PERDANA Menteri tidak perlu meletak jawatan sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Dewan Rakyat.

Memetik laporan FMT, peguam perlembagaan, Bastian Pius Vendargon berkata, jawatan Pedana Menteri hanya perlu dikosongkan jika majoriti Ahli Parlimen hilang keyakinan terhadap penyandangnya.

“Perdana Menteri memohon perkenan Agong untuk membubarkan Parlimen (Dewan Rakyat) dan terpulang kepada budi bicara Seri Paduka untuk memperkenan atau tidak memperkenan bawah Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Perdana Menteri perlu meletak jawatan jika Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan permohonan pembubaran Parlimen.

Mohamad berkata, ini bermakna Seri Paduka tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada Perdana Menteri dan, mengikut konvensyen, Perdana Menteri harus meletak jawatan.

Pada sidang media di Machap, beliau berkata, UMNO akan terus mendesak agar Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan awal, sama ada Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar atau tidak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac.

Beliau berkata, UMNO akan mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen tetapi terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan.

Vendargon menambah, jika Seri Paduka menolak, ia tidak ada kena mengena dengan keyakinan majoriti di Dewan Rakyat dan Ismail Sabri tidak perlu risau selagi beliau mendapat sokongan majoriti.

Sokongan, atau ketiadaannya, untuk Perdana Menteri boleh ditentukan melalui undian dalam dewan dan dalam bentuk akuan berkanun, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009.

Vendargon berkata, Perkara 43(4) hanya akan terpakai jika Perdana Menteri hilang keyakinan majoriti Ahli Parlimen.

Dalam situasi itu, beliau berkata, Perdana Menteri boleh memohon pembubaran; jika gagal, beliau perlu meletak jawatan agar Seri Paduka dapat melantik Ahli Parlimen lain untuk mengisi jawatan itu.

Sementara itu, peguam Rafique Rashid Ali berkata, Mohamad bercakap mengenai politik tanpa mengambil kira kedudukan perlembagaan sebenar.

Beliau berkata, Perdana Menteri terdahulu berjaya memohon pembubaran walaupun sebelum penggal lima tahun tamat.

“Jika pembubaran seperti itu ditolak, ia tidak bermakna mereka hilang keyakinan majoriti,” katanya.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, ketika itu bersama Barisan Nasional (BN) / UMNO, mengadakan pilihan raya untuk mendapatkan mandat baharu selepas empat tahun atas beberapa sebab, termasuk keadaan ekonomi yang baik ketika itu.

“Dalam keadaan sekarang, lebih bijak untuk melengkapkan penggal lima tahun disebabkan wabak COVID-19 agar tidak membebankan rakyat tanpa keperluan,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here