‘BUBAR,BUBAR,BUBAR’- entah siapa sepatutnya ‘dibubarkan’ sama ada Dewan Rakyat atau ahli politik yang tak sudah-sudah mahu berpolitik sejak selepas PRU-14.

Entah di mana letaknya maruah segelintir ahli politik negara ini yang kalau diperhatikan sejak awal kemelut politik melanda, mereka seolah-olah membuat perancangan untuk bekerjasama dengan ‘musuh politik’ kemudian berada dalam kerajaan.

Dalam kerajaan mereka bagaikan ‘musang berbulu ayam’ dan ‘duri dalam daging’ – mengatur gerakan politik bagi membolehkan kelompok yang kalah dan ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kembali berkuasa.

Tetapi mereka belum puas, ‘dirancang’ pula dua PRN di Melaka dan Johor. Mereka menang besar apabila peratusan keluar mengundi rendah dan ketika sebahagian besar rakyat semakin bosan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

Bagaimanapun kemenangan ‘kerana nasib’ itu belum mampu menutup nafsu politik kelompok tersebut, mereka mendabik dada mengatakan demi kestabilan, PRU-15 perlu dilaksanakan? Rakyat cuba ‘diperdayakan’ dengan  pekikan ‘kestabilan’…tetapi cuba berfikir dengan tenang, jika kelompok tersebut benar-benar memikirkan soal rakyat yang tengah susah dilanda pandemik Covid-19, mereka akan berusaha mencari kestabilan.

Sudah cukup ketika negara sedang huru-hara diserang wabak itu, sewaktu kerajaan ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bertungkus lumus siang malam bersama-sama rakan separti dengan kelompok ‘bernafsu’ tersebut, mereka mencari jalan bagaimana mahu memburuk-burukkan apa sahaja usaha yang dilakukan kerajaan.

Akhirnya segelintir daripada mereka menggunakan ‘senjata’ menarik sokongan kepada Muhyiddin. Pelbagai alasan diberikan bagi ‘menghalalkan’ agenda politik mereka. Ahli Parlimen Pagoh itu terpaksa berundur tetapi dengan jiwa besar beliau bersedia membenarkan ahli Parlimen daripada partinya menyertai kerajaan dengan menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Kenapa Muhyiddin bertindak demikian? Beliau lakukan demi mahu mewujudkan kestabilan politik supaya tumpuan kerajaan membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat diteruskan.

Sekarang Ismail Sabri sedang meneruskan agenda itu tetapi kelompok yang boleh dianggap ‘tidak tidur lena’ kerana ‘memikirkan nasib’ mereka jika BN tidak kembali memegang tampuk pemerintahan negara, tidak mungkin akan duduk diam.

Di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, rakyat sudah menyaksikan bagaimana segelintir daripada mereka sudah bertanya, ‘’bubarlah nak tunggu apa lagi’. Mereka dengan gah berkata demikian kerana terlalu yakin rakyat sudah kembali menyokong parti itu termasuklah pengundi Cina dengan menjadikan PRN Johor sebagai ‘kayu ukur’.

Persoalannya, adakah Ismail Sabri akan mengikut kehendak partinya atau terus melaksanakan agenda ‘Keluarga Malaysia’ bagi membantu rakyat serta memulihkan negara sepenuhnya akibat bahana pandemik Covid-19.

Wabak itu sudah cukup mendatangkan bahana kepada negara, jadi janganlah pula ada ahli politik yang mahu membawa ‘virus politik’ sehingga negara ini tidak habis-habis dilanda krisis.

Tetapi adakah ahli politik terlibat memikirkan soal itu? Kenapa tidak sabar menanti Mei tahun depan tempoh matang PRU-15 perlu diadakan? Kenapa mahu menjalankan gerakan politik yang akan mengganggu kelancaran agenda ‘Keluarga Malaysia’ yang dilaksanakan oleh Ismail Sabri dan merencatkan PPN yang sedang berjalan?

Setakat ini walaupun parti-parti pembangkang dan parti sekutu dalam kerajaan tidak mahu PRU-15 diadakan seperti mana kehendak ‘kluster’ tersebut, mereka mungkin tidak boleh berbuat apa-apa. Yang boleh menghalang kelompok kemaruk mahu berkuasa semula sehingga mengganggu seorang demi seorang Perdana Menteri ialah rakyat.

Rakyat sahaja yang boleh menghalang negara ini daripada terjerumus dalam politiking yang tiada berkesudahan. Apabila politik tidak stabil, pelabur tidak berani melabur, maka kelompok itu memberi alasan ‘’negara perlukan kerajaan yang stabil’.  Sebenarnya bukan kestabilan negara yang mereka mahukan sebaliknya ingin kembali berkuasa.

Malang sekali kerana negara memiliki segelintir ahli politik yang bukan sahaja semakin terhakis rasa malunya tetapi sanggup menyeret rakyat ke medan pilihan raya demi memastikan agenda politik mereka berjaya. Walaupun perkongsian kuasa setakat ini berjalan dengan baik tetapi kelompok berkenaan bagaikan ‘cacing kepanasan’.

Mereka tahu inilah waktu terbaik untuk mengadakan PRU-15 kerana parti-parti lain sedang berantakan, rakyat semakin muak dengan politik dan pengundi semakin tidak berminat melaksanakan tanggungjawabnya. Ini sahaja faktor yang boleh membantu mereka mencapai kemenangan bukan kerana sokongan majoriti rakyat secara total.

Faktanya, apa yang berlaku di PRN Melaka dan Johor tidak boleh dijadikan ukuran, bukan orang luar bercakap tetapi pemimpin mereka sendiri turut berpandangan sedemikian. Namun kelompok berkenaan sudah dibuai dengan kemenangan tidak mutlak itu. Ia kerana mereka bimbang kalau PRU-15 diadakan tahun depan, belum tentu mereka akan mencapai kemenangan.

Ia memandangkan rakyat sudah bijak menilai dan tidak boleh diperbodohkan dengan laungan ‘demi kestabilan’. Kestabilan hanyalah alasan, kestabilan hanya retorik dan kestabilan hanyalah modal meraih sokongan. Sama ada kestabilan boleh wujud atau tidak, ia bergantung kepada keikhlasan semua ahli politik tanpa mengira parti.

Sayang sekali, arena politik negara sudah didominasi oleh mereka yang sepatutnya sudah tidak layak lagi bergelar pemimpin apatah lagi disanjung boleh menjadi penyelamat. Pemimpin-pemimpin yang benar-benar berjiwa demikian sudah dikorbankan dan akan dikorbankan atau mungkin terkorban.

Oleh itu usahlah terperdaya dengan hujah Dewan Rakyat perlu dibubarkan kononnya bagi membolehkan sebuah kerajaan yang stabil diwujudkan.

Jangan lupa, gelanggang PRU bukan PRN…dan percayalah majoriti rakyat masih waras untuk menentukan siapakah pemimpin yang benar-benar bersih dan siapakah pemimpin yang bijak bersandiwara untuk menampakkan kononnya  mereka ‘mangsa terpilih’.

Justeru hentikanlah mainan politik yang boleh menyusahkan rakyat. Jika pemimpin yang mendabik dada soal kestabilan benar-benar berjuang untuk rakyat dan negara, bersabarlah menanti Perdana Menteri menggunakan kuasa beliau menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen apabila tibanya.

Buat masa inilah biarlah Ismail Sabri bersama barisan Kabinetnya bekerja dengan tenang dan bukannya terus diganggu oleh mana-mana pemimpin daripada apa juga ‘kluster yang membawa apa-apa juga virus’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here