ADAM Adli Abdul Halim secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan parti tersebut yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.

Memetik laporan Malaysiakini, beliau akan bergandingan dengan Exco AMK Perak, Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai salah seorang regunya yang bernaung dalam gabungan yang dinamakan sebagai Seangkatan.

“Pasukan penuh yang terdiri daripada tiga orang calon naib ketua dan 20 orang calon exco AMK serta lima teras Seangkatan yang bakal dijadikan prinsip dan panduan menggerakkan kempen kali ini akan diumumkan dalam kenyataan bersama melalui majlis berasingan tidak lama lagi,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol, sudah mengumumkan secara rasmi rancangannya untuk menawarkan diri mengisi tempat yang akan dikosongkan penyandang sekarang, Akmal Nasir.

Fahmi juga mengumumkan pasukannya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Keat, dipilih sebagai regunya untuk jawatan Timbalan Ketua AMK.

Adam Adli berkata, pemilihan kali ini adalah untuk memperkukuh kekuatan AMK selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan di luar pilihan raya, selain membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang kian hampir.

Katanya, bagi menghadapi PRU ke-15, AMK perlu menampilkan tenaga yang paling kuat sebagai pemuka parti dan tunjang utama perjuangan reformasi.

“Untuk mencapai tujuan tersebut bakat-bakat muda, lama dan baru yang mempunyai bukan sahaja cita-cita sebaliknya kesedaran yang tinggi harus diangkat untuk menggalas tanggungjawab memimpin barisan hadapan parti iaitu AMK. Inilah cabaran yang harus kita sahut,” katanya.

Adam Adli juga berharap pemilihan parti kali ini dapat berlangsung dengan penuh harmoni dan semangat persaudaraan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here