Oleh MOHD NORAZIZI SAMSUDAIN

KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggunakan bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa sememangnya inisiatif cemerlang yang perlu dipuji.

Bukan itu sahaja, beliau menegaskan pendirian itu dengan menyatakan segala surat rasmi yang akan diberikan kepada negara luar juga akan menggunakan bahasa Melayu di samping terdapat terjemahan bahasa Inggeris.

Semestinya usaha ini dapat mengangkat martabat bahasa kebangsaan seperti mana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, pada Februari 2022 lalu, Ismail Sabri telah menegaskan bahawa Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk dalam pelaksanaan mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

Penegasan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu melambangkan keseriusan negara ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selari dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Arahan yang dikeluarkan oleh beliau itu bukan sahaja perlu diguna pakai oleh semua penjawat awam malahan syarikat-syarikat swasta turut tidak terkecuali dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa ibunda.

Pendirian kerajaan berkenaan perkara itu sememangnya memberi implikasi positif kepada negara kita sementelah kebanyakan generasi kini seolah-olah memandang enteng terhadap kebolehpasaran bahasa berkenaan di peringkat global.

Sama sekali tidak menjadi kesalahan kepada semua lapisan masyarakat untuk memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris namun dalam usaha mengekalkan identiti negara ini, bahasa Melayu perlu disebarluaskan oleh rakyat Malaysia sendiri meskipun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

Dalam hal ini, semua pihak bermula dengan generasi di sekolah sehinggalah barisan kepimpinan negara perlu menggembleng tenaga untuk memartabatkan bahasa Melayu lantaran menyebabkannya tidak lapuk ditelan oleh zaman kemajuan teknologi ini.

Sebagai contoh, usaha murni yang dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu ketika persidangan antarabangsa pada November 2021 di Glasgow, Scotland perlulah menjadi batu asas kepada orang ramai.

Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi juga bertepatan dengan sifat bahasa itu sendiri yang digunakan bagi tujuan perpaduan rakyat. Kepelbagaian bangsa dan etnik di negara ini menggambarkan keunikan kepada Malaysia kerana setiap daripada mereka mempunyai bahasa yang tersendiri.

Walau bagaimanapun, pemupukan perpaduan ini dapat dicapai apabila setiap daripada rakyat memahami makna komunikasi yang disampaikan dalam sesuatu urusan itu.

Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang paling mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat walaupun berbeza bangsa dan etnik.

Justeru, penggunaannya sama sekali jelas tidak akan mendatangkan ketidakfahaman dalam kalangan masyarakat mesikupun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

Situasi ini sering kali dilihat apabila pengamal media menyiarkan laporan berbahasa Melayu yang menyebabkan pelaporan itu boleh dibaca ataupun didengari oleh semua masyarakat di negara ini tanpa sebarang prejudis dan menimbulkan salah faham. Perkara ini juga dilihat memberi manfaat yang besar ketika rakyat menjalankan urusan di kaunter perkhidmatan kerajaan.

Terdapat juga desas-desus yang mengatakan sekiranya bahasa Melayu diperluas bagi tujuan urusan rasmi sama ada di peringkat lokal mahupun global boleh menyebabkan pelabur asing menarik diri daripada menjalankan urus niaga dengan negara kita.

Perkara tidak berasas ini sepatutnya tidak timbul kerana banyak negara maju yang boleh dijadikan contoh termasuk negara pengeluar seperti Jepun. Sepatutnya rakyat di negara ini perlu membuka mata sebab-sebab pendatang asing boleh mempelajari bahasa kebangsaan itu dengan mudah.

Malahan mereka berasa bangga apabila dapat berkomunikasi dengan rakyat negara ini menggunakan bahasa Melayu dengan begitu baik. Sebaliknya, rakyat yang sedia kala memiliki bahasa itu pula yang terikut-ikut bahasa mereka misalnya yang berlaku di stesen minyak dan restoran-restoran.

Penegasan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan rakyat terus mewujudkan rasa cinta di samping memastikan bahasa ibunda itu terus dimartabatkan oleh semua lapisan masyarakat baik di desa mahupun kawasan bandar. Jangankan pula satu hari nanti kita diibaratkan seperti menang sorak kampung tergadai.

Kesimpulannya, penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perlu diteruskan dan mendapat sokongan daripada semua pihak dalam memastikan identiti negara dan jati negara ini dapat dipelihara.

Usaha murni ini sukar untuk dilaksanakan sekiranya badan-badan berkepentingan sahaja yang memainkan peranan tetapi tidak mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

Justeru, sebagai rakyat yang cinta akan negara ini seharusnya memastikan penggunaan bahasa Melayu terus diperkasakan demi kemaslahatan generasi masa akan datang.

Sayangilah bahasa kebangsaan kita dan bersama-samalah kita membantu kerajaan untuk menyuburkan slogan bahasa jiwa bangsa.

Penulis ialah guru di SMK Bukit Gambir, Tangkak, Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here