Tag: PKR

  • Pemilihan PKR: Pencalonan 20 ahli MPP, AMK dan Wanita ditangguh

    Pemilihan PKR: Pencalonan 20 ahli MPP, AMK dan Wanita ditangguh

    PENCALONAN 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi pemilihan PKR 2022 yang dijadual pada Isnin ini (11 April) ditangguh pada 28 Mei depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa.

    Beliau berkata, penangguhan itu turut melibatkan pencalonan bagi 20 Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan 20 Ahli Majlis Wanita Pusat.

    Bagaimanapun, menurutnya pencalonan bagi jawatan enam pimpinan utama MPP iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden serta lima jawatan utama AMK dan Wanita dikekalkan pada 11 April ini.

    “JPP menerima baik pandangan ahli-ahli Majlis Biro Politik yang bersidang pada 6 April dan merasakan bahawa penangguhan dan pertukaran tarikh ini bertepatan dengan proses pemilihan yang bakal dilaksanakan di Kongres Nasional kelak.

    “Kempen boleh dilakukan calon-calon menjadi lebih bersasar apabila individu yang menang akan diketahui lebih awal pada 21 Mei, setelah pemilihan yang dilaksanakan secara hibrid di peringkat cabang selesai pada 20 Mei. Mereka yang menang inilah bakal menjadi perwakilan ke Kongres Nasional dan layak memilih pada hari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula hari ini hingga Ahad melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara yang menyaksikan proses pencalonan dilaksanakan secara dalam talian.

    Pemilihan parti ini melibatkan jawatan tertinggi PKR iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap parti serta cabang.

    Pemilihan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan menarik bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden Rafizi Ramli mengesahkan bertanding jawatan tersebut.

    Bagi jawatan Naib Presiden pula antara nama calon dijangka bertanding ialah Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan Fahmi Fadzil.

    Selain itu, aktivis mahasiswa Adam Adli pula mengesahkan bertanding jawatan Ketua AMK. – BERNAMA

  • Nik Nazmi minta MUDA bertanding kerusi sukar

    Nik Nazmi minta MUDA bertanding kerusi sukar

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu bersikap lebih berani dengan bertanding di kerusi yang dianggap sukar pada pilihan raya akan datang.

    Pandangan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam wawancara yang disiarkan Malaysiakini hari ini.

    Beliau berkata, MUDA harus menerima situasi apabila diperuntukkan ‘kerusi sukar’ sebagai sebahagian daripada proses politik.

    “Saya rasa apa yang penting untuk disedari, adakah kita (PKR) telah melalui tempoh itu apabila terpaksa mengambil kerusi ‘jin bertendang’ (luar bandar).

    “Sebenarnya tidak ada yang salah dengan itu. Jadi saya fikir jika MUDA ingin terus terlibat bagi jangka masa panjang… tidak apa jika anda mahu satu atau dua kerusi yang bagus, tetapi anda juga perlu mengambil kerusi yang sukar,” katanya.

    Kemunculan MUDA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu telah mencetuskan krisis dengan PKR apabila parti setahun jagung itu mendesak supaya diberikan lebih banyak kerusi.

    Rundingan antara PKR dan MUDA menemui jalan buntu apabila parti pimpinan Syed Saddiq itu bertegas mahu meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Gambir dan Larkin.

    PKR pula sedia memberi kerusi Sri Medan, Semarang dan Benut yang ditandingi oleh Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Walau bagaimanapun, MUDA tetap berdegil lantas mengakibatkan calon parti itu dan PKR bertembung dalam persaingan enam penjuru di DUN Larkin.

    Kedua-dua parti hanya mendapat ‘habuk’ apabila kerusi DUN Larkin dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

    MUDA pula hanya mampu menang satu daripada tujuh kerusi yang ditandingi iaitu DUN Puteri Wangsa.

    Sebelum hari penamaan calon, beberapa pemimpin akar umbi PKR menyatakan mereka tidak berpuas hati apabila Parti Amanah Negara (PAN) menyerahkan kerusi tersebut kepada MUDA.

    Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis mengungkit tentang gerak kerja yang dilakukan jentera PKR bagi memastikan pengundi di kawasan tersebut menyokong Pakatan Harapan (PH).

    PKR yang bertanding menggunakan logo parti sendiri mempamerkan prestasi buruk pada PRN Johor apabila hanya menang satu daripada 20 kerusi yang ditandingi.

  • Saifuddin berentap dengan Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

    Saifuddin berentap dengan Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

    PERSAINGAN menjelang pemilihan PKR semakin berbahang apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR akan berentap dengan Rafizi Ramli, dan setakat ini belum ada calon lain yang mengumumkan bertanding jawatan tersebut.

    Memetik laporan Malaysiakini, Saifuddin membuat pengumuman itu dalam perutusan khas selepas Mesyuarat Agung Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan Kelantan di Mulong, Kota Bharu.

    Saifuddin membangkitkan pengalamannya dalam PKR dan ketaatannya kepada pimpinan dan perjuangan parti selama lebih dua dekad dan memohon agar seluruh anggota memberi sokongan kepadanya.

    “Saya bertekad meneruskan usaha sehabis daya membantu institusi Presiden yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti mana sebelumnya membantu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengukuh dan mempersiap parti menghadapi pilihan raya umum bersama rakan-rakan pimpinan seluruhnya,” katanya.

    Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merasmikan mesyuarat agung tersebut.

    Saifuddin dan Rafizi sebelum ini pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, masing-masing pada 2014 dan 2018. Kedua-duanya tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Bekas Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga dikatakan akan bertanding jawatan itu, namun berkata sedia memberi laluan kepada Saifuddin.

    Sementara itu Saifuddin mengalu-alukan pengumuman awal Rafizi yang turut menawarkan diri.

    “Sejujurnya Rafizi merupakan aset parti, seorang yang kreatif, intektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan dan lawan.

    “Justeru persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan di dalam perlembagaan parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru.

    Beliau juga komited membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan memposisikan diri sebagai ‘team player’ yang menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti

    Katanya, ia terbukti apabila turut mempersiapkan parti dalam menghadapi tiga pilihan raya umum sebelum ini, termasuk urusan rundingan kerusi, perangkaan manifesto, perancangan strategi, pengukuhan jentera dan kempen seluruh negara.

    “Pada ketika lanskap politik negara sudah banyak berubah yang menyaksikan tiada lagi dominasi tunggal satu parti politik yang mampu menang pilihanraya, maka kemahiran diplomasi politik menjadi suatu keperluan.

    “Saya membawa pengalaman tatkala parti bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Saya berhasrat memanfaatkan sedikit kemahiran membantu parti dalam perkara berkait diplomasi politik dalam memelihara hubungan dengan parti-parti sahabat di dalam PH dan parti-parti lain di negara kita.

    “Saya juga berjanji akan menghormati keputusan setiap anggota parti yang membawa maksud jika terpilih, saya akan tunaikan amanah dan jika sebaliknya saya akan terus kekal berkhidmat untuk PKR dalam apa jua peranan,” jelasnya.

  • Adam Adli sah bertanding rebut jawatan Ketua AMK

    Adam Adli sah bertanding rebut jawatan Ketua AMK

    ADAM Adli Abdul Halim secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan parti tersebut yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau akan bergandingan dengan Exco AMK Perak, Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai salah seorang regunya yang bernaung dalam gabungan yang dinamakan sebagai Seangkatan.

    “Pasukan penuh yang terdiri daripada tiga orang calon naib ketua dan 20 orang calon exco AMK serta lima teras Seangkatan yang bakal dijadikan prinsip dan panduan menggerakkan kempen kali ini akan diumumkan dalam kenyataan bersama melalui majlis berasingan tidak lama lagi,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol, sudah mengumumkan secara rasmi rancangannya untuk menawarkan diri mengisi tempat yang akan dikosongkan penyandang sekarang, Akmal Nasir.

    Fahmi juga mengumumkan pasukannya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Keat, dipilih sebagai regunya untuk jawatan Timbalan Ketua AMK.

    Adam Adli berkata, pemilihan kali ini adalah untuk memperkukuh kekuatan AMK selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan di luar pilihan raya, selain membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang kian hampir.

    Katanya, bagi menghadapi PRU ke-15, AMK perlu menampilkan tenaga yang paling kuat sebagai pemuka parti dan tunjang utama perjuangan reformasi.

    “Untuk mencapai tujuan tersebut bakat-bakat muda, lama dan baru yang mempunyai bukan sahaja cita-cita sebaliknya kesedaran yang tinggi harus diangkat untuk menggalas tanggungjawab memimpin barisan hadapan parti iaitu AMK. Inilah cabaran yang harus kita sahut,” katanya.

    Adam Adli juga berharap pemilihan parti kali ini dapat berlangsung dengan penuh harmoni dan semangat persaudaraan.

  • Fuziah sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR

    Fuziah sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR

    KETUA Wanita PKR, Fuziah Salleh mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mei ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, langkah itu berikutan keputusan Majlis Pimpinan Pusat Wanita PKR yang sebulat suara menamakan Fuziah sebagai calon bertanding jawatan tersebut.

    “Itu keputusan musyawarah majlis pimpinan Wanita Pusat dan hujahnya juga jelas supaya lebih ramai wanita terlibat dalam arus perdana parti dan tidak terhad kepada sayap.

    “Walaupun, saya agak sibuk dengan tugas saya selaku Pengarah Pilihan Raya pusat kini dan mungkin tiada masa untuk berkempen. Namun,saya hormat permintaan mereka.

    “Maka, dengan rendah diri saya akur dengan permintaan tersebut,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

    Dalam perkembangan sama, Fuziah memohon semua anggota parti dari sayap wanita supaya menjadi sebagai pengurus kempen.

    “Pada awalnya, saya ingat saya tidak mahu bertanding sebab sibuk dengan tugas sebagai pengarah pilihan raya.

    “Ini kerana mungkin PRU-15 (boleh diadakan) bila-bila masa sahaja. Tapi, akhirnya saya akur.

    “Cuma saya pohon semua wanita di seluruh negara melantik diri mereka sebagai pengurus kempen saya,” katanya.

    Beliau merupakan Naib Presiden PKR bagi penggal 2010-2014.

    Fuziah memangku jawatan Ketua Wanita PKR selepas penyandangnya, Haniza Mohamad Talha dilucutkan keanggotaan dari parti.

    Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Wanita PKR, Nor Azrina Surip berkata, sudah tiba masanya parti itu menterjemahkan jumlah perwakilan wanita dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar memenuhi kehendak perlembagaannya.

    “MPWP yang telah bermesyuarat baru-baru ini pada 25 Mac 2022, memutuskan untuk mengangkat suatu keputusan yang besar yang pastinya akan menambah nilai kepada apa yang termaktub dalam perlembagaan parti ini.

    “MPWP dengan ini telah sebulat suara memutuskan untuk menamakan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh sebagai calon Naib Presiden dari Wanita dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada bulan Mei nanti,” katanya.

    Menurut Nor Azrina yang juga Ahli Parlimen Merbok, keputusan tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan Parti Fasal 5.14 yang mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat.

  • PKR masih kemaruk mahu angkat Anwar jadi PM

    PKR masih kemaruk mahu angkat Anwar jadi PM

    PKR nampaknya masih belum berputus asa untuk menjulang Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Malah, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Ab Razak percaya Rafizi Ramli mampu merealisasikan impian tersebut sekiranya diberi kepercayaan sebagai Timbalan Presiden PKR.

    “Tidak syak lagi Rafizi boleh menggalas tugas ini (Timbalan Presiden). Kepulangan beliau ke arena politik mendatangkan gelombang luar biasa sama ada dalam PKR dan juga di luar parti.

    “Rugi jika beliau tidak diberi peluang untuk menjadi orang nombor dua di belakang presiden.

    “Gandingan beliau dan Anwar sudah pasti akan mengangkat semula PKR ke arah memenangi suara hati rakyat dan memenangi naratif segar dan membangunkan negara serta meneruskan perjuangan untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Nampaknya angan-angan Mat Jenin pemimpin-pemimpin PKR untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri masih belum terkubur selepas rejim Pakatan Harapan (PH) tumbang pada awal 2020.

    Mungkin Syukri terlupa bahawa desakan Anwar dan konco-konconya dalam PH telah menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan.

    Sejak itu, PH yang diketuai Anwar semakin tidak tentu hala malah orang-orang kuatnya sendiri seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Badrul Hisham Shaharin meninggalkan PKR.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu gagal memimpin PKR dan PH dengan berkesan sehingga menyebabkan mereka kalah teruk dalam empat pilihan raya negeri (PRN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    PRN Sabah pada 26 September 2020 menyaksikan PKR hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kalah di semua kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka (20 November 2021) serta Sarawak (18 Disember 2021) dan menang di satu kerusi pada PRN Johor 12 Mac lepas.

    Anwar juga gagal menyatupadukan pembangkang di bawah satu khemah besar di mana Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) bertanding di bawah tiket parti masing-masing.

    Pokok-pangkalnya, Anwar gagal menjalankan tugas dengan memuaskan sebagai pemimpin nombor satu PKR dan PH. Inikan pula mahu dijulang sebagai Perdana Menteri.

    Lebih baik PKR lupakan agenda menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri dan beralih kepada agenda berkaitan rakyat.

    Malah lebih baik lagi jika Anwar tidak lagi mengepalai PKR pada PRU-15 kerana rakyat pun sudah bosan dengan retoriknya yang sentiasa diulang-ulang.

  • Prestasi buruk PRN antara agenda Kongres Nasional PKR

    Prestasi buruk PRN antara agenda Kongres Nasional PKR

    PRESTASI tidak memberangsangkan PKR dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sepanjang tempoh 2020 hingga Mac 2022 menjadi antara agenda utama Kongres Nasional parti itu yang dijangka berlangsung Jun ini.

    Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siri kekalahan itu menuntut pengubahsuaian terhadap strategi, naratif kepada rakyat, latihan jentera pilihan raya dan penggunaan data yang sesuai dengan cabaran pilihan raya semasa.

    “Kita tidak pernah mengamalkan sikap sindrom penafian dan kita akan bersemuka dengan isu ini secara berdepan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Lembah Pantai di Kerinchi di Kuala Lumpur hari ini.

    Untuk rekod, PRN Sabah pada 26 Sept 2020 menyaksikan PKR hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri, kalah di semua kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka (20 Nov 2021) serta Sarawak (18 Dis 2021) dan menang di satu kerusi pada PRN Johor 12 Mac lepas.

    Menyentuh pemilihan parti yang akan berlangsung pada 8 April ini, Saifuddin Nasution berkata beliau belum membuat keputusan untuk bertanding bagi mana-mana jawatan.

    Katanya ketika ini, beliau masih berbincang dan mendapatkan pandangan daripada pucuk pimpinan serta rakan dalam parti mengenai jawatan yang sesuai ditandingi.

    Mengulas mengenai hasrat Naib Presiden PKR Tian Chua untuk tidak mempertahan jawatannya pada pemilihan parti kali ini, Saifuddin Nasution berkata beliau menghormati perdirian pemimpin itu.

    “Saya percaya beliau ada alasan tersendiri untuk tidak bertanding namun yang paling penting, beliau menegaskan akan kekal dalam parti… beliau mahu memperkukuh parti menggunakan keupayaannya (tanpa jawatan dalam parti),” katanya.

    Hari ini, media melaporkan Tian Chua mengesahkan tidak bertanding bagi jawatan Naib Presiden namun akan mempertahan jawatan sebagai Ketua Bahagian Batu selain berhasrat membantu parti mengukuhkan sokongan akar umbi bagi berdepan PRU akan datang. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Tian Chua tak pertahan jawatan Naib Presiden

    Pemilihan PKR: Tian Chua tak pertahan jawatan Naib Presiden

    TIAN Chua mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR yang disandangnya sejak parti itu ditubuhkan pada 1999.

    Memetik laporan FMT, beliau berbuat demikian bagi ‘menurunkan suhu’ dalam parti ekoran persaingan sengit merebut jawatan pada pemilihan Mei ini.

    Namun, Tian Chua manyatakan bahawa beliau tidak bersara dari politik dan akan mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Batu.

    “Saya adalah antara empat Naib Presiden tetapi, seperti yang kita tahu, tiga daripada mereka telah pergi.

    “Saya adalah satu-satunya penyandang yang tinggal, tetapi saya memberi laluan untuk mengelakkan parti berdepan pemilihan yang sukar pada Mei.

    “Apa yang anda boleh lihat, suhu semakin meningkat dalam parti ketika pemilihan semakin hampir. Ini tidak bagus untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

    Naib Presiden yang lain ialah Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatan pada 2018 tetapi kekal sebagai ahli, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu pada 2020 dan Xavier Jayakumar yang memilih untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tahun lalu.

    Tian Chua berkata, beliau mungkin bertanding untuk kerusi Parlimen Batu, yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) dan PRU-12.

    Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya lalu kerana hilang kelayakan. Pencalonannya ditolak kerana denda RM2,000 daripada kes mahkamah yang telah dibayarnya pada 2010.

    “Saya kini menumpukan usaha untuk membina sokongan akar umbi sebagai persediaan menjelang PRU15 yang pastinya diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang. Kita tidak banyak masa dan saya berharap ahli PKR sedar bahawa PRU lebih penting,” katanya.

    Katanya, pemimpin PKR harus sedar bahawa usaha menghalang UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus menjadi tumpuan utama mereka dan bukannya merebut kedudukan dalam parti.

    “Kita mesti ingat bahawa pilihan raya akan datang akan menyaksikan banyak persaingan, dengan ramai muka baharu. Jadi kita perlu memperkukuhkan akar umbi kita untuk menghadapi cabaran baharu itu,” jelasnya.

  • Pemilihan: 4 pemimpin PKR dijangka masuk pasukan Rafizi

    Pemilihan: 4 pemimpin PKR dijangka masuk pasukan Rafizi

    EMPAT pemimpin PKR dijangka membarisi pasukan Rafizi Ramli dalam usahanya merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan Mei ini.

    Memetik laporan FMT, sumber memberitahu, Rafizi membayangkan gandingannya yang akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan.

    Andaian pasukan Rafizi itu adalah berdasarkan kepada kehadiran mereka pada Majlis Pelancaran Ayuh Malaysia semalam.

    “Ya, mereka yang tampil di pentas bersama Rafizi adalah ‘line up’ yang akan bertanding pada pemilihan PKR Mei ini.

    “Usaha Ayuh Malaysia sebagai salah satu kempen Rafizi untuk pemilihan ini selain usaha menuju pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” kata sumber itu kepada FMT.

    Dalam pentas tersebut, Nik Nazmi tidak hadir kerana berada di luar negara, namun beliau dalam kenyataannya menyambut baik kempen tersebut yang mengajak rakyat bergerak ke hadapan terutamanya berkaitan isu pendidikan.

    Rafizi dan Nurul Izzah pernah menyepi seketika daripada arena politik susulan pertelingkahan dalaman yang melanda PKR sebelum ini.

    Pada Disember 2018, Nurul Izzah mengundurkan diri daripada jawatan Naib Presiden PKR yang dimenanginya dengan undian tertinggi dalam pemilihan parti.

    Manakala pada 2019, Rafizi yang dilantik sebagai Naib Presiden PKR pula memilih untuk berehat daripada politik sebelum membuat kemunculan semula untuk bertanding Timbalan Presiden PKR Mei ini.

    Kempen anjuran Rafizi malam tadi dilancarkan bagi menarik sokongan pengundi atas pagar ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan pelbagai isu dikupas dalam sesi tiga jam itu antaranya berkaitan perumahan rakyat, isu pertanian dan pendidikan.

    Mereka juga berikrar untuk membawa isu-isu rakyat menerusi aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.

    Kempen itu dibuat selepas mengambil kira keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor dan pandangan pelbagai pihak dalam PKR.

  • Rafizi mahu tanding kerusi Parlimen, mungkin di Pandan?

    Rafizi mahu tanding kerusi Parlimen, mungkin di Pandan?

    BEKAS Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu bertanding semula di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika diberi peluang oleh partinya.

    Perkara itu disahkan bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam wawancara yang disiarkan Malaysiakini hari ini.

    Beliau tidak bertanding pada PRU-14 setelah dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah membocorkan butiran perbankan sulit milik National Feedlot Corporation (NFC) pada Mac 2012.

    Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen jika telah dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000.

    “Adalah jelas bahawa jika kita ingin menarik sokongan pengundi atas pagar sekali lagi, saya perlu bertanding di kerusi Parlimen sekali lagi.

    “Sama ada saya menang (jawatan) Timbalan Presiden (PKR) atau tidak, itu soal kedua. Terus terang saya kata, fokus menang kerusi adalah lebih utama,” katanya.

    Walau bagaimanapun, Rafizi tidak menyatakan sama ada beliau mahu kembali ke kerusi Parlimen Pandan yang kini disandang oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau kerusi lain.

    Secara logiknya, kerusi Parlimen Pandan adalah yang paling sesuai untuk Rafizi kerana beliau telah dikenali ramai pengundi di kawasan itu.

    Sekiranya kerusi Parlimen Pandan menjadi pilihannya, tindakan itu akan mencetuskan situasi kurang menyenangkan dalam PKR terutamanya dalam kalangan penyokong tegar suami Wan Azizah iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Setakat ini, kita tidak tahu sama ada Wan Azizah akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada PRU-15. Beliau juga hanya menyepikan diri selepas rejim Pakatan Harapan (PH) tumbang.

    Andainya Wan Azizah masih sayangkan kerusi Parlimen Pandan, hasrat Rafizi itu akan mencetuskan perseteruan dalam PKR yang kini kembali bergolak menjelang pemilihan parti tidak lama lagi.

    Kemunculan semula Rafizi dalam politik dengan hasrat mahu mencuba nasib bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sudah cukup untuk mencetuskan kegelisahan dalam parti itu.

    Penyokong tegar Anwar termasuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak secara terbuka menyatakan perasaan kurang senang terhadap Rafizi. Tidak pasti sama ada Anwar mempunyai perasaan serupa.

    Terdapat kemungkinan kem penyokong Anwar melihat Rafizi sebagai ancaman terhadap penguasaan mutlak Dinasti Anwar dalam PKR dan mereka sanggup berjuang bermati-matian bagi mempertahankan bos kesayangan mereka.

    Langkah pertama yang mereka bakal lakukan adalah memastikan Rafizi tewas dalam persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR sekali gus membantutkan cita-citanya untuk kembali menjadi Ahli Parlimen.