TIAN Chua mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR yang disandangnya sejak parti itu ditubuhkan pada 1999.

Memetik laporan FMT, beliau berbuat demikian bagi ‘menurunkan suhu’ dalam parti ekoran persaingan sengit merebut jawatan pada pemilihan Mei ini.

Namun, Tian Chua manyatakan bahawa beliau tidak bersara dari politik dan akan mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Batu.

“Saya adalah antara empat Naib Presiden tetapi, seperti yang kita tahu, tiga daripada mereka telah pergi.

“Saya adalah satu-satunya penyandang yang tinggal, tetapi saya memberi laluan untuk mengelakkan parti berdepan pemilihan yang sukar pada Mei.

“Apa yang anda boleh lihat, suhu semakin meningkat dalam parti ketika pemilihan semakin hampir. Ini tidak bagus untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Naib Presiden yang lain ialah Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatan pada 2018 tetapi kekal sebagai ahli, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu pada 2020 dan Xavier Jayakumar yang memilih untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tahun lalu.

Tian Chua berkata, beliau mungkin bertanding untuk kerusi Parlimen Batu, yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) dan PRU-12.

Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya lalu kerana hilang kelayakan. Pencalonannya ditolak kerana denda RM2,000 daripada kes mahkamah yang telah dibayarnya pada 2010.

“Saya kini menumpukan usaha untuk membina sokongan akar umbi sebagai persediaan menjelang PRU15 yang pastinya diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang. Kita tidak banyak masa dan saya berharap ahli PKR sedar bahawa PRU lebih penting,” katanya.

Katanya, pemimpin PKR harus sedar bahawa usaha menghalang UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus menjadi tumpuan utama mereka dan bukannya merebut kedudukan dalam parti.

“Kita mesti ingat bahawa pilihan raya akan datang akan menyaksikan banyak persaingan, dengan ramai muka baharu. Jadi kita perlu memperkukuhkan akar umbi kita untuk menghadapi cabaran baharu itu,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here