PERBINCANGAN dan perbahasan dengan input menyeluruh daripada semua pihak adalah penting dalam usaha menangani isu kenaikan harga barangan makanan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, tindakan kerajaan untuk tidak mengenakan permit import (AP) bagi mengimport bahan makanan tidak akan menyelesaikan perkara itu.

“Kenaikan harga adalah isu utama yang dihadapi rakyat sekarang dan perkara ini (tindakan tidak mengenakan AP) hanya sebagai reaksi sentak lutut. Ia tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya dalam sidang akhbar bersama Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow di George Town hari ini.

Beliau berkata, isu kenaikan harga makanan tidak mempunyai penyelesaian khusus sebaliknya kerajaan perlu melihat semula isu rantaian bekalan kerana di negara ini, terlalu banyak orang tengah di pelbagai lapisan yang menyumbang kepada faktor kenaikan harga.

Loke juga berkata, beliau telah mengarahkan penasihat dasarnya, Tony Pua untuk merangka kertas dasar DAP berkaitan isu inflasi dan kenaikan harga barang.

“Selepas kertas dasar siap, kita akan umumkan pendirian dan cadangan kita,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here