dan boleh hadir ke kelas seperti biasa.

    “Kami harap semua masyarakat termasuk guru, ibu bapa dan pelajar sekolah supaya sentiasa mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan supaya pelajar ini dapat belajar secara bersemuka seperti biasa tanpa menggunakan sistem penggiliran lagi,” katanya.

    Seramai 130,177 pelajar dari Kumpulan A melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor memulakan sesi persekolahan hari ini secara bersemuka tanpa menggunakan sistem penggiliran. – BERNAMA

  • Hampir 14,000 guru one-off telah ditempatkan

    Hampir 14,000 guru one-off telah ditempatkan

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memaklumkan hampir 14,000 guru telah ditempatkan setakat ini menerusi pengambilan secara one-off yang dilaksanakan kementerian itu bagi mengatasi masalah kekurangan guru.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kira-kira lebih 4,000 guru lagi sedang dalam proses untuk ditempatkan, berdasarkan 18,702 jumlah guru yang diperuntukkan bagi pengambilan tersebut.

    “Dengan pengambilan baharu (one-off) ini, kami akan beri keutamaan pergerakan kepada guru-guru yang telah lama (untuk dipindahkan) sebelum kami bawa masuk guru-guru baharu di kawasan yang mana permohonan untuk pertukaran itu tinggi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sekolah Menengah (SMK) Bandar Saujana Putra, di Kuala Langat hari ini.

    Radzi berkata, susulan pengambilan guru baharu tersebut, permohonan pertukaran guru adalah antara yang tertinggi pernah diluluskan dalam sejarah iaitu lebih daripada 55 peratus.

    Mengulas berhubung takwim pembelajaran akademik bagi penggal 2022/2023, Radzi berkata, setakat ini kalendar tersebut masih dikekalkan walaupun negara bakal memasuki fasa endemik 1 April ini.

    Mengulas berhubung pengoperasian SMK Bandar Saujana Putra, Radzi berkata, seramai 988 pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dijadualkan memulakan persekolahan di sekolah tersebut pada 21 Mac depan.

    Media sebelum ini melaporkan SMK Bandar Saujana Putra yang pembinaannya diteruskan pada 2020 selepas terbengkalai sejak 2019, telah siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada Mac ini.

    Radzi berkata, sejak dua tahun lepas, kementerian telah memberi keutamaan untuk konteks infrastruktur pendidikan, termasuk usaha menyiapkan pembangunan sekolah terbengkalai. – BERNAMA

  • Najib sembang macam dia selamatkan Felda… POORAH!

    Najib sembang macam dia selamatkan Felda… POORAH!

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin memang jarang bercakap tentang isu politik apatah lagi berceramah secara terbuka di depan orang ramai.

    Beliau lebih dikenali dengan peranannya sebagai Menteri Kanan Pendidikan dan lebih banyak memberi kenyataan berkenaan kementeriannya.

    Tetapi, bila sekali-sekala Radzi diberi kesempatan berceramah, memang pedas dan berapi.

    Pada ceramah umum Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau di Bilik Gerakan PN, Padang Endau, Mersing malam tadi, beliau menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Najib selama ini mendabik dada kononnya beliau yang menyelamatkan Felda namun dakwaan itu disangkal oleh Radzi.

    “Dia cerita seolah-olah dialah yang menyelamatkan Felda… pooorah! Sembang,” kata Radzi penuh bersemangat ketika mendedahkan tentang isu pembelian Eagle High Plantations Tbk di Indonesia daripada Kumpulan Rajawali ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa dahulu.

    Beliau menyambung: “Apa nak buat? Beli harga 584 rupiah tinggal 83 rupiah hilang nilai 84 peratus. Ini duit siapa? Generasi peneroka, anak-anak mereka, masa depan pewaris Felda.

    “Dia kata dia bercerita… eh tak apa, dia ada put option. Ini meniaga ni, meniaga orang atas-atas. Nanti dia bayar bunga enam peratus setahun dia kata.

    “Put option ni apa? Maknanya dia kata Eagle High boleh beli balik yang mana Felda ambik tadi.

    “Eh, eh, eh, dia kata tak apa untung enam peratus. Dia tak tahu duit yang dia pinjam daripada Kementerian Kewangan itu kena bayar bunga jugak.

    “Tolak bunga ni, tolak bunga tu, tinggal berapa sen je untung? Tetapi pada masa yang sama tahun 2019 Felda dah mintak oklah aku dah tak nak pegang dah saham ni.

    “Kau ambik baliklah. Kau bagi duit aku RM2.3 bilion. Tapi syarikat tersebut pusing-pusing kata macam-macam. Tak nak bagi balik, masih berunding.

    “Di peringkat antarabangsa nak runding supaya tak payahlah dulu. Kami tak nak pulangkan balik RM2.3 bilion ini. Belum sampai masanya lagi.

    “Saya risau kalau tempoh put option ini tamat pada Mei tahun depan, saya risau kalau Felda tak dapat balik seperti mana yang dijanjikan.

    “Ini kerja manusia yang tidak fikir orang lain. Ini manusia yang fikir bahawa sampai ke sudah rakyat akan menyokong mereka,” ujarnya.

    Sehubungan itu, Radzi menyeru semua warga Felda termasuk generasi kedua dan pewaris supaya kembali mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok bagi memastikan UMNO dan BN dapat ditumbangkan di Johor.

    Beliau bimbang usaha-usaha pemulihan Felda yang dimulakan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri dahulu digagalkan oleh UMNO dan BN.

    Sebaliknya, kata Radzi, jika PN memerintah. peneroka boleh membeli tanah yang untuk membina rumah generasi kedua Felda di Johor dengan membayar premium RM1 setiap kaki persegi sahaja.

    Perkara itu terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor yang dilancarkan Muhyiddin baru-baru ini.

  • Semakan tawaran kemasukan sekolah khusus mulai 15 Mac

    Semakan tawaran kemasukan sekolah khusus mulai 15 Mac

    SEMAKAN tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke Sekolah Khusus Tahun 2022 boleh dibuat Selasa depan (15 Mac).

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah Kementerian Pertahanan.

    “Semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my untuk kemasukan ke Tingkatan Empat serta Tahun 1 SVM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Radzi, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Satu di SBP dan SMKA ditetapkan pada 21 hingga 25 Mac ini, manakala pendaftaran secara fizikal akan dimaklumkan kemudian.

    Sementara itu, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Empat di SBP dan SMKA juga pada 21 hingga 25 Mac manakala pendaftaran secara fizikal pada 5 April.

    “Pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingkatan Empat dan Tahun 1 SVM di SMT dan KV pula pada 7 April manakala pendaftaran bagi murid baharu Tingkatan Empat ke MTD akan dimaklumkan melalui laman sesawang http://www.rmc-education.edu.my,” kata Radzi. – BERNAMA

  • Sekolah menengah tiada penggiliran, PdPR dahulu 2 minggu

    Sekolah menengah tiada penggiliran, PdPR dahulu 2 minggu

    SEMUA pelajar sekolah menengah harian perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran bagi sesi persekolahan penggal pertama 2022/2023 mulai 4 April depan.

    Walau bagaimanapun, apabila penggal persekolahan dibuka pada 21 Mac ini, semua pelajar berkenaan akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu terlebih dahulu.

    Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd. Radzi Md Jidin menerusi video menerangkan pengoperasian sekolah sesi akademik 2022/2023 yang dimuat naik ke Facebook, hari ini.

    Bagi pengoperasian di sekolah rendah pula, Mohd. Radzi memaklumkan, hanya murid Tahun 3, 4 dan 5 akan hadir ke sekolah secara penggiliran di sekolah yang mempunyai murid melebihi 600 orang.

    Menurut beliau, murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI); prasekolah; Tahun 1, 2, 6 dan semua murid penerima rancangan makanan tambahan (RMT) hadir tanpa penggiliran.

    Mohd Radzi memaklumkan, ketetapan itu juga terpakai kepada murid sekolah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan antarabangsa.

    “Bagi sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 600 orang, semua murid sekolah rendah harian dan swasta termasuk sekolah ekspatriat serta antarabangsa hadir tanpa penggiliran.

    “Sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan antarabangsa dengan enrolmen melebihi 600 orang pula boleh mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam video tersebut.

    Mengulas mengenai pengoperasian bagi sekolah berasrama sepenuhnya, Mohd Radzi memberitahu, semua pelajar kecuali yang baru memasuki Tingkatan 1 dibenarkan masuk ke asrama bermula 4 April.

    Katanya, murid Tingkatan 1 yang berjaya memasuki sekolah berasrama sepenuhnya boleh memilih untuk menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian berdekatan kediaman.

    Mohd. Radzi berkata, perkara itu akan berterusan sehingga tarikh kemasukan ke sekolah berasrama penuh bagi murid Tingkatan 1 diumumkan KPM.

    “Bagi sekolah swasta berasrama sepenuhnya yang mempunyai kapasiti menguruskan keseluruhan murid, sekolah boleh beroperasi sepenuhnya termasuk murid baharu Tingkatan 1.

    “Sesi pembelajaran di Kolej Vokasional pula akan berlangsung tanpa penggiliran manakala di Kolej Matrikulasi, semua murid akan hadir tanpa penggiliran mengikut takwim akademik masing-masing.

    “Ini bermakna bagi sistem empat semester, murid semester 2 dan 4 akan hadir sementara bagi sistem dua semester, hanya murid semester 2 akan hadir,” jelas beliau.

  • Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    SERAMAI 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang terjejas akibat bencana banjir di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas akan menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua, April depan.

    Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang, SMK Meranti, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Falah Siram dan SMU Khairiah Banggol Setol.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, calon-calon tersebut sepatutnya menduduki dua kertas peperiksaan itu pada esok, Rabu (2 Mac) dan Khamis (3 Mac).

    “Kementerian Pendidikan membuat keputusan sekolah-sekolah ini tidak dapat digunakan sebagai pusat peperiksaan kerana kawasan itu digenangi air hingga menyebabkan calon-calon dan pegawai peperiksaan tidak dapat masuk ke kawasan sekolah.

    “Kertas peperiksaan untuk Rabu dan Khamis akan ditangguhkan pada sidang kedua. Pihak sekolah telah menghubungi calon-calon terlibat dan dijangka peperiksaan pada Isnin (7 Mac) akan kembali seperti biasa bergantung kepada keadaan semasa,” katanya dalam sidang media selepas melawat SMK Agama Lati, Rantau Panjang di Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi turut meminta calon SPM 2021 di negeri ini yang menghadapi kesukaran untuk ke kawasan sekolah atau hadir ke pusat peperiksaan supaya menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan sekolah atau pengetua.

    “Boleh dapatkan penjelasan berkaitan situasi dan mana-mana pusat peperiksaan alternatif yang boleh dihadiri,” katanya.

    Beliau berkata, calon terkesan banjir turut dibenarkan hadir ke pusat peperiksaan tanpa memakai uniform sekolah.

    “Calon-calon yang terkesan banjir, pakailah apa-apa pun tidak mengapa, dalam keadaan krisis kita tak boleh terlalu memilih. Apa yang penting, anak-anak ini tenang dapat hadir ke pusat peperiksaan,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Radzi memaklumkan, keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dan calon SPM yang terkesan boleh menduduki peperiksaan tersebut di pusat-pusat peperiksaan alternatif. – BERNAMA

  • KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan sedang mengambil tindakan bagi menguruskan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas di Terengganu dan Kelantan.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    “Saya mengambil maklum tentang situasi banjir di Terengganu dan Kelantan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan SPM di negeri tersebut.

    “Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan anak-anak calon SPM 2021 dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” menurut hantaran itu.

    SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini. – BERNAMA

  • Sekolahku SEJAHTERA terap 14 elemen nilai kehidupan

    Sekolahku SEJAHTERA terap 14 elemen nilai kehidupan

    KONSEP Sekolahku SEJAHTERA yang menerapkan 14 elemen nilai kehidupan secara semula jadi kepada murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, 14 elemen yang terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA itu ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

    Bercakap kepada media selepas melancarkan Sekolahku SEJAHTERA di Putrajaya hari ini, Radzi berkata, kesemua elemen itu akan diterapkan seawal prasekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat sekolah menengah.

    “Konsep ini tidak tambah beban tugas guru. Dalam konteks ini, guru-guru akan menerapkan konsep ini secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran.

    “Contohnya guru sedang mengajar mata pelajaran Sejarah, ada perkara-perkara dalam topik yang diajar itu berkait rapat dengan konsep 14 elemen itu, ia boleh digunakan dan dijelaskan kepada anak-anak ini,” katanya.

    Konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

    Radzi berkata, penekanan terhadap 14 elemen nilai itu bukan bermakna elemen lain dalam kehidupan diketepikan.

    “Kita fokus pada konsep-konsep utama, kita yakin sekiranya anak-anak ini betul-betul menjiwai konsep ini, kita mampu melahirkan generasi yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya.

    Mengambil contoh elemen artikulasi iaitu murid dididik dengan keupayaan untuk mengolah, menyampaikan pandangan, hujahan atau huraian tentang sesuatu perkara dengan jelas dan teratur, Radzi berkata, apabila dewasa kelak, murid berkenaan boleh berhujah atau bercakap dengan tertib dan disokong dengan fakta. – BERNAMA