Category: Mahkamah

  • Empat pelajar mengaku salah buli, sebabkan kecederaan

    Empat pelajar mengaku salah buli, sebabkan kecederaan

    EMPAT pelajar lelaki di sebuah sekolah di Seremban didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar Tingkatan Satu sekolah sama pada 13 Mei lepas.

    Sinar Harian melaporkan, semua tertuduh berusia 15 hingga 16 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

    Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk pendengaran laporan akhlak bagi kesemua tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dengan cara memukulnya di bilik asrama sebuah sekolah di Seremban pada 12 tengah malam pada 13 Mei lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • SPRM selesai siasatan ke atas hakim Nazlan

    SPRM selesai siasatan ke atas hakim Nazlan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan siasatan ke atas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

    Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, ia berkata siasatan telah selesai pada Rabu lalu dan kini menunggu tindakan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

    Memetik laporan MalaysiaKini, Nazlan ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan RM210 juta bagi kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

    Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lepas. Najib sedang merayu kes itu di Mahkamah Persekutuan.

    Dalam rayuan terakhir mereka, pasukan peguam Najib cuba memburukkan Nazlan dengan mendakwa hakim itu mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Ini kerana Nazlan pernah menjadi peguam am Maybank, dan tempoh perkhidmatannya bertepatan dengan masa bank komersial itu mengeluarkan pinjaman kepada syarikat induk SRC, 1MDB.

    Najib berharap bukti baru itu dapat menjamin perbicaraan barunya.

    Penulis blog Raja Petra Kamaruddin juga menuduh Nazlan mempunyai ‘kekayaan yang tidak dapat dijelaskan’.

    Nazlan telah membuat laporan polis berhubung artikel itu.

    SPRM berkata ia telah melancarkan siasatan terhadap Nazlan sebagai satu prosedur selepas laporan dibuat terhadapnya.

  • Kes rasuah Zahid: Catatan KJ, bomoh direkod dalam buku faraid UKSB

    Kes rasuah Zahid: Catatan KJ, bomoh direkod dalam buku faraid UKSB

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa catatan “KJ”, dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku “faraid” Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun memaklumkan perkara itu semasa pemeriksaan balas peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid ketika dirujuk buku faraid tersebut.

    Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh syarikat itu kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

    Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah Lee boleh mengesahkan bahawa “KJ” yang dinyatakan di dalam lejar tersebut adalah Khairy Jamaluddin, saksi itu menjawab, “Itu saya tidak pasti.”

    Ahmad Zaidi: “Saya rasa anda kenal Wan Quoris (Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani) yang pernah bekerja dengan KJ sebelum ini?”

    Lee: “Saya tidak begitu pasti beliau bekerja dengan KJ sebelum ini. Tetapi saya tahu beliau (Wan Quoris Shah) kata beliau sangat mengenali KJ.”

    Dalam prosiding sebelum ini, Lee dalam pernyataan saksinya berkata bahawa beliau membawa masuk Wan Quoris Shah sebagai pengarah dalam UKSB pada Mei 2013 kerana lelaki itu adalah ahli UMNO dan syarikatnya memerlukan kelebihan inidividu tersebut bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan Ahmad Zahid yang ketika itu Menteri Dalam Negeri.

    Saksi itu juga tidak dapat menjawab soalan Ahmad Zaidi ketika ditanya mengenai pembayaran kepada individu dicatat dengan perkataan “bomoh” di dalam buku sama.

    Selain catatan KJ dan bomoh, antara catatan lain yang tertera di dalam buku tersebut adalah KPU (ketua pengarah), FM (Menteri Luar), SUB (Setiausaha Bahagian) dan AK (Akbar Khan).

    Saksi pendakwaan ke-15 itu juga bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa bayaran yang dibuat kepada menteri dan ahli politik yang dicatatkan dalam buku tersebut adalah sumbangan politik.

    Lee turut mengesahkan bahawa sumber kewangan yang dibayar kepada individu-individu di dalam buku faraid tersebut diperoleh daripada sub kontraktornya di Hong Kong (syarikat itu dilantik UKSB bagi menguruskan Sistem Visa Luar Negara (VLN) bagi pihak mereka) dan sumber dana tersebut tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun UKSB.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 30 Mei. – BERNAMA

  • Keputusan kes saman RM100 juta keluarga Altantuya 30 Ogos

    Keputusan kes saman RM100 juta keluarga Altantuya 30 Ogos

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 30 Ogos untuk keputusan kes saman RM100 juta yang difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, berhubung kematian wanita itu pada 2006.

    Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menetapkan tarikh itu selepas saksi plaintif dan defendan selesai memberi keterangan.

    Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.

    Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan.

    Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.

    Mahkamah juga menetapkan 20 Jun ini untuk plaintif memfailkan hujahan dan 20 Julai bagi defendan menjawab hujahan itu serta 4 Ogos untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas.

    Seramai 26 saksi plaintif termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 2019 manakala defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih untuk tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman tersebut. 

    Terdahulu,  Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamarudin yang mewakili kerajaan Malaysia memaklumkan pihaknya menutup kes saman itu selepas saksi terakhir iaitu pesara polis, Datuk Mastor Mohd Ariff, 60, selesai memberi keterangan.

    Mastor memberitahu mahkamah bahawa Azilah dan Sirul Azhar tidak terlibat dalam mana-mana operasi termasuk tugas khas serta sulit di antara 19 dan 20 Okt 2006 (tarikh Altantuya dikatakan hilang dan dibunuh).

    “Sekiranya mereka tidak terlibat dalam apa-apa operasi, mereka akan bertugas pada waktu pejabat antara 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

    Menjawab soalan peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, saksi itu berkata beliau bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap senjata api dan bahan letupan yang disimpan di stor pensenjataan ketika bertugas sebagai pegawai pemerintah di Bukit Aman.

    Mastor juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa mana-mana anggota tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil senjata api begitu sahaja tanpa kebenaran pegawai atasan.

    Semalam, pegawai penyiasat bagi kes bunuh Altantuya, Superintenden Tonny Anak Lunggan, 42, memberitahu mahkamah bahawa tiada arahan daripada mana-mana pegawai atasan supaya Sirul Azhar mengeluarkan senjata api dari tempat simpanan di Bukit Aman pada 2006.

    Beliau berkata berdasarkan Buku Daftar Keluar Masuk Senjata, Sirul Azhar telah mengeluarkan senjata bernombor siri S98756 jenis MP 5 (S) pada 4 Okt 2006 dan mengembalikannya pada 8.15 pagi 30 Okt tahun sama. 

    Pada prosiding hari ini, seorang lagi pesara polis, Sarjan Mejar Rosli Ibrahim, 51, yang merupakan saksi kedua pihak kerajaan turut memberi keterangan. – Bernama

  • Lelaki didakwa cabul kanak-kanak dalam lif

    Lelaki didakwa cabul kanak-kanak dalam lif

    SEORANG lelaki didakwa ke Mahkamah Seksyen di Putrajaya, hari ini atas tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam lif sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Kerinchi, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tertuduh berusia 30-an itu tidak mengaku salah selepas didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

    “Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    “Mahkamah turut memerintahkan tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Julai ini.

    Pada Selasa lalu, media melaporkan, seorang lelaki direman lima hari berhubung kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam lif sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kerinchi, 14 Mei lalu.

  • Terima rasuah RM 300 bekas ketua balai polis dipenjara, denda

    Terima rasuah RM 300 bekas ketua balai polis dipenjara, denda

    SEORANG bekas ketua balai polis berpangkat Sarjan dipenjara dua bulan dan denda RM5,000 selepas didapati bersalah menerima rasuah RM300.

    Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Azli Adam, 58, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mahkamah turut memerintahkan Mohamed Azli yang kini digantung tugas menjalani hukuman itu bermula hari ini dan akan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan jaminan ke atasnya dinaikkan kepada RM5,000 daripada RM3,500 sebelum ini.

    Mengikut pertuduhan, Mohamed Azli didakwa sebagai Ketua Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi, Semenyih menerima wang tunai RM300 daripada seorang individu berusia 43 tahun di balai tersebut pada 14 Mac 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-keduanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman.

    Seramai 18 saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 2020. – Bernama

  • Penolong jurutera kolej didakwa terima rasuah

    Penolong jurutera kolej didakwa terima rasuah

    SEORANG penolong jurutera sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah tiga tahun lalu.

    Tertuduh, Suhairol Samsudin, 44, membuat pengakuan itu selepas dibacakan pertuduhan itu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Harian Metro melaporkan, mengikut pertuduhan, Suhairol sebagai penjawat awam bertugas di Kolej Vokasional Melaka Tengah didakwa menerima wang tunai RM600 tanpa balasan daripada Abd Rasid Omar dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

    Kesalahan didakwa dilakukan pada 28 Februari 2019, di Lot 1762-3, Jalan Sungai Punggur, Air Keroh pukul 9.30 malam.

    Kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan menanggung keluarga.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai.

    Elesabet kemudian menetapkan tarikh 17 Jun sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.

  • Mahkamah bebaskan individu pertama didakwa bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

    Mahkamah bebaskan individu pertama didakwa bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

    BEKAS Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Education Malaysia Global Services (EMGS) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini daripada pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan dipecat setelah memberikan maklumat mengenai salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Hakim Suzana Hussin membebaskan Wafiy Abd Aziz, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

    “Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan, hujahan peguam dan pendakwa raya, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal menunjukkan kes terhadap tertuduh.

    “Dengan itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dan wang jaminan (RM15,000) dipulangkan manakala tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan,” kata Suzana.

    Pertuduhan terhadap Wafiy adalah yang pertama mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sejak ia berkuat kuasa pada 2010.

    Wafiy didakwa telah mengambil tindakan yang memudaratkan terhadap seorang pemberi maklumat dengan cara mengapi-apikan Pengerusi EMGS Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff supaya menandatangani dokumen penamatan pekerjaan ke atas lelaki terbabit sebagai suatu tindakan balas terhadap pendedahannya berkenaan kelakuan tidak wajar tertuduh kepada SPRM.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat EMGS di Jalan Mayang Sari di sini, pada 9 Jan 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(6) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 15 tahun atau kedua-duanya.

    Wafiy diwakili peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Afif Ali.

    Perbicaraan kes itu bermula 27 April 2021 dengan 17 saksi pendakwaan memberi keterangan termasuk dua saksi utama iaitu Abdul Rahman dan CEO EMGS Shahinuddin Shariff.–Bernama

  • Pendakwaan 1MDB mahu Arul Kanda beri keterangan terhadap Najib

    Pendakwaan 1MDB mahu Arul Kanda beri keterangan terhadap Najib

    PIHAK Pendakwaan dalam kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arul Kanda Kandasamy, memohon supaya Arul Kanda memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam prosiding perbicaraan hari ini memanggil Arul Kanda untuk memberikan keterangan sebagai saksi seterusnya selepas Mahkamah Tinggi mendengar keterangan seorang penolong pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Sri Ram berkata, pihaknya mengemukakan permohonan lisan itu supaya Arul Kanda memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Muhammad Shafee ingin menyatakan sesuatu berhubung perkara itu.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili Najib kemundian menyifatkan permohonan pendakwaan bukan perkara biasa dan ia adalah kali pertama dalam sejarah moden negara.

    Muhammad Shafee berkata, pendakwaan mesti memenuhi peruntukan Seksyen 63 SPRM dan mengemukakan permohonan serta mesti memuaskan hati mahkamah.

    “Ia adalah budi bicara sepenuhnya oleh mahkamah, …saya juga melihat beberapa isu dalam permohonan ini termasuk isu perlembagaan,” katanya lapor Berita Harian hari ini.

    Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk mendengar permohonan itu.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

  • Penghantar makanan mengaku salah hantar gambar, video lucah

    Penghantar makanan mengaku salah hantar gambar, video lucah

    SEORANG penghantar makanan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membuat dan menghantar gambar serta video lucah menggunakan aplikasi Instagram, dua tahun lepas.

    Muhammad Khair Ma’ani, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mahkamah menetapkan 19 Jun depan untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

    Lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi Instagram dengan nama mkdaniel__ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar dan video lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah di sini, kira-kira 8.50 pagi, 25 Jan 2020.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA