PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan menarik sokongan di peringkat pusat meskipun kemungkinan berlaku pertembungan dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 Nov ini.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ini kerana pihaknya masih menaruh kepercayaan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mentadbir negara.
“Tidak terlintas pun di fikiran kami (menarik sokongan) kerana kami lihat kerajaan pada ketika ini sedang belajar berjalan dengan baik dengan usaha yang dipergiatkan melalui gagasan Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan.
“Semuanya berjalan dengan lancar, insya-Allah kami akan teruskan (kerjasama) dan kami mohon agar Allah mempermudahkan segala urusan,” katanya yang juga Timbalan Presiden Bersatu ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Senamrobik Perdana Peja Trophy 2021 yang berlangsung di Padang Bola Sepak Lintau di Ipoh, hari ini.
Pada 22 Okt lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu yang menganggotai PN dalam menghadapi PRN Melaka.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata secara peribadi, hubungannya dengan kebanyakan pemimpin UMNO terutamanya yang berada dalam Kabinet juga masih baik dan tidak terganggu dengan sebarang percaturan politik.
“Saya juga lihat ada dalam kalangan rakyat dan pemimpin antara dua kelompok ini masih boleh bekerjasama namun saya tidak menolak kemungkinan berlaku satu atau dua individu yang agak keliru dengan agenda yang sepatutnya dibawa,” katanya.
Selain itu, katanya PN masih membuka pintu rundingan kerjasama dengan semua parti termasuk UMNO dalam memastikan kemenangan berjaya direalisasikan dalam PRN Melaka.
“Seperti yang disebut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kami sememangnya mahu bekerjasama dengan semua pihak yang nak membangunkan negara, melakukan perkhidmatan terbaik kepada rakyat namun semuanya terpulang kepada mereka,” katanya.
Terdahulu, mengulas mengenai program, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan itu merupakan antara usaha untuk memupuk gaya hidup sihat selain membudayakan sukan dalam kalangan rakyat.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam penganjuran program ini yang telah berlangsung sejak semalam membabitkan sukan bola sepak, senamrobik dan acara berbasikal. Kami berharap program ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini dijangka sengit di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan jangkaan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Jangkaan itu adalah berikutan pendirian yang diambil ketiga-tiga parti berkenaan yang berhasrat untuk bertanding di kesemua 28 kerusi DUN, selain kegagalan mencapai kata sepakat antara BN dan PN.
Bagaimanapun, terdapat sebilangan kerusi yang mungkin menyaksikan pertandingan lebih tiga penjuru dengan Parti Putra yang telah diluluskan pendaftarannya pada 8 Mei 2019, dan diterajui Presiden Datuk Ibrahim Ali menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu.
Daripada 28 kerusi DUN, enam daripadanya iaitu Paya Rumput, Rembia, Telok Mas, Pengkalan Batu, Sungai Udang dan Pantai Kundur, dijangka menjadi kerusi panas.
DUN Paya Rumput, Rembia, Telok Mas dan Pengkalan Batu sebelum ini adalah kerusi dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kawasan tersebut iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Bersatu), Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP), bertindak menyokong BN bagi membentuk kerajaan baharu yang diterajui BN pada Mac tahun lepas.
Sebelum ‘Langkah Sheraton’ pada tahun lepas, kerajaan negeri Melaka dipimpin bekas Ketua Menteri, Adly Zahari selepas PH membentuk kerajaan dengan majoriti tipis iaitu 15 kerusi, dan pembangkang 13 kerusi dan kepimpinannya hanya bertahan selama 22 bulan.
Melaka kemudian melalui satu lagi episod pertukaran kerajaan dengan BN kembali menerajui negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan pentadbirannya hanya bertahan hampir dua tahun setelah terdapat gerakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundur), Norhizam dan Noor Effandi untuk keluar dari blok kerajaan susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, sekali gus menyebabkan DUN Melaka terbubar bagi memberi laluan kepada PRN.
Meskipun keadaan cuaca semasa yang kerap hujan di Melaka yang terletak di selatan tanah air iaitu kira-kira 145 kilometer dari ibu negara Kuala Lumpur, bahang PRN kini semakin terasa dengan kehadiran silih berganti pemimpin-pemimpin utama parti politik ke negeri ini, walaupun ia masih berbaki kira-kira dua minggu lagi sebelum penamaan calon dilangsungkan pada 8 Nov depan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang turut menjangkakan pertembungan tiga penjuru berkata, pertandingan tiga penjuru merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan pada PRN berkenaan dan hanya parti yang berjaya mendapat kepercayaan rakyat akan membentuk kerajaan.
Namun menurutnya, dalam landskap politik masa kini, tiada lagi parti yang dilihat dominan dan berkemungkinan kerajaan baharu yang akan terbentuk selepas 20 Nov nanti merupakan kerajaan campuran dan semua parti memiliki peluang yang sama.
“Kalau tiga penjuru berkesan bagi parti yang menang mereka (mungkin) akan kekal dengan cara itu (pada PRU15). Dulu parti-parti bekerjasama untuk menghadapi pilihan raya bagi membentuk kerajaan, tetapi sekarang parti-parti bertanding atas tiket masing-masing.
“Kerjasama datang selepas pilihan raya. Mungkin parti-parti tak mahu terikat dan lepas pilihan raya baharu fikir. Macam di Indonesia, lepas bertanding baharu berpakat (untuk bentuk kerajaan),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pun begitu, Mohd Izani percaya parti yang mengumumkan siapakah calon Ketua Menteri lebih awal seperti mana yang dilakukan PH sebelum ini, yang menamakan Timbalan Presiden Bersatu ketika itu (kini Presiden Parti Pejuang Tanah Air), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Menteri Besar Kedah pada PRU14, berkemungkinan boleh mendapat kepercayaan rakyat keseluruhan.
Melaka yang mempunyai keluasan 1,650 kilometer (km) persegi dan memiliki seramai 495,196 pemilih berdaftar setakat 3 Okt lepas mengikut daftar pemilih terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), memiliki lima kawasan DUN dikategori sebagai kawasan bandar, separa bandar (10) dan luar bandar (13).
Lima kerusi dikategori sebagai kawasan bandar adalah DUN Kesidang, Kota Laksamana, Banda Hilir, Ayer Keroh, Bukit Katil, separa bandar (Rembia, Durian Tunggal, Duyong, Sungai Udang, Paya Rumput, Klebang, Bemban, Merlimau, Pengkalan Batu, Ayer Molek) dan luar bandar (Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Gadek, Machap Jaya, Asahan, Telok Mas, Pantai Kundur, Rim, Serkam, Sungai Rambai).
Daripada keseluruhan 28 kerusi itu, sembilan kerusi – Lendu, Taboh Naning, Asahan, Pantai Kundor, Rim, Merlimau, Gadek, Durian Tunggal dan Klebang – dimenangi dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi, dengan enam daripadanya adalah kerusi disandang oleh wakil rakyat BN dan baki dikuasai PH.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka Sazali Sabri berkata tempahan bilik di 176 hotel bajet di negeri ini masih belum mencatatkan peningkatan mendadak, dan keadaan itu dijangka akan meningkat bermula bulan depan. – BERNAMA
PAS Melaka memaklumkan, setakat ini Pas dan UMNO masih belum ada perbincangan mengenai pembahagian kerusi dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.
Menurut Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Kamarudin Sidek, pihaknya masih menanti jemputan rasmi daripada UMNO untuk berbincang dan bersedia memberikan kerjasama bagi memastikan kesejahteraan politik masyarakat Melayu dan Islam.
“Belum ada lagi (perbincangan rasmi) antara PAS dan UMNO berhubung PRN Melaka, yang ada sekarang hanyalah borak dengan rakan UMNO di kedai kopi,” katanya, hari ini.
Sehubungan itu, Kamarudin menolak desas-desus kononnya Pas sudah mengadakan perbincangan secara sulit dengan UMNO mengenai pembahagian kerusi yang bakal ditandingi.
Sebaliknya, beliau berkata, Pas sudah berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) Melaka mengenai pembahagian kerusi dan bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.
Susulan itu, beliau menyifatkan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang PN akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai sekadar untuk ‘menguji gelanggang perang.’
Katanya, Muhyiddin dipercayai cuba menimbulkan provokasi terhadap UMNO sekadar untuk menguji situasi politik menjelang penamaan calon pada 8 November ini.
Muhyiddin dilaporkan berkata, PN sudah menjangka keputusan UMNO enggan bekerjasama dengan Bersatu, tetapi mengambil pendekatan berhemah untuk menunggu UMNO menyatakan pendirian.
Muhyiddin dipetik berkata, rundingan dalam kalangan parti PN, termasuk Pas dan Gerakan akan diadakan segera untuk memastikan kemenangan gabungan itu dalam PRN.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah ‘mengendurkan tali yang sebelum ini ditarik tegang’ apabila menyatakan kerjasama UMNO dengan PN akan dibawa ke perbincangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, keputusan muktamad kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan PN akan diumumkan apabila mesyuarat Biro Politik dan MKT yang diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum penamaan calon.
Sehubungan itu, Kamarudin berkata, PAS sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana parti yang ingin memelihara kepentingan Melayu dan Islam.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Kamarudin yang bertanding di DUN Duyong tewas kepada Damian Baba Yoe daripada DAP.
PAS Melaka bertanding 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada pilihan raya berkenaan tetapi tewas semuanya.
PERIKATAN Nasional (PN) tidak menolak akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadual berlangsung 20 November ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap, rundingan dalam gabungan itu dapat dimuktamadkan segera antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.
Presiden Parti Bersatu itu berkata, keputusan tersebut susulan UMNO memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PN.
“Perkara ini ditetapkan ekoran sudah menjangkakan keputusan UMNO yang enggan bekerjasama dengan PN sejak daripada awal lagi.
“Saya sudah agak responnya begitu cuma sebagai satu tindakan berhemah kita nak dengar mereka kata sah dan sekarang mereka kata ‘no way’ dan itu fakta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pimpinan Tempatan Peringkat DUN Gambir, Tangkak, hari ini.
Semalam Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka pada 20 November ini seperti ketetapan yang telah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu.
Muhyiddin berkata, pihaknya sudah bersedia untuk hadapi apa sahaja bentuk pertandingan sama ada dua, tiga atau empat penjuru serta situasi tersebut tidak menjadi masalah bagi PN.
Mengenai kewajaran menangguhkan PRN Melaka berikutan berlaku peningkatan kes Covid-19 di negeri itu, Muhyiddin berkata, PRN itu perlu diteruskan.
“Faktanya mereka tidak dapat tangguh lagi, ketika Yang di-Pertuan Negeri memutuskan untuk bubar DUN, telah dinyatakan dalam Perlembagaan bahawa kita perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah umum tarikhnya, jadi kita harus menghadapinya. SPR perlu umum prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat kawal penyebaran penyakit yang saya rasa mereka tahu apa yang harus dilakukan dan mana yang boleh atau tidak,” katanya.
YANG dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Itulah nasib malang yang menimpa empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menjadi watak-watak utama di sebalik krisis politik Melaka.
Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee terpaksa bertanding sebagai calon Bebas sekiranya mereka ingin mempertahankan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mereka bukan sahaja ditolak oleh Pakatan Harapan (PH) malah didakwa boleh memberi kesan yang ‘memalukan’ gabungan pembangkang tersebut.
Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Selayang yang juga pemimpin PKR, William Leong Jee Keen imej politik PH akan tercemar sehingga tidak boleh diperbaiki.
“Keempat-empat Adun itu asalnya dari parti-parti yang menyokong politik perkauman dan ideologi menegakkan ketuanan Melayu.
“Sekiranya PH / PKR menerima mereka masuk, itu bermaksud gabungan ini tidak lagi serius dalam agenda reformasi, manifesto, ideologi, dan perjuangannya untuk perubahan.
“Ini bermaksud gabungan ini tidak lebih dari oportunis politik yang mencari jawatan, kepentingan dan kuasa, dan tidak ingin melaksanakan perubahan,” katanya.
Sebelum ini, keempat-empat bekas ADUN terbabit dijulang seperti wira kerana tindakan mereka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah membuka ruang untuk PH merampas kuasa di Melaka.
Namun, peluang itu tertutup apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan yang seterusnya membawa kepada PRN Melaka.
Akhirnya, Idris, Nor Azman, Noor Effandi dan Norhizam dilayan seperti ‘sampah’ oleh PH setelah khidmat mereka tidak lagi diperlukan.
Sememangnya sikap PH itu tidak mengejutkan kerana mereka pernah melakukan perkara yang serupa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Kepercayaan kira-kira 5.6 juta pengundi yang diberikan kepada PH pada PRU-14 dibalas dengan tuba apabila mereka terbukti gagal menunaikan janji-janji populis yang ditaburkan semasa berkempen.
Pelbagai alasan diberikan bagi mewajarkan kegagalan mereka membalas kepercayaan pengundi terhadap mereka termasuk ‘negara hampir bangkrap’.
Melihat kepada senario tersebut, jika lebih 5.6 juta pengundi boleh ‘dikencing’ oleh PH, apalah sangat setakat empat bekas ADUN yang berpaling tadah terhadap parti masing-masing.
Sewajarnya 456,196 pengundi di Melaka mengambil iktibar daripada sikap PH yang tidak tahu mengenang budi terhadap kepercayaan yang diberikan terhadap mereka.
Pilihan yang terbaik bagi mereka sudah tentu calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang terbukti mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat berbanding gabungan politik lain yang kemaruk kuasa dan sibuk berpolitik sepanjang masa tanpa kesudahan.
PAKATAN Harapan (PH) akan membincangkan kedudukan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri itu, sama ada diterima bertanding di bawah tiket PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat petang ini.
Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya juga mengambil maklum rasa tidak senang beberapa pihak sekiranya keempat-empat bekas ADUN itu termasuk ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menjadi calon mewakili gabungan parti pembangkang itu dalam PRN Melaka 20 Nov ini.
“Apa-apa pun kita akan bincang dalam mesyuarat petang ini,” katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Parlimen Port Dickson, hari ini.
Mengenai langkah PKR menjemput keempat-empat ADUN berkenaan pada majlis taklimat bersama Presiden PKR pada Isnin lepas di Melaka, Anwar berkata ia sekadar bagi mengucapkan terima kasih atas langkah mereka membawa perubahan di Melaka.
Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti memutuskan Norhizam tiada tempat dalam mana-mana parti komponen PH dan menolaknya sebagai calon pada PRN Melaka.
Pada 10 Mac tahun lepas, DAP memecat Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka selepas beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional.
Norhizam, bekas ADUN Bebas-Pengkalan Batu adalah antara empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Okt selain Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). – BERNAMA
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa berdepan kesukaran meyakinkan pemimpin parti itu di Melaka untuk bergerak bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Memetik laporan MalaysiaNow, sekurang-kurangnya 70 peratus ahli jawatankuasa UMNO Melaka membantah pengumuman Ahmad Zahid baru-baru ini bahawa UMNO akan bertanding dalam PRN tanpa PAS dan Perikatan Nasional (PN).
MalaysiaNow mendakwa, pada mesyuarat jawatankuasa UMNO Melaka baru-baru ini, beberapa pemimpin bahagian secara terang-terangan mempersoalkan pengumuman Ahmad Zahid bahawa UMNO akan bersendirian dalam menghadapi PRN.
Mereka manyatakan bahawa langkah itu pasti akan mengembalikan PH ke tampuk pentadbiran negeri.
“Untuk UMNO bersendirian hadapi pilihan raya hanya mengulangi kebodohan pilihan raya umum yang lalu apabila PH menang akibat pertembungan antara tiga parti,” kata seorang ketua bahagian Melaka kepada MalaysiaNow.
Pada 12 Oktober lalu, Ahmad Zahid berkata UMNO akan bertanding PRN Melaka dengan menggunakan lambang BN, selain mengatakan kerjasama dengan PAS juga sudah tidak lagi relevan.
Langkah untuk bertanding solo itu bermakna PRN Melaka mungkin menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan PH, PN dan BN.
Pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berpunca daripada kegagalan UMNO dan PAS membentuk pakatan pilihan raya walaupun pemimpin kedua-dua parti itu sempat meleraikan beberapa perbezaan mereka dalam beberapa pertemuan.
Perpecahan undi menyebabkan calon PH memenangi banyak kerusi sekali gus menumbangkan BN buat kali pertama di beberapa negeri termasuk di Melaka.
Pada PRU-14, PH memenangi 15 dari 28 kerusi DUN di Melaka.
Sekurang-kurangnya lima kerusi dimenangi oleh gabungan pembangkang disebabkan kehadiran PAS, yang walaupun muncul di tempat ketiga, memperoleh lebih banyak undi daripada majoriti yang dimenangi PH.
Antara kerusi DUN tersebut termasuk Gadek, Durian Tunggal, Klebang, Telok Mas dan Bemban, di mana BN dianggap boleh memenanginya jika bergabung dengan PAS.
“Kenyataannya, undi penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberikan kepada PH pada pilihan raya 2018.
“Tidak mungkin undi ini akan diberikan kepada PH pada pilihan raya akan datang,” kata seorang pemimpin UMNO di Bukit Katil.
Ramai yang melihat PRN yang akan diadakan pada 20 November depan sebagai ujian litmus bukan hanya kepada UMNO, tetapi juga terhadap keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PN.
Beberapa pemimpin UMNO bahagian di Melaka juga menyatakan kebimbangan dengan pendirian parti yang dilihat tidak belajar daripada PRN Sabah tahun lalu, apabila ia gagal mendapatkan jumlah majoriti besar yang membolehkan jawatan Ketua Menteri diberikan kepada UMNO.
Dalam PRN Sabah, UMNO memenangi kurang kerusi berbanding sekutunya dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebuah pakatan pilihan raya yang turut dianggotai PN dan UMNO.
“Peralihan kecil sokongan orang Melayu kepada PH menyebabkan UMNO jatuh. Kini dengan PAS dan Bersatu di kem yang sama, ia boleh membawa kepada peralihan undi Melayu yang lebih besar, ” kata seorang pemimpin cawangan UMNO dari kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.
KEMENANGAN akan dicapai dengan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.
Pandangan UMNO Bahagian Arau itu disuarakan oleh Ketuanya, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam laman Facebook beliau, hari ini.
“UMNO Arau mencadangkan agar UMNO Melaka@BN Melaka berkerjasama dengan parti Bersatu dan parti PAS dalam PRN Melaka pada 20 November nanti.
“Kemenangan akan dicapai dengan cemerlang melalui kerjasama. Perpaduan adalah wajib bagi UMNO Melaka. Pendekatan secara SOLO adalah tidak wajar..itu saja,” katanya.
Saranan UMNO Bahagian Arau yang disampaikan oleh Shahidan itu sebelum ini turut dikongsi oleh ramai pemerhati politik tanah air.
Secara amnya, mereka berpandangan, UMNO tidak mempunyai keupayaan untuk memenangi PRN Melaka secara bersendirian.
Seperti yang dijelaskan oleh penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian baru-baru ini, UMNO dilihat tidak mampu bergerak solo dalam PRN Melaka sekiranya ingin kekal memegang tampuk pentadbiran di negeri itu.
Beliau berkata, UMNO perlu melihat kepada lawan mereka iaitu PH yang dilihat tidak goyah dengan kemelut yang berlaku ketika ini.
Pucuk pimpinan UMNO seharusnya sedar bahawa PH yang didominasi oleh DAP masih mempunyai pengaruh yang kuat terutamanya dalam kalangan pengundi bukan Melayu di negeri itu.
Mereka juga mempunyai kekuatan dan sumber untuk membantu kempen calon-calon Pakatan Harapan dari PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) di kerusi-kerusi majoriti Melayu.
Krisis politik dalaman yang melanda UMNO Melaka boleh menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang.
Lebih-lebih lagi, dua kerusi DUN iaitu Sungai Udang dan Pantai Kundor kini disandang oleh bekas pemimpin UMNO yang berpaling tadah menyokong PH.
Setakat ini, peluang Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan untuk memenangi semula dua kerusi DUN terbabit belum dapat diiramalkan.
Sekiranya mereka bertanding sama ada sebagai calon PH atau calon Bebas, kemunculan mereka pasti menggugat kedudukan UMNO di DUN Sungai Udang dan DUN Pantai Kundor.
Kedudukan UMNO di 12 DUN yang lain juga pasti terjejas jika berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih, sekali gus meningkatkan peluang PH untuk merampas kerusi-kerusi majoriti Melayu.
Sehubungan itu, mesyuarat tiga peringkat UMNO yang dijadualkan minggu depan perlu mempertimbangkan cadangan UMNO Bahagian Arau dengan semasak-masaknya.
Memang seronok bersorak sambil mendabik dada sebagai tanda keyakinan yang tinggi untuk menumbangkan pihak lawan.
Namun, tiada gunanya menang sorak kalau Melaka sekali lagi terlepas ke tangan rejim PH gara-gara ego besar dan keangkuhan pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO.
KETUA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika beliau dicalonkan.
Beliau yang terkenal sebagai orang lama di kawasan itu yakin pengundi akan memilihnya mewakili Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri itu nanti.
“Saya bersedia dan yakin memperolehi kemenangan di N23 Telok Mas.
“Selaku orang lama dan berpengalaman di Kota Melaka serta keluarga besar di Kampung Alai saya yakin pengundi akan memilih saya dan PN.
“Selaku Ketua Bahagian Kota Melaka yang telah bekerja membawa jenama Abah PN sepanjang PKP masyarakat telah mengenali saya dengan dekat,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.
Kerusi DUN Telok Mas dimenangi oleh calon Bersatu, Datuk Noor Effandi Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Walau bagaimanapun, keahlian Noor Effandi dalam Bersatu digugurkan setelah beliau bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain menyatakan sokongan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis politik Melaka.
Hishamuddin berharap para pengundi khususnya di DUN Telok Mas dapat menilai sikap ahli politik sama ada mahu memilih wakil rakyat yang tamak merebut kuasa atau yang sentiasa memberi khidmat.
“Rakyat dapat nilai mereka yang tamak kuasa dan mereka yang sentiasa memberikan khidmat kepada rakyat, terutamanya menerusi bantuan dan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika negara dilanda wabak COVID-19.
“Saya harap dapat memberikan khidmat sepenuhnya kepada rakyat di negeri Melaka, khususnya di DUN Telok Mas. Saya bersedia,” kata Hishamuddin lagi.
PERANG mulut antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semakin panas.
Norhizam mempersoalkan kewajaran Guan Eng enggan menerimanya bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Memetik laporan FMT, beliau berkata, Guan Eng sepatutnya sedar bahawa DAP tidak mendapat sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.
“Saya masuk DAP ke? Siapa DAP nak menghalang saya. Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR, apa kena-mengena dengan Lim Guan Eng? Kalau saya masuk Amanah, apa ada kena mengena dengan Guan Eng? Kalau saya masuk Pejuang, apa kena mengena dengan Guan Eng? Dia orang DAP, jaga sajalah orang DAP.
“Kecuali saya ini orang DAP, saya bukan ahli DAP lagi. Awak pun tahu, rakyat tolak parti Cina ini,” katanya.
Hari ini, Guan Eng dilaporkan berkata, partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon PH pada PRN Melaka.
Dalam perkembangan berkaitan, Norhizam memberitahu, beliau tekah menerima tawaran kerjasama daripada pelbagai parti menjelang PRN Melaka bulan depan, namun masih terbuka sebelum membuat sebarang keputusan.
“Setakat ini banyak parti yang dah ‘offer’ saya, parti mana, kita akan tengok nanti,” katanya.
Beliau juga menyifatkan figura calon lebih penting daripada nama atau logo parti.
“Parti ini hanya satu platform saja, bila pilihan raya memang kita kena ada parti untuk bertanding tetapi lepas itu kita bergerak atas tiket sendiri,” jelasnya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Norhizam dicalonkan oleh DAP untuk mewakili PH bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Beliau memenangi kerusi tersebut dan seterusnya dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Melaka di bawah rejim PH.
Selepas krisis politik yang menyaksikan PH tumbang di peringkat kerajaan Persekutuan, Norhizam meninggalkan PH dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah pentadbiran campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Norhizam bersama tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan tercetus krisis politik yang membawa kepada pembubaran DUN dan PRN Melaka.